JH-MANHAJ-001- AHLI HADITH MODEN LEBIH HEBAT?

Primary tabs

Kategori ‘Manhaj’ adalah kategori yang diwujudkan khas untuk membincangkan beberapa persoalan berkaitan kajian hadith secara lebih terperinci. Mungkin ia sukar difahami oleh sebahagian pengunjung al-ahkam.net yang baru mula mengenali ilmu ini. Oleh itu saya memohon maaf sekiranya perbincangan di sini mungkin membosankan anda atau menambahkan kekeliruan kerana itu bukan tujuan saya. Jabatan Hadith AAN telah pun menyediakan kategori-kategori lain seperti Asas, Sejarah, Buku dan sebagainya untuk anda mendapatkan maklumat asas tentang kajian hadith. Bagi yang membaca artikel kategori ‘Manhaj’ ini, diharapkan anda dapat memberikan maklum balas kepada kami di Jabatan Hadith AAN sama ada berbentuk pembetulan, penambahan atau persoalan agar dapat kita manfaatkan bersama untuk masa depan kajian hadith terutama melalui alam siber. Wallahu a’lam.

AHLI HADITH MODEN LEBIH HEBAT DARIPADA AHLI HADITH SILAM?

Saya pernah ‘menganut’ fahaman sebegini. Kini, setelah saya tinggalkan fahaman tersebut, saya dapati terdapat dalam kalangan sahabat-sahabat pencinta sunnah dan peminat kajian hadith rupa-rupanya masih berpegang dengan pandangan tersebut iaitu – ulama hadith moden lebih mampu dan berupaya mengkaji berbanding ulama hadith silam. Ada yang mengatakan ulama moden lebih hebat dalam beberapa sudut dan ada pula yang berlebihan dengan mengatakan ahli hadith moden lebih hebat secara keseluruhannya.

Hujah yang diberikan oleh mereka yang berpegang dengan pendapat ini hanyalah berdasarkan situasi seperti berikut – zaman yang serba canggih telah membantu ulama hadith moden untuk memperolehi rujukan yang lebih baik dan lebih banyak. Dibantu pula dengan kecanggihan komputer, tugas ahli hadith moden nampaknya tidak sukar dalam menganalisis maklumat berkaitan hadith. Maka hasil kajian mereka lebih tepat dan lebih diyakini berbanding hasil kajian ulama hadith silam.

Dalam tulisan yang ringkas ini, saya cuba sebutkan beberapa sebab yang membawa kepada tanggapan sedemikian. Dengan menyebut sebab-sebab ini secara ringkas, diharap pembaca dapat membuat kesimpulan sendiri kenapa saya menganggap tanggapan ini tidak tepat.

KURANG MENGKAJI SEJARAH PERKEMBANGAN HADITH

Sesiapa yang berpegang dengan pendapat tadi berkemungkinan besar tidak mempunyai masa untuk mendalami sejarah perkembangan kajian hadith sejak dahulu hingga ini. Ternyata sejarah amat penting bagi setiap umat agar mereka tahu apa yang telah berlaku terhadap generasi sebelum mereka. Kebiasaannya, umat yang tidak mengkaji sejarah akan kurang menghargai jasa generasi terdahulu. Sejarah perkembangan hadith telah membuktikan bahawa kegemilangan ilmu kajian hadith adalah pada zaman awal terutama pada kurun ketiga dan keempat Hijrah. Bahkan ulama-ulama yang hidup selepas zaman tersebut juga mengakui kehebatan ulama pada zaman itu seperti apa yang pernah diakui oleh al-Baihaqi (458H) dalam bukunya Manaqib al-Syafie, al-Khatib al-Baghdadi (463H) dalam bukunya al-Kifayah, Ibn al-Jauzi (597H) dalam pendahuluan bukunya al-Maudhu’at dan Ibn al-Athir (606H) dalam pendahuluan bukunya Jami’ al-Ushul.

Begitu juga sekiranya seseorang yang meyakini pendapat di atas cuba untuk membaca satu persatu huraian ulama-ulama Mustolah al-Hadith moden. Pasti dia akan dapat melihat bagaimana ulama-ulama moden bergantung kepada buku-buku utama yang pernah dikarang oleh ulama terdahulu. Kesemua buku-buku itu hampir kesemuanya akan merujuk kepada buku yang lebih utama seperti buku Ma’rifat Anwa’ Ilm al-Hadith karya Ibn al-Solah (643H) yang juga dikenali dengan nama Muqaddimah Ibn al-Solah. Dan sesiapa yang membaca buku ini pasti akan melihat bagaimana kajian Ibn al-Solah mempunyai bukti daripada kajian ulama terdahulu seperti al-Khatib al-Baghdadi dan begitulah seterusnya. Kita akan dapat melihat bahawa ilmu itu berpunca daripada ulama silam. Ia hanya disusun, diringkaskan dan dihuraikan oleh ulama selepas mereka.Hasil kajian mereka (walaupun dilihat lebih tersusun) pasti mempunyai hubungan dengan apa yang telah disimpulkan oleh tokoh-tokoh hadith salaf. Siapalah ulama sekarang jika tidak kerana usaha dan ilmu ulama silam?

TIDAK MENGENALI KETOKOHAN PERIBADI AHLI HADITH SILAM

Apabila saya menyebutkan istilah ‘ulama hadith silam’, saya memilih untuk membahagikan mereka kepada dua kategori (seperti dalam artikel-artikel tentang manhaj al-Mutaqaddimin yang pernah ditulis sebelum ini) iaitu : ulama hadith salaf atau al-Mutaqaddimin dan juga ulama hadith selepas mereka iaitu al-Mutaakhirin.

Amat jelas bahawasanya pemegang pendapat yang disebutkan tadi (ahli hadith moden lebih hebat) tidak mengenali dengan lebih dekat kedudukan peribadi ahli hadith silam sama ada al-Mutaakhirun atau al-Mutaqaddimun.

Dengan merenung peribadi tokoh hadith al-Mutaakhirun seperti al-Baihaqi (458H), al-Khatib al-Baghdadi, Ibn Abd. Barr (463H), Ibn al-Jauzi, Ibn al-Solah (643H), al-Zahabi (748H) dan lain-lain lagi, pasti akan lahir di dalam hati kita rasa kagum yang begitu tinggi terhadap kemampuan mereka dan juga hasil kajian mereka.

Apatah lagi jika anda meluangkan masa untuk mengkaji pula kehidupan tokoh-tokoh hadith al-Mutaqaddimin/salaf sebelum mereka seperti Syu’bah Ibn al-Hajjaj (160H), Yahya Ibn Sa’id al-Qattan (198H), Abd. Rahman Ibn Mahdi (198H), Ali Ibn al-Madini (234H), Ahmad Ibn Hanbal (241H), Yahya Ibn Ma’in (233H) dan lain-lain lagi. Seterusnya ditambah pula dengan membaca riwayat hidup tokoh-tokoh hadith selepas mereka yang diketuai oleh nama-nama hebat seperti al-Bukhari (256H), Muslim (261H), al-Tirmidzi (279H), al-Nasaaei (303H) dan lain-lain lagi. Apakah mungkin kemampuan mereka dapat ditandingi oleh orang-orang yang hidup pada zaman moden? Jawapannya anda akan temui sekiranya anda mengenali mereka dan tidak sekadar mengetahui nama mereka sahaja.

Oleh itu kita dapati wujudnya sebahagian pengkaji moden sama ada di negara Arab atau negara Islam yang lain termasuk Malaysia, segolongan yang mencari-cari kelemahan hadith di dalam Sahih al-Bukhari atau Sahih Muslim dengan alasan ‘ijtihad zaman moden’. Ini disebabkan mereka tidak mengenali kehebatan imam-imam hadith seperti al-Bukhari dan Muslim. Ditambah pula mereka tidak pernah mengambil masa yang lama untuk mengkaji metodologi mereka dalam pemilihan dan penapisan hadith. Tiba-tiba, dengan mudahnya menolak hadith yang ada dalam buku-buku terkenal?

