Kebangkitan Arab: Permulaan kepada Keadilan Sosial, Multi Parti Demokrasi dan Pluralisme Agama

Aliran || 22 July 2012
Kebangkitan dunia Arab mencatatkan permulaan ke arah keadilan sosial, demokrasi pelbagai parti dan pluralisme agama, sebagaimana ditilik Ahmad Farouk Musa.


Satu peristiwa yang paling penting yang telah tercetus di dunia Islam pada tahun-tahun belakangan tidak lain daripada Musim Semi Arab atau apa yang diungkapkan sebagai Kebangkitan Arab oleh Profesor Tariq Ramadan dalam bukunya yang terbaru.

Ramai yang curiga dengan kebangkitan Arab. Bagi Barat, kekhuatirannya adalah ia mungkin membawa terobosan kepada Revolusi Islam. Kebangkitan ini akan menurut jejak revolusi Iran yang berwatak demagog, ganas, keras pendirian, perluasan dan paling penting anti-Barat.

Sebaliknya, ramai aktivis Islam di seluruh dunia, Parti Islam SeMalaysia (PAS) tanpa kecuali, bersukacita menyambut kebangkitan ini. Bagi mereka, sesungguhnya ini adalah permulaan ke arah kebangkitan Islam semula, untuk menundukkan seluruh dunia dengan sistem Khalifah.

Bagi ramai kelompok Islamis yang telah lama mendambakan Negara Islam yang teokratik, slogan al-Islam huwa al-hal (Islam adalah penyelesaian kepada semua masalah) di mana pemerintahan akan dibimbing oleh wahyu telah menjadi agenda yang dominan dalam wacana Islam, sejak zaman Sayyid Qutb.

Justeru, diskusi teokratik ini di mana konsep vilayat-e-faqih atau Penentuan oleh Kelompok Faqih dan dikenal sebagai Kepimpinan Ulama’ di negara kita dianggap sebagai penyelesaian kepada umat Muslim walaupun nyata bahawa ketidakadilan akan lahir sebaik teori tersebut digunakan dengan semberono dan tanpa kritis.

Urusan peribadi rakyat akan beralih menjadi urusan negara dan kerajaan mempunyai hak untuk menegak dan menguatkuasa agama. Hal ini adalah ide keseluruhan yang mengakari konsep Negara Islam selain daripada melaksanakan Hudud dan Syari‘ah.

Walaupun terdapat persamaan antara Musim Semi Arab dan Revolusi Iran, wujud juga perbezaan yang fundamental. Mereka berkongsi kualiti menjadi revolusi nasional di mana rakyat dari pelbagai latar – agama, sekularis, kiri, lelaki dan wanita, kelas pertengahan, kelas pekerja – semuanya berpatisipasi. Kedua-dua gerakan bertujuan menyingkirkan rejim autokratik yang didukung barat; keduanya berhasrat menubuhkan kerajaan demokratik yang akan menjamin maruah bangsa dan individu, keadilan sosial dan kebebasan politik dipertahan.

Tetapi hari ini, pemberontakan Mesir sebagai suatu contoh adalah berlainan. Ia bukan berpijak pada aspirasi nasionalis, anti-imperialis, atau kebangkitan dunia-ketiga. Revolusi ini sebagian besarnya bersifat sivil, aman, dan pertunjukan nekad daripada mood para penunjuk perasaan dan tuntutan mereka lebih mengingatkan kepada revolusi demokratik di tengah dan timur Eropah pada 1989.

Tambahan lagi, amatlah signifikan bahawa tiada satu organisasi, ideologi, atau personaliti; apatah lagi yang bernama pemimpin Islam – seperti Ayatollah – yang menuntun kebangkitan ini. Sebaliknya, pergolakan yang monumental ini tercipta daripada pergerakan badan sivil dan politik dengan afiliasi agama, sekular dan politik yang rencam, dan “kepimpinan” yang kolektif.

Malah, terdapat indikasi bahawa seluruh rantau sedang mengalami peralihan dalam politik agama. Di Tunisia ekoran daripada revolusi yang telah menumbangkan rejim Zine El Abidine Ben-Ali, kumpulan Islam terbesar adalah en-Nahdah, yang diwakili oleh Rachid Ghannouchi. En-Nahdah bukan parti Islam dan tidak bercita-cita merampas kuasa dan menegakkan Negara Islam. Bagaimanapun ia berhasrat untuk memugar Muslim yang solih dalam pemerintahan yang demokratik.

Rachid Ghannouchi telah jelas menolak Khilafah Islam dengan mengutamakan demokrasi berparlimen, dan gerakan en-Nahdah-nya komited kepada keadilan sosial, demokrasi pelbagai parti dan pluralisme agama.

Model Kerajaan Islam parti Tunisia en-Nahdah, parti golongan muda Ikhwan al-Muslimin Mesir, dan angkatan reformis Iran dan projek kumpulan lain adalah lebih mirip kepada parti AKP di Turki, yang telah memerintah negara tersebut sejak November 2002. Parti Islam ini telah – di tengah kontroversi politik yang intens dan berterusan – melaksanakan reformasi yang penting yang mempunyai kesan demokratik yang umum.

Dalam pasca-Islamis Timur Tengah yang baru ini, pergerakan yang popular dan dominan memasang karakter pasca-nasional, pasca-ideologis, sivil, dan demokratis. Gerakan hijau Iran, revolusi Tunisia, dan kebangkitan Mesir mewakili gerakan popular daripada period pasca-Islamis ini.

Mereka berusaha untuk mencapai keadilan sosial, harga diri, dan bentuk kerajaan demokratis yang dapat melindungi hak-hak rakyat yang fundamental.

Demikian inilah adalah matlamat yang fundamental daripada revolusi pasca-Islamis.


Dr Ahmad Farouk Musa adalah Pengerusi dan Pengarah Islamic Renaissance Front
Ucapan ini adalah terjemahan ucapan ketika majlis bersama Tariq Ramadan Post Islamists Revolutions (Revolusi Pasca-Islamis) di International Institute of Islamic Thought and Civilization (ISTAC) (Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa) pada 15 Julai 2012
.