Pesakit yang ditidurkan (induced coma) dari satu sudut tidak sama dengan tidur biasa. Dan berdasarkan fakta dari pakar kesihatan, dapatlah disimpulkan bahawa dari sudut fiqh, pesakit yang ditidurkan (induced coma) boleh disamakan dengan pengsan atau hilang kesedaran diri (اَلْمُغْمَى عَلَيْهِ).

Ditidurkan = Intubasi

Menurut KKM dalam sebuah akhbar online, “…tanggapan bahawa kaedah intubasi atau ditidurkan adalah salah satu cara untuk mematikan pesakit dengan kaedah yang paling ‘selamat’ merupakan satu mitos dan tidak benar.

Sebaliknya, fakta sebenarnya adalah ditidurkan (induced coma) ialah usaha paling optimal untuk menyelamatkan nyawa terutamanya apabila seseorang pesakit mengalami keadaan klinikal yang kritikal dan mengancam nyawa.

Rujuk: sinarharian.com.my

Menurut sumber beberapa orang doktor perubatan antaranya ialah Dr. Fradzi dan Dr. Malar Santhi Santherasegapan, ditidurkan bukanlah bermaksud tidur biasa tetapi ia bermaksud diintubasi.

Rujuk: kosmo.com.my

Apakah Wajib Qadak Solat?

Orang yang pengsan (اَلْمُغْمَى عَلَيْهِ) tidak wajib qadak solat yang ditinggalkannya sepanjang dia pengsan. Samalah halnya dengan pesakit yang ditidurkan (induced coma).

Namun, di sana ada beberapa perkara yang perlu diperhatikan. Sebagai contoh, kalau dia tersedar pada akhir waktu Asar sekadar takbir, maka disamping dia diwajibkan solat Asar, dia juga diwajibkan qadak solat Zohor.

Seterusnya, kalau dia tersedar pada akhir waktu Isyak sekadar takbir, maka dia diwajibkan solat Isyak dan juga wajib qadak solat Maghrib. Wallhu A’lam.


RUJUKAN

Petikan kitab Minhajut Tholibin karya imam al-Nawawi rhm:

Siapakah yang wajib qadak dan tidak wajib qadak solat?

(فصل) إنما تجب الصلاة على كل مسلم بالغ عاقل طاهر ولا قضاء على كافر إلا المرتد ولا الصبي ويؤمر بها لسبع ويضرب عليها لعشر ولا ذي حيض أو جنون أو إغماء بخلاف السكر ولو زالت هذه الأسباب وبقي من الوقت تكبيرة وجبت الصلاة وفي قول يشترط ركعة والأظهر وجوب الظهر بإدراك تكبيرة آخر العصر والمغرب آخر العشاء ولو بلغ فيها أتمها وأجزأته على الصحيح أو بعدها فلا إعادة على الصحيح ولو حاضت أو جن أول الوقت وجبت تلك إن أدرك قدر الفرض وإلا فلا. (منهاج الطالبين)


Kesimpulan berdasarkan teks kitab:

  1. Solat diwajibkan ke atas muslim yang baligh, berakal dan suci (dari haid dan nifas).
  2. Oleh itu, golongan berikut ini tidak diwajibkan qadak solat:
    • Orang kafir ketika memeluk Islam tidak wajib qadak. Manakala orang murtad ketika kembali memeluk Islam wajib qadak solatnya.
    • Kanak-kanak tidak wajib qadak. Cuma mereka wajib diarahkan agar solat ketika berusia 7 tahun dan hendaklah dipukul ketika berusia 10 tahun.Perempuan haid atau nifas tidak wajib qadak.Orang gila tidak wajib qadak.
    • Orang yang pengsan atau tidak sedarkan diri juga tidak wajib qadak. Namun, mabuk tidak termasuk di dalamnya, oleh itu orang mabuk wajib qadak.
  3. Kalau penyebab-penyebab di atas hilang ketika masih ada lagi waktu solat sekadar takbir, maka dia wajib mengerjakan solat berkenaan.
  4. Menurut pendapat azhar, kalau penyebab-penyebab itu hilang dalam keadaan dia sempat sekadar takbir pada akhir Asar, maka dia juga diwajibkan solat Zohor. Kalau dapat sekadar takbir pada akhir Isyak, maka dia juga diwajibkan solat Maghrib.
  5. Kalau seorang kanak-kanak baligh kerana telah sampai usianya ketika dia sedang solat, maka dia wajib menyempurnakan solat berkenaan dan solat itu sudah memadai untuknya menurut pendapat sahih.
  6. Kalau seseorang itu baligh selepas mengerjakan solat, maka menurut pendapat sahih, solat berkenaan tidak wajib diulang.
  7. Kalau seorang perempuan berhaid atau nifas atau seseorang itu menjadi gila atau pengsan pada awal waktu, dan dia sempat mendapatkan sekadar satu fardu, maka solat berkenaan diwajibkan ke atasnya.

By Zainudin Bin Yusro

Tenaga pengajar Pondok Penanti, Bukit Mertajam Pulau Pinang. Belajar agama di pondok Dato Kiyai Shamsuddin bin Haji Redzuan di Gersik, Muar Johor. Kemudian di Pondok Penanti, Bukit Mertajam yang diasaskan Sheikh Osman Jalaluddin,