000006-SJ-THAHARAH: BARANG YANG DIPERBUAT DARI KULIT BABI

Primary tabs

1 post / 0 new
000006-SJ-THAHARAH: BARANG YANG DIPERBUAT DARI KULIT BABI

Quote:
Assalamu'alaikum
Soalan saya begini:

1) Apakah hukum menyentuh barangan yang dibuat daripada bulu atau kulit khinzir seperti berus cat, kasut, beg dan sebagainya oleh sebab pada mulanya kita tidak mengetahui yang barangan tersebut diperbuat daripada bulu atau kulit khinzir kerana tiada label dan hanya mengetahui setelah dengan lebih dekat?

2) Adakah orang menyentuh barangan yang diperbuat daripada bulu atau kulit khinzir seperti soalan di atas diwajibkan menyamak tangan atau pakaian mereka yang tersentuh?

Pertama: Hukum barangan kulit drpd khinzir.
Jumhur fuqaha' (Syafi'iy, Maliki, Hanbali dan Hanafi) mengharamkan kulit khinzir walaupun sesudah disamak (tanning process) kerana ia tergolong dalam najis berat (mughalazzah)(Fatwa Prof.Mutawalli Sya'rawi (anta tasal wa Islam yujib).

Fatwa Majlis Tertinggi Urusan KeIslamam Mesir dalam kitab: al Muntakhabu minas Sunnah jilid 9, menjelaskan haram menggunakan kulit khinzir walaupun setelah disamak kerana haramnya babi ialah pada lafaz umum ayat alQur'an iaitu haramnya khinzir kerana zatnya ('ain).

Fuqaha' yg membolehkan ialah Imam Syaukani (Nailool Awthor), Zahiri (Ibn Hazm, alMuhalla) dan Imam Abu Yusof (madzhab Hanafi). Perselisihan fuqaha' ini disebabkan ada nas hadis yg saling berlawanan. Imam-imam yg mengharuskan memanfa'atkan kulit khinzir juga menggunakan dalil hadis yg kuat drpd Muslim. "Kulit apapun jika di samak, maka menjadi suci".

Ulamak-ulamak yg mengharamkan kulit khinzir secara mutlak menggunakan kaedah nasakh (membatalkan) semua hadis yg membolehkan penggunaan semua kulit; manakala fuqaha' yg membolehkan kulit khinzir di samak menggunakan kaedah tarjih utk memperkuatkan hadis riwayat Ibn Abbas yg membolehkan sebarang kulit disamak dan di manfa'atkan.

Kedua: Hukum bulu khinzir:
Ia haram secara mutlak pada madzhab Syafi'iy, namun pendapat terkuat pada Imam-imam besar yg lain ia adalah suci (Ibn Rusyd, Bidayah alMujtahid); Sayyid Sabiq (Fiqh Sunnah) dan Prof Qardhawi (halal & haram) juga berpendapat bulu babi tidak najis. Imam Ibn Taymiyah (Majmu' Fatawa, Jld 21, pg 102) juga berpendapat semua bulu adalah suci.

--------------------
Mengenai soalan ke 2:
Soalan: Adakah orang menyentuh barangan yang diperbuat daripada bulu atau kulit khinzir seperti soalan di atas diwajibkan menyamak tangan atau pakaian mereka yang tersentuh?

Jawab: Tidak perlu menyamak kerana najisnya babi ialah jilatannya. Inilah pendapat terkuat Imam Malik dan Imam Abu Hanifah (Rahbawi, solat 'ala madzhaahi arba'ah); jika anda memilih ijtihad Imam yg mengatakan kulit babi dan bulunya suci, maka tidak perlu berbuat apa-apa. Jika anda memilih pandangan Imam yg berpendapat haramnya kulit babi dan bulunya, maka jika bersentuh dalam keadaan sama-sama kering tidak perlu samak. Tapi untuk kesempurnaan dan menghilangkan was-was, maka basuhlah tangan anda.

sekian
thtl

------------
Rujukan:
1. Sayyid Sabiq, Fiqh Sunnah
2. Bidayah al Mujtahid, Ibn Rusyd
3. Prof Dr H Mahmud Yunus, Hukum Perkahwinan Menurut Empat Madzhab
4. Prof Ali Hassan Ahmad, Universitas Islam Tapanuli, Indonesia, alHadithul Fiqhiyah