Khadam Ayat - Penjelasan Yg Menimbulkan Tandatanya

Primary tabs

Petikan: Menurut responden yang sama, khadam yang berdampingan dengannya terdiri daripada makhluk yang diutus oleh Allah, yang termasuk dalam golongan makhluk-makhluk ghaib. Dia adalah hamba Allah yang bertaraf wali-wali, seperti wali sepuluh yang terpilih daripada segala wali yang dikenali sebagai rijalul ghaib yang juga dikenali sebagai khadam roh.


Petikan Dari Mingguan Malaysia (24 Disember 2006)

Erti khadam ayat

Bersama: DR. AMRAN KASIMIN

SOALAN: Teman sekampung saya pernah menuntut di sebuah pondok di tanah seberang selama 3 tahun. Hingga kini dia masih ke sana sesekali. Selain mempunyai ilmu agama, dia sekarang mengubat orang, hasil ilmu “khadam ayat” yang dipelajari.

Dalam satu artikel tulisan ustaz dalam ruangan ini ada membicarakan tentang khadam ayat. Saya terlalu ingin mempelajari ilmu ini untuk masa depan saya, kalau ia tidak menimbulkan masalah. Saya rasa akan dapat mengatasi banyak masalah hasil daripada ilmu khadam ayat seperti yang dimiliki oleh kawan saya.

– Salleh, Kelantan.


Jawapan: Natijah daripada ilmu khadam ayat memang menarik. Saya akan jelaskan apa yang sebenarnya khadam ayat untuk dijadikan pedoman dan mengelakkan kekeliruan.

Keterangan ini adalah berdasarkan penemuan-penemuan dan makluman daripada mereka yang mempelajari ilmu khadam ayat, menggunakannya sebagai ilmu kebatinan, berdasarkan ayat-ayat al-Quran juga ulasan yang diberi berdasarkan penemuan tadi.

Amalan ini juga adalah boleh dituntut tanpa melibatkan ayat-ayat al-Quran, surah-surah pendek al-Quran seperti al-Fatihah, al-Mu’awwizat dan sebagainya, tetapi akhirnya amalan kebatinan yang dituntut itu akan berakhir dengan kehadiran makhluk iaitu jin yang dipanggil sebagai “khadam ayat”.

Mereka yang mempelajari ilmu ini kebanyakannya tidak pasti siapakah yang dinamakan “khadam ayat” yang datang tadi, yang akhirnya terlibat dengan pelbagai kegiatan amalan kebatinan, ketika melakukan rawatan, tilikan untuk mengatasi masalah rumah tangga, cinta dan sebagainya.

Menurut seorang responden, khadam ayat bukan terdiri daripada golongan manusia, jin ataupun malaikat. Ia merupakan “khadam” kepada ayat yang dibaca dan diamalkan menurut kaedah-kaedah tertentu yang mesti diikuti menurut apa yang telah diajar oleh guru yang berkenaan.

Terdapat keterangan dalam hadis-hadis tentang kelebihan ayat al-Kursi. Menurut sebuah hadis riwayat daripada Qatadah r.a katanya, Rasulullah bersabda: Barang siapa membaca ayat al-Kursi ketika dalam kesempitan, nescaya Allah berkenan memberi pertolongan kepadanya.

Dalam sebuah hadis lain, baginda bersabda: Barang siapa membaca ayat al-Kursi dan akhir surah al-Baqarah ketika kesusahan nescaya Allah menolongnya.

Terdapat banyak hadis menerangkan tentang kelebihan ayat ini dalam tujuan mengelakkan diri, keluarga, rumah tangga, harta benda daripada gangguan iblis dan syaitan juga daripada gangguan manusia, terutamanya pencuri.

Di antara hadis-hadis yang menyebutkan hal demikian ialah, hadis daripada Abu Hurairah: Sesungguhnya Rasulullah telah bersabda: Dalam surah al-Baqarah ada satu ayat, penghulu ayat-ayat al-Quran, tidak dibaca dalam sebuah rumah yang ada di dalamnya syaitan, kecuali ia keluar darinya ialah ayat al-Kursi.

Atas pemahaman tentang fidilat ayat al-Kursi inilah maka ada golongan tertentu, terdiri daripada mereka yang mengamalkan amalan kebatinan. Mengamalkan apa yang difahami sebagai “khadam ayat Kursi” dalam amalan kebatinannya.

Setelah membaca ayat al-Kursi dalam kekerapan dan tempoh tertentu dengan syarat-syarat lain, ia akan didatangi makhluk yang dipercayai sebagai “khadam ayat al-Kursi”. Ia datang dengan jubah hijau, menghulurkan tangan, bertanyakan apa yang dihajati oleh pengamal. Dipesan oleh guru yang mengajar amalan tersebut, agar makhluk itu taat menurut perintahnya.

Menurut responden lagi, khadam ayat akan menjaga diri pengamal, keluarga dan harta bendanya, juga boleh digunakan untuk tujuan mengubati penyakit. Ia juga boleh diperintahkan menjaga orang lain.

Ketika pengamal tidak ada di rumah, khadam ayat akan menjaga rumah di mana dalam keadaan tertentu ia akan menjelmakan diri menyerupai pengamal ilmu berkenaan.

Khadam itu dikatakan hanya digunakan untuk menangani saka yang teruk ataupun masalah-masalah besar, memperoleh khadam ayat tidak ubah seperti memperoleh pisau yang tajam, yang hanya perlu digunakan untuk memotong benda-benda besar lagi berat.

