Transformasi Turki: Daripada Erbakan hingga Erdogan – Bahagian I

Marwan Bukhari | Abduh Study Group, IRF


Turki merupakan sebuah negara yang meninggalkan kesan yang mendalam terhadap sejarah dunia khasnya pada era moden. Ditinjau daripada lensa sejarah Islam, Turki memang penuh dengan konflik dan kedinamikan tersendiri dari segi perjalanan survival politik umat Islam. Perkara ini dilihat terutama pada usia-usia akhir pemerintahan Uthmaniyyah seperti era Sultan Abdul Hamid kedua dan era selepasnya.

 

Di sebalik kerumitan latar belakang sejarah dan kepelbagaian wacana yang terisi dalam politik Turki, penulisan ini hanya bertujuan membincangkan beberapa ciri dan wacana penting sepanjang perjalanan era perubahan pemikiran Islamis di sana pasca keruntuhan pemerintahan Uthmaniyyah, khasnya pertembungan pemikiran dan pergerakan dua ideolog utama iaitu mantan Perdana Menteri Necmettin Erbakan (1926-2011) dan Recep Tayyib Erdogan (1954 hingga sekarang).

Mustafa Kemal Attaturk yang bertanggungjawab memansuhkan sistem KhilafahNegara kelahiran Sulan Muhammad al-Fatih ini tidak dapat lari daripada nama Mustafa Kemal Attaturk (1881-1938), sosok besar yang telah memansuhkan sistem khilafah dan juga mensekularkan Turki ataupun disebut sebagai Kemalism atau sebahagian daripada laicism menurut beberapa penganalisis.

Justeru pertarungan politik di Turki seringkali melibatkan isu-isu gerakan Islam dan pertembungan mereka menjadi begitu kompleks apabila campur tangan pihak tentera mudah untuk berlaku, sekalipun melibatan pemerintahan yang terpilih menerusi pilihanraya sebagaimana pernah berlaku kepada Adnan Menderes, Suleyman Demirel dan Erbakan. Ahmet T. Kuru, seorang pensyarah di San Diego State University dalam sebuah tulisan bertajuk The Rise And Fall of Military Tutelage in Turkey: Fears of Islamism, Kurdism and Communism telah menyatakan:

All democratically elected Turkish prime ministers struggled with various degrees of military interventions. Adnan Menderes was hanged following the 1960 coup, Süleyman Demirel was thrown out of office as a result of the 1971 and 1980 coups, while Necmettin Erbakan was forced to resign as a consequence of the 1997 “soft” coup.”

[Kesemua Perdana Menteri Turki yang dilantik secara demokratik terpaksa menghadapi campur-tangan pihak tentera walaupun dalam darjah yang berbeza. Adnan Menderes dihukum  gantung selepas rampasan kuasa pada tahun 1960. Süleyman Demirel pula dirampas kuasanya hasil daripada pemberontakan tentera tahun 1971 dan 1980. Sedangkan Necmettin Erbakan dipaksa untuk meletakkan jawatan akibat daripada rampasa kuasa secara “halus”].

Kemunculan Necmuttin Erbakan

Erbakan merupakan seorang pemimpin berkarisma dan bercita-cita tinggi dalam mengubah lanskap politik TurkiErbakan merupakan seorang pemimpin berkarisma dan bercita-cita tinggi dalam mengubah lanskap politik Turki. Merupakan seorang jurutera dan ahli akademik, beliau terkenal dengan semangat juang yang tinggi dan tidak pernah berputus asa dalam menggerakkan kumpulan Islamis di sana.

Parti pertama daripada sebilangan parti yang diketuai oleh Erbakan ialah Milli Nizam Partisi (MNP – National Order Party), yang telah ditubuhkan pada Januari 1970. Parti yang menonjolkan ciri nationalism dan mengkritik cosmopolitanism itu berpandangan bahawa identiti Turki dan masa depannya bersama dengan dunia Islam berbanding Barat, justeru menyebabkan parti itu telah dibatalkan menerusi campur tangan tentera atas alasan ia bercanggah dengan secularism.

