SJ-14-0021 : Kepalsuan hadis kelebihan Tarawih

2 posts / 0 new
Last post
Anonymous (not verified)
SJ-14-0021 : Kepalsuan hadis kelebihan Tarawih

:salam

saya ingin mendapatkan pengesahan berkenaan artikel ini. adakah benar bagai didakwa?? mohon perhatian dan tindakan segera. syukran jazilan.

Quote:
Kepalsuan hadis kelebihan Tarawih

Diterbitkan dan diedar secara percuma oleh:

DARUL QURAN WAS-SUNNAH
Lot 1499, Taman Seri Demit, Jalan Sultanah Zainab 2
Kubang Kerian, 16150 Kota Bharu, Kelantan.
Tel: 09-7645816 [no ni tiada dlm perkhidmatan]

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Penyayang

Puji-pujian bagi Allah Subhanahu wata'ala, selawat dan salam keatas junjungan kita Nabi Muhammad Sallaahu 'alaihi wasallam serta para sahabatnya.

SEJAK beberapa tahun kebelakangan ini satu hadis tentang kelebihan Tarawih pada malam-malam Ramadan telah tersebar dengan meluas sekali. Media elektronik, cetak serta media massa lain turut memainkan peranan menyebarkannya melalui akhbar, dairi Islam, TV, radio, risalah dan lain-lain dengan harapan semoga mereka mendapat saham dalam usaha menggalakkan umat Islam supaya rajin beramal ibadat, terutamanya dalam bulan yang diberkati itu. Hadis yang dimaksudkan itu ialah satu hadis yang agak panjang kononnya diriwayatkan oleh Sayyidina Ali r.a. yang sebahagian darinya adalah seperti berikut,

Diriwayatkan oleh Sayyidina Ali bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda berkenaan dengan fadilat sembahyang Tarawih pada bulan Ramadan antaranya:

* Malam Pertama: Keluar dosa-dosa orang mukmin pada malam pertama seperti mana dia baru dilahirkan (mendapat keampunan dari Allah Taala).

* Malam Keempat: Mendapat pahala sebagaimana pahala orang-orang yang membaca kitab Taurat, Zabur, Injil dan Al-Quran.

* Malam Keenam: Allah kurniakan pahala kepadanya pahala malaikat-malaikat yang tawaf di Baitul-Ma`mur (sebanyak 70 ribu malaikat sekali tawaf), serta setiap batu-batu dan tanah akan mendoakan supaya Allah mengampuni dosa-dosa orang yang mengerjakan sembahyang tarawih pada malam ini.

* Malam Ketujuh: Seolah-olah dia dapat bertemu serta menolong Nabi Musa A.S. menentang musuh ketatnya Firaun dan Haman.

* Malam Kelapan: Allah mengurniakan pahala orang sembahyang tarawih sepertimana yang telah dikurniakan kepada Nabi Ibrahim A.S.

* Malam kesembilan: Allah kurniakan pahala dan dinaikkan mutu ibadat hambanya seperti Nabi Muhammad S.A.W.

* Dan kelebihan-kelebihan seterusnya sehingga sampai kemalam yang ke-tiga puluh

Namun begitu setelah diajukan pertanyaan kepada beberapa tokoh agama tanah air mengenai kedudukan hadis ini, dari manakah ianya diambil, semuanya tidak dapat memberikan penjelasan. Dan setelah diteliti dalam kitab induk hadis seperti Sunan Sittah dan lain-lain kitab hadis lagi, ianya tidak ditemui. Begitu juga dalam kitab-kitab hadis palsu (maudhu`aat) sendiri pun tidak didapati hadis ini. Ini menunjukkan bahawa hadis ini merupakan satu hadis yang baru diada-adakan sehingga ulama-ulama hadis dahulu yang menulis tentang hadis maudhu` pun tidak mengetahui akan wujudnya hadis ini. Kita tidak menafikan kelebihan sembahyang Tarawih dan kedudukannya dalam sunnah. Namun begitu kita tidak mahu umat Islam tertipu dengan berbagai-bagai janji palsu yang menyebabkan umat Islam mengerjakan amalan kebaikan dengan mengharapkan sesuatu yang sebenarnya tidak akan diperolehinya. Dengan tersebarnya hadis-hadis palsu seumpama ini juga akan mencemarkan kesucian hadis Rasulullah s.a.w. yang dipelihara dengan dengan begitu baik oleh ulama kita dahulu.

