Ust Ali Muda: ASTORA JABAT PENDUSTA AGAMA 3

Oleh: Ustaz Ali Muda

BismiLlah. Sebagai salah seorang yang diberi peluang oleh Allah untuk menuntut ilmu agama-Nya melalui sumbernya yang asal iaitu al-Quran dan hadis, dan bukan hanya melalui terjemahan kedua-duanya atau buku-buku rujukan sekunder tentang Islam, saya rasa bersalah kalau tidak meneruskan siri membongkar pendustaan Astora atas nama agama (Allah dan Rasul-Nya).

Harapan daripada kalangan pembaca (khususnya dalam internet) adalah terlalu tinggi agar saya menyambung usaha ini, sehinggakan ada yang mencadangkan saya mengulas tulisan Astora setiap minggu. Namun apalah daya saya untuk menyahut seruan itu, saya ada tugas rasmi dan komitmen yang lain. Lagipun, saya sudah tegaskan bahawa kritikan saya terhadap Astora bukan atas dasar ketaksuban kepada mana-mana pihak, melainkan semata-mata untuk menjaga –setakat termampu- kesucian Islam yang dibawa oleh Rasul kita (saw). Kerana itu, tugas saya hanyalah mengkritik untuk memperbetulkan kesilapan dan penyelewengan Astora agar ianya tidak berjangkit kepada umat Islam yang lain, khususnya di Malaysia. Jika ada mana-mana pendapat Astora yang betul dan tidak bercanggah dengan asas-asas akidah, akhlak dan syariat Islam, maka tidak perlulah saya mengkritik.

Setakat ini, Astora tidak menunjukkan dirinya sebagai seorang yang berani bermuzakarah untuk mencari kebenaran, bahkan beliau percaya semua yang diucap dan ditulisnya adalah benar sebagai pandangan agama Islam. Beliau telah melantik dirinya sebagai jurucakap kepada Islam atas platform Bicara Agamanya. Oleh kerana itu beliau tidak sanggup melihat hujah-hujahnya yang dangkal (tetapi dipandang bernas oleh segelintir yang mengidolakannya) itu tumbang, lalu merobohkan reputasinya sebagai penulis ilmuan/ulama (…upahan handalan yang didatangkan khas dari Siam).

Saya telah e-melkan kepada beliau artikel-artikel sanggahan daripada saya dan mencadangkannya supaya memasukkannya ke dalam laman web Astora Dalam Talian sebagai membuktikan beliau benar-benar ilmuan yang terbuka dan berani berbincang, namun setakat ini cadangan (atau cabaran) itu tidak tersahut. Ini menyerlahkan sikapnya yang sebenar, berani mengata tapi tak berani dikata. Cuma surat-surat kecaman keras tidak objektif dan berunsur kefanatikan daripada pengkritiknya yang disiarkan, dengan tujuan yang tersirat; untuk menggambarkan semua pengkritiknya bodoh dan tidak rasional. Maka takjublah orang-orang yang tidak panjang akalnya, kononnya Astora seorang yang amat berani dan amat terbuka dengan kritikan, walaupun yang berbentuk maki hamun terhadapnya. Oleh kerana cabaran tersebut tidak disahut, sebagai alternatif, insyaAllah tidak lama lagi akan muncul laman web baru yang akan mengetengahkan fikrah Islamiyah yang akan membincangkan isu-isu semasa berkaitan Islam, khususnya isu-isu yang digunakan oleh suku sakat orientalis dan sekularis dalam ‘pemikiran Islam baru’ mereka.

Sebenarnya, sebelum saya e-melkan artikel-artikel tersebut, ianya telah sampai kepada Astora melalui orang ketiga, yang mungkin mendapatkannya daripada laman http://www.parti-pas.org atau lain-lain sumber yang menyebarkannya. Jadi secara tidak langsung Astora menjawab –dengan hujah yang begitu meleset- sebahagian kecil daripada hujah dan bukti pendustaan yang saya kemukakan. Setakat ini saya dapat kesan tiga jawapan/pembetulan remeh daripada Astora, iaitu tentang terjemahan palsu ayat 10 Surah al-Nur, nama seorang sahabat yang bernama Sharik bin Sahma’ disebut secara salah yang menggambarkan ketidaktelitiannya dan nama kitab Ibnu Qayyim al-Jawziyyah (I’lam al-Muwaqqi’in) disebut A’lam ….. yang menggambarkan ketidakcekapannya dalam B. Arab. Ketiga-tiga perkara tersebut adalah antara teguran dan kritikan saya yang remeh dan tidak memerlukan perhatian berat oleh Astora, tetapi yang itulah diambil perhatian olehnya untuk dibetulkan semula (dalam Bicara Agama 5/9/99 dan pada 10/10/99 baru dibetulkan nama kitab Ibn al-Qayyim itu).

Bagaimana dengan teguran dan kritikan lain yang saya bawa untuk mengesahkan dakwaan saya bahawa Astora ‘pendusta agama’ dan melakukan perkara yang merosakkan aqidah? Bagaimana dengan fatwa salahnya yang mengatakan sah bersumpah dengan al-Quran, menuduh Saydina ‘Umar (r.a.) mengubah hukum hudud yang terkandung dalam al-Quran, bahkan menuduh Nabi saw. sendiri tidak melaksanakan hukum yang terdapat dalam al-Quran, mengatakan pelaksanaan hudud tidak boleh diharap lagi untuk mencegah maksiat pada zaman ini, menyimpan janggut dikatakan adat bukan ibadat, hudud tiada dalam al-Quran, hudud hanya gimik politik dan berbagai-bagai pendustaan, penyelewengan dan penyesatan lagi. Beberapa bulan sebelum ini beliau mendakwa hukum bunuh ke atas si murtad tidak wujud dalam al-Quran dan menfitnah Imam al-Awza’ie sebagai pereka hadis murtad (insyaAllah saya akan bahas dan sanggah dusta/fitnah ini secara terperinci tidak lama lagi). Kenapa tidak dibetulkan semua pendustaan besar yang dilakukan itu, cuma tiga pendustaan kecil yang tersebut tadi sahaja yang diberi perhatian? Tiba-tiba beliau mengalih perhatian pembaca –setelah tidak mampu menjawab kritikan ke atas pendustaan-pendustaan besar itu- dengan menuduh penulis artikel-artikel sanggahan itu (yang dimaksudkan ialah saya, berdasarkan jawapannya kepada e-mel Delitha Deli pada 26/9/99) sebagai orang Pas yang ghairah untuk membuat kecaman melulu terhadapnya.

Begitulah sikap dan perangai Astora yang sebenar. Yang menghairankan saya ada beberapa kerat orang Islam di Malaysia yang amat kagum dengan Astora yang kononnya mendedahkan gaya pemikiran Islam baru yang melawan arus konservatif dan ortodoks. Mereka itu menyamakan Islam dengan agama Kristian (atau sebut saja agama paderi) di Barat yang bercanggah pendapat sehingga ke masalah aqidah ketuhanan. Begitulah dangkalnya gambaran/tasawwur mereka tentang Islam, sebab itulah mereka mudah terpengaruh dengan seorang pendusta seperti Astora, yang hanya diimport dari Siam –mungkin dengan tujuan tertentu- untuk mengajarkan kepada umat Islam di Malaysia cara baru ‘pemikiran Islam’, seolah-olah Islam yang dikenali oleh orang Malaysia sebelum Astora menjadi ‘pembicara agama’, adalah tidak tulen. Maaf, saya tidak maksudkan semua orang Siam berperangai seperti Astora, bahkan ramai ulama Siam yang ikhlas menjadi tempat rujukan bagi ulama di Malaysia sehingga hari ini.

Perlu disebut bahawa dengan bermulanya dekad 80-an, arus kebangkitan Islam secara menyeluruh telah muncul di segenap pelusuk negara umat Islam di seluruh dunia. Malaysia juga tidak ketinggalan dalam arus ini, terutamanya dengan kepulangan pelajar-pelajar Melayu Islamik (bukan sekularis) yang menuntut ilmu di Mesir, Iraq, Syria, India, Pakistan, England dan Amerika Syarikat yang membawa perubahan dalam corak keislaman yang mereka fahami hasil daripada usrah dan kegiatan dakwah yang dipimpin oleh gerakan-gerakan Ikhwan al-Muslimin yang bertebaran di seluruh dunia selepas operasi penangkapan dan pemusnahan du’at secara besar-besaran oleh rejim Sadat dan Mubarak di Mesir. Mereka memakai berbagai-bagai nama dalam pergerakan itu demi keselamatan dan survival dakwah Islamiah. Musuh amat benci pada nama Ikhwan al-Muslimin, (dan antara orang yang menyerlahkan kebenciannya kepada gerakan ini ialah Astora Jabat), maka mereka tukarkannya dengan nama Jamaat-e-Islami, Hamas, FIS, Refah, beberapa ‘nama’ di negara-negara Asia Tenggara, bahkan berpuluh ‘nama’ lagi di seluruh dunia. Mereka berbeza pada nama tetapi bersatu pada cara berfikir dan bertindak serta kefahaman Islam mereka.Kebanyakan nama-nama itu disenaraikan oleh Barat sebagai terrorist, fundamentalist, extremist, political Islam, atau digelar pelampau, Islam radikal, Islam politik, golongan Islam ortodoks, konservatif dan sebagainya di alam Melayu.

Orang Melayu di Malaysia khususnya, mula berminat membicarakan tentang Islam sejak dua dekad yang lalu. Iaitu Islam yang sebenar, yang memberi kesejahteraan dan penyelesaian kepada semua masalah mereka, bukan Islam hanya pada nama serta tempelan yang tidak akan dapat memberi penyelesaian. Mereka mula bercakap tentang politik Islam, ekonomi Islam, makanan Islam, ceramah Islam, hiburan Islam, pakaian Islam, bahkan segala-galanya mesti dikaitkan dengan Islam dan cuba mengetepikan segala yang bercanggah dengannya.

Maka muncullah para pengkaji dan penganalisis yang galak (berminat) untuk bercakap tentang Islam. Para pengkaji dan penganalisis itu secara kasarnya terbahagi kepada tiga kumpulan besar:

Kumpulan pertama, mereka yang mengikuti saluran yang betul untuk memahami Islam, iaitu bersumberkan al-Quran dan hadis sahih. Mereka menguasai alat untuk memahami kedua-dua sumber itu, iaitu Bahasa Arab dengan pelbagai cabang pengajian yang berkaitan seperti ilmu Balaghah dan Adab. Selain itu, untuk memahami dua sumber asas itu, mereka menguasai metodologi dan disiplin ilmu khusus yang terkandung dalam Usul al-Fiqh, Usul al-Hadith, Usul/Ulum al-Quran, Usul al-Tafsir dan sebagainya. Kumpulan pertama ini sememangnya berautoriti untuk galak bercakap tentang Islam, kerana mereka itu digelar oleh Allah dan Rasul-Nya sebagai ulama, tugas dan komitmen utama mereka adalah dakwah, sebagai meneruskan tugas Nabi (saw.), kerana mereka adalah pewaris risalahnya (walaupun hakikat ini dipertikaikan oleh ‘penulis/pengkaji Islam’ yang picis dan pojok). InsyaAllah akan muncul perbahasan saintifik/ilmiah berkenaan ‘ulama pewaris Nabi’ suatu hari nanti.

Kumpulan kedua pula ialah mereka yang galak juga untuk bercakap tentang Islam dan mengeluarkan hukum, tetapi buta B. Arab, langsung tidak mengetahui disiplin dan metodologi ilmu Islam yang disebutkan tadi. Mereka memahami Islam melalui pembacaan, sama ada bahan-bahan terjemahan daripada kitab-kitab asal B. Arab, atau buku-buku yang ditulis oleh sarjana-sarjana Islam dan orientalis Barat, yang semuanya dikira sebagai sumber rujukan sekunder, bukan primer/asal. Mereka ini kebanyakannya syok sendiri, merasakan mereka lebih faham terhadap Islam berbanding golongan ulama tadi. Pendek kata, mereka pun ‘ulama’ juga! Golongan inilah yang menyerang dan membenci ulama pada hari ini. Setakat ini kita diperkenalkan kepada beberapa kerat golongan ini melalui rencana-rencana mereka yang tersiar di akhbar-akhbar perdana seperti Kassim Ahmad, Tuan Ismail Tuan Soh (pernah menulis dalam Mingguan Malaysia 22/8/99 sebuah artikel bertajuk ‘Siapa sebenarnya memperlekehkan al-Quran’), Ab. Jalil Aboo Backer (pernah menulis artikel ‘Murtad hukum bunuh tiada dalam al-Quran’ pada 4/9/99 dan ‘Ciri-ciri Muawiyah dalam Pas’ pada 9/10/99, kedua-duanya dalam Utusan Malaysia) dan beberapa penulis pojok dan picis lagi. Di antara mereka ada yang pengecut dan bacul, tidak berana mendedahkan identiti sebenar seperti penulis rencana ‘Benarkah ulama pewaris nabi?’ (Utusan Malaysia, 15/10/99) yang hanya memakai nama ‘Wartawan Kita’.

