AL-ALBANI PERNAH MENARIK BALIK BEBERAPA PENDAPATNYA

Primary tabs

Artikel ini ditulis atas cadangan daripada sahabat saya yang dihormati lagi dikasihi, Ustaz Zaharuddin Abd. Rahman (UZAR) yang rasanya tidak perlu diperkenalkan lagi. Beliau pernah mencadangkannya kepada saya dalam satu perbualan telefon satu masa dahulu, tetapi disebabkan kealpaan, saya tidak menulisnya di sini. Ketika beliau memberikan ulasan terhadap pembentangan saya di Multaqa Ulama Muda anjuran Darul Fuqaha’ pada hujung tahun lepas, beliau mengulangi cadangan tersebut.

Bagi yang mengenali diri Syeikh Muhammad Nasiruddin al-Albani (meninggal pada tahun 1999), pasti akan tahu bahawa beliau mempunyai banyak karya khususnya dalam bidang hadith. Sama ada buku itu hasil penulisan beliau sendiri, atau kajian terhadap penulisan ulama silam dan masa kini, kita yakin bahawa jasa beliau dalam hadith amat besar. Namun itu tidak semestinya menjadikan kita taksub atau memandang al-Albani sebagai satu nama yang ‘tidak boleh digugat’.

Secara peribadi, saya telah menulis beberapa artikel berkaitan diri beliau di laman web ini dan juga di dalam buku pertama saya ’20 Persoalan Asas Tentang Hadis’. Beliau saya anggap sebagai salah seorang tokoh hadith moden bersama dengan ramai lagi tokoh yang lain. Namun apa yang lebih penting ialah: beliau tidak maksum dan melakukan kesilapan sebagaimana manusia yang lain.

Bagi mereka yang belum pernah mengetahui pendapat saya dan rakan-rakan moderator di al-ahkam.net, saya ingin menegaskan bahawa kami sama sekali tidak akan merendah-rendahkan mana-mana ulama termasuk al-Albani. Apa yang kami lakukan di sini (khususnya para panel Jabatan Hadith) ialah mengiktiraf sumbangan al-Albani dan dalam masa yang sama menolak pendapat-pendapat beliau yang tidak tepat sama ada dalam fiqh atau hadith setelah dibuat kajian dan perbandingan.

Contohnya seperti pendapat al-Albani bahawa ketika berdiri di dalam solat, kita disuruh meletakkan tangan kanan di atas tangan kiri di atas dada SAHAJA. Sedangkan pandangan moderator Jabatan Hadith ialah apa yang menjadi sunnah hanyalah meletakkan tangan kanan di atas tangan kiri di bahagian depan tanpa menetapkan sama ada di atas dada, di bahagian atas atau di bahagian bawah pusat. Semuanya adalah satu keterbukaan sebagaimana amalan para salaf dan ahli hadith sepanjang zaman. Ini telah dijelaskan oleh al-Tirmidzi (279H) di dalam bukunya al-Jami’ al-Mukhtasor@Sunan al-Tirmidzi. Maka menghadkan HANYA di atas dada adalah pendapat al-Albani yang tidak kuat dan tidak disokong oleh amalan salaf. Malah hadith yang beliau nilai sebagai sahih juga telah pun dinilai dhaif oleh pengkaji hadith lain.

Di antara bukti wujudnya kesilapan al-Albani ialah pengakuan beliau sendiri yang menarik balik beberapa pendapatnya tentang hadith. Maklumat sebegini amat penting untuk diketahui khasnya oleh orang-orang yang menyangka bahawa al-Albani seolah-olah tidak melakukan sebarang kesilapan. Ia juga penting untuk mereka yang menggunakan buku-buku al-Albani agar mereka dapat membezakan antara pendapat lama dan pendapat baru yang telah diubah oleh al-Albani.

Apa yang berlaku ialah: al-Albani ketika menilai kembali hukum yang beliau keluarkan terhadap kedudukan hadith antara sahih dan dhaif, beliau telah menemui kesilapannya pada kajian-kajiannya yang terdahulu. Lalu beliau telah mengubah pendapat tersebut. Perubahan itu telah dimuatkan dalam cetakan terkini terhadap buku-buku tersebut tetapi tidak ramai yang menyedarinya.

Mungkin ada dua reaksi negatif daripada mereka yang tahu tentang perkara ini. Antaranya ialah menggunakan maklumat ini untuk merendah-rendahkan al-Albani. Ini tidak tepat kerana setiap manusia melakukan kesilapan dan al-Albani sendiri mengakui kesilapannya. Mungkin juga ada yang memberikan reaksi untuk tidak mahu menyebut perkara ini kerana terlalu taksub terhadap al-Albani. Ini juga satu bentuk kesilapan kerana al-Albani sendiri tidak malu untuk mengakui kesilapannya.

Menarik balik atau mengubah pendapat silam adalah perkara biasa bagi seorang manusia. Malah imam-imam fiqh dan hadith salaf juga tidak ketinggalan melakukan perkara yang sama. Terdapat banyak contoh yang menunjukkan bagaimana mereka tidak segan silu untuk mengubah pendapatnya jika terbukti ia tidak tepat. Cukuplah dengan wujudnya istilah ‘qaul qadim’ (pendapat lama) dan ‘qaul jadid’ (pendapat baru) di sisi Imam Syafie (204H) sebagai salah satu bukti.

Berbalik kepada persoalan yang dibincangkan, ia memang berlaku dan tidak dapat dinafikan oleh sesiapa. Di antara orang-orang yang berusaha untuk memberikan maklumat tentang hadith-hadith yang telah diubah penilaian terhadapnya oleh al-Albani ialah :

Pertama, buku yang ditulis oleh Abu Malik ‘Audah Ibn Hasan yang dicetak oleh Dar al-Nafaais, Jordan (setahu saya, ia adalah di bawah seliaan salah seorang murid al-Albani iaitu Dr. Umar al-Asyqar) pada tahun 2003. Ia mengumpulkan 500 hadith yang telah dinilai kembali hukumnya (sahih atau dhaif dan sebagainya) oleh al-Albani dan beliau mengubah pendapat yang lama kepada yang baru. Di dalam buku ini hanya ada sebanyak 250 hadith kerana buku ini adalah bahagian pertama. Saya belum menemui bahagian keduanya setakat ini.

Buku kedua yang mengumpulkan perubahan pendapat al-Albani ialah buku hasil karya Muhammad Kamal al-Suyuthi, cetakan Dar Ibn Rajab, Mesir pada tahun 2004. Ia mengumpulkan sebanyak 307 hadith. Kedua-dua buku ini saya perolehi daripada Ketua Panel Jabatan Hadith al-ahkam.net iaitu sahabat dan guru saya, ustaz Anwaruddin@Mat_Lughowiyyat.

Manakala bagi mereka yang telah sekian lama membaca buku-buku al-Albani, pasti mereka akan bertemu dengan pernyataan yang ditulis oleh al-Albani memaklumkan bahawa beliau telah melakukan perubahan terhadap pendapatnya yang lama.

Jika dilihat pada pendahuluan kedua-dua buku yang disebutkan tadi, jelas mereka merupakan di antara orang yang paling menyayangi al-Albani. Namun begitu, kebenaran lebih mereka kasihi. Di atas jasa mereka (dan mungkin ada buku-buku lain di luar pengetahuan saya), kita dapat mengetahui dengan yakin apakah hadith-hadith yang telah dinilai kembali oleh al-Albani dan ditukar hukumnya sama ada daripada sahih kepada dhaif atau sebaliknya.

Kedua-dua buku ini amat penting bagi mereka yang seringkali membuat rujukan dengan menggunakan buku-buku al-Albani. Jangan pula kita tersalah dalam menggunakan pandangan beliau yang lama atau kita tersalah anggap bahawa berlakunya percanggahan dalam penilaian al-Albani. Apa yang sebenarnya berlaku ialah beliau menarik balik pendapatnya setelah beliau bertemu dengan pendapat yang lebih tepat.

Alitantawi

Penyelaras Jabatan Hadith AAN