Darul Ifta’ Mesir : Penduduk UK boleh berbuka sebelum tenggelam matahari!

Oleh: Shamsul Muda

Ada satu persoalan menarik tentang puasa.

Persoalan ini berkaitan secara langsung dengan umat Islam di sesetengah Negara Barat. Iaitu, waktu berpuasa yang menjangkau hingga ke 18 jam sehari!

Persoalannya, bagaimanakah umat Islam di negara tersebut berpuasa?

Jika mereka wajib berpuasa seperti biasa, iaitu semenjak terbit fajar hingga tenggelam matahari, iaitu selama 18 jam, mampukah mereka berpuasa selama itu?

 

Jika mereka tidak wajib berpuasa selama itu, bolehkah mereka berbuka sebelum tenggelamnya matahari?

Persoalan ini telah diajukan oleh seorang umat Islam yang tinggal di United Kingdom (UK) kepada Darul Ifta’, Mesir.


Rujukan kepada Mekah

2011 UK mengalami siang selama 19 jam!Menurut penanya, di UK pada tahun 2011 ini, waktu siang hari menjangkau ke sekitar 19 jam. Ini bermakna, mengikut perkiraan biasa, penghuninya terpaksa berpuasa selama hampir 19 jam sehari!

Menjawab persoalan itu, Sekretariat Fatwa Darul Ifta’ Mesir memfatwakan, bahawa-dalam keadaan ini-puasa dilakukan selari dengan tempoh masa berpuasa di Mekah al-Mukarramah.

Tempoh masa berpuasa di Mekah dijadikan rujukan kerana Mekah merupakan Ummul Qura (Ibu kepada seluruh negeri).

Oleh itu, penduduk di UK mesti memulakan puasa semenjak terbitnya fajar di UK. Mereka hendaklah terus berpuasa mengikut berapa jam penduduk Mekah berpuasa pada hari tersebut.

Ini bermakna, jika fajar di UK terbit pada jam 3.00 pagi, dan penduduk Mekah berpuasa selama 15 jam pada hari itu, maka waktu berbuka umat Islam di UK ialah pada jam 6.00 petang (3.00 pagi + 15 jam). Iaitu setelah berlalunya 15 jam berpuasa. (Rujuk: http://www.dar-alifta.org/ViewFatwa.aspx?ID=3740&text=أم%20القرى)

Dalam erti kata lain, umat Islam di UK tidak perlu menunggu sehingga tenggelamnya matahari untuk berbuka puasa.

Mereka sebaliknya boleh berbuka, apabila mereka telah berpuasa dalam tempoh yang sama dengan tempoh penduduk Mekah berpuasa (iaitu selama 15 jam sebagai contoh).

Asas kepada fatwa ini ialah berpuasa selama 18 jam boleh memudaratkan manusia, seperti yang diperakui oleh pakar.

Untuk beramal dengan fatwa ini, umat Islam di negara seperti UK, perlulah mengetahui berapa jamkah penduduk Mekah berpuasa.

Seperkara lagi, difahami daripada teks fatwa ini, fatwa yang dinyatakan di atas adalah berkaitan dengan tempat yang mana waktu berpuasanya menjangkau ke 18 jam atau lebih.


[Blog penulis boleh dilayari di: http://warisan-semasa.blogspot.com/]