Sister In Islam: Pandangan Mereka Tentang Tudung dan Aurat Wanita

Primary tabs

Oleh: zain-ys 

Ringkasan pendapat mereka tentang aurat muslimah/tudung:

1. Pakaian tidak mencerminkan keimanan seseorang.

 

 

2. Menentang undang-undang tentang tentang pakaian wanita (kod etika dalam berpakaian). Bagi mereka wanita berhak menentukan bentuk pakaian yang mereka hendak pakai berdasarkan keimanan masing-masing. Undang-undang adalah bentuk paksaan. Paksaan adalah bertentangan dengan Islam

3. Menyangkal pandangan bahawa al-Quran secara jelas dan terang menentukan bentuk pakaian muslimah.

 

4. Menganggap bahawa penafsiran tentang pakaian muslimah sering dilihat dalam konteks budaya dan sejarah Arab kurun ke 7 Masihi.

5. Menurut mereka: Jenis pakaian yang dipanggil jilbab ini, yang dipakai oleh wanita bangsawan Arab Jahiliyyah, menandakan mereka sebagai wanita terlindung dan mesti dihormati di khalayak ramai. Akhirnya pakaian ini telah dijadikan pakaian yang dianggap sopan di zaman Nabi saw. Surah al-Ahzab, 33:59 memerintah kaum muslimat supaya memakai pakaian seperti ini. Dengan itu mereka akan dihormati dan tidak akan diganggu. Prinsip sejagat yang terdapat pada ayat tersebut adalah sikap menghormati kaum wanita, bukannya pemakaian jilbab, yakni pakaian yang khusus untuk satu budaya dan sejarah yang tertentu.

Kita boleh melihat pegangan mereka tentang penutupan aurat perempuan, pemakaian tudung atau hijab melalui kenyataan-kenyataan rasmi mereka di bawah ini:

----------------------------------------

Dipetik dari: http://www.sistersinislam.org.my/BM/skp/11111991.htm

Pakaian dan Wanita Islam

11 November 1991

Masalah pakaian wanita memang selalu merupakan perkara yang penting dalam perlaksanaan Syariah Islam, baik di negara ini mahupun di luar negeri. Malah ada pihak-pihak tertentu secara berlebih-lebihan menganggap cara berpakaian tertentu itu mencerminkan iman seseorang.

Salah satu kesan obsesi yang demikian itu adalah banyaknya usaha yang dilakukan bagi menguatkuasakan keimanan melalui cara-cara kuku besi. Paksaan bercanggah dengan semangat al-Quran yang menyatakan bahawa tidak terdapat paksaan di dalam agama (Surah al-Baqarah, 2:256; Surah Yunus, 10:99-100; Surah al-Ghashiyah, 88:22).

Kaum wanita telah diberitahu bahawa suatu cara berpakaian yang tertentu akan melindungi mereka dari kejahatan. Namun hakikat sosial menunjukkan bahawa cara berpakaian tidaklah mampu melindungi kaum wanita dari keganasan nafsu lelaki.

Sebenarnya bagi perlindungan kemuliaan kaum wanita, al-Quran (Surah an-Nur, 24:30-31) terlebih dahulu memerintah kaum lelaki, jika mereka beriman, supaya merendahkan pandangan mereka, demi menjaga kesopanan diri sendiri. Namun sejumlah kaum lelaki tidak mengendahkan tanggungjawab ini, dan sebaliknya memaksa kaum wanita supaya memakai berbagai bentuk pakaian yang menyelubungi tubuh mereka - dari hujung rambut hingga ke hujung kaki- dan pelbagai bentuk pengasingan dan pingitan. Kepada wanita telah diberikan tangggungjawab membendung nafsu kaum lelaki dan segala kemungkinan tidak upayanya pihak lelaki mengawal nafsu masing-masing.

Oleh yang demikian, kenyataan-kenyataan vang dikeluarkan oleh kerajaan Kelantan telah memindahkan tanggungjawab menjaga kesopanan akhlak dari kaum lelaki. Sebaliknya, yang lebih diberatkan adalah jumlah kain yang perlu untuk menutup tubuh wanita, sama ada mereka beragama Islam atau tidak, supaya dapat meneruskan aturan akhlak yang menurut mereka telah ditentukan oleh Islam.

Al- Quran dan Sunnah menyeru supaya wanita diberi layanan yang mulia dan penuh kehormatan. Layanan sebegitu harus dipraktikkan terlebih dulu oleh lelaki yang beriman, yang menjadi sasaran ayat-ayat yang telah disebutkan di atas. Namun demikian, perintah ini diabaikan bukan berasaskan tujuan al-Quran dan Sunnah, tetapi kerana kaum lelaki yang berkuasa. Kerana enggan mematuhi tanggungjawab sendiri untuk merendahkan pandangan dan melindungi kesopanan sendiri, sebahagian kaum lelaki mahukan semua wanita berselubung setiap kali meninggalkan rumah.

Dalam kebanyakan masyarakat Islam, kaum lelaki menguasai kaum wanita, baik dari segi politik mahupun sosial, dan penguasaan ini telah disalah tanggap sebagai kuasa yang halal.

Institusi-institusi telah dibentuk bagi menyokong dan mengukuhkan lagi prasangka-prasangka kaum lelaki tersebut. Ini membolehkan mereka mengelakkan tanggungjawab mereka sendiri terhadap Allah swt dan terhadap umat manusia amnya.

Sungguhnya, prasangka-prasangka ini telah diajukan seolah-olah seperti perintah dari Allah swt sendiri.

Dalam gerakan kebangkitan semula Islam, isu pakaian wanita telah diberi keutamaan, mengatasi isu-isu sosial yang lain. Kesopanan dan keimanan wanita Islam itu kononnya dapat dikenali semata-mata berasaskan panjang kain yang membaluti tubuhnya.

Meskipun pakaian merupakan sebahagian dari identiti dan lambang kebudayaan, namun hak seseorang wanita untuk menentukan sendiri bentuk pakaiannya langsung tidak dihormati.

Sungguhpun Islam bertujuan mencapai taraf akhlak yang tertentu (antara lain termasuklah soal pakaian), namun gerakan kebangkitan Islam mengenepikan segala yang lain itu, dalam keghairahan mereka terhadap tubuh wanita dan kedudukan sosial mereka sendiri.

Jika wanita digalakkan memahami sepenuhnya ayat-ayat al-Quran dan hadith-hadith mengenai persoalan pakaian dan isu-isu kesopanan yang berkenaan, seperti zinat (perhiasan) dan tabarraj (menunjukkan kecantikan dan perhiasan), maka mereka tentulah akan mampu membuat pilihan sendiri berdasarkan keimanan mereka sendiri, dan bukan kerana paksaan politik atau institusi.

Wanita-wanita Islam harus memilih pakaian mereka berasaskan iman. Pilihan yang dipaksakan tidaklah suatu tindakan yang berasas moral. Sebenarnya, pemaksaan yang sedemikian bercanggah dengan semangat kebebasan dalam Islam, yang berasaskan akal fikiran dan kebebasan sebagai asas pegangan akhlak manusia.

Memaksakan satu pilihan terhadap kaum muslimat - yakni pilihan kaum lelaki - sehingga mereka tidak langsung mempunyai pilihan sendiri, bererti mencabul perkembangan iman mereka yang lahir dari kesedaran sendiri.

Paksaan menafikan keperibadian diri kaum wanita, hak mereka untuk penyertaan sosial sepenuhnya, malah kewujudan mereka sebagai sebahagian daripada ciptaan Allah swt, sebagai individu yang dicipta dengan hak-hak istimewa yang tidak boleh dipisahkan, sebagai manusia yang mampu berfikir dan membuat perhitungan sendiri.

Sisters in Islam

Surat ini telah diterbitkan dalam Utusan Malaysia dan The New Straits Times.

--------------------

Petikan: http://www.sistersinislam.org.my/BM/skp/08081997.htm

Kesopanan dan Kesederhanaan Pakaian dalam Islam

8 Ogos 1997

Kontroversi baru-baru ini di sekitar penangkapan dan pendakwaan tiga peserta Muslim pertandingan ratu cantik Miss Malaysia Petite, telah mendorong Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Hamid Othman, memanggil kesemua ketua jabatan agama Islam negeri untuk menghadiri satu mesyuarat pada bulan ini bagi menyelaraskan garis panduan dan cara penguatkuasaan undang-undang mengenai pakaian dan kelakuan orang-orang Muslim. Beliau berkata mesyuarat ini akan menerangkan apakah yang dimaksudkan dengan pakaian dan kelakuan sumbang sebelum undang-undang mengenainya dikuatkuasakan di seluruh negara.

Sungguhpun cadangan ini mempunyai para penyokongnya, namun begitu, terdapat pula mereka yang menentang mengenai maksud "sumbang" yang diperkatakan itu, di mana ia melebihi apa yang terkandung di dalam Kanun Keseksaan negara.

Perbuatan memalukan ketiga-tiga wanita berkenaan di khalayak ramai oleh pegawai penguatkuasa JAIS telah dikecam dengan meluas oleh rakyat dan akhbar Malaysia. Oleh itu adalah wajar jika kita mempertimbangkan dahulu langkah mengamanahkan tugas menentukan garis panduan mengenai kelakuan sumbang dan pakaian kepada pihak berkuasa tersebut.

Sisters in Islam berpendapat bahawa jika ada tindakan untuk mengenakan undang-undang baru mengenai tingkah laku orang Islam, ianya perlu didahului dengan musyawarah seluas mungkin, melibatkan mereka yang bersabit oleh tindakan tersebut. Undang-undang yang bermaksud menyekat kebebasan asas boleh membawa kesan meluas ke atas seluruh masyarakat Malaysia. Tugas menggubal undang-undang tersebut tidak sepatutnya dijalankan secara bersendirian oleh satu kumpulan eksklusif yang mempercayai bahawa orang lain tidak berhak bercakap atau membincangkan hal-hal berkaitan dengan agama, ataupun menyoalnya.

Semua undang-undang negeri atau fatwa yang menyentuh kebebasan asasi mestilah sejajar dengan kehendak perlembagaan Persekutuan dan Negeri. Pendapat bahawa kuasa membendung kebebasan asasi kita terletak hanya dengan Parlimen, dan bukan dengan Dewan Undangan Negeri, telah pun diajukan. Dan kita juga telah diingatkan bahawa kesalahan perlakuan sumbangan adalah satu jenayah yang tertakluk di bawah bidang kuasa Kanun Keseksaan. Oleh yang demikian, semua percubaan untuk menghukum perbuatan sumbang dengan menggunakan enakmen jenayah syariah negeri adalah bertentangan dengan perlembagaan dan merupakan satu pencerobohan ke atas kuasa pusat. Ia juga mungkin membawa kepada dwi-dakwaan (double jeopardy), yakni melanggar prinsip-prinsip undang-undang dan perlembagaan bahawa seseorang itu tidak boleh dihukum dua kali untuk kesalahan yang sama.

