Komentar Ringkas buku - Wasiat Nabi Kepada Saidina Ali

Primary tabs

Artikel ini tulisan Ust Tuan Mohd Safuan Tuan Ismail( pensyarah KIAS, Nilam Puri, Kelantan) dipetik dari
http://tasekpauh.blogspot.com/2009/12/komentar-ringkas-buku-wasiat-nabi.html

Wasiat Nabi Kepada Saidina Ali

Pada hari rabu yang lepas (09/12/09), salah seorang pelajar saya menunjukkan kepada saya sebuah buku berjudul “Wasiat Nabi S.A.W. Kepada Sayyidina Ali”. Buku tersebut adalah hasil terjemahan seorang murabbi yang terkenal, iaitu al-Fadhil Ustaz Yahya bin Haji Othman. Beliau menunjukkan buku tersebut kepada saya untuk mengenal pasti kedudukan hadis dalam buku tersebut.

Terkejut juga saya bila melihat buku tersebut, yang mana ia baru sahaja dicetak, dan saya tidak pernah melihatnya sebelum ini. Cetakan pertama adalah pada Ogos 2009 sebanyak 3000 naskhah. Saya rasa terpanggil untuk membuat sedikit komen tentang buku ini, namun masa tidak mengizinkan kerana pada hari tersebut, saya sedang sibuk menyiapkan bahan “power point” untuk pembentangan “Toharah Dan Solat Bagi Pesakit Yang Menggunakan Beg Kolostomi”, salah satu slot dalam kursus penjagaan stoma, pada keesokan hari (khamis, 10/12/09), anjuran Kelab Stoma Hosptal Raja Zainab II, Kota Bharu (insya Allah, saya akan masukkan sedikit perbahasan mengenainya dalam blog ini nanti).

Komen saya bagi buku ini (yang mana ia mungkin akan tersebar,sudah dan sedang tersebar) ialah:

Pertama: Kita tidak boleh sewenang-wenang menisbahkan sesuatu hadis kepada Nabi s.a.w. Sesuatu perkataan tidak boleh dinisbahkan kepada Nabi s.a.w. melainkan setelah diteliti terlebih dahulu kesahihannya. (Sila lihat surah al-Hujurat, ayat 6). Ini kerana menisbahkan sesuatu perkara kepada Nabi s.a.w. adalah satu dosa yang sangat besar, kerana ia akan membawa kepada pemalsuan hadis. Sesungguhnya memalsukan hadis dosanya adalah lebih besar daripada berzina dan merompak, jika ia disengajakan.

Kedua: Sesuatu hadis yang ingin disebarkan kepada orang ramai, apatah lagi dalam bentuk yang kekal seperti buku, mestilah diselidiki kesahihannya terlebih dahulu. Sesungguhnya menyebarkan sesuatu hadis tanpa menyelidiki terlebih dahulu adalah berlawanan dengan ajaran Nabi s.a.w. Ia juga bercanggah dengan sunnah yang telah diasaskan oleh Saidina Abu Bakar, Umar, Usman, Ali dan juga lain-lain sahabat dan para tabien. Mereka semua sangat berhati-hati dalam masalah ini. Bahkan kisah Saidina Abu Bakar dan juga Saidina Umar tidak menerima sesuatu hadis yang disampaikan kepada mereka tanpa saksi adalah sangat masyhur.

Ketiga: Perlunya mempelajari “Mustolah al-Hadis”. Menguasai bahasa arab dan mampu memahaminya dengan baik tidaklah mencukupi dalam masalah penerimaan dan penyebaran hadis. Kerana inilah Imam Syafie menganggap bahawa orang yang mempelajari ilmu, tanpa ilmu hadis adalah “Hatib lail” (pencari kayu api di malam hari). Ini kerana mereka tidak menyedari bahawa di sana terdapat hadis-hadis yang dipalsukan dan dinisbahkan kepada Nabi s.a.w., sebagaimana orang yang mencari kayu di malam yang gelap tidak menyedari bahawa ada ular atau jengking kala yang sedang menunggu untuk menggigitnya. Sekalipun kita tidak akan mereka-reka hadis palsu kerana dosanya yang sangat besar, bahkan dianggap murtad oleh sebahagian ulamak, namun janganlah kita meninggalkan metodologi penelitian hadis yang telahpun ditinggalkan oleh para sahabat. Ini kerana kita tidak mahu termasuk dalam golongan yang menyebarkan hadis palsu, walaupun tanpa sengaja.