MENYANGKA BAHAWA KAJIAN HADITH MASIH BELUM LENGKAP

Satu lagi punca yang menyebabkan sebahagian sahabat pencinta sunnah menerima tanggapan yang disebutkan di atas ialah kerana menyangka bahawa kajian hadith masih belum lengkap. Maka menjadi tugas ahli hadith moden untuk melengkapkan kajian itu dan dengan itu mereka adalah lebih hebat.

Sekiranya saya menerima sangkaan sebegini, ia tetap tidak membawa maksud seperti kita sedang bicarakan di sini. Sekiranya ulama moden dianggap sebagai pelengkap, maka sudah pasti di sana ada yang memulakan dan meletakkan binaan asas, iaitu ulama silam. Pasti jasa mereka lebih besar kerana untuk memulakan dan meletakkan kaedah asas untuk setiap binaan adalah satu perkara yang sukar. Ia lebih susah berbanding melengkapkan binaan. Itu sekiranya saya menerima sangkaan tersebut.

Tetapi hakikatnya, saya tidak dapat menerima sangkaan itu sama sekali. Ini kerana beberapa sebab:

  • Pertama, ia menunjukkan bahawa kajian hadith silam tidak mampu untuk menangani cabaran semasa pada zaman itu. Ini boleh menyebabkan keraguan terhadap ulama hadith silam.
  • Kedua, ia boleh membawa maksud bahawa hadith tidak terpelihara dan berlaku campur aduk yang serius antara hadith sahih dan hadith yang tidak sahih termasuk yang palsu.
  • Ketiga, bagaimana pula saya akan yakin kepada kajian moden sebagai pelengkap? Boleh jadi kajian moden juga tidak lengkap dan perlu dilengkapkan pada masa akan datang. Ini akan membuka ruang untuk keraguan demi keraguan.
  • Keempat, sebahagian kajian hadith tidak dapat difahami dengan mudah. Ia tersirat dan tersembunyi dalam pelbagai buku dan juga dengan pelbagai istilah. Ia perlu dicari dan difahami oleh seseorang yang berpengalaman dalam kajian. Jangan kerana kita yang tidak memahaminya atau mengetahuinya menyebabkan kita berkata ‘kajian belum lengkap’.

Bahkan sangkaan sebegini (kajian hadith belum lengkap) membuka jalan bagi pengikut golongan anti hadith yang telah wujud zaman berzaman untuk mempertikaikan hadith sebagai sumber hukum hanya kerana kajian hadith silam tidak mampu memelihara kesahihannya.

KAJIAN HADITH DIANGGAP MUDAH UNTUK DIKUASAI

Begitu juga saya mengira bahawa di antara sebab pendapat atau tanggapan di atas muncul ialah kerana ilmu kajian hadith dipandang sebagai satu ilmu yang mudah. Seakan-akan ia terbuka untuk semua peringkat masyarakat walaupun dalam kalangan orang-orang yang tidak mempunyai kelayakan asas seperti menguasai Bahasa Arab, memahami istilah-istilah hadith dan perbahasannya serta sebagainya. Ada yang baru sehari dua mengenali kajian hadith sudah mula melihat dirinya mampu untuk menyaingi ulama silam. Inilah yang menyebabkan sebahagian peminat hadith zaman ini menganggap bahawa amat mudah untuk berijtihad menentukan kesahihan dan kedhaifan hadith.

Ibn Hajar al-‘Asqalani (852H) telah menegaskan bahawa seorang pengkaji hadith perlu mempunyai sifat-sifat yang agung seperti kefahaman yang mantap terhadap perbincangan ulama hadith, ingatan yang kuat, latihan yang berterusan, masa yang panjang dan sebagainya. Dan beliau pernah mengingatkan di dalam bukunya al-Nukat ‘Ala Ibn al-Solah bahawa tokoh-tokoh hadith pada zaman salaf lebih hebat dan mampu dalam kajian hadith.