Manakala kumpulan ketiga pula ialah mereka yang pada asalnya berada dalam aliran agama dan B. Arab, hatta kadang-kadang sehingga memperolehi ijazah pertama pengajian Islam atau lebih tinggi, tetapi menyambung pengajian Islam mereka dengan bergurukan tok-tok guru Kristian dan Yahudi orientalis di Barat. Maka pulanglah mereka dengan ijazah sarjana dan kedoktoran ‘Islam’ yang dibanggakan. Di kalangan mereka ini pula, ada yang menjadi pendidik dan pensyarah di pusat-pusat pengajian tinggi, atau penjawat-penjawat di institusi-institusi keagamaan atau pusat-pusat penyelidikan Islam. Gaya percakapan dan penulisan mereka ini lebih mirip kepada tok-tok guru orientalis mereka dahulu. Walaupun memiliki ijazah tertinggi dalam bidang keagamaan, namun cara pemikiran mereka lebih merujuk kepada akal dan logik, bukan al-Quran dan sunnah. Kertas kerja, artikel, rencana dan wacana Islam mereka amat panjang lebar, tetapi kadang-kadang satu ayat al-Quran atau hadis pun tidak dimasukkan sebagai rujukan asas. Golongan ini amat bahaya kepada masyarakat awam Islam, kerana persijilan mereka menunjukkan mereka berpengajian agama tetapi gaya pemikiran mereka tidak berbeza dengan kumpulan kedua tadi. Dalam banyak keadaan, Astora Jabat berada dalan kumpulan ini, kerana beliau adalah murid kepada golongan ini semasa beliau belajar di Tunisia dan Morocco dulu. Selain beliau, ada lagi beberapa ‘ilmuan plagiat’ orientalis/sekularis yang semazhab dengannya, seperti kumpulan ‘Sisters in Islam’, dan lain-lain, dan lain-lain lagi….

Perlu saya sebutkan, bahawa nama-nama di atas tadi hanya sebagai contoh perkenalan. Kalau mereka yang terbabit tidak bersetuju dengan contoh itu, mereka boleh buktikan bahawa mereka tidak termasuk dalam golongan itu dan mereka boleh bantah saya secara muzakarah. Lagipun mereka memang inginkan supaya khalayak mengenali mereka seperti itu, sebab itu mereka mendedahkan nama-nama itu. Berani mengkritik, beranilah pula dikritik.

Walaupun saya membahagikan tiga kumpulan secara kasar tadi, saya tidaklah mengatakan bahawa pemikiran dan idea kumpulan pertama (ulama pewaris) tadi sahaja yang betul dan tidak mengandungi kesalahan langsung, manakala semua pendapat dan pandangan ilmuan kumpulan kedua dan ketiga tadi adalah salah dan mesti dibuang semuanya. Saya tidak bermaksud begitu. Ini kerana ketepatan dan kesahihan pendapat seseorang itu bergantung kepada kesahihan hujah dan rujukan asas kepada al-Quran dan hadis-hadis yang sahih. Ini bertepatan dengan kata-kata Imam Malik bin Anas: “Setiap orang diterima dan ditolak cakapnya kecuali cakap al-Ma’sum (Nabi saw.)”. Oleh kerana ulama pewaris tadi memiliki alat yang cukup untuk memahami al-Quran dan hadis, maka pendapat mereka boleh dikatakan lebih daripada 90% menepati kehendak kedua-dua sumber asas Islam itu. Pendapat-pendapat golongan lain boleh didengar dan dibaca, tetapi untuk memakai dan mengatakannya sebagai kehendak Islam secara langsung amatlah tidak wajar, bahkan merbahaya kerana mereka (kumpulan kedua) sebenarnya hanyalah sama taraf dengan orang awam yang tidak memiliki alat untuk memahami dua sumber asas itu, cuma mereka banyak membaca dan mengkaji, lalu galak untuk berbicara tentang hukum-hakam Islam seperti ulama pewaris juga. Umpamanya, seorang awam yang minat membaca majalah dan bahan-bahan kajian kedoktoran dan perubatan, lalu berani dan galak untuk berbicara tentang bidang itu sehingga bertindak mengkritik dan mempersalahkan doktor-doktor yang telah pakar.

Manakala pandangan dan analisis golongan yang ketiga itu pun boleh boleh dibaca dan diteliti. Tetapi sebelum menerima pakainya, hendaklah ditapis dengan tapisan al-Quran dan hadis sahih dulu. Ditakuti ianya adalah idea-idea orientalis dan sekularis yang sememangnya benci dan dengki bila Islam dapat difahami dalam rangka tasawwurnya yang sebenar. Kadang-kadang golongan yang diperkaderkan oleh orientalis dan sekularis ini pun tidak merasakan mereka diperlakukan sebegitu, kerana mereka sedang fana dan asyik dengan perlabelan ‘pemikiran Islam gaya baru’ yang kononnya mengajak umat Islam membuang kejumudan, pemikiran kuno, konservatif dan ortodoks.

Sejak dua minggu yang terakhir ini, kegilaan Astora semakin menjadi-jadi terutamanya dalam isu hukum memakai tutup kepala bagi wanita Islam. (Saya memakai istilah ‘kegilaan’ kerana dalam isu ini, ia lebih parah daripada ‘pendustaan’. Namun ia tidak bermaksud gila yang sebenar –hilang akal- kerana perbuatan orang gila sedemikian tidak akan dipersoalkan oleh Allah kerana hilang taklif, tetapi Astora masih dalam taklif). Dalam jawapannya kepada e-mel yang dihantar oleh Dayana Norman (Bicara Agama, Mingguan Malaysia, 10/10/99) yang mempersoalkan tentang hukum wanita Umno (yang pemimpin mereka mendakwa merekalah pejuang Islam sebenar) tidak menutup aurat (khususnya rambut dan leher). Dayana mempersoalkan bagaimana mereka ini boleh dicontohi dan diiktiraf sebagai pejuang Islam?

Maka berfatwalah Sahib al-Samahah wa al-Fadhilah al-Ustaz al-Shaykh Astora Jabat (hadahuLlah): “Secara ringkas penulis dapat jelaskan bahawa terdapat tiga pandangan mengenai perkara tersebut. Pertama, tutup rambut dianggap sebagai wajib….. membuka rambut dianggap sebagai dosa besar. Kedua, membuka rambut dianggap dosa kecil….. boleh terhapus dengan hanya mengambil air sembahyang sahaja. Ketiga, membuka rambut dianggap tidak berdosa langsung”.

Tuan Mufti Astora Jabat mentarjih (mengesahkan/memperkuatkan) pandangan yang ketiga tersebut berdasarkan dalil-dalilnya yang ‘teramat kuat’:

1- Pada zaman Rasulullah saw. dan sahabat, ada wanita yang tidak menutup rambut sebagaimana disebut dalam kitab-kitab lama.

2- Kawan-kawan wanita yang sama belajar dengannya di Thailand dan Wakaf Baru (Kelantan) hanya menutup rambut sewaktu di kelas agama saja, tidak di luar. Manakala kawan-kawan wanitanya semasa belajar di Tunisia dan Maghribi (Morocco) tidak menutup rambut langsung sama ada di dalam atau di luar kelas.

3- Guru wanitanya yang bernama Aishah bt. Abd Rahman (terkenal dengan gelaran Bintu al-Shati’, saya pun memiliki beberapa buku tulisannya) tidak memakai tudung kecuali setelah teramat tua.

4- Pelajar wanita Melayu dari Malaysia, Indonesia, Thailand dan Filipina sebelum 1979 tidak bertudung ketika mereka belajar di Mesir, kecuali semasa musim sejuk. Ini termasuklah pelajar wanita yang telah menjadi isteri ulama di Malaysia sekarang ini.

5- Anak-anak wanita ulama al-Azhar sendiri tidak bertudung seperti anak Dr. Muhd Ali Mahjoub, anak dan isteri pemikir Islam terkenal Adel Hussain dan anak Dr. Fathi ‘Uthman pun tidak bertudung.

Seminggu selepasnya (17/10/99) Tuan Mufti menambah lagi hujahnya untuk menjawab e-mel daripada Wahidah Hanum:

6- Fenomena bertudung hanya muncul sejak 20 tahun kebelakangan ini saja iaitu selepas Revolusi Iran 1979.

7- Tidak harus mengecam wanita yang tidak bertudung kerana mereka mungkin mengikut pendapat mazhab yang mengatakan tidak berdosa jika tidak bertudung seperti pendapat sesetengah ulama mazhab Hanafi atau hanya dosa kecil seperti pendapat sesetengah ulama mazhab Maliki.

8- Puak-puak yang inginkan wanita bertudung bukan setakat ingin menutup rambut wanita sahaja bahkan mereka ingin menutup akal wanita supaya tidak mendapat pelajaran.

Demikianlah hujah dan dalil yang dikemukakan oleh Sahib al-Samahah Tuan Mufti Astora Jabat untuk mengeluarkan hukum bahawa wanita yang tidak bertudung (mendedahkan aurat rambut, leher dan mungkin sebahagian dada) adalah harus dan tidak berdosa langsung. Cuma saya rasa beliau tertinggal satu lagi dalil yang maha kuat iaitu: “9- Isteri saya (Astora) pun tidak ……” (Maaf ya, sekadar mencadangkan dalil tambahan yang kuat, kalau tidak terima cadangan ini pun tidak mengapa…) Ya lah, daripada berdalilkan perbuatan isteri orang itu, anak perempuan orang ini, pelajar wanita sana, guru wanita sini, lebih baik cakap tentang isteri dan anak perempuan sendiri!!

AlhamduliLlah, dengan fatwa yang sebegini songsang, khalayak pembaca yang selama ini kagum dengan kehebatan Astora mengupas sesuatu isu berkaitan Islam, sebahagian besar daripada mereka telah membuka mata dan sedar daripada mimpi. Terbongkarlah isi hatinya yang sebenar dan terbuktilah -setelah sekian banyak bukti- bahawa ASTORA JABAT PENDUSTA AGAMA, beliau adalah di antara orang-orang yang galak berbicara tentang Islam daripada kumpulan yang ketiga seperti yang saya sebutkan di atas tadi.

Mari kita kupas persoalan aurat wanita Islam berdasarkan sumbernya yang asasi dan asli, iaitu al-Quran dan hadis-hadis sahih. Sebelum itu, saya ingin meranapkan dahulu dalil dan hujah Astora yang songsang itu.

Cuba Astora namakan ‘kitab lama’ yang menyebutkan ada wanita Islam yang tidak menutup rambut pada zaman Nabi saw. dan sahabat. Ingat, jangan melawak dan membuat putar alam dalam membicarakan hukum Islam. Sebutkan nama wanita Islam zaman Nabi saw. dan sahabat, yang berdegil dan tidak mahu menutup rambut setelah turunnya ‘ayat hijab’ (yang akan saya jelaskan selepas ini). Tapi Astora sebut ‘wanita’ sahaja, bukan ‘wanita Islam’, maka betullah ada wanita yang tidak bertudung di zaman itu iaitu wanita Yahudi dan Musyrikin, ataupun yang dimaksudkan adalah ‘wanita Islam’ juga, tetapi sebelum turunnya ayat hijab. Memang boleh dikatakan semua wanita sama ada Islam atau tidak, tidak menutup rambut sebelum turun ayat hijab, sebelum Allah swt. perintahkan tutup. Tapi selepas turun perintah Allah, cuba Astora sebutkan nama wanita sahabat yang masih berdegil tidak tutup rambut. Selepas datang surat pekeliling baru, segala peraturan, hukum dan undang-undang mestilah berdasarkannya. Segala amalan yang dilakukan sebelum datang pekeliling itu tidak boleh dijadikan hujah bagi membolehkannya juga selepas kedatangan pekeliling terbaru. Al-Quran dan Hadis sahih adalah surat pekeliling daripada Allah swt yang berkuat kuasa sejak ia diturunkan sehingga hari Kiamat. Kalaupun ada sahabat wanita yang tidak tutup kepala, maka itu adalah sahabat yang sama kualiti imannya dengan Abdullah bin Ubay (si munafiq) dan perbuatan mereka itu tidak dikira sebagai hukum Islam. Namun, itu hanya andaian yang tidak pernah terbukti. Kalau betul ada, cuba Astora buktikan.

Apa yang Astora sebut tentang kawan-kawan wanitanya ketika belajar di sekolah dan universiti, guru wanitanya, anak perempuan dan isteri si polan dan si anu tidak menutup rambut, hatta kalau disebut anak perempuan dan isterinya sendiri pun, langsung tidak layak menjadi hujah untuk membuat fatwa harus dan tidak berdosa langsung mendedah aurat kepala, bahkan semua yang Astora sebutkan itu hanyalah sampah sarap yang hanya membazirkan ruang akhbar Utusan itu saja. Lebih baik ruang itu dijadikan iklan, ada juga untungnya. Orang tanya apa hukum Islam, dia jawab dengan membilang amalan orang Islam yang fasiq. Hukum Islam mestilah merujuk kepada sumbernya iaitu al-Quran dan hadis sahih. Kalau kaedah Astora itu diterima pakai, maka semua perkara diperselisihkan dan mempunyai tiga hukum. Contohnya, apa hukum minum arak? Maka jawabnya; ada tiga pendapat. Pertama, haram dan berdosa besar. Kedua, dosa kecil saja, terhapus dengan air sembahyang dan ketiga, tidak berdosa langsung, kerana ada sahabat Nabi saw. minum arak (yang dimaksudkan ialah sebelum turun ayat pengharamannya), si polan minum arak juga, si anu pun minum masa dia muda-muda dulu, anak ulama itu dilihat minum arak masa dia belajar di London dan macam-macam riwayat lagi. Tapi apakah itu semua menjadi hujah untuk mengharuskan arak? Silalah jawab wahai Tuan Mufti Astora!

