Ust Ali Muda: ASTORA JABAT PENDUSTA AGAMA 4

Oleh: Ustaz Ali Muda

Bismillah.
Kali ini saya ingin mengulas Bicara Agama Astora yang bertajuk “Jangan hukum sembarangan” (MM, 24/10/99). Apabila saya membaca tajuk tersebut, saya menyangkakan maksudnya ‘jangan jatuhkan hukum hudud sembarangan’, tetapi setelah saya baca sehingga ke perenggan yang terakhir barulah saya faham kehendak Astora. Tajuk itu rupanya rayuan daripada Astora supaya para pembaca Bicara Agama tidak menghukumnya sebagai pendusta agama secara sembarangan. Kesiannn Astora…

Di awal bicara, Astora menyatakan bahawa ada pembaca yang bertanya, jika betul apa yang Astora tulis, kenapa tiada cerdik pandai Islam dan para ulama yang menyokongnya? Jawab Astora, sebenarnya ada ramai ulama dan cerdik pandai Islam yang menyokong dan mempunyai pandangan yang sama dengannya, cuma mereka tidak menampilkan diri mereka atas sebab-sebab tertentu. Bagi saya ini satu yang memelikkan. Kalaulah benar, kenapa tiada yang berani tampil menyatakan ‘kebenaran’ yang selama ini terselindung daripada pemikiran umat.

Di sini saya melihat Astora dalam terkial-kial mencari sokongan daripada kalangan orang yang benar-benar berilmu atau dari pusat pengajian tinggi. Sebenarnya tiada siapa -yang benar-benar ikhlas dalam ilmunya- sanggup bersekongkol dengan Astora dalam melakukan jenayah pendustaan agama itu. Di mana ilmuan yang sanggup menuduh Nabi s.a.w. tidak melaksanakan hukum yang terdapat dalam al-Quran, Saidina ‘Umar mengubah hukum hudud, hudud tiada dalam al-Quran, hudud tidak boleh diharapkan lagi untuk mencegah maksiat pada hari ini, menyimpan janggut hanyalah adat bukan ibadat dan paling kontroversi mengatakan amalan tidak menutup rambut bagi wanita Islam tidak berdosa langsung! Mana ilmuan Islam yang sanggup berdusta begitu sekali macam Astora?!… Kalau ada pun, cuma ilmuan cilik, picis dan pojok yang perasan mereka hebat serta galak dan lagak lebih daripada ilmuan (ulama) pewaris Nabi s.a.w.

Dalam usaha bertungkus-lumus mencari sokongan itu, tiba-tiba tangan Astora tercapai satu buku yang diterbitkan oleh Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (APIUM) yang bertajuk ‘Hukum Islam Semasa Bagi Masyarakat Malaysia Yang Membangun’ dan di dalamnya terdapat satu artikel bertajuk ‘Hukuman Rejam Ke Atas Penzina Muhsan: Satu Perbahasan’ oleh Mohamed Azam Mohamed Adil (selepas ini disebut MAMA). Buku tersebut pertama kali diterbitkan pada Mac, 1999 yang lalu.

Maka amatlah menyeronokkan Astora kerana telah ketemu seorang ilmuan di menara gading yang kononnya mempunyai tulisan yang senada dan seirama dengannya. Astora tidak sedar perbuatannya menjadikan artikel itu sebagai penyokongnya adalah umpama bergantung di dahan yang amat rapuh dan makin menyerlahkan kedangkalannya dalam ilmu Syariat Islam.

MAMA sebenarnya hanya melontarkan satu persoalan atau perbahasan sama ada wujud atau tidak hukum rejam ke atas penzina muhsan (telah berkahwin dan pernah menikmati persetubuhan halal dengan perkahwinan itu), bukan mengatakan hukum rejam tidak wujud kerana tiada nas dalam al-Quran dan kerana nas hadis tentangnya hanyalah hadis ahad yang boleh dicampak begitu sahaja. Setelah membaca artikel MAMA yang tidak sampai 12 muka surat biasa itu, Astora terus membuat kesimpulan bahawa dia telah menang dan dakwaan saya ke atasnya sebagai pendusta agama dikatakan tidak berasas dan melulu.

Astora menulis di hujung artikelnya, “Seperkara terakhir penulis menasihati kepada mereka yang sering menghukum penulis dengan pelbagai hukuman agama yang berat termasuk menuduh penulis pendusta agama, murtad dan halal darah, tidakkah lebih baik jika mereka mempelbagaikan sumber pembacaan agama mereka mencakupi buku-buku ilmiah yang diterbit oleh pelbagai kuliah Islam seperti Akademi Pengajian Islam. Selepas itu barulah boleh menghukum penulis.”

