Sister In Islam: Negara Islam, Hudud, murtad dan Peraturan Kawalan Moral

Primary tabs

Kali ini kita cuba meninjau pandangan Sister In Islam tentang:

1. Negara Islam

2. Hudud

3. Hukuman Murtad

4. Peraturan Kawalan Moral

Jelas bahawa Sister In Islam menentang penubuhan apa yang dinamakan sebagai negara Islam(oleh PAS), yang mana di dalam negara berkenaan sudah tentu akan dilaksanakan hukum hudud dan hukum-hukum lainnya. Kita tak perlu berfikir panjang untuk mengetahui mengapa mereka tidak bersetuju dengan penegakan negara Islam. Bila mereka tidak bersetuju dengan hudud, hukuman murtad, peraturan kawalan moral dan sebagainya maka secara automatik mereka tidak akan bersetuju dengan negara Islam yang di dalamnya terdapat unsur-unsur berkenaan.


 

Negara Islam

Sumber: http://www.sistersinislam.org.my/BM/kenyataan%20akhbar/12122003.htm

Islamic State

12 November 2003

The PAS Islamic state document doesnt provide any new understanding on the kind of Islamic state it intends to bring about.

The general principles of good governance the document identified are already embodied in most constitutions of modern nation-states, including Malaysia.

What is of concern is the PAS obsession with the codification of punitive laws which they claim to be Islamic law, and therefore divine and infallible and cannot be challenged.

But this claim of infallibility must be challenged as what is labelled as Islamic law is derived from various sources. However, PAS, in claiming Gods name to propagate its version of Islamic law, seldom state the sources of its laws - whether its from the Quran or hadith or juristic opinions, minority or majority opinions, or modern codified laws of other Muslim countries.

For example, the Hudud law of Kelantan and Terengganu contain several provisions that are based merely on juristic opinion, such as the presumption of zina (fornication) if a single woman is pregnant.

The failure of the Islamic state project in many Muslim countries has brought Islam, Islamic law and Muslims into disrepute. The PAS vision of Islam - its position on women, hudud law, apostasy, fundamental liberties, music, and local culture - makes its Islamic state project little different than what is found in those failed Muslim countries.

The great philosopher-historian Ibn Khaldun, in his seminal Muqaddimah written in the 14th century, referred to the early days of Islam as a time when the restraining influence came from within the Muslim themselves who adhered to Quranic injunctions out of inner conviction rather than external coercion.

Instead of an obsession with Islamic laws, what is needed today is a focus on inculcating Islamic values within individuals so that they will abide by Gods teachings out of true faith, rather than fear and coercion.

Sisters in Islam


 

Hudud

Sumber: http://www.sistersinislam.org.my/BM/kenyataan%20akhbar/17072002.htm

Undang-undang Hudud Terengganu

17 Julai 2002

Sisters in Islam kesal dengan tindakan kerajaan negeri Terengganu yang meluluskan Undang-undang Hudud baru-baru ini secara tergesa-gesa meskipun berbagai kebimbangan telah dibangkitkan oleh pelbagai pihak terutamanya persatuan-persatuan wanita. Walaupun PAS telah membuat beberapa pindaan ke atas peruntukan-peruntukan tertentu draf asal rang undang-undang, kami ingin menegaskan bahawa kajian yang menyeluruh mengenai konsepnya patut diadakan.

Selama ini, kerajaan negeri PAS di Terengganu dan Kelantan telah cuba menghalang kritikan dengan mendakwa bahawa versi undang-undang "hudud" mereka adalah Hukum Allah swt. Hakikat bahawa percanggahan ketara terdapat di antara beberapa peruntukan asal mereka dengan apa yang tertulis didalam al-Quran dan hadith sahih telah menimbulkan keraguan tentang kesesuaian peruntukan-peruntukan lain dalam cadangan tersebut dengan semangat dan maksud sebenar Hukum Syara.

Masih terdapat kekeliruan mengenai jenayah rogol dan kesalahan zina, apabila rogol dianggap sebagai "zina paksa" yang dirangkumi oleh peruntukan mengenai zina. Rogol sebenarnya adalah jenayah ganas terhadap wanita, suatu pencabulan terhadap tubuh badan yang lebih teruk daripada pencabulan terhadap harta benda, dan merupakan suatu bentuk hirabah yang paling serius. Seksyen 9 telah dipinda untuk membenarkan mangsa rogol membawa keterangan qarinah jika tidak terdapat empat orang saksi, dan adalah dikatakan jika terdapat qarinah, aduan rogol itu akan disiasat.

Persoalannya, Apakah pendekatan kepada "siasatan" ini? Adakah ia bertujuan untuk mencari maklumat bagi membawa penjenayah ke muka pangadilan atau untuk membuktikan samada dakwaan wanita itu benar-benar sahih ataupun tidak? Adakah beban pembuktian diletak di atas bahu perempuan itu atau di atas pihak berkuasa negeri? Adakah perempuan itu mungkin dituduh melakukan qazaf dan/atau zina sekiranya penyiasat memutuskan bahawa keterangan itu kurang menyokong dakwaannya? Adalah diakui oleh pengamal undang-undang, serta juga para doktor dan kaunselor bahawa keterangan qarinah bukanlah mudah untuk diperolehi dalam kes rogol.

Di bawah undang-undang sekarang, iaitu Kanun Keseksaan dan Kanun Prosedur Jenayah, yang boleh dikira sebagai peruntukan tazir bagi undang-undang jenayah, keterangan circumstantial (qarinah) dipakai bagi pembuktian rogol. Namun dalam setengah-setengah kes, pihak pendakwa gagal membawa keterangan yang mencukupi untuk mensabitkan tertuduh. Akibatnya, tertuduh dibebaskan. Tetapi ianya tidak bermakna yang tertuduh tidak bersalah. Pembebasan tertuduh tidak bermakna bahawa mangsa telah membuat aduan palsu, ia hanya bermakna bahawa pihak pendakwa raya telah gagal membuktikan kesnya ketahap keraguan munasabah.

Undang-undang Hudud yang diluluskan oleh kerajaan Terengganu juga dengan jelas melanggar prinsip keadilan yang utamakan oleh Islam. Sebagai contoh, seorang Islam yang terlibat dalam jenayah curi akan dipotong tangannya tetapi orang bukan Islam hanya akan dihukum penjara. Penjenayah bukan Islam pula diberi pilihan bebas sama ada hendak dibicarakan di bawah undang-undang hudud ataupun tidak. Ini bermakna bahawa jika difikirkannya bahawa ia akan dibebaskan di bawah undang-undang hudud, dia akan memilih undang-undang hudud, dan jika difikirkannya bahawa ia akan disabitkan, ia akan memilih undang-undang lain pula. Ketidakselarasan ini hanya akan menimbulkan konflik serta ketidakpuasan hati pelbagai pihak dan bukannya keadilan dalam masyarakat kita yang berbilang agama.

Kami percaya bahawa kesedaran kerohanian dan pendidikan moral adalah senjata paling berkesan untuk membenteras gejala sosial dikalangan masyarakat, dan bukannya hanya melalui hukuman berat. Islam mengajar kita supaya mengasihi sesama manusia dan tidak menggalakkan sikap tergopoh-gapah hendak menghukum orang lain. Sifat Allah swt sendiri adalah Maha Penyayang dan Maha Mengasihani, dan ini ditekankan didalam al-Quran. Dengan itu, kami menyeru semua pihak supaya tidak menggunakan Hudud untuk mendapatkan populariti dan sokongan politik semata-mata kerana ianya akan mencemarkan imej Islam.

