Blog Syiah Dakwa Azizan Abdul Razak & Aziz Hanafi Diperalatkan Oleh Terorist Wahabi

Sebuah artikel dari blog Syiah unggaspagi.blogspot.com yang membidas tindakan MB Kedah dan Dr Aziz Hanafi mendokong usaha membenteras ajaran Syiah Imamiah dari terus berkembang di negeri itu. Penulis cuba mengaitkan usaha kerajaan Negeri Kedah ini didalangi oleh Wahabi yang mereka dakwa sebagai terorist.

Mari kita baca apa kata mereka;


--Petikan dari blog unggaspagi--

Saya diminta untuk mengulas sedikit tentang pejabat mufti negeri Kedah (utara Malaysia) yang baru-baru ini berjaya menganjurkan Seminar Isu Ajaran Syiah Dan Penguatkuasaan Undang-Undang. Ternyata saya tidak mempunyai waktu yang banyak kerana terlalu sibuk dengan urusan harian. Namun cukuplah pada hari ini saya ceritakan sedikit kes yang berkaitan dengan Azizan dan Aziz Hanafi.

Sebelum ini saya sudah membawa banyak bukti-bukti kegiatan Wahabi yang semakin rancak menumpahkan darah umat Islam meskipun pihak mereka cuba menafikannya dengan beraneka dalih. Namun perkara ini bukanlah misteri untuk diperdebatkan kerana bukan hanya Majlis Keselamatan Negara sahaja yang sedar tentang aktiviti kejam kelompok ini, malah seluruh dunia sudah menyaksikan kesan negatif ajaran yang suka mengkafirkan fahaman lain.

Oleh kerana mereka ini menyamar sebagai Ahlusunnah, kadangkala kita sukar untuk mengesan gerakan rapi pengganas ini sehingga Yang Amat Berhormat Menteri Besar Kedah Dato’ Seri Azizan bin Abdul Razak dan Dr Aziz Hanafi telah pun menjadi alat untuk menyebarkan fahaman ini. Kita perlu ingat sandiwara mereka yang kononnya ingin memerangi Syiah habis-habisan ini hanyalah untuk membasuh otak golongan yang cetek ilmu agama agar membenci Syiah dan sekaligus menyerapkan akidah-akidah Wahabi di dalam pemikiran mereka.

Dengan ini salah satu cara yang paling ampuh untuk meluaskan fahaman Wahabi adalah memperkudakan Azizan dan Aziz Hanafi dalam menyebarkan pembohongan atas nama Islam. Terlebih dahulu, izinkan saya mengkritik dan mempertikaikan status akademik kedua-dua tokoh ini melalui kes pelancaran buku ‘Mengapa Aku Meninggalkan Syiah’ sehingga kita melihat di manakah mereka ini telah diperalatkan oleh Wahabi. Setahu saya setiap orang wajib dikritik apabila melakukan perkara mungkar. Barangkali ahli Pas tidak senang kalau tokoh mereka dikritik, namun saya tak sanggup melihat rakyat negeri Kedah ditipu bulat-bulat.

Beberapa ketika sebelum saya difahamkan bahawa YAB Menteri Besar telah melancarkan buku yang diterjemah dari judul aslinya ialah Lillah thumma littarikh. Menurut informasi, ianya diedarkan percuma dengan menampilkan warna kulitnya yang bewarna merah sesuai dengan latar bendera negeri Kedah. Selain itu pihak penerbit sanggup meletakkan logo kerajaan negeri supaya ianya kelihatan seolah-olah melambangkan alat rasmi kerajaan Negeri. Malangnya Dr. Aziz Hanafi dalam kata penghargaan di halaman kedua buku ini secara optimis mengatakan:

Buku ini sebenarnya satu lagi pendedahan secara akademik yang sekali gus membongkar perkara pokok pegangan Syiah Imamiyah.

Betapa angkuhnya Aziz Hanafi ini, apakah dia sudah meneliti kebenaran isi kandungan buku tersebut atau terlalu gelojoh membenarkan apa saja fakta yang tidak betul tentang Syiah. Mungkin beliau menganggap Syiah tidak ada harganya dan boleh berbohong apa sahaja tanpa rasa berdosa sedikit pun. Tapi jangan lupa Allah membalas perancangan kamu dan sebaik-baik perancang itu ialah Allah (s.w.t). Saya cuma ingin mengulangi analisa Dr Abu Mahdi Al-Qazwini iaitu penulis mendakwa pernah melawat As Sayid Dildar Ali bin Muhammad Mu’in An Naqawi yang meninggal pada tahun 1235 Hijrah.

Dalam masa yang sama penulis dilahirkan lebih dari 100 tahun kemudian!!! Bagaimanakah cara kita menjejaki usia pengarang itu? Mari kita lihat dalam buku Kenapa Aku Meninggalkan Syiah versi pdf, halaman 160:

… sahabat ku seorang penyair yang hebat iaitu Ahmad Shofi al-Najafi. Aku mengenalinya sebaik sahaja mendapat pangkat Ijtihad dan kami berdua menjadi sahabat yang rapat walaupun beza umur di antara kami cukup jelas. Beliau lebih tua daripada ku 30 tahun atau lebih. Nota kaki menyatakan: Ahmad al-Sofi al-Najafi (1897-1977M).

Dilahirkan di Najaf. Seorang penyair Iraq yang hebat. Ini bererti penulis dilahirkan sekurang-kurangnya pada tahun 1927 (1897+30) Masihi. Tahun 1927 bersamaan dengan 1345 Hijrah menurut Gregorian-Hijri Dates Converter . Maka jarak di antara kematian Sayid Dildar Ali dan kelahiran penulis ialah 110 tahun! Maka di manakah akal anda wahai Azizan dan Dr. Aziz Hanafi? Untuk melihat lebih lanjut kritikan sepintas lalu buku tersebut, sila rujuk pada posting blog ini.

Kesimpulan
Azizan Abdul Razak dan Dr. Aziz Hanafi telah diperalatkan untuk menconteng arang ke muka institusi ilmu dan mencemarkan nama negeri Kedah serta Parti Islam Semalaysia atas nama Islam. Maruah kerajaan negeri Kedah harus dibersihkan segera dan diharap lebih berhati-hati supaya tidak menjadi alat propaganda musuh Islam. Pejabat mufti pula digesa agar bertanggung jawab menyiasat dan mendedahkan dana yang kelompok ini perolehi ketika mencetak dan menyebarkan buku ini secara percuma. Saya khuatir ada dalang yang cuba mengwahabikan penduduk Kedah yang selama ini majoritinya berpegang dengan mazhab Ahlusunnah. Jikalau gerakan anti Syiah ini tidak dibendung segera, saya yakin pengikut golongan pengganas Wahabi ini akan bertambah. Aziz Hanafi perlu bertanggung jawab atas dosanya mendukung pembohongan. Selain itu status akademik kedoktorannya juga perlu dipertikaikan. Selain itu Azizan bin Abdul Razak perlu memohon maaf secara terbuka kerana perbuatannya melancarkan buku tersebut boleh mencetuskan perpecahan umat Islam.

Walaubagaimana pun saya sanggup bekerjasama dengan pejabat mufti untuk memberikan informasi yang tepat tentang Syiah. [

unggaspagi.blogspot.com]

Perhatian: Buku berkenaan boleh di muat turun di sini [LINK]