Kenapalah Astora terlalu menggila sejak hampir dengan pilih raya ni, sehinggakan terlebih sudu daripada kuah pula. Wanita-wanita yang tidak bertudung –sama ada Umno atau tidak- tidaklah berpendapat perbuatan mereka itu harus atau tidak berdosa langsung, tetapi mereka kata belum sampai seru atau belum sampai masa lagi (kerana hati mereka masih berpenyakit). Tiba-tiba datang seorang ‘pembicara agama’ memberi fatwa tidak berdosa langsung jika tidak bertudung. Terkejut beruklah para pembaca fatwa itu, terutamanya mereka yang tidak bertudung itu sendiri. Mereka terkejut kerana ada juga manusia di alam buana ini yang tergamak mengampu sampai begitu sekali. Saya sudah nasihatkan Astora dulu –dalam artikel Astora Pendusta Agama (siri II)- kalau nak mengampu sikit-sikit tidak mengapa, tapi jangan sampai tutup kebenaran. Namun Astora tidak mengikuti nasihat ikhlas saya itu, maka jadilah apa yang terjadi.

Baiklah, mari kita merujuk al-Quran dan hadis untuk mendalami hukum bagi persoalan ini, jika kita benar-benar beriman kepada Allah dan hari Kemudian (Lihat ayat 59 dan 65 Surah al-Nisa’ tentang penegasan ini). Jika tidak, kita sebenarnya tidak beriman, bahkan munafiq, satu spesis dengan Abdullah bin Ubay bin Salul itu.

Persoalan aurat ini diputuskan oleh ayat hijab iaitu ayat 30 dan 31 Surah al-Nur yang bermaksud:

30.“Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan (kemaluan) mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka, sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan. 31. Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan (kemaluan) mereka, dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya, dan hendaklah mereka menutup belahan leher baju mereka dengan tudung kepala mereka, dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka…..” sehingga akhir terjemahan ayat ini.

Kehendak ayat ini adalah jelas, kecuali maksud “perhiasan tubuh yang zahir” itu. Allah tidak menerangkan maksudnya, begitu juga tiada hadis qawli (ucapan Nabi saw.) yang sahih tentangnya. Tetapi hadis iqrari (perakuan Nabi saw.) yang sahih amatlah banyak sekali, iaitu perakuan Nabi saw. terhadap para Sahabiat (sahabat wanita) yang semuanya bertudung setelah turun ayat hijab itu. Contohnya hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Ibn Jarir daripada ‘Aishah r.a.:

“Allah merahmati wanita-wanita Muhajirin yang pertama, apabila turunnya ayat (yang bermaksud) “…dan hendaklah mereka menutup belahan leher baju mereka dengan tudung kepala mereka…”, serta-merta mereka mengoyakkan apa sahaja kain (yang ada di sekeliling mereka) lalu bertudung dengannya.”

Kedua, hadis sahih yang diriwayatkan oleh Ibn Abi Hatim dan Abu Dawud daripada Safiyyah bint Shaybah katanya:

“Ketika kami bersama ‘Aishah r.a., kami menyebut-nyebut tentang kelebihan-kelebihan wanita Quraisy, lalu ‘Aishah menyampuk: “Memang benar wanita Quraisy ada kelebihan, tetapi demi Allah sesungguhnya aku tidak pernah melihat wanita yang lebih baik daripada wanita Ansar dari segi kuatnya iman dan pegangan mereka terhadap kitab Allah. Apabila Allah turunkan ayat (yang bermaksud) “…dan hendaklah mereka menutup belahan leher baju mereka dengan tudung kepala mereka…”, serta-merta suami-suami mereka balik dan membacakan kepada mereka apa yang Allah turunkan kepada mereka, anak perempuan mereka, saudara perempuan mereka dan semua kaum kerabat mereka, sehingga tiada seorang perempuan pun daripada mereka melainkan bergegas mencari apa saja kain yang ada di sekeliling mereka lalu bertudung dengannya sebagai membenarkan dan membuktikan iman kepada apa yang Allah turunkan, maka jadilah mereka wanita-wanita yang bertudung bersama Rasulullah saw., seperti sekumpulan gagak hitam berada atas kepala mereka.”

Lihat tentang tafsiran dua ayat dan dua hadis di atas dalam Muhd Ali al- Sabuni, Mukhtasar Tafsir Ibn Kathir, (percetakan Dar al-Sabuni, Kaherah, t.t.)

Dan ketiga, satu hadis yang tidak berapa sahih tentang tafsiran“perhiasan tubuh yang zahir” itu ialah yang diriwayatkan oleh Abu Dawud daripada ‘Aishah r.a.:

Bahawa Asma’ bint Abi Bakr (kakaknya) datang bertemu Nabi s.a.w. dalam keadaan pakaiannya nipis sehingga nampak kulit badannya, lalu Nabi s.a.w. pun berpaling daripadanya dan bersabda: “Wahai Asma’, seorang perempuan yang telah sampai haidh (baligh) tidak boleh dilihat (hendaklah bertutup) pada badannya melainkan ini dan ini” (sambil baginda menunjukkan ke arah wajah dan kedua pergelangan tangannya).