Nampaknya Astora perasan seorang diri bila menyangka dia seorang yang telah membaca buku terbitan APIUM itu, dan menyangka orang lain -terutamanya saya- belum membacanya, namun telah membuat tuduhan berat ke atasnya. Saya mengaku bahawa tuduhan ‘pendusta agama’ itu ialah saya yang buat berdasarkan hujah-hujah yang telah saya kumpulkan dalam siri Astora Pendusta Agama I, II dan III, tapi ‘murtad dan halal darah’ itu tidak pernah saya katakan. Mungkin orang lain yang melampau kerana terlalu marah dengan sikap berdusta Astora.

Untuk pengetahuan Astora, kemungkinan yang amat besar saya telah membaca buku tersebut lebih dulu daripada Astora, jika dianggarkan Astora membacanya hanya beberapa hari sebelum menulis artikel ‘Jangan hukum sembarangan’ itu. Saya telah mendapatkan buku itu semasa saya pergi menziarahi anak saudara saya yang belajar di tahun pertama UM sejak beberapa bulan yang lalu. Bila membaca artikel MAMA itu, saya agak terkejut kerana seorang pensyarah di UM masih terkeliru dengan masalah hukuman rejam itu. Namun saya tidak memperkecilkannya kerana saya sedar artikelnya itu adalah satu lontaran persoalan untuk dibincangkan bersama, tidak seperti pendustaan dan keangkuhan Astora. Tidaklah terlintas di fikiran saya ketika itu bahawa Astora akan menjadikannya sebagai dahan untuk bergantung setelah beliau hampir terjatuh. Setelah tersiar tulisan Astora yang dimaksudkan itu, saya merasa teramat syukur kepada Allah s.w.t. kerana mentaqdirkan saya membacanya terlebih dahulu. Kalau tidak, susah juga saya nak ulas semula tulisan Astora kali ini.

Bila kita perhatikan tajuk dan kandungan Bicara Agama bertarikh 24/10/99 itu, maka kita dapat lihat ianya bukanlah bicara agama, bahkan lebih mirip kepada usaha peribadi Astora untuk memulihkan imejnya yang telah terpalit oleh perbuatannya sendiri (berdusta atas nama agama). Sehinggakan tajuknya pun berkenaan perjuangan peribadinya iaitu rayuan supaya khalayak janganlah menghukumnya sembarangan. Apakah cakap peribadi layak dimasukkan dalam sebuah kolum khas akhbar perdana…? Sama-samalah kita nilai kredibiliti seorang yang bernama Astora ini.

Sebelum saya mengulas dan mengkritik Astora, izinkan saya membuat kritikan terhadap perbahasan MAMA terlebih dahulu yang boleh dianggap sebagai satu dahan yang rapuh. Ini bertujuan supaya orang lain tidak turut sama bergantung di dahan yang rapuh itu, seperti Astora. Sebelum terlanjur, saya memohon maaf daripada MAMA sekiranya berkecil hati dengan kritikan saya ini. Kita hanya bermuzakarah, tiada siapa di kalangan kita yang cakapnya setaraf dengan Nabi s.a.w. Oleh kerana hal itu, setiap cakap kita –terutama berkenaan hukum Islam- hendaklah dinilai dengan dua sumber asas Islam iaitu al-Quran dan hadis sahih serta wujuh istidlal (cara kefahaman) daripada kedua-duanya. Dengan cara itu barulah cakap kita tentang Islam akan menjadi adil dan berkesan.

MAMA menyimpulkan bahawa perbahasan tentang hukum hudud rejam ke atas penzina muhsan adalah satu perbahasan yang amat hebat di kalangan ulama fiqh, yang berakhir dengan dua pendapat. Majoriti ulama (perlu disebut bahawa mereka yang termaksud di sini ialah semua imam mazhab yang empat, semua aliran mazhab Syi’ah, mazhab Zahiri dan seluruh ulama Muslimin sejak dahulu hingga sekarang) berpendapat bahawa penzina muhsan hendaklah direjam. MAMA sendiri telah menyenaraikan sekurang-kurangnya lima buah hadis sahih pada darjat tertinggi (diriwayatkan oleh al-Bukhari atau Muslim atau kedua-duanya sekali) yang digunakan oleh majoriti ulama tersebut sebagai hujah mereka bahawa penzina muhsan dihukum rejam. Saya tidak akan menyenaraikan semula hadis-hadis yang disebutkan oleh MAMA itu bagi menjimatkan ruang. Para pembaca yang benar-benar ingin mengkaji, bolehlah merujuk buku Hukum Islam Semasa terbitan APIUM itu.

Bila diperhatikan hadis-hadis sahih itu, orang-orang yang memiliki ilmu riwayah wa dirayah al-hadith (kemahiran dalam sanad dan matan hadis) akan menyimpulkan bahawa hadis rejam ke atas penzina muhsan adalah hadis mutawatir ma’nawi, iaitu hadis-hadis yang sama dari segi makna, diriwayatkan oleh sekumpulan Sahabat yang berdasarkan keramaian jumlah mereka itu, dikira mustahil pada adat dan logik bersepakat untuk berdusta atas nama Rasul s.a.w. Bagaimana mungkin mereka berdusta dalam hukum agama Allah s.w.t., sedangkan Allah s.w.t. telah memberi jaminan keredhaan ke atas mereka dan mereka redha dengan Allah s.w.t. seperti yang termaktub dalam ayat 100 Surah al-Tawbah itu. Lihat lebih lanjut tentang hal ini dalam al-Allusi, Ruh al-Ma’ani, jilid 18, m/s. 78 (berdasarkan Dr. Muhd ‘Ali al-Sabuni, Rawai’ al-Bayan fi Tafsir Ayat al-Ahkam)

Mungkin ada yang mempersoalkan kenapa hadis rejam itu tidak mutawatir sepenuhnya (iaitu ma’nawi dan lafzi)? Jawabnya; mana mungkin terjadi mutawatir lafzi (dari segi lafaz) sedangkan hadis-hadis itu merekodkan pelbagai peristiwa di mana Nabi s.a.w. menghukum rejam ke atas penzina-penzina muhsan yang berlainan. Maka dalam masalah ini tidak perlu kita menuntut nas yang mutawatir sepenuhnya, kerana sememangnya tidak wujud. Lagipun, adakah hukum-hakam Islam hanya boleh diamalkan setelah wujud nas yang mutawatir sahaja? Jika begitu, kita terpaksa mengetong sampahkan lebih daripada 80% daripada hukum-hakam Islam kerana majoritinya adalah berdasarkan nas-nas yang ahad.

Di samping ucapan dan amalan Nabi s.a.w. sendiri tentang hukum rejam ini, ianya juga telah diucap dan diamalkan oleh para al-Khulafa al-Rasyidin kemudiannya. Sekiranya hukum rejam itu tidak sabit daripada Nabi s.a.w. kenapa para khulafa melakukannya atas nama hukum Islam dan tiada seorang pun di kalangan Sahabat yang masih hidup bersama mereka ketika itu bangun membantahnya atas slogan menegakkan kebenaran agama Allah s.w.t. Inilah satu titik persoalan yang tidak disentuh oleh ‘ilmuan picisan’ dari zaman dahulu hingga sekarang, yang mendakwa hukum rejam ke atas penzina muhsan itu tiada dalam Islam.

Seterusnya MAMA menyebut pendapat golongan kedua yang mendakwa hukum rejam tiada dalam Islam, yang ada hanyalah hukum sebat sahaja, sama ada ke atas penzina muhsan atau tidak muhsan. Golongan minoriti yang berpendapat sebegini diwakili oleh ‘ulama’ (kononnya) puak Azariqah di kalangan penganut mazhab Khawarij yang telah dihapuskan oleh Allah s.w.t. Perlu disebut, mereka yang berpendapat tiada hukum rejam ialah puak Azariqah, iaitu salah satu daripada puak-puak Khawarij, bukannya ‘golongan Khawarij dan Azariqah’ yang seolah-olah dua kumpulan seperti kekeliruan MAMA. Sebenarnya mereka ini bukanlah ulama yang boleh dijadikan tempat rujukan seperti mana yang disangka oleh segelintir pengkaji pada hari ini, bahkan mereka adalah ‘sel-sel barah’ yang pernah membawa penyakit berbahaya itu dalam tubuh masyarakat Islam satu ketika dulu. Di akhir zaman ini, sel-sel itu disimpan dan dijaga rapi dalam makmal-makmal kajian orientalis untuk disuntik semula ke dalam tubuh umat Islam hari ini melalui anak-anak Islam yang berguru dengan mereka. Sungguh malang bagi seorang pensyarah di IPT seperti MAMA yang menganggap mereka itu ulama yang boleh dipakai pendapat mereka. Sepatutnya pendapat mereka itu tidak dianggap satu pendapat dalam fiqh Islam, dan kesimpulan dapat dibuat bahawa hukum rejam ke atas penzina muhsan adalah ijma’ ulama Muslimin yang mu’tabar sejak dulu hingga akhir zaman. Namun, demi menjaga amanah terhadap fakta sejarah, cukuplah kita merakamkan pendapat mereka itu (yang bercanggah dengan ijma’ ulama mu’tabar di kalangan umat Islam) sebagai bahan sejarah, bukan bahan fiqh Islam yang dikira satu pendapat atau mazhab yang boleh diamal dalam perundangan Islam.

Jika diteliti hujah puak Azariqah ini, maka didapati mereka menggunakan akal dan logik bodoh mereka sahaja. Mereka berhujah bahawa “hukum rejam adalah hukum yang paling berat dalam Islam dan hendaklah disabitkan dengan dalil yang qat’ie iaitu al-Quran dan hadis yang mutawatir. Jika hukum itu paling berat, kenapakah Allah s.w.t. tidak menyebutkannya dalam al-Quran? Nas yang ada tentangnya hanyalah hadis ahad yang tidak pasti kesahihanny

Cuba anda perhatikan bagaimana mereka cuba menyuntikkan jarum syak dan ragu-ragu ke dalam fikiran umat. Bagaimana boleh didakwa -secara rambang dan serkap jarang- hadis tentang hukum rejam sebagai ‘hadis ahad yang tidak pasti kesahihannya.’ Keraguan ini tidak perlu dijawab kerana kita telah jelaskan di atas tadi (80% hukum-hakam Islam berdasarkan hadis ahad dan kumpulan hadis rejam berada di tahap kesahihan yang tertinggi). Inilah gaya suntikan ‘sel barah’ oleh orientalis terhadap murid-muridnya di kalangan anak-anak umat Islam, seterusnya diceduk gaya itu oleh Astora lalu di bawa ke dalam penulisannya. Sedih dan terkilan juga, orang seperti MAMA turut terlibat sama (mungkin secara tidak sengaja). Sepatutnya MAMA lebih berhati-hati dahulu sebelum menulis dan melontarkan pendapat.

Hujah mereka yang kedua ialah menggunakan teori nasikh wa mansukh (pembatalan hukum terdahulu oleh nas yang datang kemudian). Mereka amat licik apabila menggambarkan diri mereka sebagai manusia yang patuh kepada al-Quran ayat 2 Surah al-Nur (ayat sebat) yang jelas menyatakan hukum ke atas penzina perempuan dan lelaki (tanpa menyebutkan muhsan atau tidak) adalah sebat 100 rotan sahaja, tanpa disebutkan rejam atau hukuman lain selain sebat. Kesimpulannya, menurut mereka, hukum rejam tidak wujud dalam al-Quran. Menggunakan hadis ahad (pada dakwaan rambang mereka) sebagai nas yang mensabitkan hukum rejam samalah dengan mengatakan hadis ahad boleh membatalkan hukum terdahulu oleh nas al-Quran yang mutawatir yang menyatakan sebat sahaja. Ini adalah batil, kata mereka

Ulama pewaris Nabi s.a.w. tidak membiarkan kekeliruan yang dibuat-buat oleh mereka ini merebak dalam masyarakat Islam. Maka ulama memberi jawapan bahawa tiada pertentangan langsung antara nas al-Quran dan nas hadis itu. Masalah ini tiada kena mengena dengan teori nasikh wa mansukh. Tiada siapa yang membatalkan hukum siapa. Yang ada hanyalah takhsis al-‘am iaitu hadis mengkhususkan keumuman hukum al-Quran. Bagaimana mereka mendakwa masalah ini perlukan penyelesaian nasikh wa mansukh sedangkan tiada pertentangan langsung antara kedua-dua nas al-Quran dan hadis itu?. Menyatakan sesuatu tidak membawa maksud menafikan yang lain. Penyataan hukum sebat oleh al-Quran tidak bermaksud sama sekali penafian hukum rejam. Pertentangan hanya wujud sekiranya al-Quran melarang hukuman rejam ke atas penzina muhsan, namun tidak wujud larangan sebegitu. Ucapan dan amalan Nabi s.a.w. terhadap hukum rejam tidak bertentangan dengan al-Quran, bahkan sebagai mengkhususkan hukum yang umum di dalam al-Quran. Dan Nabi s.a.w. sememangnya berfungsi sebagai pengkhusus/penghurai/penerang/pentafsir kepada al-Quran sebagaimana autoriti dan tugas yang Allah s.w.t. berikan kepadanya seperti dalam ayat 44 Surah al-Nahl itu. Lihat juga ayat 7 Surah al-Hasyr dan ayat 3, 4 Surah al-Najm tentang fungsi Rasul s.a.w. (Demi untuk menjimatkan ruang, saya tidak masukkan terjemahan ayat-ayat tersebut, sesiapa yang serius ingin memahami hakikat ini, sila rujuk ayat yang tersebut itu). Mereka sebenarnya beriman dengan sebahagian al-Quran (bila menguntungkan mereka) dan kufur dengan sebahagian yang lain (bila menyalahi selera mereka).

