Prof Madya Dr Mohammad Agus Yusoff: Puas hati atau Tidak dengan keputusan PRU13? Tsunami Cina atau Rakyat?

Profesor Madya Dr Mohammad Agus Yusoff

Puas hati atau Tidak dengan keputusan PRU13?

Ramai bertanya sama ada saya puas hati atau tidak dengan keputusan PRU. Saya katakan saya kecewa kerana telahan awal saya bahawa BN akan tumbang dalam PRU ini meleset. Biarpun kalah, saya yakin kekalahan PR adalah kekalahan bermaruah yang mendokong semangat demokrasi.

Sahabat lain bertanya, apa yang perlu dilakukan jika tidak puas hati. Saya jawab setiap bantahan perlu dibuat mengikut saluran undang-undang. Maknanya ialah buat buat petisyen pilihan raya di Mahkamah Pilihan Raya dalam masa 21 hari dari tarikh keputusan digazet. Yakinlah jika PR di pihak yang benar, dalam kegelapan itu tetap ada harapan. Teruskan!

Sahabat juga bertanya apa pula yang saya puas dengan keputusan pilihan raya ini. Saya puas satu perkara: kita masih mempunyai pembangkang yang kuat. Moganya dengan cara ini mekanisme semak dan imbang dapat berjalan dengan baik untuk memastikan janji pilihan raya ditepati dan nasib rakyat terbela.

Sahabat yang lain pula bertanya, apa harapan saya dari pilihan raya ini? Saya berhasrat untuk melihat wujudnya sistem dua parti yang berdaftar, iaitu BN di satu pihak dan PR di satu pihak yang lain. Saya yakin sistem pakatan melalui sistem dua parti ini lebih sesuai dengan sistem politik permuafakatan yang kita amalkan selama ini. Harapnya selepas ini, Pendaftar Pertubuhan dapat meluluskan pendaftaran gabungan PR.

Saya katakan begini kerana sudah sampai masanya Malaysia perlu berubah ke arah satu politik baru yang lebih matang.

Sebagai penutup, dalam bahang pilihan raya yang masih hangat ini, saya inigin katakan satu perkara: sama ada kita penyokong BN atau PR, kita tetap rakyat MALAYSIA.

Sumber: FB Prof Madya Dr Mohammad Agus Yusoff 

 


Tsunami Cina atau Tsunami Rakyat?

Banyak media melaporkan keputusan PRU 13 menunjukkan tsunami kaum Cina. Ini kerana ramai orang Cina mengundi DAP. Saya berbeza pandangan dengan kenyataan di atas.

Yang jelas pada saya ialah PRU 13 merupakan gelombang kedua tsunami rakyat--dari bandar, semi bandar, desa, golongan muda, kelas menengah dll--yang bangkit untuk menuntut pembentukan sebuah kerajaan yang bersih, adil dan bertanggungjawab kepada semua rakyat. Mereka bangkit kerana mahukan pendemokrasian diberikan ruang sewajarnya untuk mengambil tempat dalam negara kita.

Ringkasnya, keputusan PRU 13 menunjukkan tsunami rakyat Malaysia dan tiada kaitan dengan perkauman orang Cina atau sikap rasis DAP.

Sudah sampai masanya kita berhenti meniupkan api perkauman dalam politik kita.

Sumber: FB Prof Madya Dr Mohammad Agus Yusoff

 

Kategori Berita: