SU-00249: Perihal Babi

Primary tabs

3 posts / 0 new
Last post
Anonymous (not verified)
SU-00249: Perihal Babi

:salam

Sebagaimana kita ketahui, kebanyakan ustaz2 di Malaysia ni mengatakan wajib kita menyamak (6 air biasa 1 air tanah)tempat terkena babi, tak kira samada kulit, daging atau najisnya. Tetapi ada sesetengah ulamak mengatakan ianya tak perlu disamak. Kerana ragu2 atas pendapat ini, saya menyemak Al-Quran, surah Al-Maidah ayat 3 Allah mengharamkan kita memakan bangkai, babi, darah dan sembelihan bukan kerana Allah. Dan hadith Nabi saw pula hanya menyuruh menyamak tempat terkena air liur anjing itu saja. Kalaulah alasan utk menyamak tempat terkena babi disebabkan ianya haram dimakan, bagaimana pula tempat terkena darah, bangkai atau ayam yg disembelih utk memuja hantu. Apakah perlu disamak?

Bagaimana pula memakai barangan kulit babi seperti jaket dan memegang bola American Football (pigskin)? Adakah berdosa?

Harap dapat penjelasan dari pihak panel di sini.

Sekian.

:wassalam

Re: Perihal Babi

:salam

Maaf krn lewat menjawab. Berikut saya sertakan jawapannya. WA.

SOALAN:
Saya seorang buruh berasal dari seberang yang kini menetap di Malaysia. Saya kurang faham dengan hukum yang berkaitan dengan babi. Sesetengah orang menyatakan babi hanya haram dimakan, tetapi diharuskan untuk kegunaan-kegunaan lain.

Soalan saya, benarkah pendapat yang menyatakan penyapu cat yang diperbuat daripada bulu babi itu harus diguna. Demikian juga kasut yang diperbuat daripada kulit babi harus dipakai. Apa pula hukum makanan dan ubat-ubatan yang dicampurkan dengan bahan-bahan yang berasal daripada babi.

Harap ustaz jelaskan hukum dengan dalil-dalilnya daripada al-Quran dan hadis. Saya ucapkan terima kasih atas pandangan dan ulasan yang diberikan. - SURJANI, Johor Bahru.

JAWAPAN:
Seperti yang diketahui oleh umat Islam, daging babi haram dimakan. Pengharamannya meliputi lemak, kulit, kuku, bulu dan seluruh juzuk badan yang dihubungkan dengan haiwan itu, sama ada yang mentah atau yang sudah dimasak, yang disembelih dengan cara syarii atau yang tidak disembelih, sama ada untuk kegunaan makanan atau peralatan seperti penyapu, kasut, tali pinggang dan lain-lain.

Beberapa ayat dalam al-Quran menyatakan dengan jelas hukum itu. Antaranya firman Allah yang bermaksud: Diharam atas kamu bangkai, darah dan daging babi (al-Maidah: 3) dan firman-Nya lagi yang bermaksud: Katakanlah wahai Muhammad: Aku tidak dapati dalam apa yang telah diwahyukan kepada-Ku, sesuatu yang diharamkan bagi orang yang hendak memakannya, melainkan benda itu bangkai, atau darah mengalir atau daging babi, kerana sesungguhnya ia adalah kotor (al-Anam: 145).

Ayat-ayat ini juga menyatakan babi sebagai najis yang bererti najis atau kotor. Justeru itu ulama dalam mazhab Syafie sepakat berpendapat haram diguna pakai semua barangan yang diperbuat daripada babi, sama ada bulunya, kulitnya atau juzuk-juzuknya, sama ada dalam bentuk barangan, peralatan atau lain-lain termasuklah membuat ubat bagi segala macam penyakit, kerana menurut mereka tiada ubat pada benda-benda najis. Pendapat ini menjadi pegangan kebanyakan umat Islam di Malaysia yang bermazhab Syafie.

Babi diharamkan Allah sejak lama dahulu, namun baru sahaja ilmu manusia mengetahui bahawa di dalam daging babi, darahnya dan usus-ususnya terdapat sejenis cacing yang sangat bahaya, iaitu cacing pita dan telur-telurnya yang keras.

Kini ada segolongan manusia yang berkata bahawa alat-alat pemasak moden telah melangkah maju dan membuat cacing-cacing itu tidak lagi menjadi sumber bahaya, kerana ia dapat dibasmikan dengan haba yang tinggi yang dapat disediakan oleh alat-alat pemasak yang moden itu, tetapi orang-orang ini lupa bahawa ilmu pengetahuan mereka kadang-kadang memerlukan beberapa abad lamanya untuk mengesahkan sesuatu penyakit.