Mereka berhujah lagi berdasarkan satu peristiwa yang diriwayatkan oleh al-Bukhari di mana seorang Sahabat (Abu Awfa) ditanya oleh seorang Tabi’ie yang menjadi pengikut al-Shaybani (seorang teman karib kepada Abu Hanifah) tentang adakah Nabi s.a.w. menjalankan hukum rejam itu sebelum atau selepas penurunan ayat 2 Surah al-Nur, maka Abu Awfa menjawab, “tidak tahu”. Bagi mereka, peristiwa ini menimbulkan keraguan terhadap kekuatan penghujahan dengan hadis-hadis rejam tersebut, di mana ada kemungkinan hadis-hadis tersebut merakamkan perkataan dan perbuatan rejam Nabi .s.a.w. sebelum ayat 2 Surah al-Nur diturunkan. Jika ini benar, maka hadis-hadis tersebut dikira mansukh (terbatal) hukumnya oleh nas al-Quran itu.

Untuk menjawab hujah mereka yang mengelirukan ini tidaklah susah. Mereka mendatangkan keraguan/syak berdasarkan sesuatu yang tidak pasti, iaitu ketidakpastian Abu Awfa tentang mana yang lebih dahulu antara hadis-hadis rejam dan ayat sebat tersebut. Sedangkan kita berhujah dengan sesuatu yang pasti, iaitu hadis-hadis rejam itu adalah dipastikan oleh ulama Islam (khususnya ulama hadis) sebagai yang datang kemudian untuk mengkhusus/menghurai/memperinci keumuman ayat al-Quran itu. Alasan mereka ialah amalan dan ucapan para Khulafa al-Rasyidin tentang hukum rejam tanpa ada bantahan sedikitpun oleh Sahabat yang lain. Keadaan ini dikira ijma’ di kalangan para Sahabat yang dijamin oleh Allah s.w.t. bahawa mereka tidak akan bersepakat atas kebatilan. Kalaulah hukum rejam telah dimansukhkan oleh ayat sebat itu, mengapa para Sahabat masih terus mengamalkannya? Manakah yang lebih alim dengan kehendak wahyu; para Sahabat atau segelintir puak Khawarij dan Azariqah yang telah musnah itu?

Setelah diranapkan seluruh hujah puak yang membawa ‘sel barah’ dalam tubuh umat Islam itu, maka natijahnya ialah hukuman rejam ke atas penzina muhsan yang sabit salahnya adalah satu hukum yang pasti dan disepakati oleh seluruh para ulama Muslimin sejak generasi wahyu pertama lagi, tiada lagi perselisihan pendapat selepas itu melainkan oleh ‘ilmuan’ (kalaulah layak dipanggil begitu) yang sama spesis dengan Astora. Sedikit perselisihan lafaz (matan) hadis selepas persepakatan (ijma’) itu tidak menjejaskan apa-apa kredibiliti nas-nas hadis yang mutawatir ma’nawi itu, kerana ianya boleh dihimpunkan (jama’) menjadi satu resolusi hukum tanpa mencampak buangkan (ihmal) mana-mana hadis yang telah sahih dan sabit daripada Baginda s.a.w. Di samping buku Hukum Islam Semasa (APIUM), lihat juga Syeikh Dr. Muhd ‘Ali al-Sabuni, Rawai’ al-Bayan fi Tafsir Ayat al-Ahkam (Bab Hadd al-Zina), Dar al-Sabuni, Kaherah, t.t., Dr. ‘Abd al-Qadir ‘Awdah, al-Tashri’ al-Jinai al-Islami, Muassasah al-Risalah, Beirut, 1992, dll. untuk mendapatkan perbahasan dan huraian lanjut tentang hukum rejam ini.

Kita tidak sepatutnya lemas dan karam dalam apa yang disebutkan sebagai ‘perselisihan ulama’ yang pada hakikatnya tidak wujud, lalu kita kehilangan punca. Ulama tidak berselisih pendapat, cuma mereka diselisihkan oleh ‘umala’ (golongan yang memperkudakan orang lain untuk kepentingan peribadinya). Orang seperti MAMA juga lebih-lebih lagi tidak harus lemas dan karam dalam tipu daya itu, kerana beliau adalah umpama pekerja di kilang menara gading yang bertugas mengeluarkan produk ilmuan yang berkualiti untuk umat ini. Jika pekerja mahir masih keliru, bagaimana produk yang akan dikeluarkan terjamin kualitinya dan terselamat daripada kekeliruan yang sama?

