Apabila Hadis Terbukti Sahih, Bolehkah Terus Beramal?

Primary tabs

Oleh: Al-Ustaz Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri (www.syeikh-takiri.blogspot.com / www.darulfuqaha.com / attakri@yahoo.com)

"Apabila hadis tersebut sahih maka ia adalah mazhabku (peganganku)". Ungkapan ini sangat masyhur dinukilkan daripada tokoh-tokoh Fuqaha antara mereka Imam Hanafi, Imam Maliki, Imam Syafie dan Imam Hanbali.

Ungkapan ini pula selalu dijadikan hujah oleh beberapa pengkaji fiqh terkemudian untuk mengenepikan pandangan-pandangan fiqh tokoh-tokoh Fuqaha ini apabila ternyata bagi mereka pendapat tokoh-tokoh ini kononnya bercanggah dengan hadis yang sahih. Bagi mereka apabila didapati sesebuah hadis itu sahih dan makna hadis pula jelas bercanggah dengan fatwa tokoh-tokoh ini, maka pandangan tokoh-tokoh ini perlu diketepikan dan perlu diamalkan hokum yang difahami daripa hadis yang sahih tersebut.

Kenyataan di atas nampaknya sangat mudah untuk difahami dan dipraktikkan. Tapi adakah praktik sebenarnya semudah itu? Inilah persoalan yang perlu digarap dengan lebih hati-hati oleh pengkaji fiqh terkemudian. Keterlanjuran dalam mempraktikkan kefahaman ini mendorong pengkaji terkemudian memperkecilkan hukum yang dirumuskan oleh tokoh-tokoh ini dengan hujah ;"ia bercanggah dengan hadis!!"

Sebenarnya ungkapan di atas adalah pegangan bagi seluruh umat islam yang menyebut kalimah Laailahaillallah dan beramal dengannya. Begitu juga para fuqaha terdahulu. Tak ada seorang pun yang menolak kenyataan ini. Sekiranya ada ilmuan islam yang menolaknya ia pasti tidak layak untuk digolongkan di kalangan ulama Islam. Ini kerana rujukan bagi setiap umat yang beriman ialah al-Quran dan al-Hadis yang sahih. Segala hokum-hakam adalah dirumus daripada kedua-dua sumber hokum ini. Tanpa merujuk kepada dua sumber ini, tak ada hokum yang boleh dinisbahkan kepada Islam.

Namun persoalan yang perlu dibahas ialah: Adakah kesahihan sesebuah hadis sudah cukup untuk dijadikan hujah untuk beramal dengan maksudnya? Inilah perincian yang perlu difahami. Kesahihan sesebuah hadis hanyalah peringkat pertama dalam usaha merumuskan hokum. Sejurus setelah itu menyusul pula kaedah-kaedah yang banyak untuk memahami maksud teks hadis. Kaedah-kaedah ini dipanggil "usul". Hasilan kefahaman daripada teks hadis dengan menggunakan "usul" tersebut dipanggil sebagai "fiqh". Justeru "usul tersebut dipanggil "usul fiqh".

Mereka yang ingin merumuskan hukum daripada teks hadis tersebut perlu mempunyai kefahaman yang mendalam tentang "usul fiqh" atau kaedah dan tatacara memahami teks hadis ini.

Keadaan ini meletakkan hanya orang yang berkelayakan sahaja berhak untuk merumuskan hokum-hukum tersebut. Bukannya orang awam yang hanya tahu sepatah dua perkataan Arab, atau memahami sebuah dua hadis yang sahih atau hanya membaca dua tiga buah kitab fiqh.

Sangat malang sekali umat akhir zaman yang hanya sejengkal ilmunya, tiba-tiba dengan mudah berkata: pandangan tokoh fuqaha ini bercanggah dengan hadis!!! Ada yang sangat mudah menobatkan dirinya berkelayakan untuk "mentarjih" antara pandangan fuqaha dengan hujah: "saya merujuk kepada dalil al-Quran dan hadis yang sahih!!"

Adakah dirinya berkelayakan untuk memahami "fiqh" daripada dalil-dalil tersebut?Adakah dirinya telah mendalami sebenar-benar maksud hadis dengan kaedah yang cermat?

Inilah yang mendorong para fuqaha silam selepas zaman tokoh-tokoh besar mazhab lebih berhati-hati dalam merumuskan satu pandangan hokum yang berbeza dengan kefahaman tokoh mazhab mereka.

Ibn `Uyaynah seorang tokoh hadis berkata: "hadis adalah tempat yang menyesatkan melainkan bagi fuqaha (orang-orang yang memahami secara mendalam).Maksudnya –menurut al-Qayrawani-: orang lain daripada mereka barangkali memahami maknanya secara zahir sedangkan ia mempunyai takwilan daripada hadis lain atau dalil yang tersembunyi atau hadis tersebut ditinggalkan kerana ia dituntut untuk ditinggalkan oleh bukan satu perkara sahaja, yang mana ia semua tidak dapat dilakukan melainkan oleh seorang yang meluas pengetahuannya dan faqih (memahami secara mendalam. (Ibn Abi Zayd al-Qayrawani, al-Jami`, sunt Muhammad Abu al-Ajfan, hlm. 118, 1402, t.tmp )

Berkata pula Abu Muhammad `Abdullah bin Wahab (salah seorang murid Imam Malik) dan Imam Layth bin Sa`ad: "Hadis adalah tempat yang menyesatkan melainkan bagi ulama (orang-orang berilmu). (Qadi `Iyad, Tartib al-Madarik, juz 1, hlm 96, 1989, Maktabah al-Hayah).

Imam Nawawi menghuraikan ungkapan Imam Syafie di atas dengan katanya: "Ia tidak bermaksud bahawa setiap orang yang melihat satu hadis sahih lalu berkata: "ini adalah mazhab Syafie" dan beramal dengan zahirnya. Tetapi ini adalah bagi orang yang mempunyai martabat ijtihad dalam mazhab. Syaratnya ialah berat sangkaannya bahawa Imam Syafie tidak menemui hadis ini atau tidak mengetahui kesahihannya. Ini hanya dapat diketahui setelah mengkaji tulisan-tulisan Syafie keseluruhannya dan seumpamanya juga tulisan-tulisan Ashab Syafie yang mengambil daripadanya dan seumpamanya. Syarat ini sangat sukar lagi sedikit yang bersifat dengannya.Syarat ini kami syaratkan kerana Imam Syafie meninggalkan beramal dengan zahir hadis-hadis yang banyak yang beliau telah lihat dan mengetahuinya tetapi tertegak dalil baginya tertang pertikaian terhadap hadis atau nasakhnya (pembatalannya) atau pengkhususannya atau takwilannya atau seumpamanya " (al-Majmu`, juz 1, hlm. 104).