JH-MUTIARA-013- Kesan Solat 5 Waktu Pada Diri Mukmin

Primary tabs

Oleh alitantawi

أَرَأَيْتُمْ لَوْ أَنَّ نَهْرًا بِبَابِ أَحَدِكُمْ يَغْتَسِلُ مِنْهُ كُلَّ يَوْمٍ خَمْسَ مَرَّاتٍ هَلْ يَبْقَى مِنْ دَرَنِهِ شَىْءٌ. قَالُوا لاَ يَبْقَى مِنْ دَرَنِهِ شَىْءٌ. قَالَ فَذَلِكَ مَثَلُ الصَّلَوَاتِ الْخَمْسِ يَمْحُو اللَّهُ بِهِنَّ الْخَطَايَا.

Maksud hadith:

Apa pandangan kamu semua sekiranya sebuah sungai di hadapan pintu rumah salah seorang dari kamu, dia mandi di situ lima kali setiap hari, adakah kotorannya akan kekal? Para sahabat menjawab: Kotorannya tidak akan kekal walau sedikit. Sabda Rasulullah SAW: Begitulah perumpamaan solat lima waktu. Allah SWT menghapuskan dosa dengannya. (Hadith riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Huraian:

1- Solat lima waktu merupakan salah satu rukun Islam yang amat penting dalam kehidupan seorang bergelar muslim atau muslimah. Ia penentu keimanan dan petanda ketaatan kepada Allah SWT. Begitu banyak ayat Al-Quran dan hadith yang memberikan petunjuk bahawa solat lima waktu bukanlah satu perkara remeh malah ia pernah digambarkan sebagai pemisah atau penentu antara keimanan dan kekufuran.

2- Solat lima waktu bukan semata-mata satu perintah yang menjadi bukti keimanan, malah ia juga merupakan satu perintah yang membina hubungan di antara seorang hamba dengan Allah SWT yang merupakan Penciptanya dan Pemilik dirinya.Tunduknya seorang hamba kepada Pemiliknya bukanlah satu perkara yang menandakan kelemahan, malah ia merupakan satu kekuatan yang mengangkat diri seorang hamba itu daripada tunduk kepada makhluk. Dirinya hanya tunduk kepada Allah SWT Tuhan Pencipta alam.

3- Di dalam hadith ini Rasulullah SAW memberikan satu lagi makna tambahan yang indah kepada solat lima waktu – pengampunan dosa. Seorang hamba yang mentaati Tuhannya dengan solat lima waktu bukan sekadar diberikan kedudukan yang tinggi di sisi Allah SWT, malah Allah SWT menjanjikan pula kepada dirinya pengampunan kepada dosa-dosanya yang pernah dilakukan.

4- Para ulama hadith telah menggabungkan hadith ini dengan hadith-hadith yang lain lalu didapati bahawa hadith-hadith tentang pengampunan dosa seorang yang solat merupakan pengampunan kepada dosa-dosa kecil dan tidak melibatkan dosa-dosa besar. Dosa-dosa besar memerlukan kepada taubat yang sebenar-benarnya daripada diri seorang yang melakukannya.

5- Hadith ini juga memberikan gambaran tentang keluasan rahmat Allah SWT dan pengampunannya kepada hamba-hambaNya. Boleh dikatakan setiap amalan yang diamalkan oleh seorang hamba akan mengangkat kedudukannya, menambahkan ganjaran pahalanya dan mengampunkan dosanya termasuklah solat lima waktu yang sememangnya satu kewajipan harian.

6- Di dalam hadith ini juga kita dapati Rasulullah SAW menggunakan perbandingan dan perumpamaan untuk mendekatkan makna kepada para sahabat dan sesiapa sahaja yang mendengar hadith ini. Ini perlu untuk memberikan kekuatan dan penekanan kepada maksud yang ingin disampaikan.