Mari kita perhatikan syahadah (persaksian) Saydina ‘Umar r.a. yang bersumpah bahawa ayat rejam asalnya wujud dalam al-Quran sebelum ianya dimansukhkan bacaan tetapi kekal hukumnya. Ayat itu bermaksud: “Lelaki dan perempuan dewasa (muhsan/berkahwin) apabila berzina maka rejamlah kedua-duanya sekaligus sebagai balasan daripada Allah, sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana”. ‘Umar mengatakan, “Kami telah membaca dan kami telah memahaminya, Rasulullah s.a.w. merejam dan kami pun merejam selepasnya. Aku bimbang selepas berlalunya suatu tempoh masa, ada manusia yang berkata ‘kami tidak dapati hukum rejam dalam kitab Allah’, maka mereka sesat kerana meninggalkan satu kewajipan yang diturunkan Allah .s.w.t. dalam kitab-Nya……. Demi Allah, sekiranya aku tidak khuatir manusia akan menuduh ‘Umar menambah sesuatu dalam kitab Allah, nescaya aku akan tulis semula ayat rejam itu.”

Sumpah ‘Umar ini diriwayatkan dengan sanad paling sahih oleh Ashab al-Sittah (imam-imam yang merakam enam kitab hadis terkemuka), walaupun menurut MAMA, ianya dipertikaikan oleh seorang ulama bermazhab Hanafi, Kamaluddin bin al-Hummam. Kita mesti ingat, seorang ulama bukannya seorang nabi yang maksum. Ulama itu diterima cakapnya bila bersandarkan hujah syar’iyyah (al-Quran dan hadis sahih), tanpa hujah itu samalah tarafnya dengan cakapan orang awam. Apa hujah Ibn al-Hummam dalam mempertikaikan riwayat sahih al-Bukhari dan Muslim serta empat imam hadis yang lain? Tiada apa-apa hujah selain akal dan logiknya semata-mata. Setakat untuk memberi logik, orang awam pun boleh. Jadi dalam masalah ini (hukum rejam) Ibn al-Hummam hanyalah seorang awam, bukan ulama. Sebab itu beliau berseorangan dalam masalah ini, tidak disokong oleh para ulama Hanafi yang lain. Cuba lihat hujah akal Ibn al-Hummam, seperti yang disebutkan oleh MAMA berdasarkan Muhammad Hashim Kamali, Principles of Islamic Jurisprudence: “Kalaulah Allah benar-benar mahu melaksanakan hukuman rejam dilaksanakan, kenapa ayat mengenai rejam dinasakhkan? Sepatutnya Allah membiarkan ayat tersebut kerana hukuman rejam bukanlah suatu hukuman yang ringan.”

Amat pelik seorang yang bergelar ulama mempersoalkan hak Allah untuk menasakhkan (membatalkan) sesuatu ayat dalam al-Quran, sedangkan hal itu jelas terdapat dalam ayat 106 Surah al-Baqarah. Adakah layak seorang ulama menolak sekumpulan nas hadis sahih yang banyak (bukan satu atau dua) tentang hukum rejam dengan hanya menggunakan logik akalnya sahaja? Apakah Allah s.w.t. hanya berhak menurunkan sesuatu hukum setelah ianya bersesuaian dengan akal manusia sahaja? Kalau tidak sesuai, Allah s.w.t. tidak berhak turunkan? Sebab itu dalam masalah hukum rejam ini, -jika betul nukilan yang disebutkan oleh Muhammad Hashim Kamali daripada Ibn al-Hummam itu- maka beliau bukanlah ulama, bahkan bercakap sebagai orang awam yang tidak mengetahui nas. Namun kesahihan nukilan Muhammad Hashim Kamali sepatutnya dipertikaikan kerana tidak menyebutkan di mana Ibn al-Hummam berkata begitu. Adakah di dalam kitabnya, Sharh Fath al-Qadir? Wallahu a’lam, Muhammad Hashim Kamali tidak buktikan. Jika Ibn al-Hummam tidak berkata begitu, maka beliau tidak tercela, yang tercela ialah Muhammad Hashim Kamali sendiri lalu diikuti oleh MAMA yang tidak teliti. Setahu saya, yang berkata/berhujah demikian hanyalah puak Azariqah dari Khawarij sahaja.

Mengapa MAMA tidak mengambil berat terhadap persaksian salah seorang saksi wahyu (Saydina ‘Umar) tadi? Adakah pandangan puak pengacau Azariqah/Khawarij serta ‘umala’ orientalis akhir zaman ini lebih utama pada pertimbangan MAMA sehingga mendakwa mereka itu sebagai ‘sebilangan besar ulama fiqh yang tidak bersetuju dengan pandangan majoriti yang menghendaki hukuman rejam ke atas penzina muhsan.’ Begitu juga, MAMA tidak menoleh langsung kisah bagaimana ‘Umar bin ‘Abdul ‘Aziz mematikan hujah puak Khawarij itu dalam satu majlis perdebatan tentang hukum rejam ini. Rujuklah kitab Dr. Muhd ‘Ali al-Sabuni yang telah diterjemahkan ke Bahasa Melayu itu, untuk mendapat maklumat lanjut.

