JH-BUKU-001- Sahih al-Bukhari

Primary tabs

Oleh: Ibnu Hazam dan alitantawi

 

Judul Buku :

Dikenali dengan nama ‘Sahih al-Bukhari’. Manakala nama penuhnya ialah ‘al-Jami’ al-Musnad al-Sahih al-Mukhtasor Min Umur Rasulillah Wa Sunanihi Wa Ayyamihi’.

Pengarang:

Muhammad bin Ismail al-Bukhari (wafat 256H).

Sinopsis Kitab Sahih al-Bukhari:

- Buku ini diibaratkan sebagai kitab hadith yang paling tinggi martabat sahihnya dibandingkan dengan kitab-kitab hadith yang lain. Ia disebut ’asSohihain’ apabila digabungkan dengan sebuah lagi kitab hadith yang dikarang oleh Imam Muslim (261H).

- Ia ditapis oleh al-Bukhari daripada sebanyak lebih kurang 600,000 ribu riwayat (hadith, kata-kata sahabat, kata-kata tabi’in dan sebagainya) yang beliau kumpulkan sepanjang beliau merantau mengumpulkan hadith. Cara pengumpulan hadith-hadith sahihnya membuatkan kitabnya mempelopori kitab-kitab hadith yang lain. Beliau mengambil masa kira-kira 16 tahun untuk menyiapkan buku ini.

- Walaupun sudah terdapat buku-buku hadith yang lain pada zamannya, al-Bukhari dikenali kerana beliau adalah orang yang pertama mengumpulkan hadith-hadith sahih secara berasingan.

- Di antara sebab beliau menyusun buku ini ialah saranan daripada salah seorang gurunya iaitu Ishaq Ibn Rahuyah/Rahawaih (238H) yang mencadangkan kepada murid-muridnya untuk menyusun sebuah buku yang mengumpulkan hadith-hadith sahih secara berasingan. Sebab yang lain pula ialah tersebarnya pelbagai fahaman dan anutan yang menyimpang daripada ajaran Islam yang sebenar. Maka al-Bukhari ingin memberikan penjelasan tentang fahaman Islam yang sebenar.

- Perkataan al-Jami’ di dalam nama penuh buku ini memberi gambaran bahawa al-Bukhari menyusun bukunya ini dalam pelbagai tajuk dan tidak terhad hanya kepada tajuk tertentu. Beliau menyusunnya dalam bentuk ’kitab’ (sebanyak 97 kitab) yang merupakan tajuk utama dan bab-bab (sebanyak 3450 bab) yang berada di dalamnya mengikut pembahagian hukum fiqh dan permasalahan yang berkaitan. Pembaca dapat melihat kehebatan ilmu al-Bukhari daripada bab-bab yang beliau sebutkan dan kaitannya dengan hadith yang disebutkan.

- Manakala perkataan al-Musnad memberi gambaran tentang hadith-hadith yang ingin dikumpulkannya adalah yang bersambung dan sahih kedudukannya sehingga kepada Rasulullah SAW. Namun begitu, terdapat juga riwayat-riwayat daripada para sahabat dan tabiin tetapi ia bukan tujuan utamanya melainkan ia adalalah sebagai pelengkap dan penyokong sampingan.

- Perkataan al-Sahih memberi gambaran tentang penapisan yang dibuat oleh beliau dengan meliputi kajian terhadap para periwayat hadith dan juga kajian terhadap teks hadith serta perkara yang berkaitan. Syarat-syarat yang beliau gunakan adalah syarat-syarat yang telah diwarisi daripada ahli-ahli hadith sebelumnya. Penapisan ini tidak hanya meliputi periwayat hadith malah setiap hadith yang diriwayatkannya satu persatu.

- Perkataan al-Mukthasor pula memberi isyarat bahawa beliau tidak bermaksud mengumpulkan keseluruhan hadith sahih tetapi beliau menyifatkan bukunya ini sebagai al-Mukthasor iaitu ringkasan terhadap hadith-hadith utama.

