Sebelum Membaca Buku Hadith...Bahagian 2

Primary tabs

Perkara kedua yang amat perlu dilakukan sebelum membaca atau menggunakan sebarang buku rujukan dalam bidang hadith ialah – mengenali tujuan buku tersebut ditulis. Atau dalam erti kata lain kita mengetahui apakah yang berlaku sehingga menyebabkan seseorang ulama hadith itu berazam untuk menulis sesebuah buku dan apakah tujuan dan matlamat beliau menyusun buku tersebut.

Sekiranya maklumat tentang tujuan penulisan tidak kita perolehi, ia akan menyukarkan kita untuk memahami isi kandungan sesuatu buku itu. Malah mungkin kita akan salah faham kerana tidak mengetahui kenapa buku itu disusun sedemikian rupa lalu kita menyangkakan ia ditulis untuk tujuan lain dan tersasar dari tujuan dan matlamat penulis. Bahkan mungkin dengan sedikit maklumat tentang situasi dan latar belakang penulisan akan menyebabkan kita tahu bagaimana menggunakan buku tersebut dan meletakkannya pada tempatnya.

Suatu masa dahulu saya masih ingat bagaimana saya dan sebahagian sahabat tidak memahami kenapa wujudnya hadith-hadith dhaif dan kadangkala terlalu dhaif dalam buku-buku tertentu yang disusun oleh ulama yang cukup hebat dalam bidang hadith. Tidakkah anda merasa keliru apabila membaca ketokohan imam tertentu dalam hadith, tiba-tiba anda dapati buku yang disusun oleh imam tersebut mempunyai hadith yang tidak sahih? Inilah salah faham yang timbul hasil daripada tidak memahami tujuan asal buku tersebut disusun oleh seseorang imam hadith. Sebagai contoh, kita membaca biodata dan kehebatan imam-imam hadith seperti Ibnu Khuzaimah (311H), al-Tabarani (360H), al-Daraqutni (385H), al-Baihaqi (458H) dan sebagainya. Tetapi buku-buku yang mereka susun dan hadith-hadith yang mereka riwayatkan didapati tidak sahih malah palsu! Kekeliruan ini hanya boleh diselesaikan dengan cara mengetahui apakah buku yang dikarang oleh mereka, dan juga mengetahui tujuan serta matlamat mereka menulis dan menyusun buku tersebut. Barulah kita akan faham bahawa mereka terlebih tahu bahawa hadith-hadith itu tidak sahih, tetapi mereka mempunyai tujuan lain dalam menyusun buku-buku dan hadith-hadith tersebut.

Dengan mengetahui tujuan penulisan juga kita boleh mengetahui serba sedikit tentang suasana kajian pada zaman buku itu ditulis. Ia boleh menjelaskan tentang kedudukan buku itu dan keperluan ianya ditulis atau disusun. Sebagai contoh, buku al-Maudhu’at karya Ibn al-Jauzi (597H) yang mengumpulkan hadith-hadith yang tidak sahih dan palsu. Apabila kita menyelidiki tujuan beliau menulis buku tersebut, kita dapati bahawa pada zaman beliau terdapat hadith-hadith palsu yang tersebar dan sebahagian penuntut ilmu hadith meminta beliau mengumpulkan hadith-hadith tersebut berserta sebab ia dikatakan palsu dan tidak sahih. Ini bermakna pada waktu itu wujud kekeliruan yang terpaksa dileraikan oleh Ibn al-Jauzi sebagai salah seorang tokoh hadith pada waktu itu. Dan kita dapati Ibn al-Jauzi juga seakan mengeluh kerana tidak ramai yang mampu melakukan seperti apa yang beliau lakukan.

Bukan sekadar buku yang mengumpulkan hadith, malah buku dalam bidang kajian hadith yang amat luas juga perlu kita fahami tujuan ia disusun. Terdapat pelbagai buku yang menghuraikan kaedah kajian, periwayatan, biografi periwayat, nama-nama guru dan murid, jenis-jenis hadith tertentu dan sebagainya. Percayalah, jika anda tidak tahu tujuan sebenar ia disusun, ia pasti akan mengelirukan anda malah mungkin penuntut ilmu hadith akan meninggalkan buku-buku tersebut disebabkan 'tidak tahu menggunakannya'.

Tidak syak lagi mengetahui latar belakang dan sebab penulisan sesuatu buku dalam bidang hadith akan memberikan kita banyak faedah dan manfaat sebelum kita mula membacanya atau menggunakannya. Tetapi timbul satu persoalan dalam kalangan sebahagian kita – bagaimanakah caranya untuk kita mengetahui latar belakang dan sebab penulisan sesuatu buku itu? Terdapat sekurang-kurangnya dua cara yang saya ringkaskan seperti berikut:

 1-     Membaca pendahuluan yang ditulis oleh ulama hadith itu sendiri. Walaupun terdapat buku-buku hadith yang tidak mempunyai pendahuluan seperti Sahih al-Bukhari, tetapi buku-buku lain boleh dikatakan pasti mempunyai pendahuluan yang amat perlu dibaca oleh penuntut ilmu hadith. Bahkan di negara-negara Arab, muqaddimah atau pendahuluan buku-buku hadith dijadikan bahan pengajian berbulan-bulan lamanya sebelum dibaca isi kandungannya. Terdapat ulama-ulama hadith yang mengadakan kuliah bersiri dalam menghuraikan pendahuluan buku tertentu seperti muqaddimah Sahih Muslim, Risalah Abu Daud (huraian Abu Daud tentang tujuan beliau mengarang buku Sunan Abu Daud), al-Ilal al-Soghir (huraian al-Tirmidzi tentang metod penulisan buku Jami’ al-Tirmidzi) dan lain-lain lagi.

2-     Membaca huraian para ulama hadith lain tentang buku-buku tersebut. Para ulama yang terkemuka sememangnya memberikan penilaian terhadap buku-buku hadith ulama sebelum mereka. Sekurang-kurangnya kita akan mendapat gambaran tentang buku-buku utama hadith daripada mereka yang benar-benar memahaminya dan menguasainya. Sebagai contoh, sebelum membaca Sahih al-Bukhari, eloklah kita membaca apa yang ditulis tentang buku itu oleh Ibnu Hajar al-Asqalani yang menghuraikannya dalam Fathul Bari. Atau mungkin juga kita boleh dapatkan buku-buku ulama masa kini yang menulis tentang biodata ringkas buku-buku hadith utama. Itu amat membantu dan ini diketahui oleh mereka yang pernah mengamalkannya.

 Semoga kita memahami perkara sebegini yang merupakan sesuatu yang amat penting kerana ia membantu kita untuk menggunakan buku-buku hadith tertentu dengan semaksimum mungkin. Ia juga boleh mengelakkan salah faham dan kekeliruan yang akhirnya membawa natijah kita tidak memahami kedudukan sebenar sesuatu buku itu seperti yang diinginkan oleh penulisnya.


Adlan Abd. Aziz