Pengiktirafan Terhadap Dr.Yusuf al-Qaradhawi

Primary tabs

Tulisan ini adalah sambungan daripada penulisan sebelum ini iaitu 'Kenapa Perlu Membela Dr.Yusuf al-Qaradhawi?'. Tulisan kali ini akan menumpukan kepada satu persoalan yang timbul apabaila saya dan sahabat-sahabat lain membaca 'penolakan' dan 'kritikan keterlaluan' sebahagian pihak terhadap Dr. Yusuf al-Qaradhawi. Persoalan itu ialah : 'Apakah benar al-Qaradhawi ditolak oleh semua ilmuan Islam? Adakah ada di sana ilmuan yang mengiktiraf ketokohan beliau? Apakah benar al-Qaradhawi tidak diterima bahkan dianggap sesat dan terkeluar dari Ahlussunnah wal Jamaah?'.

Untuk memulakan jawapan terhadap persoalan ini, saya berpendapat elok kalau kita lihat bersama apakah ada di sana pengiktirafan dari mana-mana pihak terhadap keilmuan dan ketokohan beliau? Bolehkah saya dan anda temui apa-apa bentuk penghargaan dan kedudukan yang meletakkan beliau sebagai salah satu ilmuan yang hebat?

Apa yang mampu saya temui ialah - sememangnya terdapat banyak pengiktirafan dan bukti yang menyokong kuat keilmuan dan ketokohan Dr.Yusuf al-Qaradhawi. Pengiktirafan dan penghargaan ini telah beliau terima sejak dulu hingga kini dan ia sekurang-kurangnya (diulang: sekurang-kurangnya) dapat memberikan kita gambaran bahawa beliau tidaklah ditolak oleh 'semua' ilmuan dan beliau tidaklah 'sesat' atau terkeluar daripada kebenaran. Mari kita soroti bersama apakah bentuk pengiktirafan dan penghargaan itu:

1-Pengiktirafan yang paling jelas ialah kelulusan akademik yang beliau perolehi dari Universiti al-Azhar, Mesir sehingga ke tahap Phd dalam bidang Fiqh Islam pada tahun 1973. Ini bukanlah satu perkara yang kecil dan remeh terutama bagi mereka yang membaca hasil kajiannya semasa mendapatkan Phd iaitu tentang Fiqh Zakat.

Kesatuan Ulama Sedunia2-Beliau sekarang menjawat kedudukan Presiden Kesatuan Ulama Islam Sedunia - International Union Of Muslim Scholars. Ia dianggotai begitu ramai ilmuan Islam dari seluruh pelusuk dunia dan para pembaca boleh melihat laman web kesatuan ini di - iumsonline.net - dan anda akan dapati begitu ramai ilmuan Islam dari pelbagai negara dan pengkhususan bidang-bidang Islam bernaung di bawah kesatuan ini. Tidakkah ini 'sekurang-kurangnya' dapat menolak 'kebencian total' para pengkritik Dr. al-Qaradhawi?

3-Juga beliau sekarang mempengerusikan Majlis Fatwa Eropah - European Council For Fatwa and Research (ECFR). Silakan melayari laman web - e-cfr.org untuk melihat dengan lebih lanjut. Turut sama menganggotai Majlis ini ialah para ilmuan yang berkemahiran dan ahli fiqh yang diiktiraf. Mereka bersama melantik Dr.Yusuf al-Qaradhawi untuk mengetuai Majlis ini. Apakah ini bukan satu pengiktirafan dari mereka yang berilmu?

4-Di Qatar, beliaulah yang mula membantu penubuhan Universiti Qatar dan pernah menjawat jawatan-jawatan penting di dalamnya dan kini beliau mengetuai Pusat Kajian Sunnah dan Sirah yang berpusat di universiti tersebut. Di sana terdapat ramai ilmuan dan tokoh Islam dan mereka menerima Dr.Yusuf al-Qaradhawi dengan keterbukaan dan penuh penghormatan.

5-Beliau menganggotai beberapa majlis fatwa dan pusat kajian berkaitan fiqh dan ilmu-ilmu Islam yang lain seperti :
- Majma' al-Buhuth al-Islamiyyah di Mesir. Satu majlis kajian yang menghimpunkan pelbagai ilmuan berpusat di Mesir.
- Majma' al-Fiqh al-Islami di bawah naungan Rabitah al-Alam al-Islami berpusat di Arab Saudi.
- Beberapa pusat kajian dan penasihat berkaitan Ekonomi Islam yang berpusat di Bahrain, Qatar dan Kuwait.
- Pusat Kajian Islam di Universiti Oxford.

...dan banyak lagi institusi dakwah dan fiqh di negara-negara lain seperti Algeria, Afrika, Jordan dan lain-lain lagi. Untuk maklumat terperinci, boleh rujuk pada laman web Majlis Fatwa Eropah dan lain-lain lagi yang menukilkan biodata terperinci beliau.

*Ulasan saya: Adakah institusi-institusi Islam seperti yang disebutkan tadi tidak mengenali al-Qaradhawi sehingga salah dalam melantik beliau sebagai ketua atau anggota? Sudah pasti mereka mengenalinya dan mengiktirafnya dan oleh itu beliau dilantik dan dipilih.

6-Anugerah-anugerah yang beliau terima juga menunjukkan pengiktirafan di atas usaha dan ilmu beliau. Contohnya seperti:
- Anugerah berkaitan kewangan Islam dari The Islamic Development Bank pada 1990
- Anugerah dari Kerajaan Arab Saudi, anugerah Raja Faisal atas sumbangan dalam ilmu Islam, pada tahun 1993
- Anugerah khas daripada UIAM di Malaysia pada tahun 1996
- Anugerah dari Sultan Brunei pada tahun 1997
- Anugerah khas di Dubai International Holy Quran Award sebagai 'Islamic Personality of The Year' pada tahun 2000
- Tokoh Maal Hijrah dari kerajaan Malaysia pada tahun 2009

AKRAB!! Syeikh al-Qaradhawi dan Syeikh Salman al-Audah* Adakah tidak cukup bagi yang berilmu untuk mengakui bahawa sememangnya beliau diiktiraf dari pelbagai pihak di atas keilmuan serta sumbangan beliau terhadap Islam? Adakah dengan maklumat yang kita ada ini akan menyebabkan kita sanggup menolak dan mengisytiharkan pula 'kononnya' ulama 'semuanya' menolak Dr.Yusuf al-Qaradhawi, malah menganggapnya 'sesat' dan terkeluar dari ahlussunnah wal jama'ah?

Ini mungkin bukan jawapan yang dianggap sebagai 'pembelaan' atau 'jawapan' terhadap kritikan-kritikan terhadap beliau, tapi sekurang-kurangnya kita boleh memahami bahawa 'membenci' beliau dan mengeluarkan beliau dari gelaran 'ulama' bukanlah satu tindakan yang tepat.

Insya Allah kita akan sambung lagi dengan memberikan tumpuan kepada kritikan-kritikan yang ditujukan terhadap Dr.Yusuf al-Qaradhawi. Nantikan!

adlan abd aziz
pemudaiman.blogspot.com



Syeikh Dr Yusof al-Qaradhawi mengimamkan 2 juta muslim semasa solat Jumaat di medan Tahrir Mesir selepas revolusi 25 Jan 2011:
{youtube}
-wyqywuA03s{/youtube}

Dr Farid al-Ansari, antara ulama yang mempertahankan Syeikh Dr Yusof al-Qaradhawi:
{youtube}GaJlUSC9U0g{/youtube}