SJ-05-0534 : Solat 40 waktu di Masjid Nabawi

2 posts / 0 new
Last post
Anonymous (not verified)
SJ-05-0534 : Solat 40 waktu di Masjid Nabawi

Adakah wujudnya dalil mengenai solat 40 waktu di Masjid Nabawi Madinah. Minta penjelasan.

Offline
Joined: 01/01/1970 - 7:30am
Re: Solat 40 waktu di Masjid Nabawi

wa'alaikumussalam

Alhamdulillah. Kami akan cuba menjawab soalan ini dengan kadar kemampuan yang ada InSyaAllah.

Riwayat yang menyebut adanya kelebihan bersolat 40 waktu, iaitu menunaikan 40 solat fardu (8 hari) adalah sebagaimana diriwayatkan oleh Anas bin Malik ra., bahawa Nabi :saw bersabda :-

من صلى في مسجدي أربعين صلاة لا يفوته صلاة كتبت له براءة من النار ونجاة من العذاب، وبرئ من النفاق
"Barangsiapa bersolat 40 solat (yakni, solat fardu) di dalam masjidku tidak terputus solatnya ditulis baginya (pertama) terpelihara dari neraka dan (kedua) dijauhkan dari azab dan (ketiga) dipelihara dari sifat-sifat nifaq (atau, menjadi orang munafiq)." [Hadith Imam Ahmad, dalam Musnad].

Hadith ini dipertikaikan statusnya. Imam Haithami menjelaskan didalam Majma' al-Zawaid mengatakan, Imam Tirmudzi meriwayatkan sebahagiannya. Hadith ini diriwayatkan sepenuhnya oleh Imam Ahmad, dan Imam Tabarani didalam Awsat, periwayatnya adalah tsiqah.

Menurut Imam Mundhiri didalam al-Targhib wa al-Tarhib bahawa periwayat didalam rantaian dari periwayatan Imam Ahmad adalah sangat sahih.

Namum demikian terdapat pertikaian mengenai salah seorang periwayat yang bernama Nabith ibn Umar yang dikatakan tidak dikenali.

Perlu diingat bahawa walaupun ada yang berpendapat hadith ini lemah (Dhaif), ia masih lagi boleh diamalkan didalam ruang lingkup Fadhail Amal. Amalan ini sudah menjadi tradisi umat Islam melakukannya. Menurut Dr Abdullah al-Faqih, beberapa ulama' percaya bahawa jika sesuatu amalan didasarkan pada dalil (hadith) yang bukan PALSU, InSyaAllah ia adalah benar. Tambah beliau, maka adalah dinasihatkan melakukan amalan tersebut menurut hadith.

Menurut ulama', latihan 40 waktu solat itu merupakan praktik asas bagi seseorang itu menjadikan Solat berjemaah sebagai amalan penghidupan mereka sekembalinya ke tanah air masing-masing. (Lihat buku Madinah Munawarah : kelebihan dan sejarah, karangan al-Fadhil Dr Abdul Basit Abdul Rahman). Umat Islam digalakkan banyak melakukan solat di Masjid Nabi sebagaimana hadith sahih riwayat Bukhari dan Muslim bahawa solat di Masjid Nabi ganjaran 1000 kali dari masjid lain, kecuali Masjid al-Haram.

Disana, terdapat sebuah hadith yang statusnya HASAN mengenai kelebihan bersolat 40 hari di Masjid Nabawi. Hadith dari Anas bin Malik, bahawa Rasulullah :saw bersabda :

من صلى لله أربعين يوما في جماعة يدرك التكبيرة الأولى كتبت له براءتان براءة من النار وبراءة من النفاق
"Barangsiapa bersolat berjemaah 40 hari dan mendapat Takbir al-Ihram (bersama Imam), akan ditulis kepadanya 2 perkara; dia akan selamat dari Api Neraka dan dia akan selamat dari Nifaq (munafik)" [Riwayat Imam al-Tirmudzi].

Hadith diatas ini menjelaskan solat 40 hari, dan bukan 8 hari (40 waktu).

Kesimpulannya, adalah sangat digalakkan memperbanyakkan solat di Masjid Nabi :saw, dimana ganjarannya adalah 1000 kali dari masjid lain. Amalan 40 waktu boleh diamalkan sebagai "kelebihan amal" dan hadith tersebut bukanlah sepakat ulama' menolaknya. Amalan 40 waktu ini diharap dapat membentuk sikap cintakan solat berjemaah di masjid, atau bagi yang mampu, bolehlah menunaikan solat berjemaah 40 HARI di Masjid Nabawi. WA.

Sekian, wassalam

خيرالأمين