Hadis ini, walaupun dhaif (kerana salah seorang periwayatnya yang bernama Khalid bin Durayk diketahui oleh ulama Rijal al-Hadith sebagai tidak mendengar hadis tersebut secara langsung daripada ‘Aishah, maka hadisnya menjadi mursal), namun ia tidaklah dibuang begitu sahaja dan tidak boleh digunakan langsung sebagai hujah untuk mentafsirkan ‘perhiasan zahir’ tadi. Hadis yang tidak boleh dipakai langsung ialah hadis mawdhu’. Ini kerana hadis yang tidak terlalu dhaif (mursal) ini tidak bercanggah dengan nas-nas yang lain, bahkan ia diperkuatkan (taqwiyah) oleh nas-nas yang sahih dan jelas memberitahu bahawa muka dan dua pergelangan tangan hingga ke hujung jari bukanlah aurat. (Lihat tentang nas-nas taqwiyah itu dalam Dr. Yusuf al-Qaradawi, Fatawa Mu’asirah, percetakan Dar al-Qalam, Kuwait, 1990, vol. 1, m/s. 430). Hadis mursal ini juga masih berfungsi sebagai penghurai (mubayyin/mufassil) terhadap apa yang tidak jelas daripada nas al-Quran (iaitu tentang ‘perhiasan zahir’ yang harus didedahkan itu). Oleh kerana terdapat taqwiyah tadi, maka hadis mursal ini naik taraf menjadi hadis hasan li ghayrihi. Rujuklah kitab-kitab berkenaan Ulum/Mustalah Hadith dalam hal ini. Sebagai rujukan mudah bagi orang yang tidak berbahasa Arab, saya cadangkan buku Ilmu Hadith: Satu Pengenalan dan Kajian (Dr. Subhi al-Salih), terjemahan oleh Ariffin Omar & Mohd Nor Ngah, DBP, K. Lumpur, 1993.

Perkara ini (hadis mursal menjadi hasan li ghayrihi bila ada taqwiyah) tidak difahami oleh orang yang hanya galak membaca/mengkaji buku-buku rujukan sekunder dalam Islam, tetapi tidak mempunyai alat untuk memahami dua sumber asal/primer Islam itu. Hal ini berlaku kepada seorang pengutus e-mel kepada Astora (MM, 17/10/99), bernama Norlia Ali, yang mendakwa banyak membaca terutama buku-buku luar negara (hebatnyaaa..!), dan mengatakan hadis tersebut adalah mursal dan tak kuat, lalu difahaminya hadis itu mesti dicampak ke sungai saja, tidak boleh digunakan langsung untuk ‘mengongkong wanita’ kononnya. Norlia juga berbicara seperti ulama bila berhujah dengan apa yang dibacanya dalam buku terjemahan al-Quran, Message of the Quran oleh Muhammad Asad, yang kononnya mengatakan, “fesyen wanita zaman Rasullah s.a.w. ialah baju yang luas lehernya yang mana selendang dipakai di atas bahu, bukan di kepala, (iaitu) seperti wanita Punjab sekarang ini.” Norlia juga menterjemahkan perkataan ‘khumur’ dalam ayat 31 (al-Nur) itu sebagai selendang yang dipakai di atas bahu, bukannya tutup kepala.

Saya tidak pasti dari mana sumber rujukan ‘ulama tafsir’ seperti Norlia ini, yang pasti ia tidak bersumberkan Tafsir Pimpinan ar-Rahman Kepada Pengertian al-Quran (terbitan Jab. Perdana Menteri) itu. Perkataan Arab ‘khumur’ adalah kata jamak kepada ‘khimar’ yang bermaksud dalam B. Melayu ‘tudung yang menutup kepala wanita’ dan dalam B. Inggeris bermaksud ‘veil’ iaitu ‘piece of linen etc. as part of nun’s head-dress’ (The Little Oxford Dictionary, Oxford University Press, 1986) atau ‘sehelai kain linen dll. sebagai sebahagian daripada jenis tudung kepala paderi wanita’. ‘Veils’ itu adalah terjemahan terbaik bagi ‘khumur’ berdasarkan terjemahan al-Quran dalam B. Inggeris, The Holy Koran, (oleh Mohammed Marmaduke Pickthall, Hyderabad, 1930), yang diperakukan sebagai terbaik oleh Pengarah Jab. Dakwah, Persidangan Dunia Islam, Karachi pada 1975. Terjemahan ini bertepatan dengan tafsiran ulama tafsir yang sememangnya berbangsa Arab seperti al-Tabari, Ibn Kathir, al-Zamakhshari, al-Razi, dll. –di mana al-Quran itu dalam bahasa mereka- bahkan seluruh ulama tafsir tanpa mengira apa bangsa dan dari mana mereka. Cuma seorang ‘ulama tafsir’ yang baru muncul bernama Norlia Ali (dan disokong oleh Sahib al-Samahah Tuan Mufti Astora Jabat), mentafsirkan ‘khumur’ itu sebagai selendang di atas bahu. Manakala seorang lagi ‘ulama tafsir’ yang baru muncul hari ini (MM, 24/10/99) bernama Naqieya Zul yang mendakwa “memang tiada nas dalam al-Quran yang menyuruh wanita muslim menutup aurat sehingga yang kelihatan cuma muka dan tapak tangan sahaja”. Sebenarnya mereka ini dari kalangan ‘ulama’ bermazhab ‘Hanifi’ (tiada kena mengena dengan mazhab Hanafi) yang mengatakan tiada ayat al-Quran yang mengharamkan judi. Begitulah bahayanya golongan penulis picis/pojok plagiat orientalis/sekularis yang galak berbicara dalam hukum Islam tanpa alat memahami sumber Islam itu. Mereka ini cakap ikut suka hati sahaja dalam hukum Islam, sebagai alasan bagi mengharuskan amalan mereka yang tidak bertepatan dengan Islam. Sebenarnya dalam hati mereka itu ada penyakit, lalu Allah tambahkan lagi penyakit itu (kerana mereka tidak ikhlas mencari ilmu –merujuk kepada al-Baqarah: 10).

Untuk lebih memahami maksud ‘perhiasan zahir’ yang dikecualikan daripada ditutup itu, mari kita lihat apa kata para Sahabat (yang mana ke atas generasi mereka itu diturunkan al-Quran termasuk ayat hijab ini) dan para Tabi’in (yang merupakan anak murid kepada generasi wahyu, firman dan sabda itu). Siapakah yang lebih layak untuk membicarakan maksud al-Quran selepas Nabi s.a.w. selain dua generasi terbaik jaminan Nabi s.a.w. tersebut? Adakah para orientalis/sekularis atau para plagiat pemikiran sesat mereka itu? Wahai orang-orang yang beriman, buktikan iman dan Islam kamu yang sebenar, bukan ‘iman’ dan ‘Islam’ Abdullah bin Ubay serta pengikutnya!