Namun begitu, apa yang lebih membimbangkan Sisters in Islam adalah samada terdapat pandangan yang menyeluruh Islam mengenai pakaian dan perbuatan sumbang terdapat di dalam kitab suci al-Quran. Jika ianya wujud di dalam al-Quran, inilah yang mesti dijadikan asas undang-undang Islam negeri dan fatwa. Ianya juga mesti berakar-umbikan perintah al-Quran untuk menegakkan keadilan, dan sejajar dengan kepentingan sebenar ummah (maslaha). Jika tidak, segala kebijaksanaan perundangan sekalipun tidak akan mampu memberikannya kesahihan.

Dalam semua perbincangan mengenai soal pakaian, selalunya ramai yang mempercayai bahawa penelitian mengenai pakaian Muslimah telah ditentukan secara terus terang oleh al-Quran. Pendapat ini adalah tidak tepat.

Al-Quran membentangkan prinsip-prinsip dan nilai-nilai sejagat. Akan tetapi, ianya sering disuarakan menerusi konteks budaya dan sejarah Arab di kurun ke 7 Masihi. Para cerdikpandai Islam telah lama mengiktiraf ciri-ciri yang terkandung dalam al-Quran ini dan kemudahan yang diberikan untuk menyesuaikan pengalaman manusia kepada perintahnya yang merangkumi segala manifestasi iman berwarnakan budaya. Oleh yang demikian, perbezaan pendapat akan selalu wujud tentang bagaimana perintah al-Quran diterimapakai dalam keadaan-keadaan yang berlainan dan juga konteks sosio-budaya yang berubah-ubah kerana perintah al-Quran tidak pernah dimaksudkan untuk zaman tertentu sahaja. Kajian mengenai sejarah Islam akan menunjukkan bahawa undang-undang syariah adalah hasil kegiatan intelek yang hebat dan pendapat-pendapat yang berlainan. Ianya telah memakan masa enam abad. Malangnya selepas itu segalanya menjadi kaku.

Cabaran sekarang memerlukan kepada kebangkitan semula kegiatan intelek yang hebat ini dan juga perbahasan. Dengan itu, barulah kita boleh mengenali prinsip-prinsip sejagat yang terkandung di dalam perumpamaan-perumpamaan yang khusus kepada tempat dan masa tertentu yang terdapat di dalam al-Quran, dan menggunakannya sebagai panduan hidup di dalam konteks sosio-budaya zaman sekarang.

Kita telah pun melakukan kegiatan ini dalam berbagai aspek kehidupan ekonomi and politik Islam di Malaysia; dari perbankan Islam, dagangan hadapan Islam hinggalah kepada kemajuan terbaru di bidang perubatan; dan juga kepada idea kenegaraan dan sistem demokrasi berparlimen. Akan tetapi, kebolehan kita meyesuaikan diri dengan menggunakan ijtihad (pemikiran yang berdasarkan kitab suci Islam) untuk memahami peredaran zaman dan keadaan telah tidak digunakan apabila berhadapan dengan persoalan mengenai wanita. Penangkapan ke atas wanita Muslim oleh JAIS yang berat sebelah baru-baru ini jelas mencerminkan sikap misogynist (membenci wanita); sikap yang menghalang ramai lelaki dari mengiktiraf dan menggunakan prinsip-prinsip sejagat al-Quran mengenai keadilan dan kesaksamaan, dan dalam konteks perbahasan ini, kepada masalah pakaian dan kesopanan di khalayak ramai di Malaysia hari ini.

Perbincangan mengenai pakaian di dalam al-Quran berkisar di sekeliling konsep kesopanan dan keserdehanaan (modesty): kesopanan dalam peradaban dan pakaian; dan, pakaian yang menutup kemaluan. Surah al-Araaf, 7:26, menyebut tentang pakaian untuk menutup aurat, dan pakaian perhiasan yang indah; tetapi ianya menegaskan bahawa "pakaian yang berupa taqwa itulah yang sebaik-baiknya". Seterusnya di dalam ayat 31 surah yang sama Allah swt berfirman: "pakailah pakaian kamu yang indah berhias" pada tiap-tiap kali kamu beribadat tetapi "janganlah melampaui batas".

Dalam hal menutup tubuh badan kita, kesopanan yang dimaksudkan adalah supaya kita menutup segala yang aib, yakni kemaluan kita (awrah sebenarnya (literal)) yang tidak boleh sengaja didedahkan. Kedua-dua ayat ini bila difaham bersama menuntut supaya kita menutup keaiban kita. Tetapi apa yang lebih bermakna di sini adalah bahawa al-Quran menekankan perihal pentingnya taqwa berbanding dengan kain yang menutupi tubuh kita, tidak kiralah betapa banyak atau kurang.

Al-Quran menunjukkan bahawa sifat kesederhanaan dan kesopanan seseorang timbul dari ketaqwaan, ia tidak boleh dipaksa sama ada dengan menutup ataupun mendedahkan aurat. Surah al-Baqarah, 2:256 menegaskan bahawa: "tidak ada paksaan dalam agama". Dalam tafsirannya, Abdullah Yusuf Ali menerangkan bagaimana agama bergantung atas iman dan kesanggupan, dan kedua-dua sifat ini tidak bermakna jika dipaksa. Didikan dan kesedaran sendiri dan bukannya paksaan ataupun undang-undang yang akan membawa kepada taqwa.

Ayat-ayat ini telah diturunkan di Mekah di permulaan riwayat Nabi Muhammad saw sebagai rasul Allah swt. Sebagai satu alat perundangan, ayat-ayat Mekah menentukan prinsip-prinsip am untuk kegunaan sejagat.

Ayat-ayat Madinah yang diturunkan selepas itu, umumnya adalah lebih khusus dari segi penekanannya. Ini sebagai memenuhi keperluan keadaan tertentu yang berlaku dalam hidup Nabi saw dan ummah pertamanya. Ayat-ayat Madinah juga membincangkan perihal kesederhanaan pakaian. Dalam perbincangan ini pula, keadaan sejarah dan budaya ummah yang sedang menjelma di Madina pada zaman itu perlu diambil kira apabila menganalisis ayat-ayat berkaitan. Ayat-ayat ini menggambarkan bagaimana prinsip-prinsip sejagat al-Quran dikenakan kepada ummah yang pertama.

Pada zaman itu, ayat-ayat awal mengenai kesederhanaan dan kesopanan terkandung di dalam Surah an-Nur, 24:30-31, di mana kedua-dua lelaki dan wanita digesa "menyekat pandangan mereka dan memelihara kehormatan mereka". Surah an-Nur, 24:31 menggesa wanita supaya jangan mendedahkan kecantikan mereka selain dari apa yang dianggap sopan dan menyuruh wanita "menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala [khimar] mereka".

Tudung kepala atau khimar yang dimaksudkan ini dilihat oleh seseparuh para sarjana sebagai selendang perhiasan yang sering dipakai oleh wanita Arab di zaman jahiliyyah yang dibiar meleret dibelakang mereka; sejajar dengan fesyen ketika itu, leher baju wanita begitu luas hingga mendedahkan dada mereka. Oleh yang demikian, perintah menutup belahan leher baju wanita dengan khimar tidak semestinya bermaksud penggunaan khimar itu sendiri. Tafsiran surah tersebut mengutarakan bahawa perintah berkenaan menjelaskan yang bahagian dada wanita tidak termasuk dalam bahagian badan "yang zahir padanya" yang boleh didedahkan.

Ayat terakhir dalam Surah an-Nur mengenai kesederhanaan pakaian, 24:60, membenarkan wanita "yang telah putus kedatangan haid, yang tidak mempunyai harapan berkahwin lagi" menanggalkan pakaian luar mereka tanpa bertujuan menayang kecantikan mereka.

Surah an-Nur khususnya dari segi kesederhanaan pakaian mendefinasikan apakah dia bahagian tubuh yang mengaibkan dan tidak boleh didedah. Persamaan yang terdapat pada kesemua ayat-ayat di atas menggesa kesederhanaan peradaban dan pakaian.

Surah Madinah seterusnya, Surah al-Ahzab, 33:59 menyuruh para isteri Nabi saw, anak perempuan baginda dan para muslimat "melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar)",(memakai jilbab) supaya dengan "cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu".

Ayat-ayat al-Quran ini tidak boleh ditafsir sebagai mengutarakan jenis pakaian yang tertentu. Sebaliknya ayat-ayat ini membawa makna bahawa kesederhanaan boleh dicapai dengan memakai bermacam jenis pakaian asalkan ianya bersesuaian dengan masa dan tempat dan budaya tempatan.

Jenis pakaian yang dipanggil jilbab ini, yang dipakai oleh wanita bangsawan Arab Jahiliyyah, menandakan mereka sebagai wanita terlindung dan mesti dihormati di khalayak ramai. Akhirnya pakaian ini telah dijadikan pakaian yang dianggap sopan di zaman Nabi saw. Surah al-Ahzab, 33:59 memerintah kaum muslimat supaya memakai pakaian seperti ini. Dengan itu mereka akan dihormati dan tidak akan diganggu. Prinsip sejagat yang terdapat pada ayat tersebut adalah sikap menghormati kaum wanita, bukannya pemakaian jilbab, yakni pakaian yang khusus untuk satu budaya dan sejarah yang tertentu.

Adalah jelas bahawa semua ayat yang dipetik di atas, mengagungkan sikap kesederhanaan dan tidak melampaui batas; menghindar dari perbuatan sumbang dan tidak sopan; dan, memerintah kita menghormati kaum wanita. Semuanya ini adalah tanda ketaqwaan.

Jika kita berpandukan ayat-ayat mengenai kesederhanaan peradaban dan pakaian ini, wanita yang suka menunjuk-nunjukkan apa yang tidak seharusnya didedahkan (an-Nur 24:31) tidak patut diganggu atau pun tidak dihormati (al-Ahzab 33:59), kerana al-Quran menyuruh kita menyekat pandangan kita dari terus melihat mereka. Inilah tindakan sewajarnya. Menurut al-Quran pakaian yang paling baik adalah taqwa (al-Araaf 7:26).

Jelaslah bahawa al-Quran nampaknya tidak memerintahkan kita memakai pakaian yang tertentu. Tetapi kita kelihatan ghairah untuk menggubal lebih banyak lagi undang-undang dan peraturan mengenai pakaian dan akhlak yang tidak akan menambahkan ketaqwaan orang-orang Muslim, tetapi sebaliknya menyemai perasaan gerun terhadap pihak berkuasa dan Islam.

Mesej al-Quran tidak berniat menyekat pemikiran manusia. Dalam memutus untuk menjadikan agama sebahagian dari kehidupan umum masyarakat (public life), tugas paling rumit bagi kita sekarang ialah bagaimana hendak membina kebolehan menyesuaikan iman kita untuk menangani cabaran-cabaran peralihan zaman dan keadaan. Adakah kita akan terus wujud sebagai satu bangsa yang muqallid (menganut secara membuta-tuli)? Ini akan hanya membawa kepada kelumpuhan intelek dan kedangkalan yang berpanjangan. Atau, adakah kita bersedia memeluk dan membina minda yang mampu menyoal di kalangan ummah dan rakyat negara ini, terutama generasi akan datang?

Sebagai langkah pertama, kita mesti mengenali perbezaan di antara apa yang telah diwahyukan, kerana ia tidak boleh dipersoalkan; dengan apa yang terhasil dari usaha-usaha para pemikir cerdikpandai dan juga pengaruh adat resam kita yang sentiasa berubah dan mungkin tidak lagi sesuai diadaptasikan masakini. Pendapat Majlis Fatwa atau pihak-pihak berkuasa agama adalah hanya usaha manusia mentafsir Wahyu Tuhan yang tidak terbatas. Tafsiran inilah yang sepatut boleh kita perbahaskan dan dibincang.

Para ulama kita mesti memahami bahawa mereka hidup dalam masyarakat majmuk yang demokratik di mana warganegaranya bukan sahaja semakin berpengetahuan, tetapi juga lebih memahami dan prihatin tentang Islam dan juga komitmennya yang mendalam terhadap keadilan, kesaksamaan, kebebasan dan kebaikan. Suara ramai yang telah mengecam pengharaman konsert KRU dan penangkapan tiga orang peserta ratu cantik baru-baru ini menunjukkan bahawa rakyat Malaysia tidak lagi sanggup berdiam diri menghadapi ketidakadilan, sikap yang melampau dan tindakan keterlaluan yang dilakukan atas nama agama. Menggunakan paksaan untuk menguatkuasa peraturan dan perintah yang dibuat atas nama agama, telah dilihat oleh masyarakat sebagai sesuatu yang tidak adil, dan akan hanya membawa padah kepada masyarakat dan kestabilan politik negara.

Sisters in Islam

Surat ini telah diterbitkan dalam Utusan Malaysia, Berita Harian dan The New Straits Times.

------------------------

Sumber: http://www.sistersinislam.org.my/BM/kenyataan%20akhbar/21032000.htm

Kod Pakaian Terengganu

21 Mac 2000

Peraturan yang dikenakan oleh Kerajaan Terengganu terhadap wanita Islam yang mewajibkan mereka memakai tudung memang sudah diduga oleh Sisters In Islam. Seperti Kerajaan Pas di Kelantan, Taliban di Afghanistan, dan para ulama konservatif yang pernah menguasai Iran, parti-parti Islam yang menang dan berkuasa memang selalunya memilih untuk mengatur dan mengawal pakaian dan kehidupan sosial wanita sebagai polisi pertama mereka untuk membuktikan kewibawaan keislaman mereka. Selalunya, memanglah amat mudah untuk mengenakan undang-undang, peraturan, dan kawalan terhadap mereka yang paling tidak berkuasa di dalam masyarakat.

Walaupun pihak Kerajaan Terengganu berasa bahawa dialog dengan kaum Cina adalah perlu sebelum mengenakan cukai kharaj, yang mereka anggap sebagai sebahagian dari perintah Islam, dan bertindak dengan berhati-hati, mereka tidak pula berasa bahawa perbincangan dengan badan-badan wanita adalah perlu sebelum menggubal undang-undang baru untuk mengawal pakaian wanita Islam. Atas nama Islam, mereka menguasi secara mutlak pengetahuan dan kuasa untuk mengenakan tafsiran mereka terhadap golongan masyarakat yang tertindas dan tidak bersuara.

Pihak Sisters In Islam berpendirian bahawa pihak berkuasa tidak sepatutnya menggunakan paksaan dalam hasratnya untuk melihat wanita Islam menutup aurat. Agama bergantung atas iman dan kesanggupan. Mengenakan undang-undang dan peraturan atas pemakaian tidak semestinya akan menambahkan ketaqwaan orang-orang Islam. Sebaliknya ini membawa kepatuhan yang timbul dari perasaan gerunkan kepada pihak berkuasa dan Islam. Ini bukannya jalan kearah taqwa.

Al-Quran menunjukkan bahawa sifat kesederhanaan timbul dari ketaqwaan, dan ketaqwaan tidak boleh dicapai melalui paksaan, samaada untuk menutup atau mendedahkan aurat.

Al-Quran tidak memerintahkan kita memakai pakaian yang tertentu. Ayat-ayat mengenai kesederhanaan kelakuan dan pakaian dalam Al-Quran, apabila di tafsirkan menurut konteks sosio-sejarah zaman ianya di turunkan, mengagungkan sikap kesederhanaan dan tidak melampaui batas, menghindar dari perbuatan sumbang dan tidak sopan, dan memerintah kita menghormati kaum wanita sebagai satu tanda ketaqwaan. (sila lihat surat-surat Sisters In Islam kepada pengarang; NST dan Utusan Malaysia Ogos 9, 1997).

Sisters in Islam

---------------------

Petikan: http://www.sistersinislam.org.my/BM/skp/19022004.htm

Ada Apa Dengan Tudung?

12 Februari 2004

Pandangan masyarakat Barat yang menganggap tudung itu sebagai simbol penindasan dan pendapat masyarakat Islam yang melihat tudung sebagai simbol ketakwaan adalah tidak tepat dan tidak kena pada tempatnya.

Dengan mengharamkan pemakaian tudung dan lain-lain simbol keagamaan yang zahir di sekolah-sekolah, kerajaan Perancis dengan sendirinya telah gagal menghormati prinsip asasnya mengenai kebebasan, kesamarataan dan semangat persaudaraan. Kebebasan untuk mengajar, beramal, beribadat dan memenuhi tuntutan agama seseorang, samada secara peribadi atau di tempat awam, berseorangan atau bersama-sama dengan sesuatu masyarakat, adalah suatu hak asasi yang didukung oleh Pengisytiharan Hak Asasi Manusia. Kebebasan ini hanya boleh disekat oleh undang-undang semata-mata untuk menghormati hak asasi orang lain dan mestilah memenuhi tuntutan keadilan dari segi moral, ketenteraman awam dan kesejahteraan umum di dalam sesebuah negara demokrasi.

Dengan menyekat amalan kebebasan beragama ini, Perancis tidak dapat membuktikan bagaimana pemakaian simbol-simbol keagamaan secara nyata boleh menyekat kebebasan orang lain atau meninggalkan kesan yang sangat buruk terhadap moral, ketenteraman atau kesejahteraan awam.

Sisters in Islam menolak sebarang percubaan oleh mana-mana kerajaan untuk menetapkan apa jua undang-undang terhadap pakaian - samada untuk memaksa wanita menutup ataupun mendedahkan kepala mereka. Mereka yang menentang undang-undang Perancis sebagai suatu penyekatan yang tidak adil terhadap kebebasan beragama seharusnya, atas prinsip yang sama, juga menentang undang-undang kerajaan Arab Saudi dan Iran yang mewajibkan pemakaian tudung di tempat-tempat awam serta undang-undang kerajaan Turki yang mengharamkan pemakaian tudung di institusi-instisusi awam.

Apa yang perlu diakui adalah perdebatan dan penumpuan perbincangan mengenai pakaian wanita terutama isu tudungnya, adalah lebih kepada isu politik dan identiti, berbanding dengan isu keimanan dan ketakwaan. Presiden Amerika Syarikat, George Bush, telah mempertahankan serangannya ke atas Afghanistan atas nama pembebasan wanita-wanita Afghanistan yang tertindas yang mana penggunaan burqa dianggap sebagai simbol penindasan terhadap wanita Islam. Namun, kita sedia maklum bahawa dalam usaha Afghanistan yang masih merangkak ke arah demokrasi berpelembagaan, hak-hak wanita Afghanistan untuk mendapatkan kehidupan yang saksama, adil, bebas dan bermaruah bukannya menjadi agenda yang penting, samada bagi pentadbiran Bush, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu maupun kerajaan sementara di Kabul.

Beribu wanita Islam telah mengenakan hijab sebagai simbol protes menentang pemerintahan kuku besi Shah Iran. Dua puluh lima tahun selepas revolusi Iran ini, wanita-wanita di Iran kini mula mencabar pihak-pihak berkuasa dengan mendedahkan sebanyak mungkin rambut mereka samada di hadapan atau di belakang tudung yang diwajibkan ke atas mereka.

Mereka melanggar peraturan hijab sebagai memprotes pemerintahan golongan agama konservatif yang tidak membawa kehidupan yang dijanjikan, iaitu suatu kerajaan yang menjamin keadilan, kebebasan dan kemakmuran. Penggunaan hijab "tidak sempurna" yang kian berleluasa ini tidak lagi dapat dibendung oleh kerajaan kerana kerajaan telah hilang kewibawaan dan kuasa moralnya untuk mentadbir atas nama Islam.

Bagi sesetengah orang Islam, hijab merupakan tanda keimanan mereka. Bagi sesetengah yang lain pula, hijab adalah simbol identiti mereka sebagai seorang Islam dalam masyarakat yang kebanyakannya terdiri dari orang bukan Islam. Ada juga yang mendukungnya sebagai simbol penentangan terhadap masyarakat Barat yang terlalu dikuasai oleh sesuatu kaum atau terhadap suatu Kerajaan yang menindas.

Di beberapa negara, hijab merupakan pakaian yang memperkasakan diri wanita. Pemakaian tersebut membolehkan mereka menceburi dan turut serta dalam aktiviti dan arena awam yang dahulunya terbatas bagi mereka.

Masyarakat Barat hanya menunjukkan kegagalan mereka memahami kepelbagaian maksud, simbol dan pengalaman masyarakat Islam apabila mereka menganggap seseorang wanita yang memakai hijab itu sebagai suatu ancaman terhadap keselamatan negara atau integrasi kaum, maupun sebagai suatu simbol kemunduran, atau keagamaan yang dikaitkan dengan perjuangan militan.

Sebaliknya pula, ada juga masyarakat Islam yang kurang memahami warisan ajaran Islam dan menganggap kawalan ke atas kaum wanita sebagai satu-satunya ajaran tulen agama Islam. Akibatnya, definasi mengenai wanita Islam yang "baik" diterima bukan kerana tidak mungkin terdapat tafsiran lain, tetapi kerana ia merupakan tafsiran yang dianjurkan oleh fahaman politik dominan, yang menuduh pemahaman atau tafsiran lain sebagai "sesat" atau "menyeleweng".

Sisters In Islam

-------------------

Petikan: http://www.sistersinislam.org.my/BM/skp/11112005.htm

Jangan Memaksa Pelajar Perempuan Memakai Tudung

11 November 2005

Isu mewajibkan pemakaian tudung ke atas pelajar perempuan di Malaysia telah menerima liputan yang berlainan dalam akhbar di Malaysia. Akhbar New Straits Times (November 10, 2005) memetik Datuk Maximus Ongkili sebagai berkata bahawa pemakaian tudung tidak diwajibkan ke atas pelajar perempuan di universiti dan pusat pengajian tinggi di seluruh negara, tanpa membezakan antara pelajar Islam atau bukan Islam.

Walau bagaimanapun, The Star (November 10, 2005) memetik Menteri Pengajian Tinggi Datuk Dr Shafie Mohd. Salleh sebagai berkata bahawa walaupun pelajar perempuan bukan Islam di Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) tidak diwajibkan memakai tudung ke kuliah, mereka perlu menghormati Islam dan patuh kepada kod pakaian universiti, yang dengan jelas menyatakan bahawa pelajar perempuan bukan Islam diwajibkan memakai skaf. Selanjutnya, buku panduan ‘IIUM Students’ Discipline Rules 2004’ mewajibkan pemakaian tudung ke atas semua pelajar perempuan Islam pada setiap waktu, dan mewajibkan pemakaian tudung untuk semua pelajar perempuan tanpa mengira agama semasa konvokesyen sebagai pakaian rasmi istiadat konvokesyen.

Sisters in Islam berpendirian bahawa pemakaian tudung ialah suatu isu yang berkaitan dengan keimanan peribadi seseorang itu. Oleh itu, institusi awam atau kerajaan tidak seharusnya membentuk undang-undang sama ada untuk mewajibkan atau mengharamkan wanita supaya bertudung. Kami faham pihak berkuasa UIAM telah berkata bahawa kod pakaiannya bukanlah “isu agama tetapi merupakan hak Universiti untuk menentukan peraturan pakaian istiadat rasmi”. Kami tidak bersetuju dengan hujah ini atas beberapa sebab.

Pertamanya, pernyataan bahawa kod pakaian ini bukan isu agama adalah sebuah dakwaan yang boleh dipertikaikan. Malah, pemakaian tudung oleh sesetengah perempuan Islam sekalipun, walaupun berbeza-beza, sudah pastinya adalah amalan yang berpunca daripada kefahaman masing-masing. Sisters in Islam menegaskan bahawa kita tidak boleh menggunakan paksaan dalam agama. Tidak dapat dinafikan bahawa sesetengah gaya pemakaian berkait rapat dengan kepercayaan agama, identiti dan politik peribadi.

Oleh itu, dengan menetapkan tudung sebagai kod pakaian wajib untuk perempuan Islam dan skaf untuk perempuan bukan Islam seolah-olah menafikan konteks ini. Selanjutnya, pelaksanaan kod pakaian ini untuk pelajar perempuan Islam dan bukan Islam adalah sebuah perbuatan yang mungkin akan menyinggung perasaan sesetengah pihak dan melanggar hak mereka untuk menghayati kepercayaan masing-masing, iaitu hak yang dijamin oleh Allah s.w.t. dalam kitab suci Al Quran.

Keduanya, kami ingin menarik perhatian kepada persamaan antara situasi pelajar perempuan di Malaysia dengan situasi di negara Perancis tidak lama dahulu di mana kerajaan Perancis telah mengharamkan pemakaian hijab oleh perempuan Islam di institusi awam. Dalam kes ini, Sisters in Islam juga telah membantah pengharaman oleh kerajaan Perancis kerana ia telah mencabul kebebasan beragama dan hak-hak perempuan Perancis yang beragama Islam.

Yang pentingnya di sini ialah keputusan untuk memakai atau tidak memakai hijab, tudung atau skaf merupakan keputusan individu yang terlibat, bukannya mana-mana institusi kelolaan manusia yang tidak sunyi daripada melakukan kesalahan walaupun ia berpunca daripada niat yang murni. Kami faham bahawa terdapat sesetengah institusi yang ingin menyelaraskan kod pakaian rasmi untuk tujuan simbolik atau praktikal, tetapi kod pakaian ini tidak boleh memperalatkan simbol agama dan budaya yang seharusnya menjadi keputusan peribadi seseorang individu.

Ketiganya, ia merupakan permainan bahasa semata-mata jika dinyatakan bahawa pelajar perempuan bukan Islam tidak perlu memakai tudung tetapi mesti patuh kepada kod pakaian UIAM, yang jelasnya menyatakan bahawa pelajar perempuan bukan Islam wajib memakai skaf. Di antara umat Islam sekalipun, terdapat pelbagai gaya pemakaian tudung. Oleh itu, pembezaan antara tudung untuk orang Islam dan skaf untuk orang bukan Islam sebenarnya menafikan isu sebenar mengapa kaum perempuan tidak mahukan sebarang pihak manusia lain untuk menentukan cara mereka berpakaian.

Lagipun, dalam sejarah perkembangan perundangan dan ilmu Islam, alim ulama dan para cendekiawan Islam yang teragung sekalipun tidak pernah mencapai kata sepakat tentang gaya pemakaian perempuan yang “betul”. Hinggakan Allah s.w.t. telah berfirman dalam kitab suci Al Quran bahawa maruah diri perempuan boleh dipelihara dengan pelbagai cara melalui cara-cara pemakaian yang bersesuaian dengan budaya, tempat dan peredaran masa yang berlainan. Oleh itu, pembentukan peraturan pemakaian perempuan berdasarkan apa yang dibayangkan sebagai sebuah piawai “Islam” yang tunggal sebenarnya tidak mengambil kira kepelbagaian pendapat dan pemikiran dalam perkembangan Islam.