Sisters In Islam

---------------

Sumber: http://www.sistersinislam.org.my/BM/kenyataan%20akhbar/23052002.htm

Penelitian semula cadangan "hudud"

23 Mei 2002

Kenyataan pihak berkuasa Terengganu yang dilaporkan dalam Utusan Malaysia 23 Mei 2002, bahawa ia bersedia menangguhkan pembentangan rang undang-undang "hudud" ke sesi persidangan pada bulan Julai untuk membuat pindaan tertentu kepada peruntukan-peruntukannya berdasarkan maklum balas dan pandangan beberapa pihak adalah sangat menggalakkan. Kami ingin memaklumkan bahawa kajian semula yang mendalam dan menyeluruh mengenai konsepnya juga patut diadakan. Selama ini, kerajaan negeri PAS di Terengganu dan Kelantan sentiasa mendakwa bahawa versi undang-undang "hudud" mereka adalah Hukum Allah swt.

Hakikatnya, terdapat beberapa percanggahan ketara di antara beberapa peruntukan yang dicadangkan itu dengan apa yang tertulis dan dimaksudkan di dalam al-Quran dan hadith sahih yang boleh menimbulkan berbagai keraguan. Ini termasuklah keraguan tentang kesesuaian peruntukan-peruntukan lain di dalam cadangan tersebut dengan semangat dan maksud sebenar sumber-sumber suci Hukum Syara.

Kita perlu memahami bahawa terdapat perbezaan di antara sumber-sumber undang-undang Islam yang telah diwahyukan - dalam kitab suci al-Quran - dan sumber-sumber yang bukan diwahyukan, tetapi merupakan hasil tafsiran dan pendapat para ulama dari kalangan manusia. Sebahagian besar daripada sejarah perundangan Islam ialah hasil daripada usaha manusia dan bukannya diwahyukan. Pembentukan dan perkembangan undang-undang Islam berlaku melalui beberapa abad dan menerusi berbagai proses.

Pembentukan empat mazhab Ahl-ul-Sunnah itu bermula sekurang-kurangnya 100 tahun selepas kewafatan Rasulullah saw. Untuk memastikan sistem undang-undang yang adil berdasarkan kepada prinsip-prinsip Islam yang berkekalan, asas dan menyeluruh, kajian dan penyelidikan yang teliti, halus dan terperinci perlulah dijalankan keatas peruntukan-peruntukan yang dicadangkan dalam undang-undang "hudud" itu. Adalah amat menyedihkan sekali kerana hukum-hukum al-Quran yang bertujuan untuk melindungi semua anggota yang mematuhi undang-undang dalam masyarakat pada amnya, dan kaum wanita khususnya, telah diselewengkan menjadi peruntukan undang-undang yang membawa kepada akibat yang berlawanan di beberapa negara Islam yang kononnya mendakwa melaksanakan hukum jenayah syariah. Peruntukan-peruntukan yang dicadangkan dalam rang undang-undang itu juga patut diteliti semula dalam konteks hak-hak kemanusiaan Islam yang menyeluruh.

Perlu diingatkan bahawa pengampunan dan sifat penyayang Allah swt seringkali disebut dan ditekankan dalam kitab suci al-Quran. Misalnya selepas ayat-ayat mengenai hukuman bagi sariqah atau mencuri (dalam Surah al-Maidah), zina dan qazaf (dalam Surah an-Nur), pengampunan Allah swt telah disebut: Orang yang bertaubat sesudah itu dan memperbaiki (dirinya), sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani (Surah Al-Maidah 5 :39, Surah An-Nur 24 : 5).

Patutkah manusia dan institusi buatan manusia terburu-buru untuk menghukum apa yang mungkin diampun oleh Allah swt yang Maha Pengampun dan Mengasihani? Mungkin boleh ditanya atas alasan apakah manusia itu begitu angkuh hendak menghukum sesama manusia, tanpa memikirkan kuasa pengampunan Allah swt? Kalaupun pemimpin itu ikhlas dan berniat baik, dan kalaupun hukuman itu dilaksanakan atas dasar perundangan sah, dan melalui institusi keadilan yang berkelayakan dan berkebolehan (yang seringkali bukan sebaik itu dalam dunia yang serba tidak sempurna ini), kita patutlah berhati-hati dan berwaspada sebelum terburu-buru untuk mengenakan hukuman.

1. Sisters in Islam

2. All Womens Action Society (AWAM)

3. Association of Women Lawyers (AWL)

4. Wanita Ikram, Persatuan Komuniti Ikram, Kuala Lumpur

5. Majlis Pertubuhan Ibu-Ibu Tunggal Malaysia

6. National Council of Womens Organisatioms (NCWO)

7. Wijadi

8. Womens Aid Organisation (WAO)

9. Womens Candidacy Initiative (WCI)

10.Womens Crisis Center (WCC)

11.Women Development Collective (WDC)


 

Murtad

Sumber: http://www.sistersinislam.org.my/BM/skp/29092000.htm

Jangan Mengawal Aqidah dengan Undang-undang

29 September 2000

Adakah patut Malaysia mengadakan undang-undang yang menghukum orang-orang Islam yang meninggalkan ugama mereka? Enakmen Hudud di Kelantan mengenakan hukuman mati ke atas orang yang murtad. PAS sudah bertahun-tahun mencuba untuk membentangkan, di Parlimen, rang undang-undang persendirian yang akan menjadi undang-undang persekutuan mengenai murtad yang membawa hukuman mati. Desakan ke atas Kerajaan untuk menggubal undang-undang khusus untuk menangani masalah murtad semakin bertambah, bukan hanya dari pihak pembangkang, tetapi juga dari dalam UMNO sendiri.

Dalam perlumbaan menunjukkan siapakah yang lebih beriman, Kerajaan sekarang bertindakbalas dengan deraf undang-undang contoh yang dipanggil Rang Undang-undang Pemulihan Akidah 2000, bagi memikat hati dan fikiran pengundi Islam. Rang undang-undang ini telah diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri Perlis April lalu dan pada minggu lepas laporan daripada Bernama telah memetik kenyataan Setiausaha Parlimen di Jabatan Perdana Menteri bahawa rang undang-undang tersebut sedang disiapkan dan akan dihantar ke pejabat Peguam Negara sebelum ianya dibentang Parlimen untuk penguatkuasaan di Wilayah Persekutuan. Sudah tentu negeri-negeri lain juga akan meniru langkah ini.

Sisters in Islam tidak bersetuju dengan apa jua usaha yang menggunakan undang-undang untuk memelihara iman seorang Muslim. Dalam Surah al-Baqarah, 2:256, Allah berfirman: "Tidak ada paksaan dalam ugama." Ayat Madinah ini diturunkan setelah beberapa Sahabat Nabi s.a.w. meminta kebenaran baginda untuk memaksa saudara-mara masing-masing memeluk Islam. Sebahagian besar pendapat mentafsirkan ayat ini sebagai bermaksud bahawa tidak seorang pun boleh dipaksa memeluk Islam. Agama berlandaskan iman dan kepercayaan, dan ini menjadi tidak bermakna jika paksaan digunakan. Islam sendiri bererti menyerah diri kepada Allah, dan penyerahan diri ini mesti dilakukan dengan rela hati melalui kepercayaan dan keimanan yang dicapai dengan keyakinan sebenarnya, bukan dengan paksaan.

