Hukum-hakam Rawatan Kecantikan

Primary tabs

Kecantikan merupakan perkara yang dikira penting bagi wanita, sehinggakan diwujudkan cogankata kecantikan hak milik setiap wanita. Kerana kecantikanlah, muncul pelbagai jenis rawatan untuk menghilangkan benda benda yang tidak memuaskan pada wajah dan tubuh badan.

Sebenarnya rawatan kecantikan bukanlah sesuatu yang baru yang muncul pada zaman ini, malah ia telah bermula dulu lagi, yang akhirnya berkembang sehingga ke peringkat yang ada pada hari ini. antara rawatan kecantikan yang wujud sejak dahulu: membalut gigi dengan emas , menyaluti hidung dengan emas dan perak, serta tatu.

Zaman rasulullah juga merekodkan satu peristiwa, di mana seorang sahabat bernama Arfajah bin As’ad r.a cedera teruk di bahagian hidungnya, lalu nabi s.aw memerintahkannya mengambil hidung daripada perak. (rujuk nas hadis dari Sunan Tirmizi, 4/240).

Dr Husamuddin as-saifi di dalam kitabnya Qadaya Fiqhiyah Mu’asirah menyebutkan beberapa jenis rawatan kecantikan, yang umumnya dibahagikan mengikut tujuan ia dilakukan, dan setiap jenis mempunyai hukum yang berbeza.

Rawatan kecantikan yang bertujuan untuk mengekalkan/ mengembalikan kecantikan
Salah satu daripada rawatan kecantikan yang popular sekarang ialah rawatan kecantikan yang bertujuan untuk mengekalkan kecantikan agar tidak luput dimakan usia, atau mengembalikan kecantikan zaman muda buat kali kedua, setelah ianya berkurangan, atau luput dimakan usia. Rawatan ini dijalankan atas anggota anggota yang sedia sihat, bagi menghilangkan kesan yang timbul akibat peningkatan umur.

Perbuatan ini sebenarnya merupakan satu ketaksuban dan kelampauan dalam mengejar kecantikan, berlawanan pula dengan ketetapan Allah Taala yang telah menjadikan setiap peringkat kehidupan itu dengan ciri dan sifat yang tertentu. Oleh itu ia dikira mengubah ciptaan Allah Ta’ala, dan termasuk di dalam perkara perkara yang dilarang oleh syara’.

Ibnu Mas’ud pernah meriwayatkan bahawa nabi s.a.w pernah bersabda: “ Allah melaknat orang yang bertatu dan membuatkan tatu, orang yang mencabut/mencukur bulu kening serta tukang cabut/cukurnya, orang yang menjarangkan gigi, untuk kecantikan, mereka ini pengubah kejadian Allah. (Riwayat Muslim).

*Penjarangan gigi- imam an-nawawi menerangkan di dalam syarah Muslim,bahawa jarak yang sedikit antara gigi hanya terdapat di kalangan anak perempuan muda, lalu perempuan berusia melakukannya agar mereka dianggap masih muda.

Antara kesimpulan hadis, anggota anggota badan telah dijadikan dalam keadaan terbaik, keadaan asalnya, maka tidak boleh mengubahnya sama ada dengan penambahan ataupun pengurangan, kerana ianya mengubah kejadian Allah, serta menolah hikamah Pencipta yang telah menjadikan makhluknya dengan ciri ciri tertentu.

Ibnu al-Arabi menyebut: sesungguhnya Allah telah mencipta rupa, serta mencantikkannya mengikut bentuk yang asal,kemudian kecantikan ini beransur hilang mengikut peringkat, maka sesiapa yang mengubah kejadian allah dan menolak hikmahnya adalah dilaknat kerana telah melakukan larangan. (Akhbar as-siasah, 4/12/1987, majlis pengajian bersama Dr. Muhammad Uthman Shabir.)

Rawatan kecantikan lelaki untuk menghilangkan misai dan janggut
Antara rawatan yang dilakukan ialah menghilangkan misai dan janggut secara kekal, iaitu tidak akan tumbuh lagi. Perbuatan ini merupakan satu perbuatan menyerupai orang perempuan, yang diharamkan oleh syara’.

Menyambung Rambut
Ia termasuk juga dalam rawatan kecantikan yang dilarang oleh syara’, berdasarkan riwayat yang diriwayatkan oleh imam Muslim, drpd Asma’ binti Abi Bakar, bahawa seorang perempuan telah datang kepada nabi s.a.w, lalu berkata: Wahai Rasulallah, anak perempuanku bakal berkahwin, dia ditimpa penyakit lalu gugur rambutnya, apakah boleh aku menyambung rambutnya?. Lalu bersabda baginda s.a.w: “ Allah melaknat orang yang menyambung rambut dan tukang sambung rambut.”

Al-Laith bin Sa’ad dan alQadhi I’yadh menyebut bahawa sebab larangan ini ialah kerana ianya satu bentuk penipuan, dan ianya larangan khas menyambung rambut dengan rambut. Menurut mereka, menyambung rambut dengan kapas,benang, dan sutera tidak termasuk di dalam larangan ini, kerana ianya tidak mengandungi unsur penipuan.

Imam Nawawi pula menerangkan hal ini secara terperinci. Menyambung rambut dengan rambut manusia adalah haram, begitu juga menyambung rambut dengan rambut/bulu binatang,jika ianya najis turut diharamkan. Jika rambut itu daripada bulu yang tidak najis, dilihat: jika perempuan itu belum berkahwin, hukumnya haram. Jika sudah berkahwin, terdapat tiga pendapat:
- Haram berdasarkan zahir hadis
- Tidak diharamkan
- Pendapat paling kuat- jika diizinkan suaminya, harus, jika tidak, haram.

Imam nawawi menyebut lagi: adapaun memerahkan muka dan pipi, dan hujung jari, ianya diharamkan bagi orang yang tidak berkahwin, dan tidak diizinkan suaminya, jika diizinkan suami, maka dibenarkan. (Syarah Sahih muslim, 14/104).

Hukum ini turut diguna pakai ke atas penggunaan rambut palsu yg dibuat dari rambut manusia,atau haiwan yg tidak suci, ianya haram.adapaun rambut palsu dari selain keduanya,dan mewarnakan rambut. Jika seseorang itu bersuami, dan diizinkan suaminya, hukumnya harus, jika tidak diizinkan, atau belum bersuami, hukumnya haram.

Kesimpulan yang dapat penulis buat, berdasarkan hadis serta pendapat ulama:
- Rawatan kecantikan yang berbentuk pengubahan kekal dan berat adalah haram, seperti tatu, penjarangan gigi, cabut bulu kening-yg disebutkan di dalam hadis, serta kes kes lain yg boleh dikiaskan, seperti menghilang misai/janggut secara kekal, botox dan suntikan seumpamanya. Illah atau sebabnya ialah mengubah kejadian Allah, serta melawan sunnatullah/fitrah.

- Rawatan kecantikan lain- sambung rambut, make-up, rambut palsu, mewarna rambut dan seumpamanya, hukumnya seperti yang disebutkan, berbeza antara yang belum dan sudah berkahwin, juga dengan izin dan tanpa izin suami.

Wallahu’a’lam bissowaab.

kembara_daie (Ahmad Shamil bin shahrin)
Sedang dalam proses menyudahkan thesis master dalam bidang fiqh dan usul fiqh
Di universiti islam antarabangsa Malaysia.

Note:
- Disadur daripada buku Qadhaya Fiqhiyah Mu’asirah, Dr Hosamuddin as-sayfi, Universiti Islam Antara bangsa Malaysia , ms 124-129.