SJ-01-0164 : Uluhiyah dan Syafaat

Primary tabs

2 posts / 0 new
Last post
Anonymous (not verified)
SJ-01-0164 : Uluhiyah dan Syafaat

Uluhiyah dan syafaat.

Assalamualaikum ustaz, saya mempunyai beberapa persoalan yang memuskyilkan berkenaan perkara syafaat dan perkaitannya dengan soal uluhiyah.

Dalam sebuah majlis ilmu yang memberi penerangan berkenaan makna illah dalam konteks Uluhiyah, saya ada membangkitkan persoalan berkenaan syafaat (contohnya kepada rasul, nabi, malaikat, para sahabat atau waliullah), yang seakan-akan bercanggah dengan konsep illah yang menyeluruh kepada Allah (uluhiyyah). Dasar soalan saya itu adalah dari ayat Al Quran;

Jangan mempertuhankan sesuatu selain dari Allah, sebab tiada tuhan selain Dia (28:88).

Dan Allah berfirman: Jangan mengadakan dua tuhan. Sesungguhnya tuhan itu hanyalah satu. Dan Akulah (Allah) yang seharusnya kamu taati (tunduk). (16:51).

Sedang saya membangkitkan persoalan berkenaan sebenarnya hasil dari pembacaan saya terhadap teks Al - Maududi yang terkenal iaitu ?4 kalimah di dalam Al Quran?. (Rujukan teks PDF mukasurat 14 dan 15). Diperenggan yang akhir pada halaman 14 tersebut Maududi ada menyatakan bahawa ?barangsiapa yang menganggap sesuatu itu (baik manusia, malaikat atau jin) sebagai pemberi syafaat di sisi Allah, lalu memanjatkan doa, meminta pertolongan (samada dengan upacara sajian atau tidak), bahawa dia telah mempertuhankan sembahannya itu dan dijadikannya sebagai satu illah?. Dalam menghuraikan persoalan ini, Maududi telah menjelaskan bahawa terdapat dua macam syafaat
1) syafaat yang diyakkini dimana ada kekuatan atau kuasa bagi pemberi syafaat itu sehingga dapat memaksa Allah untuk mengabulkan segala permintaannya. Maknanya orang (manusia, masyarakat atau pengikut) meyakkini bahawa ada suatu kuasa atau perantara kuasa (jin, manusia atau malaikat) yang berkuasa pula ?memaksa? Allah untuk menunaikan segala permintaannya.
2) Syafaat yang berupa suatu permohonan kepada Allah yang disertai dengan sikap kelembutan, kerendahan hati serta tanpa paksaan. Bermakna wujud jenis syafaat yang berupa permintaan atau permohonan dari manusia melalui ?perantara? dengan tidak melalui apa yang disebut sebagai memaksa Allah. Bahkan melalui (doa ? permintaan dengan) kerendahan hati.

Adalah jelas bahawa yang biasa kita kaitkan dengan syafaat (melalui Nabi Muhammad saw, para sahabat, ulama, waliallah, jin bahkan pada malaikat) itu umumnya adalah pada nombor 2. Tapi hal tersebut mestilah difahami dalam kerangka bahawa permohonan dan segala permintaan tersebut disandarkan ?melalui perantara? tersebut diatas pemahaman bahawa ia (syafaat) adalah semacam satu doa dari mereka. Hal ini difahami berdasarkan makna syafaat itu sendiri iaitu ; suatu usaha (melalui perantaraan) dalam memberikan sesuatu manfaat bagi orang lain atau mengelakkan sesuatu mudharat bagi orang lain. Syafaat yang tidak diterima oleh Allah adalah syafaat bagi orang-orang kafir. Makna syafaat ini diusulkan melalui tafsir Al Quran (Baqarah, 2:48)- (saya tak pasti dengan huraian saya sendiri kerana saya bukanlah orang yang arif dengan ilmu tafsir- kalau silap harap ustaz boleh betulkan). Dalam ayat ini Allah menyatakan bahawa pada hari kiamat nanti tiada sesiapa (manusia awam) pun boleh memberi dan menggunakan syafaat. Bahkan tiada kelebihan syafaat diberi kepada manusia awam atau nabi-nabi dan rasul kecuali kepada junjungan besar kita Nabi Muhammad saw. Pada awal ayat tersebut Allah menyatakan kita hendaklah menjaga diri kita (di dunia ? dengan tidak melakukan perkara yang dilarang) agar pada hari kiamat nanti kita tidak diazab dengan azab yang tidak boleh diselamatkan lagi.

