000018-SJ-THAHARAH: semut atau kerengga mati dalam bekas air

Primary tabs

1 post / 0 new
000018-SJ-THAHARAH: semut atau kerengga mati dalam bekas air

Quote:
Assalamualaikum ...
Bagaimana hukum seseorang itu meminum air yang di dalamnya terdapat seekor atau beberapa ekor semut atau kerengga mati dalam bekas air (samada segelas atau satu teko atau cerek)? Adakah air itu najis atau haram diminum kerana semut itu tergolong dalam kategori bangkai. Kalau tidak haram/najis bagaimana cara mengeluarkan semut tersebut.

Jawapan
Alhamdulillah inilah jawapannya:

(1)
Berikut ini saya terjemahkan secara bebas beberapa petikan dari kitab al-Iqna’ karya Muhamad al-Khatib al-Syarbini:
["….Air mutanajis ialah air yang dimasuki oleh najis yang dapat dilihat dengan pandangan mata, di mana air itu kurang dari dua kolah, samada air itu berubah ataupun tidak. Dalilnya ialah terdapat hadis tentang air dua kolah, dan hadis:
"Apabila salah seorang dari kamu bangun dari tidur, maka jangan dia mencelup tangannya ke dalam bekas air sehingga dia mencucinya terlebih dahulu sebanyak tiga kali. Kerana tidak diketahui di mana tangannya itu berada (ketika tidurnya)."

Rasulullah s.a.w. melarang memasukkan tangan ke dalam bekas (terhadap orang yang bagun tidur) kerana dikhuatiri ada najis. Dan dapat diketahui di sini bahawa jika tidak ada kebimbangan akan mengubah sifat air, maka tidak menjadi apa-apa masalah mencelup tangan ke dalamnya.".] (Lihat: Juz.1, m/s 21)

Kata al-Khatib al-Syarbini lagi:
["…Manakala air yang sampai ukuran dua kolah atau lebih, ia akan menjadi najis jika najis yang masuk itu mengubah salah satu dari sifat-sifat air."] (Lihat: Juz.1 m/s 21)

Dapat kita simpulkan bahawa air yang dimasuki najis itu:
· Jika kurang dari dua kolah akan menjadi najis. Samada air itu berubah ataupun tidak.
· Jika air itu dua kolah ataupun lebih, maka perlu dilihat. Jika air itu berubah, maka najislah hukumnya. Jika tidak, maka air itu tetap suci.

-------
(2)
Kita teruskan melihat apa yang ditulis oleh al-Khatib al-Syarbini lagi:
["Dikecualikan dari najis di atas ialah bangkai binatang yang tidak mengalir darahnya secara semulajadi (asal kejadian). Ia dapat diketahui dengan mengoyakkan anggota badannya ketika hidup, seperti penyengat, kala jengking, cicak, lalat, kutu dan kutu anjing. Tidak seperti ular, katak dan tikus (Ia adalah binatang yang mengalir darah).

Jika ia (yang tidak mengalir darah) masuk ke dalam air atau sebagainya, maka ia tidak menajiskannya. Tetapi dengan syarat ia tidak dimasukkan dengan sengaja dan tidak mengubah sifat air berkenaan.

Alasan mengapa ia tidak menajiskan air? Kerana sukar untuk menjaganya, juga kerana terdapat hadis riwaya Bukhari:
"Apabila lalat terjatuh ke dalam minuman salah seorang dari kamu, maka benamkanlah, kemudian buangkan. Kerana salah satu dari sayapnya mengandungi racun." Iaitu sebelah kirinya. Dan terdapat di dalam satu riwayat lain, "..dan sayapnya yang satu lagi adalah penawar."]
(Lihat: Juz. 1, m/s 22)

----------
(3)
Kembali kepada soalan saudara, jika semut atau kerangga itu masuk ke dalam air berkenaan dengan tidak disengajakan serta tidak mengubah salah satu dari sifatnya, maka ia masih tetap suci.

Maksud sifat air ialah rasa, bau dan warnanya.

Begitulah secara ringkas jawapannya berdasarkan mazhab Syafi’i.

Wallahu a’lam.