- Jumlah hadith-hadith di dalamnya (termasuk yang berulang) ialah sekitar 7 ribu hadith. Menurut Ibn Hajar al-’Asqalani, jumlah hadith yang sebenar tanpa berulang ialah sebanyak 2602 hadith.

- Kitab Sahih Bukhari kemudiannya dihuraikan oleh beberapa orang ulama. Di antara yang mula-mula menghuraikannya ialah al-Khattabi (388H) dengan bukunya yang dinamakan A’lam al-Sunan (dicetak dengan nama A’lam al-Hadith). Manakala huraian yang lain adalah seperti al-Kawakib al-Darari karya al-Karmani (786H), Fath al-Bari karya Ibn Rajab al-Hanbali (795H), ’Umdat al-Qari karya al-’Aini (855H) dan yang paling terkenal ialah Fathul Bari oleh Ibn Hajar al-Asqalani (852 H).

- Terdapat juga satu bentuk kajian terhadap Sahih al-Bukhari yang telah dilakukan oleh para ulama sepanjang zaman iaitu kajian terhadap para periwayat yang disebutkan nama mereka di dalam Sahih al-Bukhari. Di antaranya ialah buku Man Rawa Lahu al-Bukhari karya Ibn ’Adi (356H), al-Ta’dil wa al-Tajrih Li Man Akharajahu al-Bukhari Fi al-Sahih karya Abu al-Walid al-Baji (474H) dan lain-lain termasuk buku Tahdzib al-Kamal karya al-Mizzi (742H) yang turut mengkaji periwayat buku-buku utama hadith yang lain.

- Di antara murid al-Bukhari yang terkenal dan bertanggungjawab menyebarkan Sahih al-Bukhari ke dalam masyarakat ialah Muhammad Ibn Yusuf al-Farabri (320H) dan Abu Ishaq al-Nasafi (295H). Melalui mereka, naskhah Sahih al-Bukhari diriwayatkan, ditulis dan disebarkan sepanjang zaman dengan penuh ketelitian.

- Terdapat sebahagian pengkaji sejak dahulu hingga kini yang cuba mengkritik kesahihan sebilangan kecil hadith-hadith Sahih al-Bukhari namun terbukti para ulama zaman berzaman bangun mempertahankan Sahih al-Bukhari daripada kritikan tersebut. Malah terdapat juga sebahagian penentang hadith dan pengkaji barat yang juga cuba menolak beberapa hadith Sahih al-Bukhari tanpa sebarang kajian melainkan semata-mata kerana kejahilan dan niat jahat untuk merosakkan sumber hukum umat Islam sepanjang zaman iaitu Al-Quran dan hadith sahih.

- Sahih al-Bukhari sebenarnya merupakan satu bukti kajian ilmiah yang telah berlaku sepanjang zaman terutama pada zaman kegemilangan kajian hadith pada kurun awal Islam. Kajian demi kajian yang dibuat tentang buku ini di universiti-universiti dunia telah mengesahkan lagi bahawa ia adalah satu hasil kajian yang amat tinggi nilainya.

- Sahih al-Bukhari telah diringkaskan oleh para ulama bertujuan memudahkannya untuk masyarakat seperti apa yang dibuat oleh al-Zabidi bertajuk al-Tajrid al-Sorih dan juga ahli hadith moden al-Albani. Kini ia boleh didapati dalam pelbagai bahasa termasuklah Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris.

 

SUMBER RUJUKAN

- Fathul Bari – Ibn Hajar al-’Asqalani.

- Tadwin al-Sunnah al-Nabawiyyah, Nash’atuhu wa Tatowwuruhu – Dr. Mohammad Ibn Mator al-Zahrani.

- Manhaj al-Naqd – Dr. Nuruddin ’Itr.

- Manahij al-Muhaddithin – Dr. Sa’d al-Humayyid.

- Manahij Kutub al-Sihah – Dr. Hatim al-Syarif.

- Manhaj al-Imam al-Bukhari Fi Ta’lil al-Ahadith wa Tashihiha – Dr. Abu Bakr Kafi.

- Riwayat wa Nusakh al-Jami’ al-Sahih – Dr. Muhammad Ibn Abd. Karim.