SJ-05-0516 : Niat Qadha

Primary tabs

2 posts / 0 new
Last post
Anonymous (not verified)
SJ-05-0516 : Niat Qadha

Salam,
Jika tertinggal solat subuh, perlu solat dengan segera dengan niat 'qada atau solat tanpa niat qada?
Bolehkan qada solat pada waktu haram solat i.e. lepas asar, etc.

Salam

Re: Qada solat

بسم الله
والحمد لله والصلاة والسلام على رسول الله وعلى آله وصحبه ومن والاه أما بعد

1) Menurut istilah dalam Usul Feqah, Qadha ialah melakukan satu kewajipan di luar waktunya yang ditetapkan oleh syarak. Manakala Adaa' (Tunai) ialah melakukan kewajipan di dalam waktunya yang ditetapkan syarak.

Berdasarkan istilah ini, apabila seseorang terlepas satu solat kerana lupa atau tertidur, hingga habis waktunya, maka solat yang dilakukan di luar waktunya dinamakan Qadha'.

Ada juga fuqaha berpendapat solat yang dilakukan selepas habis waktunya, jika disebabkan uzur seperti tidur atau lupa, ia tetap dinamakan Adaa' (tunai) bukan Qadha'. Antara mereka ialah Syaukani dalam Nail al-Authar 2/30.

Hujah pandangan ini ialah beberapa ada riwayat yang menyebut:

من نسي صلاة فوقتها إذا ذكرها

"Sesiapa lupa satu solat, maka waktunya ialah apabila dia mengingatinya". (Direkod oleh Daraquthni, Baihaqi dan lain-lain).

Tetapi taraf hadis ini DHAIF. Dinilai dhaif oleh Bukhari, Baihaqi, Haitsami, Ibn Hajar dan lain-lain. (Lihat Sunan Kubro Baihaqi 2/219, Majmak Zawaid 2/75, dan Talkhis al-Habir 1/155)

Apapun, khilaf dalam masalah ini tidak memberi kesan yang sangat besar. Kerana di dalam niat solat tidak disyaratkan kita meniatkan adakah qadha atau adaa'. Cukup hanya kita bersembahyang apabila teringat dari lupa, atau terjaga dari tidur.

Di dalam kitab Majmuk (3/279-280) Imam Nawawi menjelaskan bahawa tidak disyaratkan niat qadha' dan niat tunai dalam solat.

Lagipun, dari sudut Bahasa Arab, qadha dan adaa' adalah dua perkataan yang memberi pengertian yang hampir sama, malah di dalam Al-Quran ada menyebut perkataan qadha' dengan makna adaa'.

2) Berkenaan qadha solat pada waktu-waktu diharamkan solat, dibolehkan. Kerana Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam pernah qadha solat sunat pada waktu selepas Asar.

Dalam hadis Ummu Salamah r.a. katanya: Nabi Sallallahu Alahi Wasallam pernah bersolat dua rakaat selepas Asar, lalu aku menyoal baginda tentangnya. Sabdanya: Sekumpulan manusia dari suku Abd Qais datang kepadaku, dan mereka menyibukkan aku daripada dua rakaat selepas Zohor. Maka inilah (qadha) dua rakaat tersebut". Direkod oleh Bukhari (no: 1176), dan Muslim (no: 834).

Wallahu A'lam