JH-ASAS-001- Nasihat Seorang Sahabat Nabi

Kategori ASAS dalam Jabatan Hadith AAN bertujuan untuk memberikan maklumat yang berguna untuk para pengunjung dengan ringkas dan padat. Sekiranya kategori MANHAJ dikhususkan untuk mereka yang telah pun mula mendalami bidang ini, maka kategori ASAS ini lebih menumpukan kepada sesiapa sahaja yang ingin berkenalan dengan hadith dan ilmu kajiannya secara berperingkat.

Sebagai permulaan, saya ingin berkongsi beberapa nasihat daripada para sahabat, tabiin dan ulama terkemuka yang ditujukan kepada masyarakat pada zaman mereka. Semoga ia menjadi asas permulaan yang baik dalam menyediakan minda kita untuk memahami apa yang dikatakan sebagai ilmu hadith dan kajiannya.

Saya ingin mulakan dengan nasihat seorang sahabat Nabi yang memberikan panduan tentang perasaan yang sepatutnya ada pada diri setiap individu yang ingin menyebut atau menyebarkan sesuatu berupa hadith. Selamat membaca!

NASIHAT ZAID IBN ARQAM – IA PERKARA YANG AMAT BERAT!
Diriwayatkan oleh Ahmad Ibn Hanbal di dalam bukunya al-Musnad dan juga Ibn Majah dalam bukunya Sunan bahawa salah seorang tabi’in (mereka yang tidak sempat betemu dengan Rasulullah SAW tetapi sempat bertemu dengan sahabat Baginda) yang bernama Abd. Rahman Ibn Abi Laila telah berkata kepada seorang sahabat Rasulullah SAW yang bernama Zaid Ibn Arqam: ’Ceritakanlah kepada kami hadith Rasulullah’. Zaid Ibn Arqam menjawab ringkas: ’Kami sudah tua, kami telah lupa dan menyebutkan sesuatu tentang Rasulullah SAW adalah perkara yang berat.

BEBERAPA PENGAJARAN BERGUNA
Golongan seperti para sahabat selalunya tidak banyak berkata-kata. Sekiranya mereka berkata-kata, ia ringkas, padat dan penuh bermakna. Mari kita lihat apakah antara pengajaran penting ungkapan ringkas Zaid Ibn Arqam tadi:

Pertama,
Dia menyedari bahawa dirinya telah tua dan sebagai manusia, ingatannya sudah tidak sehebat usia mudanya. Inilah keikhlasan hati seorang sahabat Nabi SAW yang tidak mahu mengambil risiko dalam menyebut sesuatu tentang Rasulullah SAW. Zaid Ibn Arqam bukan sebarangan orang. Dia adalah sahabat Rasulullah SAW yang pernah mengecap kenikmatan hidup bersama insan agung itu. Dia sama sekali tidak akan menipu atau berbohong tentang diri Rasulullah SAW. Tetapi dia sedar bahawa seorang manusia walaupun tidak ingin berbohong, tetapi kadangkala tersilap, tersalah dan terlupa. Inilah keikhlasan yang kita inginkan daripada diri kita apabila kita mula bercakap tentang diri Rasulullah SAW. Kalau yakin, teruskanlah. Tapi kalau sudah tahu bahawa diri kita tidak begitu ingat dan kurang pasti, diamlah. Diam lebih baik daripada berkata-kata perkara yang kita tidak pasti benar atau tidak.

Kedua,
Zaid Ibn Arqam bukan hanya sekadar menyebut dirinya itu telah tua dan telah lupa, tetapi dia telah memberikan peringatan yang amat berguna untuk kita. Ia merupakan satu manhaj atau metodologi dalam kita menyampaikan hadith-hadith Rasulullah SAW. Zaid telah menyifatkan tindakan kita menyampaikan sesuatu tentang diri Rasulullah SAW sebagai satu perkara yang ’berat’. Ia berat dan amat berat untuk dipikul. Ia hanya boleh dipikul oleh orang yang mampu sahaja. Seorang anak kecil berusia 5 tahun sudah pasti tidak dapat mengangkat barang yang mampu dipikul oleh seorang lelaki dewasa. Begitu juga seorang lelaki yang terlalu tua juga tidak mampu mengangkat apa yang boleh diangkat oleh lelaki yang lebih muda darinya. Bukankah mereka semuanya manusia yang sama? Ya, mereka sama dari sudut kemanusiaannya tetapi mereka tidak sama dari sudut kemampuan masing-masing. Begitu juga halnya dalam meriwayatkan atau menyebutkan sesuatu hadith. Zaid Ibn Arqam telah mendidik para tabi’in di zamannya agar mereka merasai tanggungjawab yang besar dan berat yang perlu mereka tanggung setiap kali ingin menyebut hadith daripada Rasulullah SAW.

Renungkanlah berulang kali kata-kata Zaid Ibn Arqam ini dan cubalah hayati maknanya yang mendalam. Seolah-olah dia sedang berada di hadapan anda dan berkata dengan tegas...’dan menyebut sesuatu tentang Rasulullah SAW adalah perkara yang berat’!