Seterusnya beliau menubuhkan parti Milli Selamet PartisiNational Order Party - (MSP) pada Oktober 1972. Parti beliau kali ini terus menampilkan watak yang anti-Barat dan mengukuhkan kesatuan dengan negara-negara Muslim yang lain sebagaimana parti sebelumnya. Menurut Ihsan Yilmaz:

“MSP’s ideology was almost the same as the closed MNP. The MNP argued that the westernization had fragmented Turkish society. Erbakan envisaged that based on Anatolian heavy industry, a stronger Turkey would loosen the ties with the West and become the leader of the Muslim world under the umbrella of a Muslim Common Market, with the Islamic dinar as its common currency. Also, a Muslim Defense Alliance would be developed.”

[Ideologi MSP adalah hampir sama dengan MNP yang dibubarkan. MNP berpandangan bahawa faham Westernisasi telah memecah-belahkan masyarakat Turki. Erbakan mempunyai visi bahawa berdasarkan industri berat semenanjung Turki, negara Turki yang kuat akan melonggarkan keterikatan dengan Barat dan menjadi pemimpin dalam dunia Islam di bawah payung Pasaran Umum Umat Islam. Begitu juga dinar Islam akan menjadi matawang umum. Dan Persyarikatan Pertahanan Umat Islam akan diwujudkan.]

Wacana ini pada zahirnya merupakan titik penting yang jelas perbezaannya dengan kumpulan “Erdoganistik” (yang akan menyusul perbahasan tentangnya nanti). Latar belakang dunia Islam pada masa itu yang menanggung perit kehidupan pasca era penjajahan seolah-olah telah mencipta pemikiran sebegini. Selain Turki yang pernah berada di bawah pemerintahan “secular-kemalism” yang tidak neutral agama (laicism), Tunisia dan Algeria juga berhadapan dengan situasi demikian sebagaimana pernah ditulis oleh Azzam Tamimi dalam bukunya Rachid Ghannouchi: A Democrat Within Islamism.

Pada tahun 1980, sebuah lagi military coup telah berlaku dan MSP turut diragut nyawa sebagaimana seluruh parti politik yang lain. Namun sebagaimana dijangka, setelah keadaan kembali reda Erbakan menubuhkan parti baru yang dinamakan Refah Partisi (RP – Welfare Party) yang kelihatannya tidak berbeza dengan ideologi parti-parti yang ditubuhkan Erbakan sebelum ini. Namun Refah Partisi kelihatan lebih berkredibiliti pada kali ini lantaran dapat meningkatkan undian selepas pilihanraya tempatan, selain beberapa anggota mereka telah menjadi Datuk Bandar di beberapa kawasan seperti Ankara dan Istanbul.

 

Tentera adalah benteng sekularisme Kemal Attartuk tidak akan sama sekali tunduk kepada kekuasaan para IslamisErbakan sebagai PM dan Post-Modern Coup

Strategi Refah Partisi semakin menarik perhatian warga Turki dan kemuncaknya mereka berjaya menubuhkan sebuah kerajaan gabungan bersama Dogru Yol Partisi (DYP – The True Path Party). Sebagai sebuah parti gabungan yang besar, Erbakan telah terpilih menjadi Perdana Menteri Islamis yang pertama di Turki dan salah satu tindakan pertama beliau selepas dinobatkan sebagai Perdana Menteri ialah menjemput para pimpinan al-Ikhwan al-Muslimun untuk menghadiri majlis makan malam bersama-samanya.

Tidak cukup dengan itu, beliau juga telah menambah seteru dari pihak Barat dan dari dalam negaranya sendiri apabila telah mengadakan kerjasama ekonomi dengan lapan buah negara Islam atas nama D-8. Beberapa tindakan beliau tersebut juga telah mengundang perang psikologi daripada pihak media dalam tegara tersebut kononnya Negara tersebut diperintah oleh kumpulan Islamis yang radikal.

Lantas pada Jun 1997 Erbakan terpaksa meletakkan jawatan setelah beberapa bulan berlaku komplot oleh pihak tentera untuk menjatuhkan beliau atas tuduhan pemerintahannya bersifat “anti-secular”. Peristiwa tersebut popular di kalangan pengkaji politik antarabangsa sebagai post-modern coup. Berkenaan hal tersebut, penulis buku The Islamic Leviathan: Islam and the Making of the State, Vali Nasr telah mengulas dalam satu jurnal bertajuk The Rise of Muslim Democracy dengan sebagaimana berikut:

“The Turkish military, long the fierce keeper of Kemalism’s secularnationalist flame, was not reconciled to an Islamist ascendancy. Beginning in early 1997, the generals launched what Cengiz Çandar has dubbed a “postmodern coup,” manipulating the courts and the parliamentary process to upend Erbakan’s government.”

