Aslm ,
Saya ingin bertanya tentang hukum purdah/niqab semasa ihram atau tawaf.
Apa yang saya faham ia tidak dibenarkan kecuali ada bukan mahram di sekeliling kita.
1. Oleh kerana semasa tawaf, memang ader yg bukan mahram di sekeliling kita, boleh kah terus sahaja berpurdah tanpa buka langsung.
2. Bolehkah berpurdah semasa solat kerana bukan mahram lalu lalang disekeliling kita semasa di masjidil haram.
wa'alaikumussalam
Alhamdulillah. Kami akan cuba menjawab soalan anda dengan kadar kemampuan yang ada, InSyaAllah.
Wanita didalam ihram dilarang memakai niqab tanpa khilaf dikalangan Imam Mazhab berdasarkan hadith Nabi :saw :-
لا تنتقب المرأة ولا تلبس القفازين
"Wanita tidak boleh memakai niqab dan sarung tangan" [Hadith Riwayat al-Bukhari]
Syeikh Ibn Utsaimin rh [Fatawa Arkanul-Islam, ms731] mengatakan bahawa larangan niqab sewaktu ihram tidak mengira keadaan, samada berkaitan dengan adanya lelaki yang lalu atau tidak. Jika seseorang perlu menutup mukanya disebabkan terdapat lelaki bukan Mahram, hendaklah dia merendahkan kain dari kepalanya sebagaimana berkata 'Aisyah ra :
كان الركبان يمرون بنا ونحن مع رسول الله صلى الله عليه وسلم محرمات ، فإذا حاذونا سدلت إحدانا جلبابها من رأسها على وجهها ، فإذا جاوزونا كشفناه
"Pernah para penunggang melalui kami semasa kami bersama Rasulullah :saw dalam ihram. Apabila mereka datang melalui sebelah kami, kami menurunkan jilbab dari kepala ke muka kami, dan setelah mereka berlalu kami akan membukanya" [Hadith Riwayat Abu Daud]
Menurut Ibn Qudamah rh semasa memetik kata-kata Ibn Munzir rh, pandangan diatas merupakan pandangan 'Ata', Malik, al-Thawri, al-Syafie, Ishaq dan Muhammad ibn al-Hassan. [al-Mughni 3/154]
Berkata Ibn Taimiyah rh bahawa wanita didalam ihram dibolehkan menutup muka dengan altenatif selain dari niqab dan burqa' [Ikhtiyaaraat, ms 117].
Adalah makruh bagi seorang wanita memakai niqab semasa bersolat, melainkan didapati orang-orang sedang melihatnya ketika bersolat. Berkata Khatib Shirbini :
ويكره أن يصلي…والمرأة منتقبة إلا أن يكون في مكان وهناك أجانب لا يحترزون عن النظر إليها فلا يجوز لها رفع النقاب
"Adalah tidak disukai (makruh) semasa solat ...... dan wanita memakai niqab, melainkan disana terdapat ajnabi/asing yang tidak mengawal penglihatan mata mereka, maka pada masa itu tidak boleh membuka niqab" [Iqna', 2/111].
Ibn Baar rh menjelaskan bahawa ijma' berpendapat wanita tidak perlu menutup mukanya ketika bersolat [Tamhid, 6/365].
Kesimpulannya, kita hendaklah akur dengan larangan berniqab semasa didalam ihram dan bersolat. Jika kelihatan lelaki ajnabi disana, maka dibenarkan merendahkan jilbab ke mukanya. WA.
Sekian, wassalam
خيرالأمين