Forum ‘Relevensi Kepimpinan Ulama’ di abad ke-21’

Pemerintahan dan ulama’ merupakan perkara yang amat sinonim dalam sesebuah komuniti Islam, sehinggakan perbahasan mengenai peranan ulama’ dalam pemerintahan terus aktif semenjak zaman awal perkembangan Islam.

Hal ini tidak terkecuali di Malaysia dalam gerakan Islam awal pasca kemerdekaan yang kemudiannya dipelopori dengan aktif oleh Parti Islam SeMalaysia (PAS), kaya dengan tradisi kepimpinan ulama sebagai teras perjuangan mereka.

Perjuangan berterusan PAS ini sering kali menjadi pencabar utama dasar-dasar kerajaan, selain menjadi alternatif kepada masyarakat Melayu-Islam menyandarkan pengharapan politik.

Namun kini, Malaysia berada dalam satu fasa perubahan landskap politik dimana pemerintahan negara yang selama ini kukuh di bawah pimpinan golongan 'elit Melayu' UMNO, sudah mula tercabar. Perkembangan politik selepas pilihanraya umum 2008 menunjukkan rakyat sudah mula mempertimbangkan pilihan lain dalam menerajui pemerintahan negara. Cabaran utama ini datang umumnya sebagai sebuah gelombang kebangkitan rakyat dengan membawa slogan demokrasi, satu fenomena global di abad ke-21 ini dengan penyertaan aktif rakyat dalam gerakan masyarakat sivil. Pada masa yang sama, perubahan yang dimahukan rakyat tidak akan berhasil tanpa diterajui parti-parti politik yang membentuk Pakatan Rakyat, terutamanya PAS yang dilihat paling dominan.

Menyedari perubahan corak politik ini, PAS komited mempersetujui dasar bersama dalam Pakatan Rakyat, dan pada masa yang sama menegaskan tidak lari daripada matlamat asal perjuangan Islam. Namun, beberapa isu yang dilihat sentral bagi Kepimpinan Ulama’ PAS khususnya Negara Islam serta Hudud terus diketengahkan walaupun bukan sebahagian daripada persetujuan dasar bersama Pakatan Rakyat yang menyebabkan polemik tidak berkesudahan. Demikian, menimbulkan persoalan sejauhmana Kepimpinan Ulama’ mampu memainkan peranan di abad ke-21 ini, tanpa menyekat momentum perubahan demokratik negara. 

Persoalan ini antara yang akan diperbincangkan dalam forum ‘Relevensi Kepimpinan Ulama’ di abad ke-21’. Dianjurkan bersama oleh Projek Dialog dan Islamic Renaissance Front, forum ini akan menampilkan aktivis demokrasi, Ust. Wan Ji Wan Hussin; wakil Dewan Ulama Pas, Ust. Hairul Nizam Mat Hussin; serta pensyarah Universiti Malaya, Dr. Mohd Zuhdi Marsuki. Rizqi Mukhriz, setiausahaIslamic Renaissance Front akan menjadi moderator.

Forum ini akan berlangsung pada 1 Disember 2012 bertempat di Hotel Grand Riverview, Kota Bharu, Kelantan dari jam 2.00 hingga 5.00 petang. 

Sila hubungi Ehsan Shahwahid untuk sebarang pertanyaan di talian: 012 263 1160, atau email ehsanshahwahid@gmail.com

 [[{"type":"media","view_mode":"media_original","fid":"264","attributes":{"alt":"","class":"media-image","height":"842","typeof":"foaf:Image","width":"595"}}]]