Rasulullah S.A.W. telah pun memberikan amaran terhadap orang-orang yang mengadakan pendustaan atas namanya dengan ancaman yang berat sebagaimana sabdanya: Barang siapa sengaja mengadakan dusta atas namaku maka hendaklah dia menyediakan tempatnya dalam neraka. (Bukhori, Muslim)

Hadis ini diriwayatkan dengan banyak sekali sehingga sampai keperingkat Mutawatir. Ancaman ini merangkumi segala jenis pendustaan keatas Nabi S.A.W. sama ada dengan maksud memberi galakan supaya rajin beramal ibadat ataupun ancaman supaya menjauhi segala larangan Allah (targhib dan tarhib).

Mulla Ali Qari dalam Al-Asrarul-Marfu'ah selepas membawakan lebih dari seratus riwayat hadis mengenai pendustaan atas nama Nabi Muhammad s.a.w. menukilkan kata-kata Imam Nawawi dalam syarah Muslim. Kata Imam Nawawi: Haram meriwayatkan sesuatu hadis palsu (maudhu`) bagi orang yang mengetahui bahawa hadis itu maudhu` atau dia hanya menyangka hadis ini maudhu`. Siapa yang menceritakan hadis yang dia tahu atau dia sangka bahawa ianya maudhu` serta dia tidak menerangkan keadaannya maka dia termasuk dalam ancaman ini. Katanya lagi, tidak ada perbezaan dalam pengharaman pendustaan atas Nabi Muhammad s.a.w. di antara hadis tentang hukum-hukum dan hadis yang bukan berkenaan dengan hukum seperti hadis yang mengandungi dorongan serta galakan beramal ibadat, hadis-hadis nasihat dan lain-lain. Semuanya haram termasuk dalam sebesar-besar dosa dan sejelek-jelek perkara dengan ijmak ulamak Islam? seterusnya dia berkata: Ulama sudahpun sepakat mengenai haram berdusta atas nama orang-orang biasa. Bagaimana pula dengan orang yang kata-katanya adalah syariat, kalamnya adalah wahyu dan berdusta atasnya adalah pendustaan atas Allah juga. Firman Allah bermaksud: Tidaklah dia mengucapkan mengikut kemahuan hawa nafsunya. Apa yang diucapkan tidak lain melainkan wahyu yang diwahyukan. (An-Najm: 3-4).

Di dalam hadis tersebut nampaknya ada galakan supaya umat Islam rajin untuk melakukan amalan Tarawih dalam bulan Ramadan seperti kita sering dapati hadis ancaman terhadap orang yang meninggalkan sembahyang yang sebenarnya hadis itu pun direka atas nama nabi Muhammad s.a.w. seperti contoh satu hadis yang sebahagian darinya berbunyi: Jika seseorang itu meninggalkan sembahyang Zuhur dosanya adalah seperti dia berzina dengan ibunya sendiri. Jika dia meninggalkan sembahyang Asar dosanya adalah seperti meruntuhkan Kaabah.

Adakah tidak cukup dengan janji ganjaran dari Allah bagi orang yang menghidupkan malam Ramadan yang terdapat dalam kitab hadis shahih contohnya hadis yang bermaksud: Sesiapa yang menghidupkan malam Ramadan dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran dari Allah diampunkan dosa-dosanya yang lalu. (Al-Bukhari)

Dan adakah tidak cukup dengan ancaman terhadap orang yang meninggalkan sembahyang yang terdapat dalam al-Quran antaranya firman Allah yang bermaksud: Apakah yang menyebabkan kamu dimasukkan ke dalam neraka saqar? Mereka menjawab: Kami dahulu termasuk orang yang tidak mengerjakan sembahyang. (Al-Muddatsir)

Sebenarnya bagi mereka yang suka menghidupkan malam Ramadan tidak mesti dengan adanya hadis rekaan yang seperti ini mereka akan bersungguh-sungguh dalam menghidupkan amalan Tarawih ini. Dan orang yang malas bersembahyang bawalah hadis yang bagaimana teruk sekalipun seksaannya, namun mereka tetap tidak mahu mengerjakannya.