Kemudian secara lebih luas pula syafaat difahami sebagai sesuatu yang baik dan perlu dalam konteks kehidupan muslim. Seperti yang dinyatakan diatas tadi ia juga adalah doa. Perkara tersebut juga ada diterangkan dalam Al Quran (4, An Nisaa: 85). Namun pada ayat ini walaupun jelas penyataan syafaat yang dinyatakan, sekali lagi saya kira saya tidak berada dalam posisi untuk memberi tafsiran dalam konteks syafaat yang luas kerana aku tidak berilmu dengannya. Sekali lagi harap ustaz boleh beri penerangan atau tafsiran yang sebenar?.

Dalam ayat Al Quran (Al Anbiyaa, 21:28) pula ada juga dinyatakan berkenaan hal syafaat. Sekali lagi saya tidak berada dalam posisi untuk memberi tafsir dalam ayat ini, kerana adakah maksud ayat ini adalah berkenaan kedudukan malaikat yang boleh memberi syafaat (?) dan perkara tersebut hanya berlaku dengan keredhaan Allah. Harap ustaz boleh jelaskan?.

Dalam konteks syafaat juga (pada surah Maryam, 19: 87) terdapat persoalan yang memerlukan penjelasan. Siapakah yang dimaksudkan tidak mendapat syafaat, adakah orang Islam juga berkemungkinan tidak boleh mendapat syafaat, atau orang kafir atau syafaat disini bermaksud ia berlaku pada hari kiamat sahaja, atau syafaat disini juga bermaksud doa dan pertolongan Allah kepada manusia di dunia ini. Apakah yang dimaksudkan dengan perjanjian dengan Allah dalam ayat ini. Harap ustaz boleh jelaskan?.

Adakah kesemua persoalan illah, uluhiyah dan syafaat yang saya ajukan ini terjawab dengan ayat Al Quran surah Az Zukhruf 43:86. iaitu dengan jelas ayat ini bermaksud; ?dan sembahan-sembahan yang mereka sembah selain Allah tidak dapat memberi syafaat, akan tetapi (orang yang dapat memberi syafaat ialah) orang yang mengakui yang hak (tauhid) dan mereka meyakini (nya)?.

Keadaan ini diterangkan lagi oleh Allah melalui Al Quran surah Az Zumar 39: 43/44. ?bahkan mereka mengambil pemberi syafaat selain Allah. Katakanlah : ?Dan apakah (kamu mengambilnya juga) meskipun mereka tidak memiliki sesuatu pun dan tidak berakal ??. Katakanlah: ?hanya kepunyaan Allah syafaat itu semuanya. Kepunyaan Nya kerajaan di langit dan bumi. Kemudian kepadanyalah kamu dikembalikan?.

Dalam ayat surah An Najm 53:26 diterangkan sekali lagi perkara pemberian syafaat ini (melalui malaikat pula). Mahfumnya ? Dan berapa banyaknya malaikat di langit, syafaat mereka sedikit pun tidak berguna kecuali sesudah Allah mengizinkan bagi orang yang dikehendaki dan diredhai (Nya)?.
Harap ustaz boleh menghuraikan situasi diatas ini. Adakah kita sebenarnya boleh dianggap ber illah dengan Nabi Muhammad saw jika tidak betul-betul dapat memahami soal syafaat ini. Adakah hal yang sama juga berlaku kepada nabi-nabi, para sahabat, jin, malaikat, wali allah, ulama mukhtabar, guru murshid atau syeikh tarikat. Harap ustaz dapat memberi penerangan berkenaan hal ini.
Uluhiyah dan syafaat.

Re: Uluhiyah dan Syafaat

Wa’alaikumussalam

Alhamdulillah. Kami akan cuba menjawab soalan anda dengan kadar kemampuan yang ada, InSyaAllah.

Dari apa yang kami fahami, pokok persoalan anda ialah, apakah Syafa’at yang diberi kepada Nabi :saw itu bercanggah dengan Tauhid Uluhiyyah. Sebelum kita menjawab persoalan ini, baik kita melihat kembali 2 definasi didalam permasalah ini.

a. Tauhid Uluhiyyah – merupakan peribadatan kepada Allah, seperti berdo'a, tawakkal, khauf (takut), raja' (berharap), bernazar dan sebagaimana, dari jenis-jenis ibadat yang diajar oleh Nabi :saw. Melakukan ibadat bukan kerana Allah merupakan perbuatan syirik.

b. Syafa’at - bermaksud pertolongan daripada orang-orang yang diberikan keistimewaan oleh Allah swt.
Syafa’at di bahagikan kepada dua :-

1. Syafa’at yang berlaku pada hari Akhirat

2. Syafa’at yang berlaku didunia ini.

Kita akan bincangkan Syafa’at yang berlaku pada hari Akhirat pada jawapan ini. Syafa’at di hari akhirat juga terbahagia kepada dua :-

1. Syafa’at yang dikhaskan kepada Nabi Muhammad :saw, iaitu :-

a. Syafa’at yang Agong - Ini merupakan janji Allah kepada Nabi :saw yang di panggil al-Maqam al-Mahmud. Firman Allah : swt :-

وَمِنْ اللَّيْلِ فَتَهَجَّدْ بِهِ نَافِلَةً لَكَ عَسَى أَنْ يَبْعَثَكَ رَبُّكَ مَقَامًا مَحْمُودًا
“Dan bangunlah pada sebahagian dari waktu malam serta kerjakanlah "sembahyang tahajjud" padanya, sebagai sembahyang tambahan bagimu; semoga Tuhanmu membangkit dan menempatkanmu pada hari akhirat di tempat yang terpuji.” [al-Isra’ 17:79]

Al-Maqam al-Mahmud menurut ulama’ termasuklah memberi syafa’at pada hari akhirat, sebagaimana diperjelaskan didalam hadith sahih riwayat Ibn Umar ra :

إن الناس يصيرون يوم القيامة جُثاً، كل أمة تتبع نبيها، يقولون: يا فلان اشفع، حتى تنتهي الشفاعة إلى النبي صلى الله عليه وسلم، فذلك يوم يبعثه الله المقام المحمود
“Sesungguhnya pada hari Kiamat manusia akan melutut, setiap umat akan mengikuti Nabinya, mereka berkata : Ya Fulan, berilah syafa’at!, sehinggalah syafa’at dikurniakan kepada Nabi :saw, pada hari Allah membangkitkan beliau pada al-Maqam al-Mahmud” [Hadith Riwayat Bukhari #1748].

b. Syafa’at kepada ahli Syurga untuk masuk Syurga

Didalam sebuah hadith, Nabi :saw bersabda :

أنا أول شفيع في الجنة
“Aku merupakan orang pertama memberi syafa’at di syurga” [Hadith Riwayat Muslim #332].

c. Syafa’at Nabi :saw kepada bapa saudaranya Abu Thalib.

Diriwayat oleh Abu Sa’ed al-Khudri ra. bahawa Nabi :saw bersabda :

لعله تنفعه شفاعتي يوم القيامة، فيجعل في ضحضاح من نار يبلغ كعبيه يغلي منه دماغه
“Moga-Moga Syafa’atku memberi munafaat padaNya di hari Kiamat, dan dia akan ditempatkan pada Api Neraka yang paling cetek dimana api akan sampai kepada lututnya dan menyebabkan otaknya mendidih” [Hadith Riwayat Bukhari #1408, Muslim #360]

d. Syafa’at Nabi :saw kepada beberapa orang dari Umatnya untuk masuk syurga tanpa di hisab.

Syafa’at jenis ini yang diperbincangkan oleh ulama’ dengan membawa contoh hadith yang panjang, dimana pada ketika itu Nabi :saw akan mengangkat kepala baginda dan bersabda :

أُمَّتِي يَا رَبِّ أُمَّتِي يَا رَبِّ أُمَّتِي يَا رَبِّ فَيُقَالُ يَا مُحَمَّدُ أَدْخِلْ مِنْ أُمَّتِكَ مَنْ لا حِسَابَ عَلَيْهِمْ مِنْ الْبَابِ الْأَيْمَنِ مِنْ أَبْوَابِ الْجَنَّةِ وَهُمْ شُرَكَاءُ النَّاسِ فِيمَا سِوَى ذَلِكَ مِنْ الْأَبْوَابِ
“Umatku, Ya Tuhanku 3X, dan dikatakan kepada baginda : Ya Muhammad masukkanlah dikalangan umatmu yang tidak perlu dihisab keatas mereka melalui pintu kanan dari pintu Syurga. Mereka akan berkongsi pintu lain bersama manusia dari kalangan umat yang lain” [Hadith Riwayat al-Bukhari #4343].

