Maulid Tak Ada Fadhilat: Faisal Tehrani Sanggah TG Nik Abd Aziz

Primary tabs

Oleh Faisal Tehrani

Sekiranya laporan ini benar, maka saya terpanggil untuk membetulkan kenyataan Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang mana 'bulan Maulud tidak mempunyai sebarang fadilat dan kelebihan berbanding bulan Ramadan'.

Khabarnya, Datuk Nik Abdul Aziz mengeluarkan satu kenyataan berbau wahabi yang amat "bahaya" iaitu: “Boleh jadi, orang negeri lain sambut Maulud besar-besaran. Bulan Maulud sendiri tidak ada sebarang fadilat tidak sebagaimana bulan Ramadan. Bulan Ramadan memang ada fadilat dan kelebihannya. Bulan Maulud tidak ada apa.” Demikian menurut laporan (di sini)

Datuk Nik Aziz dilaporkan menambah: "Kita jangan sekali-kali terpengaruh dengan keadaan semasa. Kadang-kadang benda yang berlaku semasa ini tidak serupa dengan kehendak agama. Tetapi dengan sebab benda itu berlaku semasa bercanggah dengan agama, kadang-kadang menjadi masalah. Contohnya, Maulud Nabi." (Baca: Maulid ini konon bid'ah).

Saya amat terkejut dengan kenyataan ini jika ia benar. Saya akan memberikan sebab lojik mengapa bulan Maulud amat besar berbanding bulan Ramadhan.

i. Sila baca ayat 107 surah al-Anbiya: Dan tiadalah Kami mengutus kamu (Muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat bagi seluruh alam. Oleh kerana itu (rahmat) baginda adalah bukan untuk orang tertentu sahaja, bukan untuk sahabat sahaja tetapi untuk setiap manusia dan makhluk (apa sahaja). Bahkan untuk seluruh alam semesta, gunung ganang, dan sekian petala bumi dan langit. Melangkaui zaman dan batas sempadan. Untuk manusia dengan apa jua warna kulit dan agama. Ia merentasi setiap entiti yang tidak terfikirkan dek akal.

ii. Lailatul Qadr pada bulan Ramadhan adalah malam turunnya malaikat, dan pemberian pengampunan yang besar tetapi tuan-tuan, kelahiran Rasulullah saw, kekasih Allah adalah jauh lebih besar daripada peristiwa tersebut. Kehadiran Nabi Muhammad jauh lebih penting daripada kejadian turunnya para malaikat. Bulan maulid adalah bulan anugerah Allah yang mempersembahkan Rasulullah untuk seluruh alam. Syafaat baginda mengatasi keampunan seribu lebih bulan. Ia valid dan relevan melebihi batas waktu.

iii. Bulan Ramadhan adalah bulan turunnya al-Quran, pewahyuan al-Quran amat bermakna buat umat Islam tetapi maulid adalah bermakna untuk seluruh alam semesta.

Memang beramal ibadat di bulan Ramadhan berlipat ganda pahalanya, tetapi mencintai Rasulullah saw (walau sekecil-kecil cara) terpandang di sisi Allah kerana baginda adalah kekasih-Nya. Kalau ada orang menyangka boleh meraih cinta Allah tanpa cinta Rasul maka ini pandangan batil.

Ajarlah agama yang sebenar kepada orang bukan Islam yang ramai dalam DAP.

Betul, UMNO mungkin tidak mengamalkan Islam sebenarnya seperti yang ditunjukkan oleh Rasulullah saw. Tetapi PAS juga belum tentu (di mana jaminannya? siapa dapat jamin) mengamalkan Islam seperti yang dibawa oleh Nabi Muhammad saw. Islam yang diturunkan kepada Rasulullah saw telah pun berubah dan menyimpang sehingga cucunda baginda, Saidina Husin melancarkan gerakan reformasi/revolusi berdarah yang menumpahkan darah ahlul bait Rasulullah saw. Tragedi di Karbala tersebut telah membuka mata ramai umat Islam pada waktu itu. Inilah misi sebenar Saidina Husin. Tuan-tuan ingat mengapa Saidina Husin yang mulia serah kepala di Karbala sampai terputus dari badan?

Kalaupun UMNO benar tidak mengamalkan Islam yang dipandu oleh Nabi Muhammad saw, tetapi paling rendah dan paling tidak, perarakan berserta selawat yang ada; setidak-tidaknya menunjukkan satu ekspresi kecintaan buat baginda Rasul, kekasih Allah. Jika eskpresi yang paling kecil dan rendah (tetek bengek dan remeh temeh) ini pun diperkecilkan dan dinafikan maka di manakah letaknya keimanan kita kepada Rasulullah saw? Biarlah orang yang ingin berarak menunjukkan kasihnya kepada Nabi Muhammad saw berarak dan berselawat. Siapa tahu selawat dan peluh ketiak ketika berarak itulah yang akan menjadi saksi di hadapan Nabi Muhammad, berbanding kononnya kerja harakah Islam puluhan tahun yang kini bersulam riak perasan dan takbur angkuh di hujungnya. Lebih buruk, kerja hempas pulas harakah Islam itu sudah dibayangi oleh muslihat politik yang kotor dan menjijikkan. Digelumangi oleh tingkah laku politikus yang memualkan.

Di akhirat nanti kita akan bangkit dengan kekasih kita. Jika kita cinta Rasulullah saw, maka kita Insya-Allah bangkit bersama baginda. Belum tentu tukang sapu sampah yang bermodal selawat terbuang di sisi baginda berbanding seorang khalifah atau menteri besar yang mendabik dada menjalankan Islam.

Jika tuan-tuan lebih cinta Mursyidul AM PKR maka tuan-tuan akan bangun bersama dengannya. Jika tuan-tuan lebih cinta khalifah Lim Guan Eng, maka bersama dialah tuan-tuan akan bangkit kelak. Jika tuan-tuan lebih cintakan Perdana Menteri, boleh bangkit di akhirat nanti dengan dia. Saya tak nak bangkit dengan semua di atas.

Tanya dengan pendosa mana sekalipun dia akan jawab hendak bangkit dengan Nabi di akhirat kelak. Itu tandanya bulan Maulud amat besar.

Saya, yakni kita nak bangkit dengan siapa?

Kita ingin bangkit bersama Rasulullah saw dan ahlul baitnya yang suci, iaitu Saidina Ali, anakandanya Saidatina Fatimah Zahra (penghulu wanita di syurga), Saidina Hasan dan Husin (penghulu pemuda di syurga). Rujuk bunting yang diarak anak-anak dalam foto di atas. Belajar meluahkan perasaan cinta kepada Nabi Muhammad, dengan cara paling kecil dahulu pun tidak mengapa.

* Mempertahankan cinta buat Rasul jauh lebih besar. Tidak, saya bukan juak UMNO. Saya juga tidak rela sebuah jemaah Islam punah ranah kerana strategi politik yang mencemarkan. Saya mencintai Islam yang sebenar-benarnya ditunjukkan oleh Rasulullah saw, dan dipeliharai oleh ahlul bait baginda serta sejumlah sahabat yang berada di jalan lurus

Sumber: http://tehranifaisal.blogspot.com/