Institut Pengajian Tinggi Islam Perlis (IPTIPs) Bakal Tamatkan Operasi

Iptips

KANGAR, 9 Nov (Bernama) -- Institut Pengajian Tinggi Islam Perlis (IPTIPs) yang beroperasi di sini sejak 1998 bakal menamatkan operasinya akhir tahun ini.

Rektor IPTIPs Mohamad Fadhli Ilias berkata surat rasmi memaklumkan mengenai perkara itu diterima daripada Yayasan Islam Perlis (YIPs) baru-baru ini atas sebab tidak lagi dapat membiayai institut itu.

Beliau berkata berikutan langkah itu, lebih 50 pelajar di institut itu telah dipindahkan ke sebuah institusi agama di Pulau Pinang.

"Perkara itu merisaukan lebih 30 kakitangan institusi itu yang masih berharap ada ruang untuk institusi itu diberi nafas baharu.

"Mereka kini sedang memikirkan masa depan apabila bakal kehilangan pekerjaan mulai 2014," katanya ketika ditemui selepas mengadakan perjumpaan dengan Ketua Umno bahagian Padang Besar, Datuk Zahidi Zainul Abidin di Beseri hari ini.

IPTIPs yang dimiliki YIPs menawarkan program diploma iaitu Diploma Al Quran dan Al Hadis, Diploma Usuluddin, Diploma Syariah di samping pengajian peringkat Sijil Tinggi Agama Malaysia dan kursus intensif bahasa Arab.

Sementara itu, Zahidi yang juga anggota parlimen Padang Besar berkata IPTIPs tidak seharusnya ditamatkan operasi ketika kerajaan negeri sedang memperkasakan industri ilmu.

"Saya akan bawa perkara ini ke pengetahuan perdana menteri dalam tempoh terdekat," katanya.

Zahidi berkata IPTIPs yang beroperasi di Guar Jentik yang terletak dalam kawasan parlimen Padang Besar perlu dipertahankan walaupun YIPs mengakui tidak berupaya untuk meneruskan operasi institusi itu kerana masalah kewangan.

Beliau juga berharap ada pihak lain yang boleh mengambil alih IPTIPs bagi memastikan institusi itu terus beroperasi.

 

Kategori Berita: