Mula Waktu dan Akhir Waktu Takbir
Untuk hari raya idul adha, kaum muslimin terbahagi dua (Raudhah al-Thalibin):
- Orang Islam yang sedang mengerjakan haji
- Orang Islam yang tidak dalam mengerjakan haji
Bagi orang Islam yang sedang mengerjakan haji, waktu mula bertakbir adalah selepas solat zohor pada hari korban dan berakhir selepas solat subuh pada hari terakhir tasyriq.
Bagi mereka yang tidak sedang mengerjakan haji, waktu mula bertakbir adalah selepas solat subuh pada hari Arafah (9 Zulhijjah) dan waktunya berakhir selepas solat asar pada hari terakhir hari tasyriq.
Orang yang mengerjakan haji boleh bertakbir selepas setiap kali menunaikan solat bermula dari zohor pada hari nahar, kerana ia merupakan solat pertamanya selepas habis waktu bertalbiah, dan ia berlanjutan sehinggalah selepas solat subuh pada hari terakhir hari tasyriq kerana ia merupakan hari terakhir solatnya di Mina (Al-Iqna’ & Al-Mu’tamad Fi al-Fiqh al-Syafii).
Menurut Fathul Qorib:
ثُمَّ شَرَعَ فِيْ التَّكْبِيْرِ الْمُقَيَّدِ فَقَالَ: (وَ) يُكَبِّرُ (فِيْ) عِيْدِ (الْأَضْحَى خَلْفَ الصَّلَوَاتِ الْمَفْرُوْضَاتِ) مِنْ مُؤَدَّاةٍ وَفَائِتَةٍ؛ وَكَذَا خَلْفَ رَاتِبَةٍ وَنَفْلٍ مُطْلَقٍ وَصَلَاةِ جَنَازَةٍ، (مِن صُبْحِ يَوْمِ عَرَفَةَ إِلَى الْعَصْرِ مِنْ آخِرِ أَيَّامِ التَّشْرِيْقِ).
Kemudian pengarang masuk menjelaskan tentang takbir Muqayyad, menurutnya: Sunnah mengucapkan takbir pada hari raya al-Adha selepas menunaikan solat-solat fardu samada solat tunai dan qadha’. Begitu juga selepas menunaikan solat rawatib, solat sunnah mutlaq dan solat jenazah. Waktu disunnahkan takbir bermula dari subuh hari Arafah sehingga Asar hari terakhir hari-hari Tasyriq.
Berikut ini adalah lafaz takbir hari raya:
اللَّهُ أَكْبَرُ اللَّهُ أَكْبَرُ اللَّهُ أَكْبَرُ
Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, Allah Maha Besar.
لَا إلَهَ إلَّا اللَّهُ وَاَللَّهُ أَكْبَرُ اللَّهُ أَكْبَرُ وَلِلَّهِ الْحَمْدُ
Tiada Tuhan melainkan Allah, dan Allah Maha Besar, Allah Maha Besar dan bagi Allah segala pujian.
اللَّهُ أَكْبَرُ كَبِيرًا وَالْحَمْدُ لِلَّهِ كَثِيرًا
Allah Maha Besar dengan sebenar-benar Kebesaran-Nya, dan pujian bagi Allah sebanyaknya.
وَسُبْحَانَ اللَّهِ بُكْرَةً وَأَصِيلًا
Maha Suci Allah pada waktu pagi dan petang.
لَا إلَهَ إلَّا اللَّهُ وَلَا نَعْبُدُ إلَّا إيَّاهُ مُخْلِصِينَ لَهُ الدِّينَ ، وَلَوْ كَرِهَ الْكَافِرُونَ
Tiada Tuhan melainkan Allah dan tidaklah kami menyembah melainkan-Nya dengan tulus ikhlas menuruti agama-Nya, sekalipun dibenci oleh orang-orang kafir.
لَا إلَهَ إلَّا اللَّهُ وَحْدَهُ ، صَدَقَ وَعْدَهُ ، وَنَصَرَ عَبْدَهُ ، وَأَعَزَّ جُنْدَهُ ، وَهَزَمَ الْأَحْزَابَ وَحْدَهُ
Tiada Tuhan melainkan Allah sahaja. Dia membenarkan janji-Nya, membantu hamba-Nya dan memuliakan tentera-Nya serta mengalahkan pakatan tentera Ahzab secara bersendirian.
لَا إلَهَ إلَّا اللَّهُ وَاَللَّهُ أَكْبَرُ ، اللَّهُ أَكْبَرُ وَلِلَّهِ الْحَمْدُ
Tiada Tuhan melainkan Allah dan Allah Maha Besar, Allah Maha Besar dan bagi Allah segala pujian.