JH-ASAS-010- Ungkapan Riwayat al-Bukhari dan Muslim

Oleh: alitantawi

Seringkali kita membaca atau mendengar kata-kata seperti berikut:

- Hadith riwayat al-Bukhari dan Muslim

- Hadith riwayat al-Syaikhan (2 orang syaikh)

- Hadith muttafaqun ‘alaih (yang disepakati kesahihannya)

APA MAKSUDNYA?

Pada hakikatnya ketiga-tiga ungkapan di atas membawa maksud yang satu iaitu: Hadith yang disebutkan atau diriwayatkan oleh dua orang tokoh hadith terkemuka iaitu:

1- Muhammad Bin Ismail al-Bukhari (lahir pada 194 Hijrah dan meninggal pada 256H)

2- Muslim Bin al-Hajjaj (lahir pada 204H dan meninggal pada 261H)

Ungkapan ini membawa maksud bahawa hadith tersebut telah direkodkan oleh dua orang tokoh hadith tersebut dalam dua buku mereka iaitu:

1- Al-Jami’ al-Musnad al-Sahih al-Mukhtasor karya al-Bukhari dan lebih popular dengan nama ‘Sahih al-Bukhari’.

http://al-ahkam.net/home/modules.php?op=modload&name=News&file=article&sid=61219

2- Al-Musnad al-Sahih al-Mukhtasor karya Muslim dan lebih popular dengan nama ‘Sahih Muslim’.

http://al-ahkam.net/home/modules.php?op=modload&name=News&file=article&sid=61305

Jika sesuatu hadith itu hanya ada di dalam salah satu dari dua buku itu, maka para ulama hadith menggunakan istilah ‘riwayat al-Bukhari’ atau ‘riwayat Muslim’. Istilah ‘riwayat al-Bukhari dan Muslim’ kebiasaannya digunakan untuk hadith yang ada di dalam kedua-dua buku tersebut.

CONTOH

Pertama – Hadith yang berbunyi ‘Sesungguhnya amalan itu diukur dengan niatnya…’.

Kita dapati hadith ini ada di dalam Sahih al-Bukhari melalui jalan periwayatan sahabat Nabi SAW bernama Umar Bin al-Khattab. Ia juga ada di dalam Sahih Muslim melalui hadith Umar Bin al-Khattab juga. Maka seringkali hadith ini kita temui para ulama menulis di hujungnya: ‘Riwayat al-Bukhari dan Muslim’.

Kedua – hadith yang menceritakan tentang kedatangan malaikat Jibril mengajarkan umat Islam dengan bersoal jawab bersama Rasulullah SAW berkaitan maksud Iman, Islam dan Ihsan.

Hadith ini kita temui di dalam buku Sahih al-Bukhari melalui jalan periwayatan Abu Hurairah dan kita juga temui hadith ini di dalam Sahih Muslim melalui jalan periwayatan Abu Hurairah dan Umar Bin al-Khattab. Maka kita dapati (sebagai contoh) Imam al-Nawawi (wafat 676H) menyebutkan hadith ini melalui jalan periwayatan Umar Bin al-Khattab di dalam bukunya ‘Hadith 40’ lalu al-Nawawi menyebut di hujungnya : ‘Riwayat Muslim’. Manakala kita dapati Ibn Rejab di dalam huraiannya terhadap buku ‘Hadith 40’ al-Nawawi menyebutkan hadith yang sama – tetapi melalui jalan periwayatan Abu Hurairah – dan Ibn Rejab (wafat 795H) menyebut ‘mereka berdua (al-Bukhari dan Muslim) meriwayatkannya’. Ini merupakan di antara ketelitian para ulama hadith, semoga Allah SWT merahmati mereka.

Ini hanyalah sekadar dua contoh yang ringkas tentang penggunaan istilah ini.

SIAPA AL-BUKHARI DAN MUSLIM?

Untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang mereka berdua, bolehlah merujuk 2 artikel Jabatan Hadith AAN yang telah lalu iaitu:

Bioadata al-Bukhari –

http://al-ahkam.net/home/modules.php?op=modload&name=News&file=article&sid=61294

Biodata Muslim –

http://al-ahkam.net/home/modules.php?op=modload&name=News&file=article&sid=89887

 

APA PENTINGNYA ‘RIWAYAT AL-BUKHARI DAN MUSLIM’?

- Para ulama hadith zaman berzaman telah menjelaskan bahawa di antara buku yang utama dalam mengumpulkan hadith-hadith yang sahih dan diyakini datangnya dari Rasulullah SAW ialah buku Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim.

- Jumlah hadith-hadith yang ada di dalam buku Sahih al-Bukhari adalah sekitar 7500 hadith manakala jumlah hadith di dalam buku Sahih Muslim pula adalah sekitar 7600 hadith termasuklah hadith-hadith yang berulang beberapa kali. Ini bermakna ia mengumpulkan banyak hadith untuk umat Islam pelajari dan amalkan dan ia adalah sahih.

- Walaupun al-Bukhari dan Muslim mempunyai buku-buku yang lain dan di dalam buku-buku tersebut juga terdapat banyak hadith, namun sejak sekian lama para ulama hadith menetapkan bahawa ungkapan ‘Riwayat al-Bukhari’ dan ‘Riwayat Muslim’ membawa maksud yang satu iaitu hadith-hadith yang mereka sebutkan di dalam buku Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim.

- Terkadang sesuatu hadith itu bukan semata-mata ada di dalam kedua buku ini sahaja, malah ia ada dalam buku-buku lain. Malah seringkali hadith-hadith yang disebutkan oleh kedua tokoh ini telah pun ada dalam buku-buku sebelum daripada mereka contohnya buku-buku yang dikarang oleh guru-guru mereka. Namun dengan menyebut hadith itu ‘riwayat al-Bukhari’ dan ‘riwayat Muslim’ memberikan satu bentuk maklumat penting iaitu tentang ‘kesahihan’ hadith tersebut di sisi ulama hadith.

NASIHAT DAN PANDUAN

Namun begitu, bagi mereka yang mampu mengkaji dan menyelidik, perlu diketahui bahawa terkadang kita temui lafaz ‘riwayat al-Bukhari’, ‘riwayat Muslim’ atau ‘riwayat al-Bukhari dan Muslim’ tetapi pada hakikatnya ia tidak membawa maksud yang kita katakan tadi. Ini berpunca daripada kesilapan atau kurang maklumat daripada orang yang menuturkan ungkapan atau lafaz tersebut. Mungkin juga ia adalah hadith yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dalam bukunya yang lain seperti al-Adab al-Mufrad atau Muslim dalam bukunya al-Tamyiz.

Terkadang kita temui juga kata-kata ulama terdahulu yang menyebut ‘muttafaqun ‘alaih’ tetapi bukanlah dia bermaksud hadith itu ada dalam Sahih al-Bukhari dan Muslim. Maka ini perlu diberi perhatian oleh para pengkaji dan penyelidik ilmu ini.

Maka seharusnya seseorang yang ingin menulis tentang sesuatu hadith dan menyatakan bahawa ia adalah ‘riwayat al-Bukhari’ atau ‘riwayat Muslim’ agar memastikan bahawa ia benar-benar ada di dalam buku mereka yang dimaksudkan itu iaitu Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim sekadar ia mampu.

Wallahu a’lam