Menurut mereka yang mahu menghukum orang yang murtad, ayat 2:256 adalah terhad kepada orang yang bukan Islam, yakni paksaan tidak boleh diguna untuk meng-Islamkan yang bukan Islam. Menurut mereka sebaik sahaja seseorang itu menjadi Islam, ianya hilang kebebesan untuk keluar dari Islam.

Kebebasan beragama semestinya mengiktirafi kebebasan menukar agama. Bagaimanakah orang-orang Islam boleh menuntut kebebasan agama untuk mereka yang ingin memeluk Islam sementara pada masa yang sama memegang pendirian yang menidakkan kebebasan bagi mereka yang ingin keluar dari Islam?

Pendapat mereka ini menghadkan ruanglingkup maksud kemanusiaan luas yang dibawa oleh ayat ini. Mereka mengenakan dwistandard kepada prinsip iman dan kebebasan dan menjejas prinsip keadilan Islam yang luarbiasa yang mengiktirafi kebebasan beragama, perbezaan dan kepelbagaian di antara manusia. Tambahan pula, al-Quran dalam kira-kira 20 ayat mengenai keimanan dan kekufuran tidak menguntukkan apa-apa hukuman duniawi bagi kesalahan murtad. Sungguhpun ramai para fuqaha Islam berpendapat bahawa keluar dari Islam itu adalah kesalahan, mereka menganggap perkara tersebut sebagai sesuatu yang terbatas kepada hanya manusia berkenaan dan Penciptanya, dan bahawa hukumannya ditangguhkan hingga Hari Kiamat.

Dalam Surah Yunus 10:99, Allah menyampaikan wahyu kepada Nabi s.a.w.: "Dan jika Tuhanmu menghendaki nescaya berimanlah sekalian manusia yang ada di bumi. Maka patutkan engkau pula hendak memaksa manusia supaya mereka menjadi orang-orang yang beriman?" Dalam ayat yang lain, Surah an-Nahl 16:125, Allah bersabda: "Serulah ke jalan Tuhanmu dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahasalah dengan mereka dengan cara yang lebih baik."

Bagaimanakah pula perutusan al-Quran seperti ini boleh disifatkan sebagai hukuman ke atas mereka yang tidak beriman? Prinsip asas kebebasan beragama dalam Islam adalah jelas terkandung dalam berbagai ayat al-Quran dan norma Shariah yang timbul daripadanya menolak segala penindasan dan pencabulan keutuhan kebebasan ini. Tidak seorang pun boleh dipaksa memeluk agama Islam kerana takut bahawa jikalau tidak mereka akan ditahan selama setahun di Pusat Pemulihan Akidah, seperti diperuntukan didalam rang undang-undang ini.

Dari segi perlembagaan pula, rang undang-undang ini mencabuli Fasal 11 yang menjamin hak kebebasan beragama. Memang terdapat tradisi yang telah lama wujud dalam sistem perundangan Malaysia yang mengiktiraf kebebasan beragama. Dalam kes Menteri Dalam Negeri lwn Jamaluddin bin Othman, Mahkamah Agong telah menegakkan jaminan kebebasan beragama. Ianya menolak dakwaan Menteri berkenaan bahawa apabila Jamaluddin menjadi Kristian, tindakan ini membahayakan keselamatan negara di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri.

Hakim di perbicaraan yang terdahulunya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berpendapat bahawa "Menteri berkenaan tidak mempunyai kuasa untuk menghalang seseorang itu dari menyatakan dan mengamal agamanya seperti yang dijamin oleh Fasal 11 Perlembagaan Persekutuan, dan, dengan demikian jika Menteri berkenaan bertindak membatas kebebasan seseorang dari menyatakan dan mengamalkan agamanya, tindakannya ini adalah bercanggah dengan apa yang diperuntukkan oleh Fasal 11 dan dengan itu perintah penahanan adalah tidak sah." Berikutan itu, hakim telah memerintahkan supaya Jamaluddin, yang telah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri, dibebaskan.

Jadi mengapakah Kerajaan bertujuan menggubal undang-undang untuk mengawal iman kita? Adakah ini keputusan politik sebagai menjawab cabaran PAS? Atau, adakah terdapat ancaman terhadap keselamatan awam akibat jumlah orang Islam meninggalkan agama mereka yang terlalu ramai? Menurut perangkaan JAKIM di antara 1994 dan Mei 1997, 519 orang Islam memohon untuk menukar agama. Hanya 55 dari mereka adalah warganegara Malaysia, kebanyakan mereka ini merupakan orang yang telah memeluk Islam. Dalam tempoh masa yang sama, di Malaysia, kira-kira 11,000 orang telah memeluk agama Islam. Jadi, adakah Rang Undang-undang Pemulihan Akidah ini hanya satu undang-undang yang mencari masalah untuk memenuhi tujuan politik?

Apakah implikasi undang-undang seperti ini dalam masyarakat majmuk di mana perkahwinan campur adalah amalan biasa? Adakah seorang wanita Cina yang telah memeluk Islam kerana berkahwin dengan lelaki Islam akan dihantar ke pusat pemulihan akidah untuk ditahan selama setahun supaya akidahnya dipulihkan kerana imannya runtuh dengan berakhirnya perkahwinan? Adakah anaknya akan di ambil daripadanya secara otomatik? Patutkah dia dihukum dan tidak diberi hak untuk kembali kepada keluarganya dan sistem sokongannya kerana ketakutan dia akan di dakwa di bawah undang-undang Pemulihan Akidah ini.

Rang undang-undang tersebut, seperti yang diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri Perlis, tidak kukuh. Rang undang-undang ini bermaksud memberi perlindungan, pemulihan dan penentuan akidah seorang Muslim. Tetapi ianya tidak dilengkapi dengan cara bagaimana akidah dapat dipelihara. Pendekatannya memilih untuk memulih dengan menghukum dengan membolehkan pesalah ditahan selama setahun di Pusat Pemulihan Akidah. Menurut laporan, dua buah pusat telah pun dibina, di Bangi dan di Jelebu. Intipati undang-undang ini adalah pemulihan tetapi ianya tidak menjelaskan ruangkerja dan isi cara pemulihan, dan sekali lagi pegawai-pegawai agama dibiar mentafsirkannya sendiri.

Di akhir penahanan selama setahun ini, jika yang ditahan masih enggan bertaubat, hakim akan memutuskan samada ianya bukan lagi Islam dan dengan itu dilepaskan. Janganlah pula ini dianggap sebagai mengalah kepada kebabasan beragama. Hak asasi dan kebebasan mangsa telah dicabul. Jika dia sudah berkahwin, perkahwinannya akan dianggap tidak sah lagi dan hakim akan menentukan tanggungjawab atau liabilitinya di bawah Undang-undang Keluarga Islam.

Rang undang-undang ini tidak menjelaskan apakah itu murtad. Ia membolehkan Pegawai Penguatkuasa Syariah menjalankan penyiasatan jika pegawai berkenaan, dari maklumat yang diterima atau sebaliknya, mempunyai sebab untuk mensyaki kejadian "percubaan menukar akidah" oleh seorang Muslim "samada dengan apa yang dikatakan olehnya, kelakuannya atau dengan cara lain". Apakah perkataan, perbuatan atau cara-cara lain yang merupakan "percubaan menukar akidah" itu tidak pula didefinasikan.

Adakah aktivis wanita yang mendukung kesaksamaan di antara lelaki dan wanita, yang mempercayai bahawa poligami bukannya satu hak mutlak dalam Islam, bahawa lelaki tidak mempunyai hak memukul isterinya, akan dituduh "mencuba menukar akidah" kerana yang menghakimi bersikap konservatif dan memutuskan bahawa pendirian seperti ini adalah menyalahi ajaran Islam? Sebuah kitab yang popular yang digunakan disekolah pondok di utara negara ini menyatakan bahawa wanita yang menentang hak suami mereka untuk mengahwini isteri kedua adalah murtad dan kufur. Tidaklah keterlaluan jika kita mengkhuatiri kemungkinan adanya pegawai-pegawai penguatkuasa Syariah dan hakim-hakim yang mengambil pendirian ini.

Rang undang-undang ini menentukan bahawa jika setelah selesai penyiasatannya, Pegawai Penguatkuasa Syariah berkenaan berpendapat bahawa "terdapat bukti atau syak wasangka yang cukup untuk memulakan dakwaan…" orang yang dituduh akan disaman untuk menghadiri Mahkamah. Apa yang dianggap "bukti atau syak wasangka yang cukup" tidak didefinasikan.

Mungkin mereka yang mengarang undang-undang ini tidak berniat menghukum orang-orang Islam yang mempercayai bahawa lelaki dan wanita mempunyai hak yang saksama atau orang-orang Islam yang menghadiri upacara pengkebumian sahabat Kristian mereka di Gereja. Tetapi, apa yang dikhuatiri adalah bahawa sama seperti peruntukan undang-undang Kesalahan Jenayah Syariah, peruntukan-peruntukan yang tidak kemas ini membolehkan ianya disalah-guna. Undang-undang ini memberi ruang yang terlalu besar kepada pegawai-pegawai penguatkuasa mentafsirkannya sendiri.

Implikasinya bagi masyarakat majmuk sangat serius. Seperti yang dicerminkan oleh kes-kes dan aduan yang diterima oleh pertubuhan-pertubuhan wanita, ada terdapat ibu-bapa yang membuat aduan kepada Jabatan Agama menuduh anak perempuan mereka mencuba meninggalkan Islam selepas gagal memutuskan hubungan anak-anak mereka ini dengan teman lelaki yang bukan Islam. Dalam satu kes tertentu, sebuah jabatan agama negeri telah memecah masuk ke rumah pangsa seorang gadis bedasarkan laporan ibu-bapa gadis berkenaan, kemudian memberkasnya dan menghantarnya ke sebuah pusat pemulihan penagih dadah "Islam" swasta di mana gadis itu mendapati dirinya berada bersama tiga gadis lain yang senasib dengannya - kesemua mereka dikunci di dalam sebuah bilik di rumah ustaz yang menyelenggarakan pusat tersebut, tanpa keredhaan mereka dan tanpa dihadapkan ke mahkamah, dan tanpa "pemulihan" secara Islam.?

Ada juga bekas suami yang menuduh bekas isterinya yang telah memeluk Islam murtad kerana wanita itu bersosial dengan lelaki beragama lain. Ataupun bapa menuntut hak hadhanah kepada anak bukannya atas dasar kasihsayangan tetapi kerana dengki akan bekas isterinya sudah mempunyai hidup baru secara sendirian.

Pertubuhan pertubuhan wanita sangat khuatir bahawa undang undang ini boleh di salahgunakan kerana niat jahat. Mestikah orang Islam, baik yang memeluk Islam mahu pun yang dilahirkan dalam Islam, hidup dalam ketakutan sekiranya gayahidup mereka dianggap sebagai melanggar akidah oleh orang yang menyimpan dendam terhadap mereka dengan menggunakan undang-undang ini? Adakah undang-undang ini akan membenarkan bekas suami atau isteri, usahawan lawan, musuh pejabat untuk membuat aduan di jabatan agama bahawa seseorang itu telah dilihat memasuki restoran menjual arak, atau bahawa seorang bekas isteri sekarang ini tinggal dengan ibu-bapanya yang makan babi, dan dengan itu memulakan penyiasatan ke atas keperibadian tertuduh oleh pihak berkuasa agama untuk menentukan samada seseorang itu murtad atau tidak?

Dan siapakah yang akan memutuskan apakah yang akan membezakan keimanan dari kekufuran dan percubaan meninggalkan Islam? Malahan para fuqaha di zaman awal Islam sendiri tidak berupaya mencapai persetujuan mengenai perkara ini. Sepanjang sejarah Islam, ada terdapat tuduhan kafir-mengkafir di antara kumpulan-kumpulan yang berselisih pendapat sehingga membawa kepada pertumpahan darah dan penindasan. Ini telah pun mula berlaku di Malaysia.

Adakah Kerajaan membenarkan jalan merbahaya ini wujud dengan mengadakan undang-undang murtad ini? Jika melalui tindakan punitif ini ia bertujuan menawan sokongan penyokong PAS, ingin kami ingatkan di sini bahawa PAS melalui tiga ahli Dewan Undangan Negeri Perlis mereka telah mengecam enakmen ini sebagai tidak memenuhi kehendak ajaran Islam: iaitu, hukuman mati ke atas mereka yang murtad. Tidakkah lebih wajar jika Kerajaan mengambil pendirian yang berprinsip serta berani yang menghormati hak kebebasan beragama seperti yang jelas di tuntut dalam al-Quran dan seperti yang dicerminkan oleh Fasal 11 Perlembagaan Persekutuan dan Fasal 18 Deklarasi Sejagat Hak-hak Asasi Manusia?

Jika pihak berkuasa agama sangat bimbang bahawa orang Islam akan memeluk agama lain, hukuman dan penahanan bukanlah jalan yang patut diambil. Tetapi sebaliknya mereka ini patut diajar dengan baik. Al-Quran memberi kita bimbingan yang paling jelas mengenai perkara ini dan bukannya dengan menahan mereka dalam pusat-pusat pemulihan selama setahun dan kemudian mengharapkan mereka mengasihi penindas mereka dan agama yang diwakili oleh penindas mereka.

Tanggungjawab mereka yang beriman adalah untuk memujuk, bukannya memarahi atau memaksa. Dalam Surah al-Hajj 22:68-69, Allah berfirman: "Dan jika mereka mengemukakan bantahan kepadamu, maka katakanlah: Allah amat mengetahui akan apa yang kamu lakukan. Allah akan menghukum di antara kamu semua pada hari kiamat, mengenai apa yang kamu berselisihan padanya."

Sisters in Islam

Surat ini telah diterbitkan dalam Utusan Malaysia, The Star, The Sun, The New Straits Times dan Malaysiakini.

 

--------------------

Sumber: http://www.sistersinislam.org.my/BM/skp/22071999.htm

Islam, Murtad dan PAS

22 Julai 1999

Sisters in Islam amat khuatir dengan percubaan yang berterusan oleh Ahli Parlimen dari PAS Tuan Haji Abdul Hadi Awang untuk membentangkan cadangan rang undang-undang ahli biasa di Parlimen bagi mengenakan hukuman mati atas kesalahan murtad.