Ia juga boleh digunakan untuk tujuan jahat, kerana khadam ayat begitu taat menurut kata pengamalnya, kerana itulah maka orang yang mengamalkan kaedah ini mesti terdiri daripada mereka yang ikhlas lagi berilmu, ditakuti ilmu yang dimiliki itu disalahgunakan, yang akhirnya akan merosakkan diri sendiri dan orang lain.

Seorang responden lain, yang melibatkan diri dengan rawatan tradisional lebih daripada 25 tahun, menyatakan khadam ayat kadang-kadang datang kepadanya dalam keadaan berkain pelekat dan berbaju selengkapnya. Selain memberitahu perkara-perkara ghaib kepadanya, ia kadang-kadang memberitahu maklumat-maklumat tertentu melalui anaknya, yang ketika itu berumur 10 tahun, ketika sedang tidur.

Seorang pengamal rawatan tradisional yang tinggal di Perlis menegaskan orang yang menurun diresapi oleh jin-jin, termasuk iblis dan syaitan, tetapi khadam tidak boleh masuk meresap dalam tubuh manusia.

Ketika menurun, jin-jin datang bersatu dengan roh yang disedut melalui pernafasan meresap dalam tubuh, menyebabkan seseorang itu tidak sedarkan diri.

Apabila angin iblis lebih banyak atau lebih menguasai angin badan dalam tubuh, maka ia akan menyebabkan seseorang itu tidak sedarkan diri iaitu menurun. Hal yang sama berlaku ke atas mereka yang terkena rasukan.

Menurut pemahaman Melayu, khadam bererti hamba, ataupun orang suruhan yang sentiasa taat kepada tuannya. Menurut responden yang sama, khadam yang dimaksudkan di sini bukan orang suruhan, seperti yang difahami umum, seumpama hubungan antara seorang tuan dengan orang suruhannya.

Khadam adalah makhluk bukan daripada golongan manusia dan bukan daripada golongan jin, sama ada jin Islam. Khadam yang mendampinginya bukan terdiri daripada makhluk halus belaan atau sahabat, kerana ia tidak mempunyai apa-apa perjanjian antara mereka dalam keadaan apa sekalipun, sama ada untuk memberi makan pada waktu-waktu tertentu atau sebagainya.

Menurut responden yang sama, khadam yang berdampingan dengannya terdiri daripada makhluk yang diutus oleh Allah, yang termasuk dalam golongan makhluk-makhluk ghaib. Dia adalah hamba Allah yang bertaraf wali-wali, seperti wali sepuluh yang terpilih daripada segala wali yang dikenali sebagai rijalul ghaib yang juga dikenali sebagai khadam roh.

Khadam bukan jin Islam, terdiri daripada wali Allah, makhluk yang tidak berdosa yang asalnya adalah manusia yang ghaib begitu sahaja apabila mati dan tidak mempunyai kubur. Responden mendakwa gurunya dari Kelantan, ghaib setelah dikebumikan. Khadam adalah hak Allah yang tidak boleh dikaji.

Dijelaskan juga bahawa makhluk yang dinamakan khadam itu kononnya telah wujud sejak zaman Rasulullah, begitu juga lelaki yang tersebut dalam surah al-Kahf, termasuk anjing Qitmir yang termasuk dalam golongan rijalul ghaib.

Amalan yang dilakukan olehnya untuk berdampingan dengan khadam ialah dengan mengadakan kenduri terlebih dahulu sebelum mengamalkan ayat-ayat tertentu, yang dibaca selepas setiap kali sembahyang fardu selama 40 hari. Doa-doa tersebut dikenali sebagai kepala doa akasyah, doa akasyah, pelapik doa akasyah dan doa rijalul ghaib.

Tidak lama setelah mengamalkan ayat-ayat di atas, ia bermimpi melihat bulan pada malam berikutnya, ia bermimpi didatangi oleh seorang lelaki berjubah. Mimpi ini diikuti oleh mimpi-mimpi lain yang tidak pernah dialami sebelumnya. Bermula daripada hari itu ia sering didampingi oleh khadam yang boleh dipanggil untuk tujuan rawatan dan lain-lainnya.

Ketika melakukan rawatan, ataupun ketika berhadapan dengan seseorang yang datang memerlukan pertolongannya, responden berkenaan akan memanggil khadam yang mendampingi tadi. Perkataan tok syeikh digunakan untuk merujuk kepadanya. Untuk tujuan rawatan, mula-mula responden akan bertanyakan nama pesakit ataupun orang yang memerlukan pertolongan. Kemudian ia memanggil tok syeikh untuk meminta pertolongan.

Khadam berkenaan dikatakan dapat mengetahui sama ada sakit yang dialami oleh seseorang itu akibat saka, santau, akibat gangguan makhluk-makhluk halus tidak bertuan ataupun sakit kecederaan fizikal yang berpunca daripada kemalangan, akibat keracunan pemakanan dan sebagainya.

Demikianlah beberapa keterangan mengenai khadam ayat seperti yang saudara tanya. Sebenarnya banyak lagi keterangan yang berlainan yang berkaitan dengan apa yang difahami sebagai khadam ayat dalam kehidupan orang Melayu.

- PEMBACA yang ada kemusykilan alamatkanlah soalan kepada:

Dr. Amran Kasimin

Lot 3673, Jalan Aman, Kg. Sungai Merab

Luar, 43000 Kajang, Selangor.