Akhir sekali MAMA membuat kesimpulan kedua-dua pendapat adalah betul dan terpulanglah kepada kerajaan Islam yang berkuasa untuk menentukannya, sedangkan hakikatnya kedua-dua pendapat itu amat tidak setaraf umpama langit dengan bumi. Jadi, dalam masalah ini MAMA pun lemas dan karam dalam ‘perselisihan ulama’ seperti Astora juga dalam kebanyakan masalah yang dibincangkan dalam Bicara Agamanya.

Alhamdulillah, saya telah menjatuhkan dahan yang rapuh tempat Astora bergantung, mudah-mudahan orang lain tidak terjatuh lagi bersamanya. Jadi secara langsung saya juga telah berjaya –alhamdulillah- menggugurkan hujah Astora yang kononnya mendapat sokongan ilmuan di menara gading.

Sebelum saya khatamkan ulasan/kritikan saya terhadap Astora kali ini, saya ingin mematahkan satu lagi hujah kosong Astora yang menyebutkan, “Bagaimanapun, terdapat contoh-contoh pertentangan dalam hadis-hadis yang tidak disebutkan oleh MAMA dan ini termasuk sebuah hadis yang menceritakan tentang seorang penzina yang datang berjumpa dengan Rasulullah untuk dilaksanakan hukum ke atasnya. Tetapi Rasulullah tidak melaksanakan hukuman ke atas penzina itu kerana baginda menganggap sembahyangnya dengan baginda sebagai dia telah bertaubat dan terhapus dosanya.” (Bicara Agama, MM, 24/10/99)

Pekung kejahilan Astora terbuka lagi di sini! Ataupun dia sebenarnya tidak jahil, tetapi sengaja berusaha menimbulkan keraguan terhadap kewajipan melaksanakan hudud. Kenapa tidak diterjemahkan betul-betul hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim daripada Anas bin Malik itu? Hadis itu sebenarnya mengisahkan seorang lelaki yang datang mengadu kepada Nabi .s.a.w. dengan berkata ‘asabtu haddan’ (aku telah melanggar had) lalu meminta Nabi s.a.w. menghukumnya supaya bersih daripada dosa. Nabi s.a.w. tidak memahami itu sebagai pengakuan zina, tetapi Astora pula yang memandai-mandai membuat tafsiran rambang mengatakan lelaki itu telah mengaku berzina. Dari mana dia dapat tafsiran itu, saya pun tidak pasti. Hujah saya mengatakan Nabi s.a.w. tidak memahami itu sebagai pengakuan zina ialah berdasarkan huraian al-Imam al-Nawawi (mati 676H/1398M) terhadap hadis itu dengan berkata, “Cakapnya ‘asabtu haddan’ bermakna ‘aku telah melakukan maksiat yang boleh dita’zirkan’, bukannya bermakna ‘had (hudud) syar’ie yang hakiki’ seperti hudud zina, minum arak dan seumpamanya. Ini kerana hukum-hukum hudud yang tersebut itu tidak boleh digugurkan dengan sembahyang, dan tidak harus bagi pemimpin meninggalkan pelaksanaannya.” Lihat kitab Riadhu al-Salihin (hadis no. 434) dan Syarhu Muslim, kedua-duanya oleh al-Imam al-Nawawi rahimahullah.

Setelah terserlah hakikat itu, kita sendiri timbangkanlah: Siapakah yang lebih alim/mahir/faqih tentang Bahasa Arab dan dalil-dalil syari’at Islam antara al-Imam al-Nawawi dan ‘al-Imam al-Astora Jabat’?

Setelah membina hujahnya atas landasan kejahilan dan fahaman yang menyeleweng terhadap hadis itu, Astora menyimpulkan, “Masalah seperti inilah yang dihadapi oleh semua cerdik pandai Islam yang mahu menetapkan hukum dengan hadis-hadis ahad. Dengan itu tidak hairan jika ramai ulama menolak hadis ahad untuk digunakan dalam menetapkan hukum-hukum yang berat terutama berkaitan dengan jenayah hudud.”

Amboi, amboi…! Mudahnya dia berdusta. Cuba sebutkan nama-nama yang dikatakan ‘ramai ulama yang menolak hadis ahad’ itu! Sebutkan, buktikan, dan jangan berdusta!