Kepada Sdri Norlia Ali dan Naqieya Zul serta orang-orang yang semazhab dengan mereka, saya suka nasihatkan kerana Allah bahawa perintah Allah supaya menutup aurat (selain muka dan pergelangan tangan hingga ke hujung jari) adalah untuk kemuliaan dan kehormatan wanita Islam, bukan untuk menyusahkan dan mengongkong, jauh sekali untuk menutup akal wanita daripada berpelajaran seperti dakwaan anda, Astora dan orang-orang yang senafsu dengannya. Janganlah kerana alasan ada segelintir orang bertudung dan berketayap yang ‘lembap servisnya dan tak kisah orang awam’dan ‘berdua-duaan dengan lelaki bukan suami’, anda terus berfatwa tidak perlu bertudung, kerana bertudung pun –kononnya- bukan baik sangat. Perlu anda sedar bahawa sudah wajib dan pasti orang bertudung itu lebih baik daripada yang tidak bertudung. Kenapa? Kerana yang bertudung –walaupun kadang-kadang lembap dan tidak baik layanan serta ada segelintir yang berkhalwat- sudah terlepas daripada dosa mendedahkan aurat. Berbanding yang tidak bertudung, sudahlah lembap, servis tidak bagus, berkhalwat lagi, ditambah dengan dosa ‘akaun semasa’ tidak bertudung pula. Jadi yang tidak bertudung lebih teruk dan lebih banyak dosa. Ataupun anda boleh buktikan bahawa yang tidak bertudung itu tidak melakukan langsung dosa yang dilakukan oleh segelintir yang bertudung tadi? Dari mana anda dengar jika sehelai rambut wanita terkeluar maka akan dihukum neraka 70 tahun? Allah tidak merekodkan perbuatan orang yang tidak sengaja, tidak sedar, sedang tidur, belum baligh dan dalam keadaan dipaksa dengan ancaman keras (maksud hadis sahih riwayat al-Nasa’I, al-Tirmizi, Abu Dawud, al-Hakim, Ahmad, al-Bayhaqi dan lain-lain). Lain kali kalau hendak bertanya tentang hukum Islam, tanyalah orang yang mempunyai alat untuk memahami dua sumber asalnya dan orang yang boleh memberitahu dari mana fatwanya itu keluar. Jangan tanya orang yang hanya ‘galak’ nak berbicara tentang Islam dan ‘lagak’ pula melebihi ulama pewaris. Islam amat mengambil berat soal kebersihan masyarakatnya dari fahishah (zina). Manusia tidak boleh berbohong dengan Allah dengan mendakwa mereka (lelaki) tidak bernafsu melihat rambut wanita yang ikal mengurai, lehernya yang putih gebu melepak, bertahi lalat mengancam lagi, apatah lagi terpampang ‘lurah dendam’ di dada yang tidak tertutup. Maafkan saya kerana membuat ungkapan yang amat sensitif ini, tidak lain kecuali untuk memberitahu satu hakikat bagaimana pandangan lelaki yang berpenyakit hatinya terhadap wanita yang mendedahkan aurat, di samping bertujuan untuk menimbulkan rasa malu di kalangan wanita Islam kerana malu itu satu cabang daripada cabang-cabang iman. Hanya wanita yang hina dan berpenyakit hatinya seperti lelaki tadi juga, yang merasa seronok dirinya ditatap dan dimamah oleh nafsu ghairah dan pandangan liar lelaki jahat/fasiq. Segala yang boleh mengarahkan kepada zina adalah diharamkan tanpa mengira niat yang dikatakan bersih dan ikhlas. Janganlah menyelewengkan maksud ayat 26 (al-A’raf) dengan mengatakan ‘takwa’ itulah pakaian yang sebaik-baiknya, walaupun tidak bertudung. Apa makna takwa sebenarnya? Takwa ialah takutkan kemurkaan Allah. Bukti seseorang itu takut kemurkaan Allah ialah dengan mematuhi semua perintah Allah termasuk kehendak ayat hijab tersebut.

Berbalik kita kepada maksud ‘perhiasan zahir’ yang dikecualikan daripada ditutup, berdasarkan pendapat generasi wahyu, firman dan sabda (para Sahabat) serta anak-anak murid mereka di kalangan Tabi’in (radhiaLlahu ‘anhum). Seluruh ulama tafsir pewaris Nabi s.a.w. meriwayatkan daripada Ibn ‘Abbas (meninggal 68H) bahawa makna ‘perhiasan zahir’ itu ialah “pergelangan tangan hingga hujungnya, perhiasan biasa baginya (seperti cincin) dan muka”. Bermakna ada tiga perhiasan zahir yang diharuskan tidak bertutup pada pandangan Ibn ‘Abbas, seorang sahabat yang didoakan khusus oleh Nabi s.a.w. supaya Allah menjadikannya faqih (pakar) dalam agama dan mengajarkannya ilmu ta’wil (tafsir).

Ibn ‘Umar (meninggal 73H) pula berkata ia adalah “muka dan dua pergelangan tangan hingga hujungnya”. Manakala Anas (meninggal 93H) pula berkata, “pergelangan tangan hingga hujung dan perhiasannya (cincin)”.

Ibn Hazm (ulama terkenal mazhab Zahiri meninggal pada H) berkata, “semua riwayat tersebut adalah sahih daripada mereka (Sahabat) pada darjat kesahihan yang tertinggi sebagaimana riwayat daripada ‘Aishah (isteri Nabi s.a.w., yang sudah pasti diberitahu oleh baginda akan maksud Allah pada ‘perhiasan zahir’ itu supaya isterinya mematuhi maksud/kehendak Allah). Begitu juga riwayat daripada para Tabi’in (seperti Sa’id bin Jubayr, dll.)”

Bertitik tolak dari sedikit perbezaan pendapat -yang tidak mencacatkan wahyu- di kalangan mereka, maka berlakulah juga sedikit perbezaan pendapat –juga tidak mencacatkan kehendak wahyu- di kalangan imam-imam -mazhab empat khususnya- dalam menghadkan batas aurat wanita Islam. Abu Hanifah (pengasas mazhab Hanafi), Malik dan dua sahabatnya iaitu al-Hadi dan al-Qasim berkata, “aurat wanita seluruh badannya kecuali muka dan dua pergelangan tangan hingga hujung”. Manakala al-Qasim dan Abu Hanifah juga dalam satu lagi riwayatnya, Sufyan al-Thawri dan Abu al-‘Abbas berkata, “semuanya aurat kecuali muka, dua pergelangan tangan hingga hujung, dua pergelangan kaki hingga hujung dan gelang kaki”. Tiada satu pun pendapat oleh ulama sejak zaman Sahabat hingga sekarang mengatakan muka wanita itu sebagai aurat kecuali pendapat janggal yang diragui daripada Imam Ahmad dan pendapat sekelompok kecil ulama mazhab Shafi’e. Adapun fenomena melampau dalam berhijab (wajib tutup semua) di kalangan sesetengah wanita Islam di sesetengah tempat dan zaman tertentu, hanyalah adat yang dicipta oleh mereka sebagai langkah berhati-hati dan menutup jalan maksiat pada pandangan mereka (dan itu hak peribadi mereka), tetapi bukanlah satu hukum yang diwajibkan oleh Islam. Seluruh umat Islam telah bersepakat atas keharusan wanita bersembahyang di masjid dalam keadaan terbuka muka dan pergelangan tangan –dengan syarat saf mereka di belakang lelaki-, begitu juga ketika berihram haji –bahkan majoriti ulama berkata wajib membuka wajahnya ketika itu-, sebagaimana mereka bersepakat mengatakan harus wanita menghadiri majlis-majlis ilmu dan aktiviti-aktiviti kemanusiaan lain dengan membuka dua anggota itu. Lihat Dr. Yusuf al-Qaradawi, Fatawa Mu’asirah, Dar al-Qalam, Kuwait, 1990, m/s. 430, 432.