[Pasukan militer Turki, yang secara tradisinya merupakan benteng pertahanan sekularisme dan nasionalisme Kemal Attartuk tidak akan sama sekali tunduk kepada kekuasaan para Islamis. Sejak dari awal tahun 1997, pihak Jeneral tentera telah melancarkan apa yang dinamakan oleh Cengis Candar sebagai “rampasan kuasa `pasca-moden, “memanipulasi proses mahkamah dan undang-undang demi menjatuhkan kerajaan Erbakan.”]

Kemudian pada Januri 1998 pihak mahkamah telah mengharamkan Refah Partisi dan Erbakan dilarang daripada menyertai politik selama lima tahun. Namun atas kebijakan dan strategi Erbakan dan teman-temannya, Fazilet Partisi (FP–Virtue Party) telah ditubuhkan sebelum pengharaman Refah Partisi dan Fazilet Partisi telah beroperasi di bawah pemerintahan teman rapat Erbakan iaitu Recai Kutan sehinggalah Fazilet Partisi turut diberhentikan operasinya oleh mahkamah pada Jun 2001.

 

Perdebatan Ide: Gelenekciler dan Yenilikciler

Seakan-akan sudah menjadi lumrah bahawa sesiapa sahaja yang mahu menjadi pencetus dan penggerak kepada perubahan akan bertentangan dengan kumpulan yang sedia ada iaitu “kaum tua”, sedangkan mereka pula digelar “kaum muda”.

Jika Indonesia terkenal dengan arus perubahan yang dibawa oleh Kiyai Ahmad Dahlan menerusi gerakan Muhammadiyyah, Mesir dengan Hasan al-Banna menerusi kumpulan al-Ikhwan al-Muslimun yang meneruskan legasi pemikiran Abduh-Redha dan tempat-tempat lain yang kelihatan turut bernada serupa, demikian juga terhadap agenda perubahan yang berlaku terhadap para Islamis di Turki.

Kumpulan pertama iaitu Gelenekciler (tradisionalis) yang lebih berpaksikan kepada pemikiran Erbakan dan Recai Kutan secara terangan berselisih ide dengan kumpulan Yenilikciler (reformis) yang diketuai Erdogan, Abdullah Gul dan Bulent Arinc.

Sekalipun wujudnya perselisihan, namun pengaruh dan implikasi pertembungan ide antara dua kumpulan itu sekurang-kurangnya menyebabkan Fazilet Partisi yang merupakan sebuah parti yang ditubuhkan selepas post-modern coup telah melakukan perubahan terhadap beberapa perkara dalam teori perjuangan mereka seperti menolak eksploitasi agama dan laicism sebagai instrumen dalam politik, mencadangkan sebuah negara yang berasaskan hak asasi manusia dalam melindungi hak kebebasan dan menolak pennyalahgunaan negara sebagai alat diskriminasi agama tertentu, kumpulan, ideologi dan kepercayaan.

Fazilet Partisi juga turut tidak lagi mengangkat slogan anti-Barat, sebaliknya menyantuni nilai-nilai politik Barat seperti “more democracy”, “pluralist society”, “decentralization”, “globalization” dan “basic rights and liberties”.

Selain itu para reformis turut mengkritik secara terbuka pendekatan Refah Partisi sebelum ini yang telah melakukan kesilapan dengan menggunakan agama. Erdogan sebagai contoh menggariskan bahawa sesebuah negara sepatutnya bersifat neutral dan tidak dicampuri urusan keagamaan.

Seorang lagi tokoh Yenilikciler, Bulent Arinc pula menyatakan menghormati pandangan dan keyakinan orang lain merupakan perkara yang paling asas dalam demokrasi. Sementara itu Abdullah Gul yang pernah bertanding menentang Recai Kutan untuk kerusi Fazilet Partisi juga bersetuju dengan ide-ide baru Erdogan dan Arinc tersebut selain menekankan bahawa cadangan mereka ialah kebebasan beragama bukannya negara agama dan beliau turut menyatakan komitmen mereka yang tinggi dengan demokrasi sebagai mekanisme pemerintahan terbaik.

Sesuatu yang amat menarik ialah gerakan intelektual dan ide merupakan kumpulan yang wujud di sebalik perubahan wacana daripada Milli Nizam Partisi kepada Fazilet Partisi dan seterusnya kepada Adalet ve Kalkinma Partisi - AKP -  di mana perbincangan tentangnya akan menyusul selepas ini.

Selain Yenilikciler yang mengetuai gerakan kaum muda, Abdullah Gul juga direkodkan telah menubuhkan dan menjadi pengarah kepada sebuah institusi penyelidikan sosial beberapa tahun sebelum penubuhan AKP.

Situasi yang sama juga turut berlaku di Iran apabila Andisheh-ye Diger (Pemikiran Alternatif) yang diketuai oleh Abdul Karim Soroush, seorang professor bidang falsafah di sana yang telah menggerakkan arus perubahan di Iran sebagaimana pernah dinyatakan oleh Asef Bayat dalam syarahannya bertajuk “The Coming of a Post-Islamist Society” pada bulan Mei 1996 di American University, Kaherah Mesir.

 

AKP telah menunjukkan rekod baik dan pemerintahan yang disenangi rakyatAdalet ve Kilkanma Partisi dan Sekularisme

Setelah Fazilet Partisi diharamkan pada bulan Jun 2001, kumpulan reformis tidak memilih untuk bersama-sama dengan pemikiran Erbakan iaitu Gelenekciler yang telah menubuhkan Saadet Partisi (SP – Felicity Party) sebaliknya mengambil keputusan untuk bersama-sama dengan Adalet ve Kilkanma Partisi (AKP – Justice and Development Party) yang telah ditubuhkan pada 14 Ogos 2001.

AKP telah menunjukkan rekod baik dan pemerintahan yang disenangi rakyat apabila telah memenangi ketiga-tiga pilihanraya umum yang disertai iaitu pada 3 November 2002 (peratusan undi sebanyak 34.26%), 22 Julai 2007 (peratusan undi, 46.58%) dan 12 Jun 2011 (peratusan undi, 49.83%) dengan 326 kerusi parlimen.

Kemenangan AKP yang hangat diperkatakan ternyata telah menyebabkan masyarakat dunia menghalakan tumpuan kepada “apa” di sebalik kejayaan itu, sementelah Turki sangat dikenali sebagai sebuah negara yang mempunyai sejarah military coup yang panjang dan kompleks. AKP sebagaimana ditegaskan oleh para pimpinan mereka telah memberikan keyakinan kepada warganegara mereka dan dunia luar mengenai komitmen jitu terhadap demokrasi, hak asasi manusia, kebebasan individu dan sebagainya.

Berhubung hubungan antara agama dan negara pula, Turki sememangnya dikenali sentiasa hangat dengan persoalan ini terutamanya sejak Kemal Attartuk mengambil alih pemerintahan negara. Berbanding posisi Erbakan dan rakan-rakan seangkatannya yang tertonjol dalam parti-parti yang ditubuhkan mereka, AKP telah membuat penegasan bahawa urusan kenegaraan mestilah tidak dicampuri dengan urusan keagamaan, sebaliknya seseorang individu masih boleh setia dengan keimanan agama masing-masing.

Jelas kelihatan AKP mempelajari sesuatu yang besar sepanjang pengalaman mereka bersama-sama dengan angkatan Erbakan. Disebabkan itu sebahagian sarjana berhujah bahawa pimpinan AKP lebih selesa dengan passive secularism - iaitu negara yang bersifat neutral dengan pelbagai agama, tetapi mengizinkan ia wujud aktif di ruang awam - yang lebih dekat dengan model Amerika Syarikat berbanding assertive secularism - sesebuah negara mengamalkan pendekatan sekular di ruang awam dan mengehadkan agama untuk muncul di ruang peribadi semata-mata - yang tertonjol pada pendekatan negara seperti Perancis.