Panggil Roh Di Telaga Barahut: Dr MAZA Bidas Golongan Asal Ada Dalam Kitab

Apakah ini telaga Barahut?

Asal Ada Dalam Kitab

Golongan 'Asal Ada Dalam Kitab' semuanya betul dan boleh diambil adalah golongan yang berpendapat bahawa apa-apa sahaja yang tertulis di dalam kitab semuanya betul dan boleh diguna pakai. Alasannya ialah, sebab ia ada tertulis di dalam kitab.

Dr MAZA meletakkan tajuk dalam artikel terbarunya dengan (Jangan ‘Main Ceduk’ Apa Saja Ke Bakul Agama). Ia ditujukan kepada golongan ini iaitu golongan Asal Ada Dalam Kitab.

Beliau mengatakan:

Menjadi satu masalah yang besar apabila penceramah ataupun penulis mengutip semua cerita yang dia jumpa dalam buku tanpa mampu menilai kemunasabahannya. Bagi mereka yang tidak memahami disiplin ilmu, menganggap setiap yang ada dalam kitab itu sahih. 

Baru-baru ini heboh tersebar video seorang ustaz selebriti yang menceduk kisah dari kitab tentang seorang lelaki yang mengamanahkan sejumlah hartanya kepada sahabatnya sebelum pergi haji. Sekembalinya dari haji, sahabatnya itu telahpun meninggal dunia. Untuk mengetahui di mana hartanya disimpan, dia menyeru roh sahabatnya di telah Barahut.

Dr MAZA memberi komen:

Cerita itu tak berasas dan ‘kartun’ sekalipun disebut dalam beberapa kitab..

Dan menurutnya lagi, kalau cerita itu benar bolehlah kaedah begitu digunakan untuk menyeru roh penumpang MH-370 untuk mengetahui di mana kapal terbang itu berada.

Beliau mengatakan mengenai telaga Barahut; ia adalah sebuah telaga di Yaman yang memang diceritakan dalam beberapa Hadis, namun ia tiada kena mengena dengan kisah seorang lelaki menyeru roh sahabatnya.

Kesimpulan dari artikel ini ialah, untuk menceduk apa yang ada di dalam satu-satu kitab memerlukan kaedah yang betul. Tidak boleh sebarangan.

 

'Power' Wardina

Isu ustaz selebriti hangat diperkatakan apabila beredar video kompilasi kesilapan ustaz berkenaan. Sebelum dari itu, telah dihebohkan dengan ustaz yang sama mengatakan bahawa TAMIM berasal dari Ta=Tanah dan MIM=Melayu. 

Isu ini terus menjadi panas apabila Wardina membuat status dalam Facebooknya dengan nada bertanya sejauh mana kebenaran cerita yang dibawa oleh ustaz itu di dalam video yang telah tersebar. Wardina meminta pihak yang berkenaan untuk menyemak kembali isikandungannya.

Mstar pada 16 April 2014 menyiarkan respon TV al-Hijrah:

Stesen televisyen TV AlHijrah sedang meneliti isi kandungan beberapa video yang disebarkan di laman sosial termasuklah tuduhan kononnya ustaz selebriti Don Daniyal yang dikatakan telah menyampaikan ceramah bersama hadis-hadis palsu.

Pegawai Perhubungan Korporat TV AlHijrah, Irwan Abdul Rahman berkata, pihaknya juga akan mengambil kira beberapa pandangan pihak-pihak yang berpengetahuan soal Agama Islam sebelum memutuskan bentuk tindakan yang sepatutnya.

 

Komen Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri

Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang dikaitkan oleh ustaz selebriti berkenaan mengenai ceita menyeru roh di telaga Barahut di dalam FB rasmi miliknya tampil menjelaskan pendiriannya.

Beliau dilihat bersetuju dengan nukilan kisah menyeru roh di telaga Barahut. Berikut ini pendirian beliau:

Mungkin ada sebahagian asatizah yang menggunakan hujah berdasar kepada pengtahqiq kitab al-Kabair iaitu Sayyid Ibrahim dan Sayyid al-Arabi, antara lain berpendapat: "Dimulakan kisah ini dengan kenyatan pengarang (Imam al-Zahabi) dengan perkataan Hukiya (حكي) yang memberi maksud dihikayatkan. Di dalam bahasa istilah ulama Sighah Mabni lil Majhul merupakan Sighah Tamrid (sakit dan dhaif) yakni tidak kuat dan dia termasuk daripada riwayat yang batil yang tidak wajib disebutnya sekalipun dalam bab Mau’izah (nasihat) kerana ia menafikan aqidah sahih dan akal yang sejahtera."

• Saya secara peribadi boleh menerima kisah yang dinukilkan oleh Imam al-Zahabi kerana ia bukanlah hadis tetapi penceritaan yang diterima daripada yang terdahulu.

• Disebut dengan perkataan hukiya (حكي) yang memberi maksud 'dihikayatkan' menunjukkan betapa Imam al-Zahabi begitu mencermati dalam menyampaikan maklumat supaya statusnya bukanlah menjadi hujah qat’i tetapi lebih kepada mau’izah (peringatan) semata-mata. Justeru, tidak ada masalah untuk mengambil kisah ini sebagai peringatan dengan syarat tidak menjadikannya sebagai dalil.

• Cukuplah dengan penukilan daripada ramai ulama, seperti Imam Ibn Hajar al-Haitami dan pujian para ulama terhadap kitab al-Kabair, membuatkan kita thiqah dengan Imam al-Zahabi.

 

TAMIM: Komen Dr Zulkifli

Mengenai TAMIM ialah Tanah Melayu, Dr Zulkilfi menafikan hal berkenaan di ruangan komen melalui admin FBnya apabila diajukan soalan mengenainya:

bani tamin tidak perlu kepada pembahasan menurut ust. ta mim bukan tanah melayu seperti yg dikatakan. -admin

 

 

Kategori Berita: