asSalamu 'alaikum wa rahmatulLah
1) bolehkah makmum menyalin nota khutbah yang sedang dibacakan? mungkin boleh beri rujukan artikel atau buku tentang larangan-larangan bagi makmum ketika khatib sedang berkhutbah.
2) kalau kebetulan khatib berbahasa arab, dan ada makmum yang tak faham. bolehkah dia menggunakan alasan 'tak faham' untuk melakukan kerja-kerja lain seperti membaca, mengulang kaji dan lain-lain. selama mana dia tidak berbicara atau membuat bising.
jazakumulLahu khairan katsira..
wassalamu 'alaikum..
بسم الله الرحمن الرحيم
الحمد لله والصلاة والسلام على رسول لله وعلى آله وصحبه ومن والاه : أما بعد
Wajib ke atas setiap orang yang hadir solat Jumaat, diam dan mendengar khutbah jumaat apabila khatib mula berkhutbah. Ia tidak boleh melakukan sebarang kerja yang boleh menghalang atau mengganggu proses mendengar khutbah. Sabit dalam hadis Nabi s.a.w :
إذا قلت لصاحبك والإمام يخطب يوم الجمعة: أنصت، فقد لغوت
Maksudnya : “Jika kamu berkata kepada rakanmu sedang Imam berkhutbah pada hari jumaat : “Diam”, Maka sesunggunya kamu telah sia-sia” [al-Bukhari dan Muslim].
Berkata al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani : “Dan diambil dalil dengan hadis ini ke atas hukum larangan segala jenis percakapan ketika khutbah. Dan inilah pandangan majority bagi orang yang mendengar khutbah, dan demikian juga hukumnya bagi orang yang tidak mendengar khutbah di sisi kebanyakan. Ulama berpendapat ; Jika seseorang ingin membuat amar makruf maka hendaklah lakukan dengan isyarat sahaja”. [Fath al-Bari 2/533]
Dalam fatwa Uthaimin [Liqa’ al-Bab al-Maftuh 10/115] : “Wajib diam ketika khatib khutbah sehingga walaupun suara khatib tidak jelas”
Dalam kitab Yas’alunak fi al-Din, al-Sahrbasi menjelaskan : “Dan kebanyakan ahli ilmu berpendapat wajib insat (diam) ketika khutbah pada hari jumaat walaupun orang yang solat (jumaat) tidak mendengar khutbah. Maka wajib baginya diam”. (1/25)
Di harapkan persoalan tuan telah terjawab.