JH-MANHAJ-008- BANTUAN UNTUK PENUNTUT ILMU HADITH #1

Berdasarkan perbincangan bersama rakan-rakan yang juga penuntut ilmu, saya merasa terpanggil untuk berkongsi bersama salah satu perkara yang lebih merupakan bantuan untuk mana-mana penuntut ilmu dalam meningkatkan kemahiran dalam mempelajari ilmu hadith. Perkara tersebut ialah BACAAN HADITH BERJADUAL.

CARA PERLAKSANAAN BACAAN HADITH BERJADUAL

Caranya ialah dengan mewujudkan jadual pembacaan atau pengajian buku-buku hadith utama dimulakan dengan Sahih al-Bukhari, Sahih Muslim dan seterusnya buku-buku Sunan (Abu Daud, Tirmidzi, Ibnu Majah dan al-Nasaaei). Walaupun mudah disebut, tapi sukar dilakukan. Namun begitu bagi mereka yang berazam dan berusaha, semuanya akan dimudahkan Allah SWT. Terdapat beberapa perkara yang perlu diberikan perhatian:

1- Jadual pembacaan pasti berbeza mengikut kemampuan dan juga masa setiap penuntut ilmu. Mungkin ada yang mampu membaca berpuluh malah beratus hadith pada satu hari manakala ada yang lain pula hanya sempat membaca beberapa hadith sahaja. Namun yang paling penting ialah ianya berterusan dalam jadual yang tetap.

2- Elok sekiranya dimulakan dengan Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim seterusnya barulah diteruskan dengan empat buku Sunan (Abu Daud, Tirmidzi, Ibnu Majah dan Nasaaei).

3- Pembacaan hadith mestilah berserta terjemahannya bagi membantu menguatkan ingatan kita selepas kita membacanya nanti.

4- Mungkin ada yang mampu untuk menggunakan terus buku-buku utama seperti membaca naskhah asal Sahih al-Bukhari yang mengandungi hampir 8000 hadith. Namun begitu untuk permulaan, mungkin amat baik jika dimulakan dengan ringkasan Sahih al-Bukhari.

5- Di antara cadangan yang baik berkaitan hadith-hadith Sahih al-Bukhari dan Muslim ialah membaca buku al-Wafi Bi Ma Fi al-Sahihain hasil susunan Syeikh Salih Ahmad al-Syami yang mula dicetak pada tahun 2007. Ia amat baik kerana mengumpulkan hadith-hadith dalam Sahih al-Bukhari dan Muslim. Namun begitu bagi yang mampu, eloklah membaca hadith daripada naskhah asal Sahih al-Bukhari dan Muslim.

6- Seeloknya pembaca menumpukan kepada maksud terjemahan hadith semata-mata dan tidak mencari huraian hadith yang panjang. Ini untuk menjaga masa yang diperuntukkan untuk bacaan. Pada waktu yang lain bolehlah kita melihat huraiannya pula dalam buku-buku yang lebih panjang.

7- Bacaan boleh dilakukan sendiri atau dilakukan secara bersama dengan rakan-rakan secara bergilir. Begitu juga boleh dilakukan di dalam kuliah-kuliah pengajian tetap sekiranya ada.

8- Ada yang membantu bacaannya dengan mendengar bacaan yang terdapat di dalam beberapa laman web Islam di mana terdapat sebilangan ulama atau penuntut ilmu yang telah merakamkan bacaan mereka terhadap buku-buku hadith utama. Ini amat membantu kerana boleh diulang serta didengari di mana sahaja dengan bantuan alat-alat tertentu seperti pemain mp3 dan sebagainya.

9- Kita juga boleh merakam bacaan sendiri terhadap hadith-hadith untuk tujuan didengari pada waktu yang lain atau untuk tujuan pengulangan.

10- Di antara buku yang boleh juga dijadikan bacaan bersama ialah buku-buku ringkas yang penting seperti Hadith 40 Imam al-Nawawi dan dilengkapkan dengan Jami’ al-‘Ulum wa al-Hikam Ibnu Rejab al-Hanbali, buku Umdat al-Ahkam oleh Abd. Ghani al-Maqdisi. Begitu juga buku Riyadhussolihin karya Imam al-Nawawi.

FAEDAH PEMBACAAN HADITH BERJADUAL

Bagaimanakah jadual pembacaan sebegini akan membantu seorang penuntut ilmu hadith?

1- Dengan melihat terus kepada buku-buku hadith utama, penuntut ilmu hadith akan dapat membiasakan diri dengan cara susunan hadith di dalam buku-buku itu dan ini akan memudahkannya melakukan carian hadith.

2- Di dalam menggunakan buku-buku ini, penuntut ilmu akan bertemu dengan pelbagai maklumat sampingan berkaitan hadith terutama berkaitan kajian. Contohnya ketika membaca buku Sahih Muslim dan Sahih al-Bukhari, kita akan bertemu dengan beberapa pandangan kedua Imam al-Bukhari dan Muslim yang mendhaifkan beberapa hadith dan ini tidak diketahui oleh sebahagian penuntut ilmu yang hanya menggunakan ringkasan Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim atau perisian ringkas dalam komputer. Ini dapat dilihat dengan lebih jelas sekiranya kita membaca pula buku Jami’ al-Tirmidzi yang dipenuhi dengan maklumat yang pelbagai berkaitan fiqh, kritikan periwayat dan penilaian kesahihan atau kedhaifan hadith serta pelbagai lagi.

3- Dengan pembacaan yang bersistem dan berdisiplin, maklumat tentang hadith-hadith yang berkaitan dapat ditambah oleh seseorang penuntut ilmu hadith. Contohnya dengan membaca hadith-hadith yang dikumpulkan dalam satu bab khusus dapat memberikan gambaran tentang hadith-hadith lain yang ada kaitannya dengan hadith yang sedang dibaca.

4- Jiwa sabar seorang pengkaji yang mirip pengkaji silam juga dapat dibentuk kerana bukan mudah untuk kekal dan istiqamah dalam pembacaan hadith. Susah payah yang dilalui akhirnya akan melahirkan satu tabiat yang baik iaitu kesabaran membaca hadith dan menambahkan bacaan. Alangkah baiknya jika seorang penuntut ilmu dapat merasai kelazatan membaca hadith seperti apa yang pernah disifatkan oleh sebahagian ulama hadith silam sebagai satu ‘yang lebih menggoda dari harta benda’.

5- Melahirkan rasa hormat dan kagum terhadap usaha pengumpulan dan kajian para ulama terdahulu. Seseorang itu tidak akan kagum dengan ilmu al-Bukhari atau Muslim sekiranya sekadar membaca biodatanya semata. Namun perasaan hormat itu akan lebih mendalam apabila dilihat pada hasil kajian mereka yang penuh dengan ketelitian, ketekunan dan kajian amali. Pasti setiap pembaca yang membaca buku mereka dengan mendalam akan menuturkan di dalam hati : ‘bagaimanakah seorang manusia biasa boleh menyusun buku yang sebegini hebat?’.

6- Bacaan sebegini dapat dilihat hasilnya apabila kita terjumpa hadith-hadith yang pernah dibaca. Percayalah, sedikit sebanyak anda akan tahu bahawa hadith tersebut ada di dalam buku-buku tertentu kerana anda pernah membacanya. Ini juga bergantung kepada sejauh mana ingatan dan bilangan pengulangan. Inilah yang akan membantu seorang penuntut ilmu hadith ketika melakukan pencarian sumber sesuatu hadith!

Semoga kita akan dihiasi sifat rendah diri dan tekun dalam menghargai kajian ulama hadith terdahulu. Saya mengharapkan cadangan jadual pembacaan ini akan dapat membantu menghilangkan gelisah dan keluh kesah penuntut ilmu hadith yang seringkali merasai kesukaran dalam membina peribadi seorang pengkaji sebenar.

 

Oleh: alitantawi