Majlis Al-Arqam diserbu JAIS

RAWANG – Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menyerbu sebuah majlis khas yang dipercayai cuba menghidupkan kembali ajaran sesat Al-Arqam di Bandar Country Homes di sini malam tadi.

Dalam serbuan pada pukul 10 malam itu, beberapa individu ditahan termasuk Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor, Dr. Badrulamin Bahron.

Badrulamin merupakan tetamu kehormat dan ahli jawatankuasa majlis tersebut.

Beliau adalah pemimpin PKR yang pernah ditahan oleh Jabatan Agama Islam Pahang kerana didakwa berkhalwat dengan isteri orang berusia 28 tahun di sebuah hotel di Pahang, Februari tahun ini.

Difahamkan, majlis yang dihadiri kira-kira 3,500 orang itu melanggar arahan mufti mengikut Seksyen 12C Enakmen Jenayah Syariah Selangor iaitu membantu menghidupkan fahaman Al-Arqam.

Kain rentang yang digantung pada majlis tersebut tertera Majlis Sambutan Ulang Tahun Keputeraan Abuya Syeikh Imam Ashaari Muhammad At-Tamimi yang bertemakan “Abuya terus memimpin walaupun ghaib”.

Kesemua yang ditahan dibawa ke pejabat JAIS di Shah Alam, Selangor.

Sehubungan itu, JAIS akan menjalankan siasatan lanjut dan memantau aktiviti pengikut bekas pemimpin Al-Arqam berkenaan sebelum mengambil tindakan lanjut termasuk menahan mereka yang didapati terbabit dalam cubaan menghidupkan kembali gerakan itu.

Difahamkan, selain jamuan makan, pengisian majlis tersebut turut disertai dengan konsert khas dan jualan pelbagai jenis barangan termasuk buku-buku.

Al-Arqam merupakan gerakan agama di Malaysia yang diasaskan oleh Ashaari Muhammad sebelum ia diisytihar sesat dan diharamkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan pada Ogos 1994.

Kumpulan ini menyebarkan kegiatan dakwah islam melalui bidang pendidikan, penerangan, penerbitan, perusahaan, perniagaan, perubatan, dan pertanian.

Pengasasnya, Ashaari meninggal dunia di Hospital Ipoh pada 13 Mei 2010 akibat jangkitan paru-paru.

Sumber: Kosmo! Online

Kategori Berita: