KESAN HADITH DHAIF DAN PALSU TERHADAP KEHIDUPAN MUSLIM

KESAN HADITH PALSU DAN DHAIF TERHADAP KEHIDUPAN MUSLIM

Hadith dhaif adalah hadith yang tidak mencukupi syarat-syarat hadith sahih sebagaimana diterangkan melalui kajian para ulama hadith. Ini menjadikan hadith dhaif adalah hadith yang tidak dapat dipastikan adakah ia benar-benar bersumber daripada Rasulullah SAW. Para ulama hadith menegaskan bahawa hadith dhaif tidak digunakan dalam soal hukum-hakam dan aqidah. Manakala hadith palsu pula ialah hadith yang sememangnya rekaan dan disalah anggap sebagai hadith Rasulullah SAW.

Apabila ulama hadith mengemukakan pendapat tentang sesuatu hadith sebagai dhaif, mereka akan mengemukakan bersama hujah atau bukti bahawa hadith itu adalah dhaif. Begitu juga apabila mereka menyatakan tentang kepalsuan sesuatu hadith, mereka akan memberikan bukti kukuh kenapa hadith itu diberikan gelaran ‘palsu’. Sikap ini perlu kita contohi. Ini membuktikan mereka adalah pengkaji, bukannya menggunakan hati, ilham, mimpi atau apa sahaja cara yang tidak dinilai sebagai kajian.

Sekadar pembacaan yang saya lakukan, sememangnya ada hadith dhaif dan palsu yang tidak bercanggah dengan Al Quran dan hadith sahih, wallahu a’lam. Dalam hal ini, kita boleh menyebut lafaz dan maksud hadith tersebut dengan syarat kita tidak menyatakannya sebagai ‘sabda Nabi’ atau ‘hadith Nabi’. Contohnya seperti:

1. ‘tuntutlah ilmu dari buaian sehingga ke liang lahad’,

2. ‘sabar itu separuh daripada iman’,

3. ‘hikmah/ilmu itu adalah hak milik orang beriman yang hilang, maka di mana saja dia menemuinya,dialah yang berhak menggunakannya’,

4. ‘dunia itu ladang akhirat’,

5. ‘dunia itu sesaat (satu tempoh masa yang singkat) maka isilah ia dengan taat’, dan lain-lain lagi.

Namun begitu, terdapat hadith dhaif dan palsu yang membawa maksud bercanggah dengan apa yang telah ada di dalam Al Quran serta hadith sahih. Ada juga hadith dhaif dan palsu yang menyusahkan dan membebankan. Ada juga yang membawa maksud yang pelik dan bertentangan dengan fakta juga logik akal. Apalah yang hendak disusahkan, gunalah hadith-hadith sahih maka selesailah segala kekusutan dan masalah, insya Allah.

Menurut salah seorang pengkaji hadith masa kini, Syeikh Abd. Fattah Abu Ghuddah: ‘Hadith-hadith palsu itu telah memberi kemudharatan dalam pelbagai aspek seperti aqidah, ibadah, akhlak, pemikiran, sosial dan ia telah mencemarkan kesucian Islam dan kebersihannya. Dan usaha untuk membebaskan diri daripada hadith-hadith palsu ini sangat susah dan memerlukan kepada pembacaan yang berterusan dan peringatan yang tidak putus’.

(Muqaddimah tahqiq buku al Mashnu’ Fi Ma’rifat al Hadith al Maudhu’ karya Ali al Qari, muka surat 6, cetakan Maktab al Mathbu’at al Islamiyyah).

Menurut seorang lagi pengkaji hadith masa kini, Syeikh Syuaib al Arnaouth, penggunaan hadith-hadith dhaif boleh membawa kepada sikap al ghuluw (melampau) dalam agama dan membanyakkan ibadah yang menyusahkan dan ini telah menghilangkan gambaran sebenar tentang mudahnya Islam.

