SJ-12-0374 : keputihan

Primary tabs

3 posts / 0 new
Last post
Anonymous (not verified)
SJ-12-0374 : keputihan

jikalau seseorang itu mengalami masalah keputihan...bolehkah ia menjamakkan solatnya seperti pendapat mazhab hanbali?

adakah hadis nabi tentang darah istihadah itu boleh dikiaskan kepada masalah keputihan ini iaitu solat di akhir waktu zohor dan solat awal waktu asar dengan satu wuduk?atau pun mesti mengambil wuduk setiap kali solat?

bolehkah bagi seorang bagi seorang wanita yang berpenyakit seperti diatas menggunakan satu wudhuk untuk menunaikan solat fardhu dan mengqadhakan 1 waktu solat fardhu.
bolehkah dan apakah hukumnya?

jikalau ia sudah membersihkan kemaluannya dan memakai pampers wanita tetapi ketika sembahyang keluar lagi....kene berhenti solat atau teruskan solat?

Anonymous (not verified)
keputihan lagi

bolehkah jamak suri bagi orang yang keputihan

iaitu megakhirkan zohor dan mengawalkan asar dengan satu wuduk

Re: keputihan

Wa’alaikumussalam

Alhamdulillah. Kami akan cuba menjawab soalan anda dengan kadar kemampuan yang ada, InSyaAllah.

Permasalahan keputihan ini boleh dikaitkan dengan masalah tidak lawas buang air kecil, Darah istihadah, dsb yang ada kaitannya dengan kerapkali kena melakukan wudhu’.

Ruhsah yang Islam benarkan bergantung kepada kadar seriusnya penyakit tersebut. Berikut adalah cadangan yang diberikan oleh fuqaha’ :-

1. Satu wudhu’ dalam satu waktu solat.

Dari Ai’syah ra yang berkata : Fatimah bt Hubaysh telah datang kepada Nbi :saw dan berkata :-

: يا رسول الله إني امرأة أستحاض فلا أطهر أفأدع الصلاة ؟ فقال رسول الله صلى الله عليه وسلم : لا ، إنما ذلك عرق وليس بحيض ، فإذا أقبلت حيضتك فدعي الصلاة وإذا أدبرت فاغسلي عنك الدم ثم صلي ، ثم توضئي لكل صلاة حتى يجيء ذلك الوقت
“Ya Rasulullah :saw, sesungguhnya aku wanita yang mengalami istihadah dan saya tidak akan menjadi bersih. Apakah aku boleh meninggalkan solat? Rasulullah :saw berkata : Tidak, malah ia dari urat, dan bukan darah haid, maka apabila datang haid kebiasaan kamu, maka hendaklah berhenti bersolat. Apabila masa telah berlalu, basuhkan darah dari diri kamu, kemudian ambil wudhu’ untuk setiap solat sehingga datang waktu tersebut” [Hadith Riwayat Bukhari].

Kaedah yang diberikan adalah , satu wudhu’ diambil semasa masuk waktu solat tersebut. Tidak kira apa yang berlaku, ditunaikan dengan solat wajib dan dikuti dengan solat-solat sunat. Wudhu’ tidak boleh diambil sebelum masuk waktu solat. Maka :-

a. jika didapati keluar cecair semasa solat tersebut, maka hendaklah dia meneruskan solatnya. Dia boleh menunaikan solat sunat selepasnya.

b. jika didapati keluarnya cecair, maka hendaklah dia membersihkan kemaluan dan mengambil wudhu’ kembali untuk solat wajib yang seterusnya. Misalnya, semasa melakukan solat zohor, dia merasa cecair tersebut keluar, maka dia kena mengambil wudhu’ semula untuk solat Asar.

c. jika cecair tersebut tidak keluar dimasa solat wajib pertama (Zohor misalnya) , maka boleh dia melakukan solat wajib yang seterusnya (Asar) menggunakan wudhu’ tersebut. Akan tetapi, ulama’ masih khilaf, apakah apabila masuk waktu yang lain, wudhu’ tersebut masih sah?

Menurut Imam Ahmad rh, wudhu’ mereka ini akan terbatal apabila masuk waktu solat yang lain [al-Mawsu’ah al-Fiqhiyyah, 3/212]. Untuk lebih selamat, apabila masuk waktu kedua, hendaklah dia mengambil wudhu’ kembali.

2. Jama’ solat

Solat boleh dijama’ berdasarkan betapa seriusnya penyakit tersebut, misalnya :-

- kesukaran untuk membersihkan diri
- cecair tersebut keluar tanpa berhenti

Berdasarkan kepada keadaan ini, maka Syeikh Ibn Taimiyah rh berpendapat bahawa seseorang itu boleh menjama’kan solatnya. Solat jama’ ini bukan sahaja diaplikasikan semasa bermusafir sahaja, akan tetapi aplikasinya sangat luas. Didalam sebuah hadith ada menyebut seorang wanita yang mengalami istihadah, Nabi :saw menyuruh wanita tersebut menjama’ solatnya. [al-Fataawa al-Kubra,1 /49].

Didalam fatwa yang dikeluarkan oleh al-Lajnah al-Daemah, kebenaran menjama’ ini atas dalil umum, dimana Islam tidak menyusahkan umatnya. Kaedah wudhu’ yang disarankan :

أن يكون وضوؤها للظهر والعصر بعد دخول الوقت ، وهكذا المغرب والعشاء يكون وضوؤها لهما بعد دخول الوقت
“Lakukan wudhu’ untuk solat Zohor dan Asar selepas masuk waktu (Zohor), dan juga lakukan wudhu’ solat Maghrib dan Isya’ selepas masuk waktu solat (Maghrib)” [Fataawa al-Lajnah al-Daemah, 8/85 ].

Waktu diatas ini masih dikategorikan didalam satu waktu solat.

3. Jama’ suri

Kaedah ini diambil sebagai jalan penyelesaian bagi Mazhab Hanafi yang tidak membenarkan melakukan Solat Jama’ selain dari waktu menunaikan Haji. Ruhsahnya adalah sama dengan Solat Jama’, iaitu agama Islam ini tidak membebankan umatnya.

Jama’ suri ini tidak ada bezanya dengan mengambil wudhu’ apabila masuk waktu solat. Wudhu’ boleh digunakan untuk satu waktu solat dan solat-solat sunat. Jika cecair tersebut tidak keluar, maka apabila masuk waktu solat yang kedua, bolehlah dia menggunakan wudhu’ yang sama, menurut satu pandangan ulama’.

Akan tetapi, jika cecari tersebut keluar, maka dia tidak boleh melakukan solat yang kedua dengan menggunakan wudhu’ yang sama. Kes ini sama dengan situasi ‘Satu wudhu’ dalam satu waktu solat’. Disebabkan jamak suri bukanlah solat jama’ yang sebenar, dimana solat dilakukan pada waktunya, Zohor dalam waktu Zohor, Asar dalam waktu Asar, cuma dilewatkan waktu pertama, maka hukum satu wudhu’ satu waktu hendaklah digunakan.

Kesimpulannya, kaedah yang dinyatakan diatas harus melihat kepada betapa seriusnya penyakit yang dihadapi dan ruhsah yang diberi adalah berdasarkan Islam tidak membebankan umatnya, dan bukannya mempermudahkan agama. Sebaik-baiknya, hendaklah dia merujuk pada doktor pakar bagi mengesahkan penyakitnya. WA.

Sekian, wassalam

خيرالأمين