Keempat: Hadis-hadis dalam buku ini, sedikit pun tidak ditakrijkan (dinyatakan sumbernya dan kesahihannya). Sewajibnya ia dinyatakan dari manakah sumber hadis ini. Dan adakah hadis wasiat Nabi kepada Saidina Ali dalam buku ini, satu hadis yang panjang (mengandungi 99 wasiat), atau ia adalah himpunan hadis-hadis yang pendek? Kalaulah ia satu hadis yang panjang (hanya satu sanad), maka sudah tentu ia akan masyhur di kalangan ahli hadis. Dan jika ia adalah himpunan hadis-hadis yang pendek, maka ia wajib ditakhrijkan terlebih dahulu sebelum ia disebarkan kepada ramai. Saya berpendapat bahawa jika ia adalah satu hadis yang panjang (satu sanad), maka ia adalah satu hadis palsu dari permulaan hingga akhirnya. Namun, jika ia adalah himpunan hadis-hadis yang pendek, maka saya dapati wasiat yang pertama itu adalah sahih, dan yang selebihnya mesti diselidiki terlebih dahulu. Namun, saya merasakan kebanyakannya atau keseluruhannya adalah palsu.

Kelima: Janganlah kita terus menerima sesuatu hadis tanpa sebarang usul periksa, walaupun ia terdapat dalam kitab-kitab kuning dan ditulis oleh ustaz-ustaz dan tok-tok guru pondok. Ini kerana ramai di kalangan mereka tidak mengamalkan metodologi para sahabat dan ulamak salaf dalam masalah hadis. Kerana inilah para ulamak hadis menyatakan bahawa pemalsu hadis ini terdiri daripada pelbagai golongan, namun yang paling bahaya ialah pemalsu di kalangan para ahli agama (orang-orang yang zuhud). Ini kerana orang ramai akan menerima hadis mereka kerana percayakan mereka. Lihatlah apa yang disebut oleh para ulamak hadis (walau tidak difahami oleh kebanyakan kita):
1- Yahya bin Said al-Qattan berkata: “Aku tidak melihat para solihin, dalam satu perkara, ada yang lebih dusta daripada mereka (berbanding mereka) dalam hadis”.
2- Imam Muslim (ketika mengulas pendapat Yahya bin Said al-Qattan tadi) berkata: “Pendustaan berlaku pada lidah mereka, sedangkan mereka tidak sengaja melakukannya”. Dan beliau juga pernah berkata: “Aku boleh percaya kepada seorang lelaki untuk seratus ribu (wang), namun aku tidak boleh mempercayainya dalam hadis”.
3- Abu az-Zanad (guru Imam Malik) berkata: “Aku sempat berjumpa di Madinah ini, seratus orang yang memang boleh dipercayai (orang yang beragama), namun tidak boleh dipelajari hadis daripada mereka. Ini kerana mereka bukanlah ahlinya.
4- Imam Malik berkata: “Sesungguhnya ilmu ini (hadis) merupakan agama. Maka, lihatlah dengan siapa kamu mengambil (asas) agama kamu. Seseungguhnya aku sempat berjumpa dengan 70 orang di Masjid Nabi ini, yang mana mereka menyatakan Rasulullah s.a.w. bersabda (mereka membacakan hadis), tapi aku tidak mempelajari sedikitpun daripada mereka. Sesungguhnya salah seorang daripada mereka itu, kalau diamanahkan untuk menjaga Baitulmal, memang dia seorang yang amanah, namun (tidak diambil hadis daripada mereka) kerana mereka bukanlah ahli dalam bidang ini (hadis). Dan bila tiba kepada kami Muhammad bin Syihab (Imam az-Zuhri), kami berlumba-lumba belajar dengannya, sekalipun dia hanyalah seorang yang muda”.

Keenam: Para ulamak hadis yang mengumpulkan hadis-hadis palsu sebenarnya sudah membincangkan hadis-hadis berkenaan wasiat Nabi kepada Saidina Ali. Mereka telah menyatakan bahawa kebanyakan wasiat tersebut adalah palsu. Al-Ajluni dalam kitabnya Kasyful Khafa’ telah menyatakan:
وقال بعض المحققين إن وصايا علي المصدرة بيا كلها موضوعة إلا قوله عليه الصلاة والسلام يا علي أنت مني بمنـزلة هارون من موسى إلا أنه لا نبي بعدي.

Ertinya: Berkata para ulamak yang telah membuat kajian: “Sesungguhnya wasiat Saidina Ali (ringkasan nama hadis wasiat Nabi kepada Saidina Ali) yang dimulakan dengan “Ya” ( “Ya Ali”: yang bererti “wahai Ali”) semuanya adalah palsu kecuali sabdaan baginda: “Wahai Ali, perumpamaan aku denganmu samalah seperti Nabi Musa dan Nabi Harun, namun tiada lagi Nabi selepasku”.

Ketujuh: Saya cadangkan kepada golongan ustaz dan para pelajar pengkhususan agama, samada Usuluddina atau Syariah supaya memiliki sekurang-kurangnya satu buku himpunan hadis-hadis palsu. Contohnya Al-Manarul Munif karangan Ibn Qayyim al-Jauziyyah, al-Maudhuat Ibn al-Jauzi, al-Lu’lu’ al-Marsu’ karangan al-Qawuqji dan lain-lain kitab. Ini bagi memudahkan mereka membacanya, supaya mereka tidak menjadi ejen penyebar pemalsuan hadis, sekalipun tanpa sengaja. Bahkan terdapat buku himpunan hadis-hadis palsu dalam bahasa Melayu yang telah dikumpulkan oleh al-Fadhil Ustaz Abdul Ghani Azmi.
Kelapan: Wasiat ini (melalui pembacaan sepintas lalu saya) tidak berkaitan dengan ajaran Syiah. Bahkan banyak kandungan wasiat ini adalah baik. Namun bukan semua benda yang baik dan benar itu disabdakan oleh baginda, sekalipun semua sabdaan baginda adalah cantik dan benar. Saya rasakan buku ini boleh dibaiki (diubah suai) dengan dibuang sebahagian wasiat yang tak boleh dibaiki (seperti yang mengandungi fadhilat, pesanan JIbril di hujung hadis dsbg.), dan diubah tajuknya daripada “Wasiat Nabi kepada Saidina Ali” kepada “Wasiat Seorang Murabbi Kepada Anak Didiknya” atau sebagainya. Juga diubah daripada panggilan “Wahai Ali”, kepada “wahai saudaraku”, atau “wahai anakku”, “wahai pelajarku” atau seumpamanya.

Kelapan: Janganlah kalian menganggap bahawa dengan komen ini bererti saya tidak menghormati al-Fadhil Ustaz Yahya Usman, seorang yang cukup berjasa dan menghabiskan kehidupannya untuk perjuangan Islam. Beliau merupakan seorang murabbi yang perlu diteladani. Komen saya ini adalah demi tuntutan ilmiah yang ada pada saya. Lebih baik orang yang tidak bersetuju dengan saya menjadi musuh saya di dunia dan akhirat (kerana komen ini) berbanding Allah dan Rasul menjadi musuh saya (kerana tidak menegakkan kebenaran, mempertahankan hadis Nabawi daripada dicemari). Apatah lagi, bukan beliau orang pertama melakukan kesilapan ini. Sesungguhnya Imam Ghazali juga telah melakukan kesilapan memasukkan hadis-hadis palsu ke dalam kitabnya Ihya Ulum ad-Din, sekalipun beliau seorang tokoh agung, yang mana jasanya kepada Islam sangat besar, sehingga dianggap sebagai mujaddid kurun kelima. Begitu juga Jabatan Agama yang ditugaskan menjaga agama juga tidak terkecuali daripada melakukan penyebaran hadis palsu, bahkan disebarkan secara rasmi. Contohnya hadis solat orang yang berkahwin melebihi 70 kali ganda solat orang yang tidak berkahwin. Ia adalah isi kandungan khutbah nikah yang disediakan kepada para juru nikah. Namun, ia adalah hadis palsu sebagaimana disebut oleh para ulamak hadis. Semoga kita semua menghormati hadis Nabi s.a.w., kerana ia merupakan syariat daripada Allah SWT. Menisbahkan sesuatu yang bukan hadis kepada Nabi bererti mereka-reka pendustaan kepada Allah SWT. Semoga kita terselamat daripada segala keburukan.

Tulisan: Tuan Mohd Safuan Tuan Ismail (KIAS, Nilam Puri)