JH-SEJARAH-005- Fakta Ringkas Tentang Penulisan Hadith

Primary tabs

Berikut adalah beberapa fakta ringkas yang dirasakan patut untuk diketahui berkaitan penulisan hadith pada zaman Rasulullah SAW.

1- Sebahagian besar hadith-hadith Rasulullah SAW (berbentuk kata-kata, perbuatan, pengakuan atau sifat Rasulullah SAW) tidak ditulis ketika Baginda masih hidup. Ia dihafal oleh para sahabat dalam jumlah berbeza antara seorang sahabat dengan sahabat yang lain.

2- Kemampuan para sahabat untuk menghafaz hadith merupakan perkara biasa bagi kaum Arab yang telah masyhur sejak zaman berzaman dengan hafazan mereka terutama ketika menghafaz beribu-ribu bait syair. Ini ditambah pula dengan perkara-perkara lain yang membantu hafazan seperti:

- Sentiasa berada di samping Nabi SAW.

- Berbincang sesama sahabat tentang hadith, sekiranya tidak pasti mereka akan merujuk terus kepada Rasulullah SAW atau para sahabat lain.

- Hadith-hadith Nabi SAW yang mudah dihafal kerana pengulangan dan gaya bahasa tersendiri.

- Mereka menyayangi Nabi SAW dan ini membantu hafazan,

- Mereka merasai keperluan terhadap hadith dalam beribadah.

3- Namun begitu, terdapat sebahagian lagi hadith-hadith Rasulullah SAW yang ditulis oleh beberapa orang sahabat seperti Ali Ibn Abi Tolib, Abdullah Ibn Amr dan lain-lain lagi. Walaupun tidak ada suruhan ke arah perkara ini, namun para sahabat memahami keizinan Rasulullah SAW untuk mereka menulis. Apa yang mereka tulis adalah lebih kepada catatan peribadi dan bukan untuk tujuan penyebaran.

4- Terdapat hadith-hadith yang ditulis atas keizinan Rasulullah SAW sendiri bahkan ada yang diarahkan sendiri oleh Baginda seperti kisah khutbah Baginda semasa menunaikan haji terakhir sebelum kewafatan.

5- Terdapat hadith yang menyebutkan larangan menulis hadith tetapi para ulama menghuraikan bahawa ia adalah disebabkan ingin memberikan tumpuan kepada penulisan Al-Quran pada peringkat awal ia diwahyukan.

6- Di antara contoh hadith-hadith yang ditulis pada zaman Rasulullah SAW adalah surat-surat yang diutuskan oleh Rasulullah SAW dalam misi dakwah untuk umat-umat dan pemimpin-pemimpin bukan Islam di sekitar Mekah dan Madinah. Surat-surat itu ditulis oleh para sahabat atas perintah daripada Rasulullah SAW dan ia mengandungi seruan dakwah.

7- Semua sahabat – sama ada yang menghafaz atau menulis – mempunyai dua sifat asasi yang amat penting iaitu: Pertama, rasa amanah dalam memelihara hadith-hadith Rasulullah SAW agar tidak ditokok tambah atau terkurang. Kedua, rasa amanah dalam menyampaikan hadith itu kepada umat dan generasi seterusnya dalam keadaan sempurna tanpa sebarang penambahan atau pengurangan. Inilah dua faktor yang menyebabkan hadith terpelihara walaupun tidak semuanya ditulis pada zaman Rasulullah SAW.

8- Sejak Rasulullah SAW masih hidup, para sahabat amat berhati-hati dalam menyebutkan sesuatu hadith berkaitan diri Rasulullah SAW. Setelah kewafatan Baginda, mereka telah menggandakan ketelitian dan sikap berhati-hati ketika menyebutkan sesuatu hadith.

9- Setelah Rasulullah SAW wafat, kita perlu meyakini bahawa tidak ada ajaran Baginda yang terlepas daripada disampaikan kepada para sahabat. Ini termasuk hadith-hadith Baginda yang kesemuanya telah lengkap dan sempurna. Penulisan dan hafazan dijalankan seiringan dalam memelihara dan menyebarkan hadith-hadith Rasulullah SAW.

10- Hadith juga terpelihara disebabkan ia adalah sebahagian daripada janji Allah SWT dalam memelihara Al-Quran dan Islam untuk umat sepanjang zaman. Oleh itu para ahli tafsir telah memasukkan ‘pemeliharaan hadith’ di dalam maksud ‘pemeliharaan Al-Quran’ kerana hadith adalah huraian kepada Al-Quran.

Alitantawi

 

Sumber Rujukan:

1- Tarikh Nusyu’ Musonnafat al-Sunnah – Dr. Hatim al-Syarif.

2- Kitabat al-Sunnah – Dr. Rif’at Fauzi Abd. Muttolib.

3- Dirasat Fi al-Hadith al-Nabawiy – Dr. Muhammad Mustafa al-A’zami.

4- Tadwin al-Sunnah – Dr. Ahmad al-Zahrani.