Amar Ma’ruf Nahi Munkar Adalah Hak Demokrasi PAS

Kuala Lumpur, 12hb Febuari 2012. Hak untuk mengajak rakyat Malaysia ke arah kebaikan dan membanteras maksiat dan keburukan adalah merupakan hak demokrasi PAS.

Demikian tegas Setiausaha Dewan Ulamak PAS Pusat, Ustaz Dr Khairuddin Razali ketika mengulas ada pihak-pihak tertentu yang tidak senang dengan usaha PAS untuk menghalang Sambutan Hari Kekasih di kalangan umat Islam di negara ini.

“Sambutan hari kekasih bercanggah dengan Islam, sebagai seorang Islam mereka perlu terikat dengan hukum hakam beragama sebagai menggambarkan disiplin beragama”

Menurut beliau lagi, untuk bukan Islam mereka bebas mengamalkan apa yang mereka percayai di dalam kerangka yang dibenarkan.

“Dalam konteks Malaysia yang meletakkan Islam sebagai agama rasmi, pihak media perlu mempunyai tanggungjawab untuk menyedarkan orang Islam tentang haram sambutan hari kekasih” tegas beliau.

“PAS sebagai sebuah parti Islam yang mendokong prinsip demokrasi insyaAllah akan terus dan konsisten untuk menegur masyarakat Islam yang menjadi teras majoriti rakyat Malaysia dari melakukan perkara yang bercanggah dengan agama yang boleh menghapuskan keberkatan hidup bernegara”ujar beliau lagi.

Menurut beliau lagi, mana-mana komponen dalam pakatan diperingatkan agar menghormati prinsip asas rakan pakatan seperti PAS, di samping menghormati hak majoriti rakyat Malaysia yang beragama Islam untuk menentang kemungkaran yang melibatkan umat Islam. [ulamak.pas.org.my]