Antara ciri-ciri hadis maudhu`(rekaan) dari segi zahirnya selain dari meneliti sanad perawinya ialah

1. Kelebihan yang disebutkan menyamai atau mengatasi kelebihan yang terdapat pada para sahabat nabi kita Muhammad s.a.w. atau orang yang berjuang bersama dengan nabi yang lain apatah lagi untuk menyamai atau mengatasi kedudukan nabi-nabi kerana umat yang datang kemudian walaupun setinggi-tinggi wali sekalipun tidak akan dapat mengatasi atau menyamai kedudukan sekecil-kecil sahabat apatah lagi untuk menyamai kedudukan seorang nabi.

2. Kelebihan yang terdapat didalamnya tidak sepadan dengan amalan yang dilakukan sedangkan ia menyalahi apa yang terdapat dalam syariat sebagaimana tersebut dalam Al-Qur'an dan hadis-hadis sahih.

3. Kandungannya serta ertinya rapuh, tidak menyerupai kalam Nabi Muhammad s.a.w. dan lafaznya tidak sesuai keluar dari mulut Nabi seperti yang terdapat dalam hadis-hadis sahih.

4. Dalam sesetengah risalah yang terdapat hadis ini, ianya dimulai dengan "Ya Ali" sedangkan ulama hadis sudah mengatakan bahawa hadis yang dimulai dengan kata-kata ini hanya dua atau tiga sahaja yang sahih. Yang lainnya palsu.

Oleh itu umat Islam sekalian, terutamanya pihak seperti institusi agama di peringkat negeri dan pusat, sepatutnya prihatin terhadap perkara seperti ini demi menjaga kesucian hadis Rasul yang menjadi pegangan Ahlus Sunnah Wal Jamaah. Umat Islam janganlah mudah tertipu dengan dakyah palsu yang dikaitkan dengan Rasulullah sedangkan ianya tidak ada hubungan langsung dengan Rasulullah s.a.w. Janganlah sampai masyarakat kita melakukan sesuatu amalan dengan harapan akan mendapat pahala sedangkan sebaliknya dosa besar pula yang diperolehi dengan menyebarkan dan seterusnya beramal dengan hadis-hadis palsu seperti ini.

SELAMAT BERPUASA DAN BERIBADAT MENGIKUT SUNNAH RASULULLAH S.A.W.

Offline
Joined: 01/01/1970 - 7:30am
SJ-14-0021 : Kepalsuan hadis kelebihan Tarawih

wa'alaikumussalam.

Benarlah sebagaimana yang ditulis oleh artikel di atas. Status hadith ini adalah palsu (maudhu') dan tidak wajar ia disebarkan.

Sila lihat attachment dibawah bagi matan asal riwayat tersebut. Berikut adalah terjemahannya :-

Quote:
Terjemahan:

Diriwayatkan oleh Saidina Ali daripada Rasulullah s.a.w. sebagai jawapan dari pertanyaan sahabat-sahabat Nabi s.a.w.
mengenai fadhilat (kelebihan) sembahyang sunat Terawih pada bulan Ramadhan.

Malam pertama: Keluar dosa-dosa orang mukmin pada malam pertama sepertimana ia baru dilahirkan, mendapat keampunan
daripada Allah.

Malam kedua: Diampunkan dosa-dosa orang mukmin yang sembahyang terawih serta kedua ibu bapanya (sekiranya mereka
orang yang beriman).

Malam ketiga: Berseru malaikat di bawah arasy supaya kami meneruskan sembahyang terawih terus menerus semoga Allah
mengampunkan dosa engkau.

Malam keempat: Memperoleh pahala ia sebagaimana pahala orang-orang yang membaca kitab-kitab Taurat, Injil, Zabur
dan Al-Quran.

Malam kelima: Allah kurniakan baginya pahala seumpama orang sembahyang di Masjidil Haram, Masjid Madinah dan Masjidil
Aqsa.

Malam keenam: Allah kurniakan pahala kepadanya pahala malaikat-malaikat yang tawaf di Baitul Makmur (70,000
malaikat sekali tawaf), serta setiap batu-batu dan tanah-tanah mendoakan supaya Allah mengampunkan dosa orang
yang mengerjakan sembahyang terawih pada malam ini.

Malam ketujuh: Seolah-olah ia dapat bertemu dengan Nabi Musa serta menolong Nabi a.s. menentang musuh ketatnya Firaun dan Hamam.

Malam kelapan: Allah mengurniakan pahala orang sembahyang terawih sepertimana yang telah dikurniakan kepada Nabi
Ibrahim a.s.

Malam kesembilan: Allah kurniakan pahala dan dinaikkan mutu ibadat hambanya seperti Nabi Muhammad s.a.w.

Malam 10: Allah s.w.t. mengurniakan kepadanya kebaikan di dunia dan di akhirat.

Malam 11: Keluar ia daripada dunia (mati) bersih daripada dosa seperti ia baru dilahirkan.

Malam 12: Datang ia pada hari kiamat dengan muka yang bercahaya (cahaya ibadatnya).

Malam 13: Datang ia pada hari kiamat dalam aman sentosa daripada tiap-tiap kejahatan dan keburukan.

Malam 14: Datang malaikat menyaksikan ia bersembahyang terawih, serta Allah tiada menyesatkannya pada hari kiamat.

Malam 15: Semua malaikat yang menanggung arasy, kursi, berselawat dan mendoakannya supaya Allah mengampunkannya.

Malam 16: Allah s.w.t. tuliskan baginya terlepas daripada neraka dan dimasukkan ke dalam syurga.

Malam 17: Allah kurniakan orang yang berterawih pahalanya pada malam ini sebanyak-banyak pahala Nabi-nabi.

Malam 18: Seru malaikat: Hai hamba Allah! Sesungguhnya Allah telah redha kepada engkau dan ibu bapa engkau (yang masih
hidup atau mati).

Malam 19: Allah s.w.t. tinggikan darjatnya di dalam syurga Firdaus.

Malam 20: Allah kurniakan kepadanya pahala sekelian orang yang mati syahid dan orang-orang solihin.

Malam 21: Allah binakan sebuah istana di dalam syurga daripada Nur.

Malam 22: Datang ia pada hari kiamat aman daripada tiap-tiap dukacita dan kerisauan (tiada dalam keadaan huru-hara di
padang Mahsyar)

Malam 23: Allah s.w.t. binakan kepadanya sebuah bandar di dalam syurga daripada Nur.

Malam 24: Allah buka peluang dua puluh empat doa yang mustajab bagi orang yang berterawih pada malam ini (elok
sekali berdoa ketika dalam sujud).

Malam 25: Allah Ta'ala angkatkan daripadanya siksa kubur.

Malam 26: Allah kurniakan kepada orang berterawih pahala pada malam ini seumpama empat puluh tahun ibadat.

Malam 27: Allah kurniakan kepada orang berterawih pada malam ini ketangkasan melintas atas titian Siratal Mustaqim
seperti kilat menyambar.

Malam 28: Allah s.w.t. kurniakan kepadanya seribu darjat di akhirat.

Malam 29: Allah s.w.t. kurniakan kepadanya pahala seribu kali haji yang mabrur.

Malam 30: Allah s.w.t. beri penghormatan pada orang berterawih pada malam terakhir ini yang teristimewa sekali, lalu berfirman yang bermaksud: Hai hambaKu! Makanlah segala jenis buah-buahan yang engkau ingin makan di dalam syurga dan mandilah engkau daripada air syurga yang bernama Salsabila, serta minumlah air daripada telaga yang dikurniakan kepada Nabi Muhammad s.a.w. yang bernama Al-Kauthar.