Setelah membaca tafsiran ‘sendirian berhad’ Astora terhadap hadis tadi, saya makin dapat mengesan punca dia menuduh Nabi s.a.w. ‘melaksanakan hukuman yang menyalahi peruntukan dalam al-Quran’ seperti yang ditulisnya dalam Bicara Agama 22/8/99 yang lalu. Kerana kedangkalan ilmunya, dia menuduh dan menfitnah Nabi s.a.w. secara shortcut. Saya tidak memahami apakah jenis Islam yang dianuti oleh Astora sehingga sanggup menfitnah Nabi s.a.w. sebegitu sekali. Agaknya Islam acuan ‘Abdullah bin Ubay. Tolong jangan marah dan berkecil hati wahai Astora, saya berkata begitu kerana perangai dusta anda sendiri. Marahkan diri anda sendiri. Kalau anda terasa, maka itulah sebaik-baiknya, kerana ‘terasa’ itu adalah permulaan hidayat. Semua para Sahabat mendapat hidayat kerana mereka ‘terasa’ terhadap apa yang Nabi s.a.w. ucapkan. Kalau tidak ‘terasa’ mereka tidak akan dapat hidayat Islam. Kalau anda tidak faham dan keliru dalam sesuatu masalah berkaitan Islam, sila tanya dan bincangkan dengan ahlinya. Jangan angkuh dan merasa sudah faham semuanya. Anda telah membuktikan anda seorang yang angkuh bila menyatakan “Tidak ada keberatan untuk merujuk Tok Guru Nik Aziz, bukan kerana tidak faham, tetapi….” (Bicara Agama, 24/10/99).

Anda juga nampaknya tidak bersedia menerima cadangan orang lain supaya merujuk sesebuah buku. Dalam masa yang sama anda meminta orang lain “…jangan berhenti membaca setakat rencana-rencana ditulis oleh penulis sahaja, tetapi hendaklah merujuk juga kepada sumber-sumber yang penulis sebutkan dalam rencana-rencana berkenaan.” (Bicara Agama, 24/10/99). Setelah saya cadangkan –dalam artikel saya bertajuk ‘Umar r.a. Pelaksana Hudud, Bukan Pengubah- supaya anda merujuk buku Muhammad Yasin Mazhar, Organization of Government Under The Holy Prophet (S.A.W.) yang diterjemahkan ke B. Melayu dengan tajuk Organisasi Kerajaan Pimpinan Rasulullah (DBP,1993) itu, anda masih lagi mendakwa “Bagaimanapun, dari segi bentuk negara tidak serupa. Negara Rasulullah umpanya sangat simple, tidak ada kementerian-kementerian dan tidak ada pembahagian tugas dan kuasa dalam pemerintahan di mana Nabi Muhammad merupakan seorang rasul (jawatan daripada Allah) dan pada waktu yang sama baginda pemimpin negara, pemimpin tentera, pemimpin politik, ketua polis, hakim dan lain-lain (jawatan dunia).” (Bicara Agama, 24/10/99) Dakwaan tidak wujud kementerian, pembahagian tugas dan kuasa di zaman Nabi s.a.w. adalah dakwaan orang jahil lagi cetek kajian dan ilmunya. Anda sendiri yang menggambarkan diri anda demikian. Puncanya, kerana anda bersikap angkuh dan merasa sudah faham dan tahu segalanya tentang Islam.

Apa guna anda menggapai sokongan ilmuan di menara gading dalam isu hudud rejam, sedangkan anda tidak menerima kedua-dua hukum ke atas penzina sama ada rejam atau sebat 100 rotan, bahkan anda menyokong kuat pihak yang tidak memperundangkan hudud al-Quran dengan alasan-alasan yang kononnya syar’ie, yang dicipta oleh anda sendiri hasil kerjasama pemikiran dengan orientalis dan sekularis.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah s.w.t. kerana menolong saya menyediakan bukti-bukti untuk kesekian kalinya sebagai mensabitkan bahawa ASTORA JABAT PENDUSTA AGAMA. Untuk mengikuti bukti-bukti pendustaan Astora yang sebelum ini, sila layari laman http://www.parti-pas.org, berita bertarikh 2/9/99, 8/10/99 dan 25/10/99.

Terima kasih kepada sahabat senior saya semasa di Kolej Islam Klang (1988-90), Mohd Asri Zainul Abidin (P. Pinang) kerana turut sama berjuang membersihkan penyelewengan Astora tentang isu aurat/tudung kepala wanita dalam tulisannya ‘Aurat wanita: Astora Jabat ditegur’ (Eksklusif, 8-14/11/99). Semoga dengan penglibatan ramai ilmuan yang ikhlas dalam ilmu akan menyelamatkan umat daripada tersesat tanpa mereka sedari.

Sekian dulu ulasan dan nasihat ikhlas saya untuk Astora khususnya dan umat Islam (yang berbahasa Melayu) amnya., wassalam

Ali Muda