Ini ditambah pula dengan satu hakikat yang saya rasakan perlu disebut iaitu – ramai pengkaji hadith moden terperangkap dan keliru dalam perbezaan istilah antara ulama hadith moden, ulama al-Mutaakhirin dan ulama al-Mutaqaddimin. Terdapat istilah-istilah berkaitan Mustolah al-Hadith dan juga kajian periwayat (Jarh wa Ta’dil) yang kelihatan sama tapi berbeza maksudnya antara mereka. Ada pula yang zahirnya kelihatan berbeza tapi maksudnya sama. Malah ulama hadith moden sentiasa terperangkap dalam menganalisis teori dan bukannya amali. Lebih malang lagi apabila ulama moden bertindak ‘menegur’ atau ‘membetulkan’ hasil kajian ulama salaf semata-mata kerana dirinya tidak memahami apa yang dimaksudkan oleh mereka. Seolah-olah al-Bukhari, Muslim, al-Tirmidzi dan al-Daraquthni (385H) tidak menemui apa yang berjaya ditemui oleh ahli hadith moden yang baru setahun jagung mengkaji! Kalau inilah yang berlaku dalam kalangan pengkaji hadith di negara Arab yang lebih menguasai bahasa ibunda mereka, bayangkan apa yang boleh berlaku kepada pengkaji hadith yang tidak menguasai Bahasa Arab!

Contohnya ada yang berpegang dengan pendapat bahawa hadith seorang mudallis ditolak sekiranya dia menggunakan ‘an’anah (sila rujuk perbahasannya dalam buku-buku Mustolah al-Hadith). Sedangkan dia tidak menyedari bahawa sekiranya kaedah ini diamalkan sebegini mudah, pasti banyak hadith-hadith sahih dalam buku-buku seperti Sahih al-Bukhari, Sahih Muslim dan sebagainya akan tertolak kerana ramai periwayat yang digelar ‘mudallis’ dan mereka menggunakan ‘an’anah! Sedangkan ulama salaf (secara amali) telah menjelaskan bahawa terdapat hadith mudallis secara ‘an’anah yang diterima berdasarkan syarat-syarat tertentu dan ada pula hadith mudallis yang ditolak. Ini hanyalah satu contoh daripada beberapa contoh kekeliruan dalam Mustolah al-Hadith pada zaman ini.

RUJUKAN MASA KINI LEBIH LENGKAP?

Tanggapan di atas dikuatkan lagi dengan tanggapan lain iaitu – rujukan seseorang ahli hadith dalam kajian lebih lengkap berbanding ahli hadith silam. Maka kajian moden akan mempunyai sumber yang lebih luas lalu hasilnya akan menjadi lebih baik.

Sekiranya kita menerima tanggapan ini sebagai satu fakta, ia tetap tidak membawa maksud kajian hadith moden lebih baik. Kenapa? Kerana seseorang yang mempunyai alat yang lengkap masih perlukan kemahiran menggunakannya agar tidak tersilap. Kalaulah kita yakin dengan sepenuhnya bahawa rujukan moden telah lengkap, kita sebenarnya belum pasti adakah ahli hadith moden berupaya menggunakannya atau memahaminya dengan tepat.

Namun sekali lagi, tanggapan ini tidak dapat diterima berdasarkan realiti semasa. Memang benar kita mempunyai rujukan yang banyak hasil daripada teknologi semasa yang memungkinkan kita mencetak kembali manuskrip lama dalam bentuk buku-buku yang lebih mudah digunakan. Namun kita perlu sedar bahawa sumber rujukan yang lengkap untuk seseorang ahli hadith bukanlah semata-mata terhad kepada buku yang ada di pasaran pada masa ini. Al-Zahabi dalam bukunya al-Muqizoh pernah menyatakan bahawa terdapat banyak buku hadith yang dianggap sebagai manuskrip asal yang wujud pada zaman salaf telah pun hilang dan lenyap pada zaman beliau. Al-Zahabi telah menjelaskan bahawa perkara ini merupakan salah satu sebab pengkaji hadith di zaman beliau (kurun kelapan Hijrah!) tidak dapat menyaingi ahli hadith salaf yang telah pun mempunyai sumber rujukan yang amat luas dan ia membantu mereka dalam mengeluarkan hukum terhadap kesahihan atau kedhaifan hadith. Perkara ini juga sering disebutkan oleh al-Khatib al-Baghdadi dalam buku-bukunya (kita dapati al-Khatib memang bersungguh-sungguh dalam mengumpulkan maklumat-maklumat daripada buku terdahulu agar disusun kembali untuk umat zaman beliau).

Ini ditambah pula dengan hakikat bahawa kajian hadith yang berlaku pada zaman salaf berlaku secara langsung. Para ahli hadith salaf telah berada dalam suasana kajian yang memuncak dengan pengembaraan dan penulisan hadith. Suasana kajian sebegini tidak ada lagi pada kurun kelima, keenam dan ketujuh, apatah lagi pada zaman moden kita hari ini!

Lebih dari itu, ahli hadith salaf berhubung antara satu sama lain dan telah berlaku perbincangan demi perbincangan sesama mereka dalam proses menilai hadith. Perbincangan sebegini amat tinggi nilainya dalam membina peribadi pengkaji yang tahu latar belakang hadith dan periwayatnya.

Kita juga yakin bahawa tidak semua maklumat tersebut (yang menjadi alat kajian yang membantu ahli hadith salaf) ditulis dan dicatat. Apa yang kita temui adalah hasil kajian mereka dan bukannya semua alat kajian yang mereka gunakan kerana tidak kesemuanya ditulis. Inilah yang menjadikan penulis buku-buku Mustolah al-Hadith yang awal seperti al-Ramahurmuzi (360H), al-Hakim (405H), al-Khatib al-Baghdadi dan lain-lain lagi telah bertungkus-lumus dalam mengumpulkan sebanyak mungkin hasil kajian salaf dan menghuraikannya serta menyusunnya untuk pembaca di zaman mereka.

Cukup setakat ini, walaupun masih ada lagi ruang untuk ditulis. Mungkin ada yang telah memahami setakat ini bahawa sesungguhnya pernyataan atau tanggapan yang kita sedang bincangkan ini boleh diragui sebelum ia dianggap tidak tepat. Harapan saya agar perbincangan dalam artikel yang ringkas ini dapat membuka ruang untuk kajian dan perbincangan lebih lanjut. Tidak ada sesiapa yang harus merasa terpaksa untuk menerima apa yang saya coretkan. Namun untuk anda menutup pintu perbincangan dan kajian sebelum ia bermula, itu adalah sesuatu yang kurang wajar.

PENUTUP - KEDUDUKAN SEBENAR AHLI HADITH MODEN

Sepatutnya ahli hadith moden dan pencinta hadith masa kini menumpukan usaha mereka ke arah memahami, menyusun, menghuraikan, meringkaskan dan mempromosikan hasil kajian ulama silam dalam bentuk yang sesuai dengan perkembangan semasa. Mereka tidak sepatutnya meletakkan diri mereka setaraf dengan ulama hadith silam apatah lagi menganggap diri mereka lebih hebat! Itu adalah satu bentuk angan-angan yang tidak berpijak di bumi nyata.

Mereka sepatutnya menjadi tempat rujukan masyarakat semasa dalam memahami kajian hadith silam yang telah lengkap dan terbukti berjaya mempertahankan kesucian hadith sepanjang zaman. Mereka juga sepatutnya berusaha memperkenalkan tokoh-tokoh hadith silam agar generasi akan datang mengenali siapakah tokoh-tokoh hadith yang berjasa kepada mereka.

Artikel ringkas ini pasti meninggalkan beberapa persoalan dan pertanyaan. Apa yang saya harapkan ia dapat menjawab sebahagian persoalan terutama berkaitan tajuk yang kita bicarakan iaitu ‘kedudukan ahli hadith moden berbanding ahli hadith silam’.

Wallahu a’lam

Moga bertemu dalam tulisan akan datang, insya Allah.

alitantawi

Penyelaras, Jabatan Hadith AAN

alitantawi@blogspot.com

alitantawi@yahoo.com