Berikut adalah petikan dari Akhbar Berita Harian

Quote:
Berita Harian
Khamis 31 Disember 1998 12 Ramadan 1419

Fadilat tarawih didakwa hadis rekaan

KOTA BHARU, Rabu - Sebuah kumpulan pengajian Islam di sini, Darul Quran Was Sunnah, meminta Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan pihak berkuasa majlis agama negeri menyiasat penyebaran hadis palsu berhubung kelebihan solat tarawih.

Hadis yang dikatakan palsu itu mengenai kelebihan solat tarawih sepanjang malam Ramadan, kononnya diriwayatkan oleh Saidina Ali dan disebarkan secara meluas melalui media massa.

Jurucakapnya, Asri Yusof, berkata hadis itu nyata lemah dan palsu serta tidak pernah ditemui dalam kumpulan Sunnan Sittah (himpunan dalam kitab hadis oleh enam ulama hadis masyhur) dan kitab Muwatta' karangan Imam Malik.

Hadis itu antara lain mengenai kelebihan solat tarawih pada setiap malam, misalnya pada malam pertama keluar dosa orang mukmin seperti bayi yang baru dilahirkan, sehingga malam ke-30.

"Perkara mengenai kelebihan solat tarawih ini hanya tersebar secara meluas sejak dua atau tiga tahun kebelakangan ini.

"Hampir semua media memetik dan mengguna pakai hadis ini, yang tersebar luas kepada orang ramai sedangkan ia ternyata palsu," katanya kepada Berita Harian.

Sebelum itu, Darul Quran Was Sunnah yang beralamat di Masjid Purnama, Paya Purnama, dekat sini, menghantar salinan bertajuk Kepalsuan hadis kelebihan tarawih meminta perkara itu diperbetulkan bagi memperbaiki salah faham umat Islam.

Menurutnya, umat Islam perlu berhenti daripada mempercayai perkara bidaah kerana ia nyata sesat dan menyesatkan.

Asri berkata, perkara itu mungkin berlaku disebabkan kelemahan umat Islam sendiri dalam memahami ilmu hadis atau pengaruh fahaman Syiah yang cuba menyelewengkan kefahaman pengikut Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Hadis itu dipercayai terdapat dalam beberapa buku fadilat Ramadan terbitan tempatan dan kitab Duratunasihin karya Othman Hassan bin Ahmad Asyalal al-Khaoubori yang diterbitkan di Mesir pada 1954.

Di KUALA LUMPUR, Pensyarah Akademi Pengajian Islam Universiti Malaysia, Prof Madya Dr Abdul Hayei Abdul Sukor, berkata hadis mengenai kelebihan 30 malam solat tarawih itu dianggap palsu atau rekaan kerana ia tidak mempunyai sumber muktabar.

Menurutnya, hadis itu dipercayai direka oleh orang yang mempunyai kepentingan.

Serentak itu, beliau meminta masjid atau surau yang menampal hadis berkenaan di premis masing-masing supaya membuangnya bagi mengelak umat Islam mempercayai hadis itu.

"Umat Islam yang menunaikan solat terawih tidak harus terpengaruh dengan kelebihan fadilat dalam hadis rekaan itu, sebaliknya menunaikan solat dengan mengharapkan balasan Allah," katanya.

Ditanya bolehkah seseorang mencipta hadis untuk mendorong umat Islam menunaikan solat terawih, Dr Hayei berkata mereka termasuk dalam golongan yang melakukan dosa besar.

Beliau berkata, antara hadis sahih mengenai kelebihan solat terawih ialah:

"Dari Said Musayyap, Rasulullah bersabda: sesiapa beribadat (solat terawih) dalam bulan Ramadan dengan penuh iman dan mengharapkan pahala nescaya diampuni dosa-dosa yang terdahulu, hadis riwayat al-Nasa'i.

"Dari Abu Hurairah, Rasulullah bersabda: sesiapa yang menghayati (beribadat) malam lailatulkadar dengan iman dan mengharapkan pahala nescaya diampuni semua dosanya, hadis riwayat al-Nasa'i."

Sekian, wassalam

Attachment dibawah ini discan dari Petikan dari Durratun Nasihin, hal. 19, cetakan Darul Fikri Beirut.

خيرالأمين