Dalam temuramah mereka, terutama dengan wartawan asing, PAS menggunakan bahasa demokrasi berpandukan hak asasi manusia, kebebasan berpendapat, keadilan dan kesaksamaan. Bagaimanakah parti itu dapat menyesuaikan prinsip-prinsip ini dengan desakan untuk hukuman mati keatas orang Muslim yang didapati murtad?

Peruntukan ini, juga dimasukkan ke dalam Enakmen Hudud yang diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri Kelantan pada tahun 1993, yang langsung tidak mempedulikan sebilangan pendapat yang penting di dikalangan para ulama sejak permulaan zaman Islam lagi, bahawa perbuatan murtad bukanlah kesalahan yang membawa hukuman mati. Ramai ulama terkemuka sejak berkurun lamanya mempunyai pandangan bahawa perbuatan murtad bukannya suatu kesalahan hadd (hudud). Pandangan ini berdasarkan hakikat bahawa al-Quran tiada menyebut tentang jatuhnya hukuman mati keatas mereka yang murtad.

Sebaliknya, kebebasan beragama adalah suatu prinsip asas dalam Islam. Dalam Surah al-Baqarah 2:256 Allah swt dengan jelas berfirman: "Tidak ada paksaan dalam agama". Ayat yang turun di Madinah ini telah diwahyukan apabila beberapa Sahabat meminta Rasulullah saw membenarkan mereka memaksa saudara mereka memasuki agama Islam. Ayat ini dengan luasnya telah ditafsirkan sebagai bermaksud bahawa tiada sesiapa pun boleh dipaksa memeluk agama Islam kerana agama bergantung kepada kepercayaan dan keimanan, dan pertukaran agama itu tidak bermakna sekiranya dipaksa. Islam sendiri bererti menyerah diri kepada Allah, dan penyerahan diri ini mesti dilakukan dengan rela hati melalui kepercayaan dan keimanan yang dicapai dengan keyakinan sebenarnya, bukan dengan paksaan.

Islam bermula dengan pujukan yang mempelawa manusia memeluk agama Islam atas dasar kebenaran dan kemurniannya. Dalam Surah Yunus, 10:99, ayat yang diturunkan di Mekah pada peringkat permulaan penyebaran agama Islam, Allah berfirman: "Dan jikalau Tuhanmu menghendaki, tentulah beriman semua orang yang di muka bumi seluruhnya. Maka apakah kamu (hendak) memaksa manusia supaya mereka menjadi orang-orang yang beriman semuanya?" Ayat ini bersamaan dengan Surah al-Baqarah 2:256 serta norma Shariah yang mengiktiraf kebebasan beragama, telah membawa kepada kebanyakan negara Islam, termasuk Malaysia, memperuntukkan kebebasan beragama sebagai suatu hak asasi di dalam Perlembagaan mereka.

Dalam bukunya, The Punishment for Apostasy in Islam (Hukuman untuk Murtad dalam Islam), bekas Ketua Hakim Pakistan S. A. Rahman, berpendapat bahawa walaupun hal berkenaan dengan murtad disebut tidak kurang dari 20 kali dalam al-Quran, Kitab Suci itu tidak sekalipun menyatakan apa-apa mengenai hukuman mati sebagai hukuman untuk kesalahan tersebut.

Allah berfirman dalam Surah an-Nisa 4:137 bahawa: "Sesungguhnya orang-orang yang beriman kemudian kafir, kemudian beriman (pula), kemudian kafir lagi, kemudian bertambah kekafirannya, maka sekali-kali Allah tidak akan memberi ampunan kepada mereka, dan tidak (pula) menunjuki mereka kepada jalan yang benar". Sekiranya benar Allah hendak memerintahkan hukuman mati bagi kesalahan murtad, maka perbuatan murtad yang berulang-kali ini tentulah dikenakan hukuman mati. Tetapi perbuatan murtad baik kali pertama, ataupun yang berulang-kali sekalipun tidak membawa kepada hukuman mati.

Mereka yang menyokong hukuman mati bagi kesalahan murtad berlandaskan hadith yang mengisytiharkan: "Bunuhlah sesiapa yang menukar agamanya". Tetapi hadith ini terbuka kepada berbagai tafsiran atas beberapa alasan seperti berikut.

Pertama, hadith ini dianggap hadith daif yang hanya mempunyai satu isnad (rantaian penyampaian) sahaja, dan dengan itu, mengikut peraturan perundangan hukum Islam, (usul al-fiqh) tidaklah mencukupi untuk mengesahkan hukuman mati.

Kedua, hadith ini juga dianggap sebagai hadith amm, dimana ianya memerlukan pengkhususan (takhsis); kerana jika tidak, ia akan membawa makna yang berlainan dari maksudnya. Makna zahir hadith ini, misalnya, akan membawa hukuman mati ke atas orang Hindu atau Kristian yang bertukar kepada agama Islam. Ini sudah tentu bukan maksud hadith tersebut. Mengikut usul al-fiqh, apabila sesuatu nas ditafsirkan sekali, ia terbuka kepada tafsiran selanjutnya dan pengkhususan. Dengan demikian, ramai para ulama yang mentafsirkan hadith ini sebagai terpakai hanya pada kes-kes pemberontakkan (hirabah), yang bermaksud mengisytiharkan perang terhadap Islam, Allah swt atau Rasulullah saw atau kepimpinan sah ummah itu.

Ketiga, dan paling penting, ialah bahawa tidak ada bukti yang menunjukkan yang Rasulullah saw atau para Sahabat pernah memaksa sesiapapun memeluk Islam, ataupun menjatuhkan hukuman mati ke atas sesiapa pun semata-mata kerana meninggalkan agama itu.

Berdasarkan kepada tiga alasan tersebut, serta prinsip al-Quran mengenai kebebasan beragama, terdapat para ulama terkemuka dari abad ketujuh hingga kedua puluh yang mengeluarkan pandangan bahawa tidak terdapat hukuman mati bagi kesalahan murtad.

Menurut Profesor Hashim Kamali dalam bukunya, Freedom of Expression in Islam (Kebebasan Mengeluarkan Pendapat dalam Islam), dua orang ulama terkemuka dalam generasi selepas sahaja para Sahabat, iaitu Ibrahim al-Nakai dan Sufyan al-Thawri, kedua-duanya memutuskan bahawa orang murtad sepatutnya dipujuk supaya kembali kepada agama Islam, bukannya dihukum mati. Seorang ulama Hanafi yang terkemuka, Shams al-Din al-Sarakhsi menulis bahawa walaupun meninggalkan agama adalah kesalahan yang paling besar sekali, perkara ini akhirnya adalah di antara orang berkenaan dan Tuhan penciptanya, dan balasannya tertangguh kepada Akhirat kelak. Seorang ulama Maliki, Abul Walid al-Baji dan ulama Hanbali yang terkenal, Ibn Taymiyyah, kedua-duanya memutuskan bahawa kesalahan murtad adalah dosa yang tidak membawa hukuman hadd (hudud) di dunia ini.

Pada zaman moden ini, Sheikh Universiti al-Azhar yang terkenal, Allahyarham Mahmud Shaltut, dihormati kerana pengetahuan beliau yang luas mengenai usul al-fiqh dan tafsir al-Quran, berpendapat bahawa ramai para ulama bersetuju yang hukuman hudud tidak boleh ditetapkan atas hadith ahad (satu isnad) dan oleh yang demikian kehilangan kepercayaan agama dengan sendirinya tidak boleh membawa hukuman mati. Sheikh al-Azhar sekarang, yang juga bekas Mufti Besar Mesir, Dr Mohammed Sayed Tantawi, juga berpendapat bahawa murtad itu bukan suatu kesalahan yang boleh membawa hukuman mati.

Ramai para ulama, termasuk Ibn Taymiyyah, Shaltut dan Tantawi, menyatakan bahawa bukan maksudnya hukuman mati dikenakan semata-mata kerana bertukar agama, tetapi kerana hirabah, iaitu apabila perbuatan murtad itu disertai dengan pemberontakan terhadap masyarakat dan kepimpinannya yang sah.

Akan tetapi, dalam gambarannya mengenai Islam, PAS telah memilih tafsiran yang paling ekstremis mengenai hadith tersebut sebagai sebahagian daripada usahanya untuk mewujudkan negara Islam dan melaksanakan hukum Shariah. Sekiranya PAS sebenarnya menawarkan diri sebagai kerajaan alternatif kepada Barisan Nasional dan jika ia ingin memperolehi sokongan selain dari di kawasan tradisional kaum Melayu di bahagian utara, ia mestilah menyedari sifat cabaran berkenaan dengan Islam dan pemodenan dalam masyarakat majmuk seperti yang terdapat di Malaysia. PAS, dalam beberapa undang-undang, polisi dan kata-katanya telah memilih tafsiran mengenai Islam yang menafikan sifat majmuk warisan masyarakat Malaysia, prinsip-prinsip demokrasi dan hak kebebasan asasi yang dipegang oleh kebanyakan warga Malaysia, dan lebih penting lagi, prinsip-prinsip kebebasan, keadilan dan kesaksamaan dalam ajaran Islam itu sendiri.

Dalam Enakmen Hudud di Kelantan, PAS hanya memilih untuk menyalin sepenuhnya dalam bentuk statut sebuah kitab fiqh seorang ulama Shafie pada abad ke11, tanpa mengambil kira langsung tentang hakikat kehidupan masyarakat Malaysia masa kini ataupun kewujudan pendapat yang lain mengenai hal tersebut di kalangan para ulama Islam yang lebih sesuai bagi negara ini.

PAS tidak melayakkan kaum wanita dan orang bukan Islam, iaitu tiga suku daripada rakyat Malaysia, menjadi saksi dalam kes jenayah hudud. Perempuan tidak bersuami yang hamil pula dianggap telah melakukan zina walaupun dia mungkin mangsa rogol. Diyat atau bayaran pampasan untuk kematian atau kecederaan seseorang perempuan nampaknya separuh daripada apa yang diuntukkan bagi kaum lelaki; perkahwinan boleh ditamatkan melalui tuduhan zina oleh pihak suami ke atas isterinya (al-lian), sama ada terbukti atau tidak.

Tuan Haji Hadi yang mempengerusikan jawatankuasa bagi menggubal Rang Undang-Undang Hudud berkenaan, dan juga pemimpin PAS yang lain, mengisytiharkan bahawa orang Islam yang menolak Rang Undang-Undang itu adalah murtad dan menurut Enakmen tersebut mereka ini patut dikenakan hukuman mati.

Mereka yang menerajui gerakan kebangkitan Islam yang ingin membentuk negara Islam di Malaysia perlu menanya diri mereka sendiri apakah sebabnya rakyat Malaysia harus menyokong konsep negara Islam yang membeza-bezakan hak-hak di antara lelaki Islam, wanita Islam dan orang bukan Islam serta golongan minoriti, dan bukannya hak samarata bagi semua? Kenapakah mereka yang taraf dan hak samarata milik mereka yang diiktiraf oleh sistem demokrasi menyokong pembentukan sebuah negara Islam yang sedemikian rupa? Kalau negara Islam itu bermakna sistem politik theokratik berdiktator yang menghukum sesiapa sahaja yang mempersoal atau mencabar kewibawaannya sebagai orang murtad dan seterusnya menjatuhkan hukuman mati ke atas mereka, maka kenapakah mereka yang berkebebasan asasi yang dilindungi oleh sistem demokrasi patut menyokong suatu konsep yang begitu tidak bertoleransi yang dipanggil negara Islam?

Wawasan Islam yang di pegang oleh ramai daripada mereka dalam gerakan Islam, baik dalam kerajaan atau luar, selalunya bercanggah dengan prinsip-prinsip asas Islam tentang keadilan, kesaksamaan, kebebasan dan kebaikan. Dalam prinsip-prinsip ini, terdapat unsur-unsur yang diperlukan bagi perubahan berlandaskan garis panduan ajaran Islam. Terdapat kemungkinan untuk menjadikan ajaran Islam itu sesuai dengan keperluan, cabaran dan masalah masyarakat masa kini, namun begitu mampu terus kekal dengan utusan dan semangat asalnya.

Pintu ijtihad mestilah dibuka semula. Walaupun kita semua telah menerima al-Quran yang sama, usaha manusia dalam mentafsirkan al-Quran sentiasa membawa kepada kepelbagaian pendapat. Kepelbagaian pendapat inilah yang menyebabkan agama Islam berkembang hingga ke hari ini dalam berbagai budaya dan masyarakat - semuanya bersesuaian dengan utusan sejagat ajaran Islam. Akan tetapi, di Malaysia hari ini, sebagaimana juga dalam beberapa masyarakat Islam lain, ramai daripada mereka di dalam pihak berkuasa hal ehwal agama, baik di dalam atau luar kerajaan, tidak sahaja menolak kepelbagaian pendapat dalam Islam, tetapi juga menghina mereka yang berbeza pendapat sebagai sekurang-kurangnya sudah menyeleweng, atau lebih teruk lagi sebagai sudah murtad dan patut dihukum mati. Sikap ekstremis dan tak bertoleransi sebegitu tidak akan mewujudkan persekitaran yang boleh memajukan perkembangan agama Islam.

Bagaimanakah sesebuah ummah itu hendak mencari penyelesaian kepada masalah-masalah yang dihadapi jika pencariannya itu dijalankan dengan cara yang begitu ekslusif, terbatas, terhad, menakutkan malah mengancam nyawa? Dalam sebuah negara moden yang demokratik, ijtihad haruslah dilaksanakan berserta dengan dan melalui penglibatan rakyat secara demokratik. Pengalaman mereka yang dahulunya tersingkir daripada proses mentafsir, mentakrif dan melaksanakan ajaran Islam mestilah diambil kira. Peranan wanita yang merupakan separuh daripada ummah mestilah diakui dan diliputi dalam proses dialog, merangka polisi dan menggubal undang-undang.

Ini semua merupakan isi-isu penting dan persoalan-persoalan yang mesti melibatkan semua rakyat Malaysia. Sudah terlampau lama golongan orang Melayu yang liberal dan orang bukan Islam kurang prihatin atau berminat dengan perkembangan Islam di negara ini. Tetapi peranan Islam dalam merangka serta membentuk kehidupan kita kian bertambah dan dengan itu membentuk juga corak negara Malaysia kita ini. Satu parti politik yang penting telah memilih Islam sebagai ideologi politiknya dan kemudian kerapkali bersembunyi atas nama agama untuk menafikan orang lain hak mengkaji, mengkritik atau mencabar tafsiran mereka mengenai agama tersebut. Kini parti itu sedang menawarkan dirinya sebagai suatu kerajaan alternatif untuk memerintah negara ini. Kita sebagai warganegara mestilah menjalankan tugas sivik kita supaya PAS, dan juga kerajaan yang telah berpaling kepada Islam untuk kesahan politiknya, bertanggungjawab terhadap kata-kata dan tindakan-tindakan mereka yang dibuat atas nama Islam.

Kita mesti memulakan dialog yang rasional serta berpengetahuan mengenai cara Islam manakah dan negara Malaysia corak apakah yang akan kita tinggalkan untuk anak-anak kita kelak. Sudah terlalu lama, disebabkan ketakutan atau kejahilan, atau kepentingan politik, kita telah melepaskan tanggungjawab sivik dan keberanian kita tentang hal ehwal agama, baik di kalangan anggota masyarakat, mahupun wakil-wakil rakyat kita.

Jika orang Muslim sebagai orang yang beriman mahu melalui kehidupan berlandaskan ajaran agama, bentuk agama Islam yang dogmatik, ekstremis, dan tak bertoleransi ini tidak akan memberi penyelesaian kepada cabaran dan realiti di dalam negara ini, di mana hampir 50 peratus rakyatnya bukan beragama Islam, di mana 47 peratus kaum wanita bekerja, di mana penuntut perempuan merupakan sebahagian besar daripada para penuntut bagi pendidikan pra-universiti, dan universiti awam dan juga bagi para penuntut dalam kajian undang-undang, perubatan, ekonomi, akauntansi, pengurusan, sains tulin dan hayat dan kesihatan bersekutu.

Ijtihad dalam kerajaan negara moden tidak boleh berterusan hanya sekadar persoalan linguistik atau tafsiran literal oleh sekumpulan eksklusif yang seringkali bukan sahaja mengasingkan nas daripada konteks sosio sejarah di mana ia telah diturunkan, tetapi juga daripada konteks masyarakat masa kini.

Ajaran Islam yang secara abadi berpegang kepada keadilan, kesaksamaan, kebebasan dan kebaikan adalah prinsip-prinsip sejagat yang sah diguna sepanjang zaman. Prinsip-prinsip inilah yang sepatutnya membentuk rangka dan garis panduan pembentukan semula masyarakat. Namun demikian, untuk menjayakannya, kita perlukan tenaga intelek, keberanian moral dan kesanggupan politik yang mampu membuka pintu ijtihad dan berusaha untuk mencapai kesedaran supaya pentafsiran al-Quran dan hadith sepatutnya tercapai dalam mencari jalan untuk menangani perubahan hasil peredaran zaman dan masa. Ini bukanlah penyelewengan, tetapi suatu kewajipan sekiranya kita inginkan agama suci ini memainkan peranan dalam kehidupan kita hari ini.

Sisters in Islam

Surat ini telah diterbitkan dalam Utusan Malaysia, Berita Harian, The New Straits Times dan The Star.

-----------------------

Peraturan Kawalan Moral

Sumber: http://www.sistersinislam.org.my/BM/kenyataan%20akhbar/29062000.htm

Kenyataan Akhbar Bersama: Tindakan JAIS Terhadap Penyanyi

29 Jun 2000

Kami daripada pelbagai agama dan kepercayaan dalam pergerakan wanita, ingin menyuarakan perasaan kebimbangan kami terhadap satu tren yang menunjukkan peningkatan dalam sikap yang tidak toleran lagi mendiskriminasikan wanita dengan menggunakan nama Islam. Unsur-unsur diskriminasi dicerminkan dalam pandangan undang-undang, dasar, kenyataan dan tindakan pihak kerajaan, parti pembangkang, penguatkuasa hal-ehwal agama dan juga di kalangan golongan fanatik dalam masyarakat.

Tindakan JAIS terhadap penyanyi Azlina Abbas dan 14 orang wanita lain yang berada dalam Restoran "The Ship" merupakan yang terbaru dalam siri tindakan oleh pihak penguatkuasa hal-ehwal agama Islam yang menonjolkan kegagalan mereka untuk mentadbir keadilan di bawah nama Islam. Mereka telah melanggar prinsip kesaksamaan antara lelaki dan wanita serta Perlembagaan Malaysia yang memperakui bahawa hak setiap orang adalah sama dari sisi undang-undang negara ini.

Tindakan JAIS baru-baru ini sekali lagi memaparkan pengamalan pendakwaan yang pilihkasih dalam melaksanakan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah. Penyanyi wanita tersebut telah didakwa, namun tidak ada seorang pun ahli kumpulan lelaki yang didakwa; para pekerja perempuan Bangladesh juga didakwa, tetapi tidak ada seorang pun pelanggan lelaki yang didakwa. Pada tahun 1997, di bawah enakmen yang sama, JAIS telah menahan tiga gadis muda Melayu, mendakwa dan mendenda mereka dengan memberi alasan bahawa mereka bertiga berpakaian tidak senonoh and juga dianggap telah melanggar fatwa yang mengharamkan wanita Muslim daripada menyertai pertandingan ratu cantik. Namun demikian, JAIS tidak pula mengambil sebarang tindakan terhadap lelaki Melayu yang memakai seluar mandi sekeping dan mendedahkan tubuh badan mereka yang berkilauan dalam satu pertandingan "Mr. Malaysia" yang telah dianjurkan pada masa yang sama.

Berdasarkan rekod penguatkuasaan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah, ia menunjukkan bahawa golongan yang paling lemah atau tidak keberdayaan (disempowered) dan terpinggir (marginalised) daripada masyarakat sering sahaja tertakluk kepada pendakwaan kesalahan.

Kami amat perihatin dan bimbang akan impak daripada tindakan sedemikian terhadap hak dan kebebasan asasi kami sebagai warga Malaysia. Penguatkuasa hal-ehwal keagamaan semakin meleluasa membentuk segala dimensi kehidupan kami di Malaysia kini.

Kami amat mengambil berat terhadap sifat agama yang tiada toleransi kerana lama-kelamaan ia akan menjejas hubungan kaum dalam negara ini. Kami, Muslim dan bukan Muslim, tidak ingin melihat Malaysia menjadi sebuah negara yang mengamalkan kebudayaan dan keagamaan bersifat aparteid. Kami tidak boleh terima keadaan yang menyebabkan wanita Islam di Malaysia terpaksa hidup dalam ketakutan dan ditindas manakala wanita yang bukan Muslim dapat menikmati hak kewarganegaraan yang sama dengan lelaki. Kami amat bimbang bahawa perkembangan lingkungan pantang larang dalam kehidupan wanita Muslim kita yang lama kelamaan akan menjejaskan warisan kepelbagaian budaya kita yang kaya di negara ini.

Pergerakan wanita amat perihatin terhadap tren sejak beberapa tahun ini yang menunjukkan pertambahan dalam tindakan-tindakan yang tidak toleran, juga bersifat konservatisme dan diskriminasi terhadap wanita Muslim di negara ini. Ini termasuk antaranya:

" Pindaan terbaru kepada Akta Penjagaan Budak yang memberikan wanita bukan Muslim hak yang setara dengan kaum lelaki dalam status penjagaan kanak-kanak tetapi menafikan hak sedemikian untuk wanita Muslim kita.