2. Syafa’at kedua adalah Syafa’at Umum. Contohnya :-

a. Syafa’at keatas mereka yang memasuki neraka dan dikeluarkan darinya.

b. Syafa’at keatas mereka yang tempatnya di neraka, akan tetapi tidak memasukinya. Situasi ini berlaku sebelum dia masuk neraka. Contohnya didalam hadith

ما من مسلم يموت فيقوم على جنازته أربعون رجلا لا يشركون بالله شيئا إلا شفعهم الله فيه
“Tidak ada seorang Muslim yang mati dan yang bersolat jenazahnya sebanyak 40 orang yang tidak syirik kepada Allah, melainkan Allah akan memberi syafa’at kepadanya” [Hadith Riwayat Muslim #1577].

c. Syafa’at kepada orang beriman yang mendapat Syurga, dia dinaikkan derajatnya di Syurga. Contohnya didalam sebuah hadith dimana Nabi :saw mendo’akan kepada Abu Salamah :

اللّهمّ اغفر لأبي سلمة وارفع درجته في المهديّين، واخلفه في عقبه في الغابرين واغفر لنا وله يا ربّ العالمين، وافسح له في قبره، ونوّر له فيه
“Ya Allah, ampunkan Abu Salamah, dan naikkan derajatnya disisi mereka yang diberi petunjuk, peliharilah keluarganya yang dia tinggalkan, Ya Allah, Tuhan sekalian Alam, luaskan kuburnya, dan sinari dia dengan nur” [Hadith Riwayat Muslim #1528]

Hakikatnya, banyak sungguh hadith-hadith sahih yang membicarakan persoalan Syafa’at yang tidak mungkin boleh di nafikan!

Dalil-dalil mereka yang menafikan syafa’at selain dari Allah swt

Syiekh Ibn Taimiyyah menjelaskan bahawa mereka yang menafikan Syafa’at ini berdalilkan firman Allah :

وَاتَّقُواْ يَوْماً لاَّ تَجْزِي نَفْسٌ عَن نَّفْسٍ شَيْئاً وَلاَ يُقْبَلُ مِنْهَا شَفَاعَةٌ وَلاَ يُؤْخَذُ مِنْهَا عَدْلٌ
“Dan peliharalah diri kamu dari (azab sengsara) hari (akhirat), yang padanya seseorang tidak dapat melepaskan orang lain (yang berdosa) sedikitpun (dari balasan azab), dan tidak diterima syafa’at daripadanya, dan tidak pula diambil daripadanya sebarang tebusan; dan mereka (yang bersalah itu) tidak akan diberi sebarang pertolongan.” [al-Baqarah : 48]

وَلاَ يُقْبَلُ مِنْهَا عَدْلٌ وَلاَ تَنفَعُهَا شَفَاعَةٌ
“dan tidak akan diterima daripadanya sebarang tebusan, dan tidak akan memberi manfaat kepadanya sebarang syafa’at” [al-Baqarah : 123]

مِّن قَبْلِ أَن يَأْتِيَ يَوْمٌ لاَّ بَيْعٌ فِيهِ وَلاَ خُلَّةٌ وَلاَ شَفَاعَةٌ
“Kami berikan kepada kamu, sebelum tibanya hari (kiamat) yang tidak ada jual-beli padanya, dan tidak ada kawan teman (yang memberi manfaat), serta tidak ada pula pertolongan syafa’at.” [al-Baqarah : 254]

مَا لِلظَّالِمِينَ مِنْ حَمِيمٍ وَلَا شَفِيعٍ يطاع
“(Pada saat itu) orang-orang yang zalim tidak akan mendapat seorang sahabatpun yang boleh membelanya, dan tidak akan mendapat pemberi syafa’at yang diterima pertolongannya” [Ghaafir : 18]

فَمَا تَنفَعُهُمْ شَفَاعَةُ الشَّافِعِينَ
“Maka tidak akan berguna kepada mereka sebarang syafa’at pertolongan (kalaulah ditakdirkan ada) sesiapa yang boleh memberikan syafa’at itu.” [al-Mudatsir : 48]

Jawapan Ahli Sunnah :

1. Pertamanya, ayat-ayat diatas menafikan syafa’at kepada orang Musyrikin, sebagaimana didalam surah al-Mudatsir ayat 42. Mereka yang menafikan syafa’at kepada mereka yang dibolehkan melakukan syafa’at adalah kafir hukumnya. Dengan ertikata lain, maksud ayat diatas ditujukan kepada orang kafir, kerana kekafiran mereka maka syafa’at tersebut dinafikan.

2. Kedua adalah yang dimaksudkan menafikan syafa’at adalah kepada orang yang melakukan syirik, seperti ahli bid’ah, ahli kitab, yang menganggap bahawa makhluk mempunyai kedudukan disisi Allah untuk memberi syafa’at tanpa Allah swt. Mereka menjadikan selain dari Allah sebagai pemberi syafa’at, seperti malaikat, Nabi dan orang2 soleh. Mereka melukis dan membentuk pelbagai patung, dan mereka memohon syafa’at darinya.

Menurut Ibn Taimiyyah, mereka yang menafikan syafa’at kepada mereka yang Allah berikan izin memberi syafa’at adalah dianggap kufur! Ayat2 tersebut bukan bermaksud tiada syafa’at secara total. Yang dimaksudkan adalah tiada syafa’at adalah kepada kaum kufar, orang-orang yang syirik dan mereka yang mengganggap syafa’at itu adalah hak mutlak selain dari Allah swt.

Hakikat Syafa’at.

1. Segala syafa’at hendaklah dengan mendapat keredhaan Allah. Firman Allah swt :-

وَلَا يَشْفَعُونَ إِلَّا لِمَنِ ارْتَضَى
“mereka tidak memohon syafa’at melainkan bagi sesiapa yang diredai Allah” [al-Anbiya’ : 28].

2. Syafa’at dari mereka boleh bersyafa’at hendaklah adalah dengan izin Allah swt. Firman Allah swt :

مَنْ ذَا الَّذِي يَشْفَعُ عِنْدَهُ إِلَّا بِإِذْنِهِ
“Tiada sesiapa yang dapat memberi syafa’at (pertolongan) di sisiNya melainkan dengan izinNya” [al-Baqarah : 255]

3. Segala syafa’at hendaklah mendapat kelulusan dari Allah swt . Firman Allah swt :-

لَا تُغْنِي شَفَاعَتُهُمْ شَيْئًا إِلَّا مِنْ بَعْدِ أَنْ يَأْذَنَ اللَّهُ لِمَنْ يَشَاءُ وَيَرْضَى
“syafa’at mereka tidak dapat mendatangkan sebarang faedah, kecuali sesudah Allah mengizinkan bagi sesiapa yang dikehendakiNya dan diredhaiNya.” [al-Najm : 26]

Jelas disini menunjukkan bahawa Allah sahaja yang meredhai syafa’at, hanya Allah sahaja yang mengizinkan kepada siapa yang diberi kelebihan untuk bersyafa’at dan segala syafa’at itu hendaklah mendapat kelulusannya.

Bagi Ahli Sunnah, barangsiapa yang menafikan kelebihan yang Allah berikan kepada Nabi :saw adalah kufur. Syafa’at adalah HAK Allah swt. Malah, kepada siapa yang dia beri kelebihan bersyafa’at adalah juga hakNya. Tidak ada siapa yang boleh mempertikaikan perkara tersebut. Terdapat kumpulan-kumpulan seperti GAH (Golongan Anti-Hadith) yang berpegang kepada pendapat ini (menafikan syafaat Nabi :saw).

Jika seseorang itu beriktikad bahwa Nabi, Malaikat, dsb yang boleh bersyafa’at tanpa keizinan Allah juga adalah salah. Segala syafa’at itu adalah dengan izin Allah swt.

Begitu juga apabila dilihat dari konsep Tauhid Uluhiyyah, segala-galanya berlaku diatas keizinan Allah semata-mata. Dan menjadi kewajipan kita juga untuk beriman kepada hak-hak yang Allah izinkan syafa’at diberikan kepadanya. Sebagaimana kita mengambil kaifiat ibadat seperti solat, puasa, zakat, Haji, dsb, dari Nabi :saw, kita juga hendaklah beriman bahawa Nabi :saw akan diberi kelebihan memberi syafa’at kepada umatnya yang terpilih pada hari Kiamat.

Kepada mereka yang mentafsir beberapa ayat-ayat al-Quran yang menafikan bahawa Rasulullah :saw diberi keizinan bersyafa’at oleh Allah swt juga adalah tersasar jauh. Sebagaimana yang telah diperjelaskan bahawa ayat-ayat tu merujuk kepada orang-orang yang kafir, musyrik yang dikatakan tidak akan diberi syafa’at keatas mereka pada hari Kiamat. Ayat-ayat itu tidak ditujukan kepada Nabi :saw, menafikan kelebihan baginda didalam bersyafa’at. Jelas didalam hadith-hadith sahih bahawa baginda diberi kelebihan untuk melaksanakan sya’faat ini. WA.

Sekian, wassalam

Rujukan :-

1. Islam-QA. http://www.islam-qa.com/ar/ref/26259

2. Majmu Fataawa Ibn Taimiyyah - 1, cetakan Saudi Arabia, 1969. ms. 149.

خيرالأمين