Keempatnya, UIAM juga menyatakan bahawa kod pakaiannya untuk pelajar perempuan bukan Islam tidak pernah dipertikaikan selama ini. Kami menyoal ketepatan dan andaian di sebalik pernyataan ini. Kod pakaian UIAM memang pernah dipertikaikan oleh kaum bukan Islam. Malah dalam tahun 2003, wakil rakyat Batu Gajah, Fong Po Kuan, telah menggesa Menteri Pendidikan ketika itu, Tan Sri Musa Mohamad, untuk bertindak ke atas isu mewajibkan pelajar perempuan bukan Islam di UIAM supaya memakai tudung. Pada masa yang sama, nada perbincangan tentang Islam di negara ini mungkin telah menyebabkan minoriti bukan Islam merasa bahawa mereka tidak mempunyai pilihan melainkan untuk berdiam diri dan mengikut keputusan majoriti rakyat Malaysia yang beragama Islam.

Mereka yang menyuarakan pendapat yang bertentangan dengan pendapat arus perdana seringkali disambut dengan kemarahan dan cacian oleh sesetengah pihak yang mendakwa bahawa mereka mesti mempertahankan Islam. Apa pun, kita sebagai masyarakat Malaysia yang majmuk perlulah menghormati perasaan dan pandangan golongan minoriti etnik dan agama, dan juga pandangan yang berbeza antara umat Islam. Apa yang penting di sini ialah kita sebagai masyarakat majmuk perlu mempertahankan kepelbagaian pendapat dan pendirian di antara kita.

Kelimanya, Sisters in Islam juga berharap bahawa pihak berkuasa akan prihatin terhadap kesan tekanan rakan sebaya di universiti dan institusi pengajian tinggi di negara ini. Polisi yang mempertahankan hak pelajar perempuan tidak akan berkesan jika terdapat tekanan yang berleluasa daripada rakan sebaya yang memaksa pelajar perempuan untuk bertudung atau tidak bertudung.

Kami amat mengalu-alukan kesediaan rakyat Malaysia dari pelbagai latarbelakang untuk menyuarakan pendapat dan saranan yang berbeza-beza tentang subjek ini. Seperti yang pernah dikatakan oleh Imam Malik ibn Anas, “Kepelbagaian pendapat ialah rahmat Allah s.w.t. kepada umat manusia.” Allah s.w.t. juga telah berfirman dalam kitab suci Al Quran: “Tidak ada paksaan dalam agama.” (Surah al-Baqarah, 2:256). Kami berharap bahawa kebijaksanaan yang sedemikian dapat disemai dalam semua aspek kehidupan awam, termasuklah dalam isu pemakaian perempuan.

1.Kenyataan Fong Po Kuan boleh diakses di http://www.dapmalaysia.org/all-archive/English/2003/apr03/bul/bul2028.htm

Sisters in Islam

---------------

Petikan dari: http://www.sistersinislam.org.my/BM/media/24062008-mkini.htm

MalaysiaKini.com

24 June 2008

SIS: Tiada fakta gincu dorong rogol

by Abdul Rahim Sabri

Tidak ada fakta yang menyokong dakwaan bahawa memakai gincu dan berkasut tumit tinggi menyebabkan wanita dirogol, kata Sisters in Islam (SIS).

"Larangan ini dibuat daripada sikap prasangka dan seharusnya berdasarkan kepada penyelidikan dan data.

"MPKB mengeluarkan dasar atau undang-undang kena ada fakta," kata penyelaras program SIS, Norhayati Kaprawi kepada Malaysiakini, mengulas laporan wujud larangan terbaru Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MPKB-BRI).

Bagaimanapun majlis itu hari ini menafikan mengeluarkan arahan larangan sedemikian seperti laporan media.

Etika berpakaian itu - termasuk bergincu dan berkasut tumit tinggi sehingga mengeluarkan bunyi - hanya sekadar nasihat yang tidak diperkuatkuasakan dalam peraturan di bandar itu, jelas pengarah perhubungan awam MPKB-BRI, Azman Mohd Daham.

Norhayati juga berkata, tanggapan umum mengaitkan jenayah ini dengan etika berpakaian adalah tidak benar.

"Orang yang memakai tudung pun kena rogol," katanya.

"Budak bawah umur pun kena rogol, apa kena-mengena gincu dengan kasut tumit tinggi?

Beliau juga menegaskan, bergincu dan berkasut tumit tinggi dalam kalangan perempuan sudah lumrah.

"Tidak ada isu, kenapa nak kawal pilihan orang perempuan untuk memakai gincu dan kasut tumit tinggi," kata aktivis hak wanita itu.

"Adakah memakai kasut tinggi itu tidak Islamik?"

Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) pula menganggap saranan kepada pekerja Islam itu satu langkah yang baik.

"Usaha MPKB itu usaha yang baik dan (isu itu) tidak perlu diperbesar-besarkan," kata presidennya Mohd Hilmi Ramli.

"Kalau betul menggunakan gincu lebih dan memakai tumit tinggi menyumbang kepada jenayah rogol dan zina, (amalan itu) wajar diharamkan."

Bagaimanapun, tambah Hilmi, beliau menyifatkan niat MPKB itu tidak menyelesaikan masalah sebenar.

"Ada faktor lain yang menyumbang kepada berlakunya zina dan rogol seperti jalan berdua-duaan tanpa mahram dan berpasangan (di tempat tertutup) boleh berlaku zina dan rogol," katanya.

Menurutnya, pemakaian tudung tidak boleh dipaksa kepada semua orang perempuan.

"Mereka diberi pilihan dan (kerajaan) terus mendidik rakyat tentang pemakaian yang menepati syariah," katanya.

Norhayati juga menggesa kerajaan Kelantan menumpukan perkara-perkara yang lebih serius seperti soal kebersihan, kemiskinan dan memberi khidmat yang cekap kepada rakyat.