" Usaha oleh sesetengah golongan daripada pihak berkuasa hal-ehwal agama untuk mencegah pelaksanaan Akta Keganasan Rumahtangga bagi kaum Muslim.

" Pelaksanaan Enakmen Hudud di Kelantan yang melarang wanita menjadi saksi dan menganggap wanita hamil yang belum berkahwin telah melakukan perbuatan zina meskipun ada kemungkinan dia hanya mangsa rogol.

" Beberapa pindaan kepada Enakmen Keluarga Islam yang menjejaskan lagi kedudukan wanita. Antaranya termasuklah:

- perkahwinan poligami walaupun tanpa kebenaran mahkamah boleh didaftar secara sah setelah membayar jumlah denda yang minima.

- penceraian yang dilafazkan di luar mahkamah boleh didaftarkan secara sah setelah membayar jumlah denda yang minima.

- hak wanita untuk nafkah hidup boleh dilucutkan sekiranya dia berlaku nusyuz (iaitu mengingkari perintah suami mengikut undang-undang yang sedia ada).

- hanya ibu dan bukannya bapa kepada anak luar nikah yang dipertanggungjawabkan sepenuhnya untuk nafkah hidup anak tersebut.

" Banyak syarat-syarat di bawah Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah tidak mempunyai asas tekstual ataupun amalan sejarah Islam. Tambahan pula, ia melanggar prinsip asas demokrasi dan kebebasan sivil (civil liberties) bagi warga Malaysia sepertimana yang telah diperakui oleh Perlembagaan Persekutuan. Antaranya termasuklah:

- fatwa-fatwa telah dikuatkuasakan sebagai undang-undang secara automatis apabila fatwa tersebut diwartakan tanpa melalui proses penggubalan perundangan diParlimen atau Dewan Undangan Negeri.

- sebarang pelanggaran fatwa yang telah berkuatkuasa, sebarang usaha untuk membantah/memperdebatkan atau mengemukakan pendapat yang bertentangan dengan fatwa tersebut juga dianggap melakukan suatu kesalahan jenayah.

- memiliki apa-apa buku atau bahan penerbitan atau rakaman yang bertentangan dengan Hukum Syarak merupakan suatu kesalahan.

- Berkelakuan tidak sopan di tempat awam merupakan suatu kesalahan. Apa yang dimaksudkan sebagai berkelakuan tidak sopan tidak pula dijelaskan.

" Selalu terdapat tajuk perbincangan di radio, televisyen dan dalam komuniti yang mempromosikan poligami, menghina wanita sebagai manusia yang rendah tarafnya, dan mengekalkan stereotaip gender tanpa mengakui realiti-realiti perubahan dalam kehidupan wanita masa kini.

" Tindakan vigilante di luar undang undang oleh kumpulan-kumpulan tertentu di universiti, tempat kerja, dan juga di tempat awam yang hanya sering mengganggu wanita Muslim yang tidak menutup aurat, mereka yang bergaul dengan bukan Muslim dan mereka yang mengambil bahagian dalam aktiviti yang melibatkan interaksi lelaki dengan wanita. Kami menerima aduan bahawa gadis-gadis Melayu di sebuah universiti tempatan telah diberitahu mereka dianggap berdosa sekiranya menunjukkan aurat kepada gadis-gadis bukan Muslim yang berkongsi bilik dengan mereka. Ini dilakukan untuk menghindari gadis-gadis Islam daripada berkongsi bilik dengan gadis-gadis bukan Muslim.

Wawasan Islam yang di pegang oleh ramai daripada mereka dalam gerakan Islam, baik dalam kerajaan atau luar, selalunya bercanggah dengan prinsip-prinsip asas Islam yang berdasarkan keadilan, kesaksamaan dan kebebasan. Mereka senang sahaja menuduh golongan yang mencabar sifat yang tidak toleran dan interpretasi yang keterlaluan ini sebagai orang kafir atau orang yang akidahnya telah menyeleweng. Seringkali, mereka berselindung di sebalik kesucian Islam untuk menghalang orang lain daripada menyuarakan pendapat dan mencabar pandangan mereka.

Kami menggesa pihak Kerajaan dan semua parti politik untuk mempertimbangkan secara serius implikasi sedemikian yang hanya akan menggalakkan sifat tidak toleran dan diskriminasi dalam masyarakat majmuk. Semua pihak perlu mengambil tindakan segera untuk menghentikan tren ini.

Kita seharusnya memulakan satu dialog terbuka lagi rasional mengenai apakah bentuk rupa agama Islam dan negara Malaysia untuk generasi anak-anak kita. Setiap warga berhak untuk menyertai dialog ini, tidak kira lelaki atau wanita, golongan Muslim atau bukan Muslim. Kita semua berhak menentukan masa depan negara kita.

Sisters In Islam

----------------------

Sumber: http://www.sistersinislam.org.my/BM/mamp/tandatangan.htm

Kenyataan Bersama: Kerajaan Tidak Berhak Mengawasi Akhlak

Berdasarkan beberapa perkara yang berlaku semenjak kebelakangan ini, nyata sekali kita, sebagai rakyat Malaysia, tidak lagi boleh berdiam diri dan terus membiarkan penglibatan kerajaan yang semakin meningkat dalam mengawasi akhlak rakyatnya.

Penangkapan seorang mak nyah oleh pihak berkuasa agama di Taiping semasa dia berada di perkarangan rumah seorang kawannya (The Star, 2 Mac 2005, ms 12); kempen mengintip kelakuan anak-anak muda oleh Gerakan Belia 4-B Melaka dengan alasan mengawasi akhlak mereka (Malaysiakini.com, 22 Febuari 2005); dan penahanan dan tindakan yang memalukan ke atas lebih daripada 100 orang muda mudi beragama Islam oleh JAWI berikutan satu serbuan ke atas sebuah kelab malam di Kuala Lumpur - semua ini merupakan peristiwa-peristiwa malang yang membuktikan bagaimana tindakan mengawasi akhlak boleh mencabuli kehormatan seseorang manusia serta hak asasi mereka sebagai rakyat.

Kami mempersoalkan peranan kerajaan, serta penggunaan undang-undang agama dan undang-undang munisipal oleh pihak kerajaan, untuk mendefinasi dan mengawal akhlak rakyatnya. Memaksa dan menakut-nakutkan rakyat supaya mematuhi undang-undang tersebut tidak akan membawa kepada masyarakat yang lebih berakhlak; sebaliknya tindakan tersebut akan menghasilkan masyarakat yang berada dalam ketakutan serta rakyat yang bersifat submisif dan hipokrit.

Kami bimbang apabila agama menjadi sebahagian besar daripada agenda politik negara, ianya akan menambah kecenderungan kerajaan untuk mengawasi kehidupan peribadi rakyatnya. Berdasarkan kepelbagaian bangsa dan agama masyarakat Malaysia, apa saja tindakan untuk mengawal nurani, kepercayaan dan kehidupan peribadi seseorang bukan sahaja membawa implikasi yang serius terhadap rakyat dan masyarakat, tetapi juga terhadap hubungan di antara pelbagai kaum.

Penggunaan agensi tertentu, contohnya pihak polis, pihak berkuasa agama dan pegawai-pegawai Rela, untuk mengawal akhlak rakyat bukanlah suatu perkara baru. Tetapi men