(Al Adab al Syar;iyyah karya Ibn Muflih, jilid 1, muka surat 289, nota kaki no.1, cetakan Muassasah al Risalah)

Di sini saya kemukakan beberapa contoh hadith dhaif dan palsu yang demikian sifatnya. Contoh-contoh ini dipilih daripada buku-buku seperti berikut:

1. ‘Riyadhussolihin’ karya al Nawawi tahqiq Syuaib al Arnaouth,

2. ‘Sunan al Daraquthni’ tahqiq Syuaib al Arnaouth,

3. ‘al Mashnu Fi Ma’rifat al Hadith al Maudhu’ karya Ali al Qari tahqiq Abd. Fattah Abu Ghuddah,

4. ‘Silsilah al Ahadith al Dhaifah’ karya al Albani,

5. ‘al Mughni ‘An Haml al Asfar’ (takhrij buku Ihya’ Ulumiddin karya al Ghazali) oleh al Iraqi,

6. ‘al Subul al Sawiyyah Fi Ma La Yashihhu Min al Ahadith Fi al Adab al Syar’iyyah’ karya Zakariyya Ibn Ghulam Qadir al Bakistani

7. ‘20 Persoalan Asas Tentang Hadis’ – Adlan Bin Abd. Aziz, akan diterbitkan oleh Jahabersa, insya Allah.

Huraian lanjut boleh didapati dalam buku-buku tersebut dan juga buku-buku lain yang membicarakan tentang hadith-hadith dhaif dan palsu. Hadith-hadith berikut mempunyai kesan buruk dalam pelbagai aspek yang berlainan. Saya tidak menghuraikan kesan buruk tersebut memandangkan ia boleh kelihatan dengan jelas hanya dengan membaca maksud hadith dhaif atau palsu tersebut:

1. Seorang suami tidak disoal kenapa dia memukul isterinya – Riwayat Abu Daud, Ibn Majah dan lain-lain lagi dengan sanad yang mengandungi dua periwayat yang tidak dipercayai. Susah juga nasib isteri jika suami menggunakan hadith ini sebagai hujah. (Riyadhussolihin, no.68)

2. Sesiapa yang berbuka puasa di bulan Ramadhan tanpa sebab maka dia tidak dapat menggantikannya walaupun berpuasa seumur hidup/ maka hendaklah dia menggantikannya sebanyak sebulan – riwayat Ahmad dan lain-lain lagi. Di dalam sanadnya terdapat periwayat yang dhaif. (Sunan al Daraquthni, no.2404).

3. Makan di pasar satu kehinaan – riwayat al Thabarani dalam Mu’jam al Kabir dan lain-lain lagi dengan beberapa sanad yang semuanya mengandungi periwayat-periwayat yg bermasalah. (al Subul al Sawiyyah, m/s 7)

4. Apabila makan, mulakan dengan garam dan akhiri juga dengan garam kerana garam itu ubat bagi 70 penyakit – riwayat al Harith dalam musnadnya dengan sanad yang mengandungi pendusta dan orang yang tidak dikenali. (al Subul al Sawiyyah, m/s 9). Terdapat juga riwayat lain yg menyebut bahawa makan garam boleh menyebabkan pemakannya selamat daripada 360 penyakit! (al Mashnu’, m/s 74)

5. Makan dua kali sehari termasuk dalam pembaziran – riwayat al Baihaqi dengan sanad yang bermasalah (periwayat yg dhaif, penipu dsbgnya). Ia turut dilabelkan sebagai dhaif oleh al Iraqi dalam takhrij Ihya’ Ulumiddin. (al Subul al Sawiyyah, m/s 10). Ada lafaz lain yang menyebut: apabila kamu makan makanan yang kamu ingini juga termasuk dalam pembaziran – riwayat Ibn Majah dengan sanad yang mempunyai periwayat dhaif, majhul dan juga mudallis. Ia turut dinilai dhaif oleh al Bushairi dalam Zawaaid Ibn Majah. (al Subul al Sawiyyah, m/s 15).

6. Ketika makan, kita dilarang melihat makanan yang diambil oleh orang lain – riwayat al Khathib al Baghdadi dalam buku al Tathfil dengan 2 sanad yang mempunyai pelbagai masalah dari segi periwayatnya dan sanadnya yang tidak bersambung. (al Subul al Sawiyyah, m/s 40-41).

7. Keberkatan sesuatu makanan ialah apabila kita berwudhuk sebelum dan selepas makan – riwayat al Tirmizi, Abu Daud dan lain-lain lagi dengan sanad yang mempunyai periwayat yg dhaif. Al Tirmizi turut menyatakan hadith ini dhaif ketika meriwayatkannya. Hadith ini turut didhaifkan oleh al Zahabi dan Abu Hatim. (al Subul al Sawiyyah, m/s 48-49)

8. Sesiapa yang solat tetapi masih mengerjakan perbuatan mungkar, maka solatnya akan menjadikannya lebih jauh daripada Allah – riwayat al Thabarani dan al Qudhooi dengan sanad yang mengandungi periwayat yg dhaif. (Silsilah al Ahadith al Dhaifah, no.2).

9. Allah tidak akan menyiksa orang-orang yang cantik wajahnya – riwayat al Dailami dan lain-lain. Sanadnya mengandungi periwayat-periwayat yg tidak dikenali lagi dhaif. (Silsilah al Ahadith al Dhaifah, no.130).

10. Perbezaan antara kita dan orang-orang musyrikin ialah serban di atas kopiah – riwayat Abu Daud, al Tirmizi dan lain-lain lagi. Sanadnya dhaif seperti kata al Tirmizi. (Al Mughni, no.2461).

11. Hadith qudsi, Firman Allah: Sesiapa yang berhadas tetapi tidak berwudhuk atau berwudhuk tetapi tidak solat atau solat tetapi tidak berdoa, sesungguhnya dia telah mengabaikanKu (tidak beradab) – hadith palsu. (Silsilah al Ahadith al Dhaifah, no.44).

12. Sesiapa yang menunaikan haji tetapi tidak menziarahi kuburku, sesungguhnya dia telah mengabaikanku (tidak beradab) – hadith palsu sebagaimana kata al Soghoni, al Zahabi, al Zarkashi dan al Syaukani. (Silsilah al Ahadith al Dhaifah, no. 45).

13. Bermesyuaratlah dengan wanita tetapi jangan ambil keputusan mereka – hadith palsu. (Silsilah al Ahadith al Dhaifah, no.430).

14. Larangan mengajar wanita menulis – riwayat al Baihaqi dalam Syu’ab al Iman dan lain-lain lagi. Al Baihaqi sendiri mengkritik hadith ini. Di dalam sanadnya terdapat periwayat yang pendusta. (Silsilah al Ahadith al Dhaifah, no.2017).

15. Kebanyakan ahli syurga adalah mereka yang bodoh – riwayat al Bazzar dan lain-lain lagi. Ia hadith yang mungkar (sangat dhaif) seperti mana kata al Iraqi. (al Mughni, no.2586).

16. Seseorang yang menjadi imam dipilih berdasarkan kecantikan rupa parasnya – disebut oleh al Suyuthi dalam al La’ali’ al Mashnu’ah. (al Mashnu’, no.405).

17. Setiap bid’ah itu sesat kecuali bid’ah dalam ibadah – riwayat al Dailami dengan sanad yang mempunyai dua orang yang pendusta. (al Mahsnu’ – no. 226).

18. Seseorang hamba tidak akan dapat mencapai tahap orang bertaqwa sehinggalah dia meninggalkan sebahagian perkara yang halal kerana risau membawa kepada perkara yang haram – riwayat Tirmizi dan lain-lain. Di dalam sanadnya terdapat periwayat yang dhaif. (Riyadhussolihin, no.596).

19. Sesiapa yang tidak menunaikan haji sedangkan dia mampu, dia berkemungkinan mati dalam keadaan sebagai Yahudi atau Kristian – riwayat al Tirmizi dan didhaifkan oleh al Tirmizi, al Albani serta lain-lain lagi. (20 Persoalan Asas Tentang Hadis, soalan no.9).

20. Berbual hal keduniaan di masjid boleh menghilangkan pahala – hadith palsu. (20 Persoalan Asas Tentang Hadis, soalan no.20)

Cuba kita bayangkan mereka yang bertemu dengan hadith-hadith seperti di atas dalam keadaan tidak tahu dan mereka menyangka hadith-hadith tersebut sahih. Bagaimana agaknya pemikiran dan amalan mereka serta pandangan mereka terhadap Rasulullah, hadith-hadithnya dan ajaran yang dibawa oleh Baginda? Di sinilah terletaknya kepentingan mengetahui kesahihan sesuatu hadith dan membezakan di antara hadith-hadith sahih daripada hadith-hadith palsu dan dhaif.

Kajilah kesahihan hadith walau sekadar bertanya kepada rakan-rakan yang lebih tahu. Sekiranya mampu, carilah pendapat ulama hadith terdahulu dan masa kini. Sekiranya lebih mampu, kajilah sumber dan sanad sesuatu hadith. Menurut salah seorang ulama hadith terkenal, Abdullah Ibn al Mubarak, di dalam hadith sahih sudah ada segala yang mencukupi tanpa perlukan kepada yang dhaif. (muqaddimah al Subul al Sawiyyah).