Biarpun ulama fiqh sepakat tentang pengharaman makan daging babi, tetapi masih tidak sependapat dalam kegunaan-kegunaan lain. Memang dalam fikah Islam sukar didapati masalah yang disepakati serba-serbi, hingga pada semua cabang dan juzuk-juzuk kecilnya, kecuali ada sahaja perbezaan yang membabitkan hukum haram, halal dan sebagainya.

Persoalan babi antara yang hangat pernah dibincangkan ulama dalam mazhab-mazhab Islam sekitar penggunaan barangan yang diperbuat daripada babi.

Pertama: Imam Malik berpendapat daging babi haram dimakan tetapi badannya suci ketika hidupnya. Kedudukan hukumnya samalah dengan beberapa jenis haiwan yang haram dimakan dagingnya seperti harimau, gajah dan sebagainya.

Menurut beliau lagi, ayat-ayat al-Quran hanya menjelaskan babi haram dimakan dagingnya, tetapi tidak pula menyatakan najis. Imam Nawawi daripada mazhab Syafie juga mengakui, tidak ada dalil jelas menunjukkan babi itu najis.

Perkataan najis (kotor/najis/jijik) dalam surah al-Anam: ayat 145 yang merujuk kepada daging babi, tidak menunjukkan dengan jelas najis itu bersifat `aini atau najis yang tidak boleh disucikan lagi, kerana najis boleh dikatakan juga sebagai najis hukmi sahaja, seperti najis kafir musyrik yang disebut dalam firman-Nya yang bermaksud: Sesungguhnya orang kafir musyrikin itu najis (al-Taubah: ayat 2.

Tiada sesiapa pun kalangan ulama berpendapat kafir musyrik itu sebagai najis `aini, sebaliknya berpendapat hanya najis hukmi atau najis i'tiqad (kepercayaan) sahaja. Mengapa najis babi tidak boleh dianggap sebagai hukmi, dengan alasan dagingnya haram dimakan.

Ekoran mazhab Malik yang berpendapat babi itu suci, tidak timbul lagi hukum wajib membasuhnya tujuh kali seperti najis anjing, malah jarak antara dua mazhab Malik dan Syafie agak begitu jauh.

Dalam beberapa hal pula, saya berpendapat mazhab Malik ini memberi nafas lega kepada sesetengah orang yang tabiat pekerjaannya terpaksa bergelumang dengan babi pagi dan petang seperti doktor haiwan dan pelajar-pelajar yang mengikuti kursus doktor haiwan.

Kedua: Ulama memutuskan, apa jua haiwan yang mati tanpa sembelih, hukumnya najis kerana ia bangkai, tetapi semua bangkai kulitnya boleh disucikan melalui samak, kecuali kulit anjing dan babi menurut kebanyakan ulama termasuk Syafie.

Bagaimanapun Imam Abu Yusuf dan al-Zahiri berpendapat, kulit-kulit anjing dan babi juga boleh disucikan dengan samak, kerana hadis riwayat Muslim menyatakan: Apa jua kulit haiwan, suci apabila disamak (Muslim, bilangan 366).

Hadis ini menurutnya umum kepada semua kulit termasuk anjing dan babi. Merujuk kepada pendapat dua imam di atas, nyata segala barangan yang diperbuat daripada kulit anjing dan babi yang disamak boleh dipakai.

Ulama menyatakan lagi, bulu dan kuku yang dicabut atau dipotong daripada bangkai adalah bangkai, hukumnya turut najis seperti bangkai juga. Bagaimana pula jika bulu dipotong daripada haiwan yang masih hidup?

Jawabnya, suci jika haiwan itu suci dan najis jika haiwan itu najis. Ini bermakna, bulu babi yang dipotong daripada babi yang masih hidup adalah suci di sisi Imam Malik.

Ini bermakna, penyapu yang diperbuat daripada bulu babi yang dipotong ketika hidupnya adalah suci dan harus diguna pakai. Sesetengah ulama pula berpendapat, bulu yang dipotong daripada haiwan yang masih hidup juga najis kerana dikira bangkai juga. Sehubungan ini sebuah hadis riwayat al-Hakim yang bermaksud: Juzuk yang dipotong daripada haiwan yang hidup dianggap bangkai (Tirmiz, bilangan 1480).

Ketiga: Merujuk kepada hukum babi yang diambil sebagai ubat-ubatan. Ulama sepakat memutuskan bangkai semua haiwan adalah najis kalaupun menurut Imam Abu Yusuf dan al-Zahiri kulit bangkai termasuk bangkai babi boleh disucikan dengan samak, tetapi juzuk-juzuk babi yang bukan kulitnya tidak boleh disucikan dengan samak.

Atas dasar ini ulama lebih cenderung kepada pendapat mengharamkan ubat-ubatan yang dimasukkan bahan babi padanya, kerana benda-benda najis tidak boleh dijadikan ubat, kecuali dalam keadaan darurat yang memaksakan.

Syed Atiyyah Saqr pula lebih cenderung kepada pendapat mengharuskan kegunaan ubat-ubatan itu, jika ia merupakan suntikan dalam badan dan ternyata keberkesanannya kepada pesakit. Kita ikuti pendapat beliau, katanya: Jika ubat-ubatan itu berupa suntikan dalam badan, maka diharuskan, kerana dalam badan memang berkumpul najis-najis kencing dan tahi, ini tidak pernah ditimbulkan bagi maksud kesahihan solat dan ibadat. Lain halnya jika diguna pada bahagian luaran, tentunya najis itu menghalang kesahihan solat.

Saya lebih cenderung kepada pendapat ini kerana sejauh pengharaman babi dalam beberapa ayat al-Quran hanya untuk dimakan. Suntikan ubat ke dalam badan tidak dikatakan makan, lagipun penggunaan barangan yang diperbuat daripada kulit babi, tidak disepakati ulama pada pengharamannya.

Mungkin ada pendapat menyatakan najis babi tidak boleh dimasukkan dalam badan manusia Muslim yang selalu mengerjakan ibadat solat dan sebagainya.

Najis ini jika dibiar berkekalan dalam badan menjadikan seseorang itu terhalang daripada solat selama-lamanya.

Alasan ini telah dijawab oleh Syeikh Atiyyah Saqr seperti yang disebut sebelum ini, iaitu najis yang menghalang solat hanya najis di luar badan.

Adapun najis dalam badan tidak menghalang seseorang daripada solat dan ibadat, ini kerana dalam perut manusia dipenuhi najis darah, tahi dan kencing, sedang dia pada ketika itu bersolat, bertawaf dan beribadat. Tiada siapa pun mempertikaikan kesahihan ibadatnya.

Keempat: Ulama memutuskan, makanan yang dimasuki bahan-bahan najis haram dimakan. Gelatin atau jeli yang biasanya diproses di negara-negara bukan Islam, jika asalnya diperbuat daripada haiwan yang tidak disembelih atau babi, maka hukumnya najis dan tidak halal dimakan. Namun difahamkan bukan semua gelatin itu najis dan diperbuat daripada babi.

Kalau begitu halnya, perlulah dipastikan terlebih dahulu, sama ada ia benar diperbuat daripada babi atau haiwan yang disembelih dan haiwan yang harus dimakan.

Satu kaedah dalam menentukan halal haram makanan ialah dilihat pada pertukaran rupa dan benda, seperti arak yang kemudiannya bertukar rupanya menjadi cuka.

Menurut mazhab Syafie pertukaran rupa tidak mengubahkan hukum najis sesuatu benda, kecuali arak yang berubah menjadi cuka. Cuka ini bersih, sekalipun asalnya arak yang najis.

Imam Malik berpendapat, benda-benda najis yang bertukar kepada suatu rupa yang lain adalah suci, seperti najis babi yang dibakar kemudian bertukar menjadi debu hukumnya suci, sekalipun pertukaran itu dengan sendiri atau setelah diusahakan. Atas dasar ini, ramai berpendapat, gelatin itu suci dan boleh digunakan, sekalipun ditakdirkan asalnya babi atau bangkai yang tidak disembelih, kerana najis itu telah bertukar rupanya kepada rupa yang lain. Kedudukannya samalah dengan tulang bangkai yang dibakar menjadi debu. Tulang bangkai adalah bangkai, tetapi debu tulang setelah dibakar tidak lagi membawa hukum asalnya.

Saya lebih cenderung kepada pendapat ini, kerana hukum halal haram ditentukan mengikut namanya. Apabila tiada nama, maka tiada lagi hukum asalnya, tahi adalah tahi dan hukumnya adalah najis, tetapi apabila tahi menjadi tanah, maka hukumnya adalah tanah.

Dalam apa hal sekalipun, setiap makanan yang sampai kepada kita perlu diselidik halal haramnya terlebih dahulu, jika diragui kebersihannya, maka wajib ditinggalkan sahaja. Itulah pilihan yang terbaik.

Baginda bersabda: Sesiapa memelihara dirinya daripada perkara yang meragukan, maka sebenarnya ia menjaga kebersihan agama dan kehormatan dirinya. - (Muslim, bilangan 1599) Wabillah al-Hidayah Wa al-Tawfiq.

Sumber: http://www.jphpk.gov.my/Malay/Feb%202001%2012a.htm
_________________

Re: Perihal Babi

Sekadar menyusun arkib SU.