Berdasarkan riwayat-riwayat yang sahih di darjat yang tertinggi daripada Sahabat, Tabi’in dan imam-imam mazhab tadi, di mana letaknya riwayat yang didakwa oleh Astora sebagai ‘ada pendapat yang menganggap membuka rambut tidak berdosa seperti pendapat sesetengah ulama dari mazhab Hanafi atau dianggap menjadi dosa kecil seperti pendapat sesetengah dari ulama mazhab Maliki’. Jangan ambil peluang daripada perselisihan kecil para ulama, membuat serkap jarang, berbohong dan berdusta! Sebutkan sumber mana dalam mazhab Hanafi yang berpendapat demikian. Adakah dalam kitab Badai’ al-Sanai’ (al-Kasani), atau Tabyin al-Haqaiq (al-Zayla’ie), atau Radd al-Mukhtar (Ibn ‘Abidin), atau Fath al-Qadir (Ibn al-Hummam), atau al-Mabsut (al-Sarakhsi), atau al-Fatawa al-Hindiyah (Jamaah Ulama India) atau mana-mana kitab lagi? Sebutkan dan buktikan, jangan berdusta! Sebutkan juga sumber mana dalam mazhab Maliki yang berkata demikian. Adakah dalam kitab Bidayah al-Mujtahid (Ibn Rusyd), atau Hashiah al-Dusuqi (Shaykh al-Dusuqi), atau Mawahib al-Jalil (al-Hattab), atau al-Muntaqa (la-Baji), atau dalam al-Mudawwanah al-Kubra oleh Imam Malik sendiri? Sebutkan dan buktikan, jangan berdusta!

Alhamdulillah, setakat ini saya berjaya membuktikan dakwaan saya bahawa ASTORA JABAT PENDUSTA AGAMA untuk siri yang ketiganya. Untuk mendapatkan siri pertama dan kedua, layarilah: http://www.parti-pas.org (berita 2/9/99 dan 8/10/99).

Sebelum saya mengakhiri, eloklah kiranya saya sertakan tafsiran ayat 59 Surah al-Ahzab yang bermaksud:

“Wahai nabi (Muhammad), suruhlah kepada isteri-isteri kamu, anak-anak perempuan kamu dan wanita-wanita beriman agar melabuhkan jilbab (pakaian bagi menutup seluruh tubuh) mereka (semasa mereka keluar), cara yang demikian itu lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun lagi Maha Pengasihani (terhadap dosa kamu di masa lalu).”

Dalam mentafsirkan ayat ini, Imam Ibn Kathir berkata, “Allah s.w.t. memerintahkan NabiNya supaya menyuruh isteri, anak dan wanita beriman agar mereka melabuhkan jilbab mereka supaya mereka berbeza dengan wanita jahiliyyah (yang tidak menutup aurat), dan jilbab ialah kain yang dipakai di atas tudung kepala…” (Lihat Muhd ‘Ali al-Sabuni, Mukhtasar Tafsir ibn Kathir, Dar al-Sabuni, Kaherah, t.t.)

Berdasarkan tafsiran ini, makna jilbab yang paling tepat dalam konteks hari ini ialah cadur, seperti yang dipakai oleh wanita Iran itu. Tetapi saya berpendapat jilbab yang difahami dan dipakai oleh wanita Islam Melayu sekarang pun telah mencapai maksud ayat tadi, iaitu supaya mereka dikenal sebagai wanita solehah dan tidak berani diganggu oleh lelaki fasiq pada kebiasaannya. Jilbab itu hendaklah labuh sedikit sehingga menutup bentuk dada mereka dan lebih baik lagi sehingga menutup paras punggung mereka. Saya berkata begitu kerana antara tempat yang paling menarik perhatian dan menjadi bualan lelaki-lelaki fasiq ialah dua tempat sensitif itu. Maka perlulah tutup lebih sedikit berbanding betis dan lengan. Perkara inilah yang wajib difahami oleh wanita-wanita yang mulia, terhormat dan mempunyai harga diri. Adapun wanita yang tidak bercita-cita sedemikian, maka mereka mencipta pelbagai alasan untuk mengharuskan pendedahan aurat atau perhiasan sulit (bukan zahir) mereka. Namun para pendakwah perlulah berhikmah dan beransur-ansur dalam pendekatan mereka. Jangan menghentam, menyerang dan menghina wanita Islam yang belum dihidayatkan Allah itu. Berilah galakan kepada mereka dan puji-pujilah mereka bahawa mereka kelihatan lebih cantik dan menawan bila mereka menutup aurat. Macam pelakon Lydiawati tu ha, bukankah makin lawa dan nampak muda bila bertudung? Yang baik kita mesti puji. Namun, pendekatan beransur-ansur itu bukan bermakna mengatakan mendedah rambut tidak berdosa langsung, seperti fatwa Astora pendusta itu.

Cara menutup aurat seperti yang diterangkan tadi adalah wajib bagi setiap wanita Islam bermula sejak mereka baligh sehingga mencapai usia yang tiada keinginan untuk berkahwin/bersuami lagi (menopaus). Bila mereka telah mencapai usia menopaus dan tiada keinginan lagi, maka ketika itu ada kelonggaran untuk mereka tidak menutup rambut dengan syarat tidak bersolek. Jika mereka masih bersolek dan berpakaian seksi, maka dakwaan bahawa mereka tiada keinginan adalah tidak diterima, kerana tujuan solek dan pakaian seksi itu adalah untuk menarik perhatian dan mencari pasangan selalunya. Walau bagaimanapun, kekal beriltizam dengan cara menutup aurat yang sempurna itu adalah lebih baik bagi mereka, walaupun sesudah tiada keinginan. Hukum ini berdasarkan ayat 60 Surah al-Nur.

Sekian dahulu, semoga kita dirahmati dan diberi petuhjuk oleh Allah s.w.t. sentiasa. Wassalam.