Apakah Mereka Akan Memohon Maaf?

Primary tabs

Oleh: Misbahul Munir

Pemilihan Ahli Majlis Syura PAS cuba dipolemikkan oleh penulis-penulis blog ahli PAS seolah-olah mereka lebih tahu berbanding dengan pimpinan PAS itu sendiri. Pada saya lebih baik diam dan tunggu sahaja dengan memberi kepercayaan kepada pimpinan sepenuh hati daripada mengulas perkara yang kita tidak tahu menahu. Beberapa penulisan dalam blog yang saya baca, sekiranya diamati dengan teliti ternyata mereka tidak menahu tentang perkara tersebut.

Ulasan yang diberi seolah-olah mereka benar-benar faham kandungan Perlembagan PAS sehingga mereka mempertikai pindaan-pindaan yang telah buat. Pada hal mereka jahil dan tidak tahu menahu. Saya bukan pimpinan PAS yang ada autoriti untuk menjawab polemik ini. Tetapi saya tahu apa yang mereka tulis tidak betul dan berniat jahat bagi memburukkan pimpinan tertinggi PAS. Saya rasa bertanggung jawab bagi menjawab persepsi yang slah ini.

Muktamar Agung Khas bagi meminda beberapa fasal dalam Perlembagaan PAS telah dibuat pada tahun 2006 di Negeri Kedah. Kertas-kertas mengenai pindaan tersebut telah dibentang oleh Ust Hj Hassan Shukri, antara kandungan-kandungan pindaan ialah mengenai Majlis Syura Ulama, perlantikan-perlantikan penolong Setiausaha dan sebagainya. Deraf pindaan kemudian dibahas oleh perwakilan.

Muktamar seterusnya pada tahun 2007 di Kelantan dibentangkan semula pindaan tersebut setelah mengambil kira pandangan dan cadangan dari perwakilan ketika dibahaskan pada tahun 2006. Dan ia diluluskan sebulat suara. Selepas Muktamar berakhir, PAS Pusat telah menghantar pindaan-pindaan tersebut ke Pejabat Pendaftar Pertubuhan untuk diluluskan. Pejabat Pendaftar Pertubuhan mengambil masa dua tahun bagi meluluskan pindaan tersebut. Pada tahun 2009 Pejabat Pendaftar Pertubuhan telah meluluskan pindaan tersebut.

Sesalinan deraf Perlembagaan PAS yang telah dipinda dan diluluskan telah dihantar kepada semua pejabat Perhubungan Negeri-negeri, saya sebagai Setiausaha Perhubungan PAS Perak salah seorang yang menerima deraf tersebut.

Pindaan-pindaan tersebut tidak ada kaitan langsung dengan unsur-unsur Kerajaan Perpaduan, ada penulis blog yang terang-terang menuduh ini kerja Cikgu PA dan beberapa pemimpin PAS yang ada kaitan dengan isu kerajaan perpaduan. Kononnya sejak Cikgu PA menjadi Setiausaha Agung banyak sungguh pindaan dibuat, dipertikai pula kononnya pindaan tersebut tidak dibawa ke mesyuarat agung dan macam-macam lagi tohmahan jahat penulis blog yang mengaku ahli PAS. Cetek dan jahil betul pemikiran mereka ini.

Pindaan ini dibuat ketika Datuk Kamaruddin Jaafar sebagai Setiausaha Agung, ketika itu cadangan pindaan perlembagan dibuat belum timbul isu Kerajaan Perpaduan.

Isu pemilihan Ahli Majlis Syura dikaitan dengan pindaan Perlembagaan yang kononnya bertujuan menyingkirkan Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Ust Ahmad Awang yang dikatakan merekalah penghalang Kerajaan Perpaduan.

Tidak keterlaluan untuk saya katakan para blogger ini terlalu jahil untuk memahaminya atau sengaja menimbulkan polemik supaya mereka dilihat lebih tahu dan hebat berbanding dengan pimpinan PAS, dan mereka mahu menjadi juara reformasi dalam PAS.

Tidak sukar memahami pindaan-pindaan yang dibuat dalam perlantikan Ahli Majlis Syura Ulama PAS. Jawatankuasa Kerja PAS Pusat diberi kuasa melantik 4 orang AJKnya menganggotai Ahli Majlis Syura Ulama, perlantikan telah dibuat. Anggotanya ialah YB Datuk Presiden, Timbalan Presiden, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Datuk Hj Abdul Halim Abdul Rahman. Dewan Ulama pula diberi kuasa melantik 4 orang AJKnya, perlantikan juga telah dibuat. Ahlinya ialah YB Ust Harun Taib, YB Datuk Hj Ahmad Yaakob, Datuk Dr.Mafuz dan Ust Nik Zawawi. Manakala Dewan Pemuda melantik Ust Nasaruddin Hasan dan Ust Zaharuddin, Manakala Dewan Muslimat melantik Ustazah Wahibah Tahir, seorang lagi saya tidak pasti.

Ini semua terkandung dalam Perlembaaan PAS (pindaan baru) dalam FASAL 7A.
(2) Ahli-ahli Majlis Syura ‘Ulamak hendaklah terdiri daripada tidak lebih tujuh belas orang iaitu:
(a) Seorang Mursyidul ‘Am
(b) Seorang Timbalan Mursyidul ‘Am
(c) Seorang Setiausaha Majlis Syura ‘Ulamak, dan
(d) Tidak lebih empat belas orang Ahli Majlis Syura‘Ulamak

(3) Seseorang yang hendak dilantik menjadi Ahli Majlis Syura
‘Ulamak itu hendaklah seseorang yang mengetahui masalah-masalah pokok (AL-USUL) dalam syariat Islam dan hukum-hukumnya atau/dan dapat merujuk masalahmasalah itu kepada al-Quran, as-Sunnah, Ijmak dan Qias dengan faham akan maksud dan maknanya yang muktabar dan hendaklah seorang yang adil yakni tidak melakukan dosa besar atau terus menerus melakukan dosa kecil dan hendaklah terpelihara maruahnya serta hendaklah seorang ahli PAS.

(4) Empat orang daripada ahli Majlis Syura 'Ulamak itu hendaklah dipilih dan dilantik oleh Jawatankuasa Kerja PAS Pusat dan empat orang yang dipilih dan dilantik oleh Jawatankuasa Kerja Dewan ‘Ulamak PAS Pusat dan masing-masing dua orang yang dipilih dan dilantik oleh Jawatankuasa Kerja Dewan Pemuda PAS Pusat dan Jawatankuasa Kerja Dewan Muslimat PAS Pusat dan tidak lebih lima orang yang baki itu dipilih dan dilantik oleh Majlis Syura 'Ulamak itu sendiri. Keahlian seseorang ahli majlis itu boleh diperbaharui oleh pihak yang memilih/melantiknya setelah tamat tempoh tersebut.

(5) Ahli-ahli Majlis Syura 'Ulamak itu hendaklah memegang jawatannya selama lima tahun. Walau bagaimanapun ahli-ahli majlis ini boleh berhenti sebelum cukup tempoh lima tahun dan boleh diberhentikan oleh Majlis Syura 'Ulamak yang mempunyai kuasa menentukan kelayakan seseorang ahli mengikut peruntukan Fasal 7A(3) dan sebab-sebab
seseorang ahli itu patut diberhentikan.

(6) Seorang Ketua Majlis Syura 'Ulamak yang dikenali sebagai Mursyidul 'Am dan seorang Timbalannya yang dikenali sebagai Timbalan Mursyidul 'Am hendaklah dipilih di
dalam dan dengan persetujuan mesyuarat Majlis Syura 'Ulamak tersebut dari kalangan ahli-ahlinya dan akan memegang jawatan itu selama lima tahun dengan syarat dia boleh berhenti sebelum cukup tempoh tersebut dan boleh diberhentikan dengan persetujuan dua pertiga daripada ahli-ahli Majlis Syura 'Ulamak itu dan boleh diperbaharui perlantikannya setelah tamat tempoh dia memegang jawatan itu.

(7) Seorang Setiausaha Majlis Syura ‘Ulamak hendaklah dilantik oleh Mursyidul ‘Am di dalam dan dengan persetujuan mesyuarat Majlis Syura ‘Ulamak dari kalangan ahli-ahlinya, dan hendaklah memegang jawatan itu selama lima tahun dengan syarat dia boleh berhenti sebelum cukup tempoh tersebut dan boleh diberhentikan dengan persetujuan mesyuarat Majlis Syura 'Ulamak dan boleh diperbaharui perlantikannya setelah tamat tempoh dia memegang jawatan itu.

(8) Mursyidul 'Am hendaklah mempengerusikan semua mesyuarat-mesyuarat Majlis Syura 'Ulamak. Sekiranya ketiadaan Mursyidul 'Am dengan apa-apa sebab sekalipun, tugas mempengerusikan mesyuarat Majlis Syura 'Ulamak itu hendaklah dijalankan oleh Timbalan Mursyidul 'Am. Jika kedua-duanya berhalangan atas apa-apa sebab, maka mesyuarat Majlis Syura 'Ulamak hendaklah melantik salah seorang dari kalangan ahli-ahlinya untuk mempengerusikan mesyuarat itu.

12 orang Ahli Majlis Syura yang telah dilantik ini telahpun bermesyuarat bagi melantik 5 orang lagi. Mesyuarat pertamanya bersetuju melantik Datuk Presiden mempengerusikan mesyuarat bagi menjalankan perlantian 5 ahli Majlis Syura yang lain. Di pilihnya Presiden bagi mempengerusikannya kerana atas faktor ketika itu beliaulah yang paling kanan dan senior dalam parti. Ketika itu Mursyidul Am belum dilantik lagi. 5 orang yang dipilih itu, salah seorangnya ialah YAB Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, Datuk Dr. Harun Din juga turut dilantik, tidak silap saya turut dilantik Ust Hashim Jasin dari Perlis dan YAB Ust Azezan Razak dari Kedah. Saya tidak pasti siapa seorang lagi.

17 orang Ahli Majlis Syura Ulama ini akan bermesyuarat dalam masa terdekat ini, tidak silap saya petang ini satu mesyuarat Majlis Syura akan diadakan bagi melantik Mursyidul Am dan Timbalan Mursyidul AM PAS.

Tidak timbul penyingkiran Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Ust Ahmad Awang. Ada Penulis Blog menimbulkan mengapa mesyuarat Ahli Majlis Syura yang lalu tidak menjemput Tuan Guru dan ust Ahmad Awang sedangkan mereka masih Ahli Majlis Syura. Nampak sangat mereka ini tidak tahu apa-apa, tanpa usul periksa mereka menuduh ini semua kerja Cikgu PA dan geng-geng kerajaan perpaduan. Jahat sungguh pemikiran mereka.

Untuk pengetahun,pada hujung bulan 2009 yang lalu, Majlis Syura Ulama telah mengadakan Mesyuarat terakhirnya kerana tempoh perkhidmatan mereka telah tamat. Oleh kerana tempoh perkhidmatan mereka telah tamat pada akhir tahun 2009, mereka sebenarnya sudah tidak lagi menjadi anggota Majlis Syura Ulama. Mesyuarat jawatankuasa Kerja PAS Pusat yang lalu (saya tidak pasti mesyuarat ke berapa) tetapi awal tahun 2010 telah melantik ahli-ahli barunya berdasarkan peruntukan dalam perlembaaan PAS yang baru.

Mesyuarat pertama dihadiri oleh 12 orang tadi, 12 orang tadi akan melantik 5 ahli barunya yang lain. 17 ahli ini pula akan bermesyuarat bagi melantik Mursyidul Am dan Timbalan Mursidul Am. Mesyuarat pertama dulu Tuan Guru Nik Abdul Aziz dan ust Ahmad Awang tidak dijemput sebab mereka bukan lagi Ahli Majlis Syura, perlantikan tambahan untuk 5 orang belum lagi dibuat. Ini yang penulis blog tidak faham.

Mengapa tidak lantik ust Ahmad Awang ?. Perlantikan Ahli Majlis Syura mengikut quata. Quata Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dewan Ulama, Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat. Kebetulan ust Ahmad tidak menganggotai mana-mana jawatankuasa tersebut, sebab itu tidak ada quata untuknya.

Kesimpulannya, para penulis blog yang mengaku ahli PAS janganlah buang masa kamu untuk menulis perkara yang kamu tidak mahu menahu. Asal sahaja ada tulisan dari mana-nama blog yang mengkritik pimpinan, tanpa usul periksa terus sahaja mengulas dan menokoh tambah dan memuatkan tulisan tersebut dalam blog masing-masing.

Insaflah, tulisan seumpama itu sedikitpun tidak menguntungkan parti dan Islam, malahan ia lebih menguntungkan UMNO BN apabila blogger PAS sendiri menjadi lidah kepada UMNO BN itu sendiri. UMNO BN sangat seronok apabila peranan blogger dan media mereka diambil alih oleh ahli PAS.

Sumber: http://misabah.blogspot.com/2010/03/ahli-majlis-syura-ulama-pas-kalau-tidak.html