Keutamaan Ibadah Puasa Bulan Ramadhan

Primary tabs

Keutamaan Ibadah Puasa Bulan Ramadhan

Saudara-saudaraku,

Ramadhan yang mulia bakal menemui kita, insyaALLAH.  Sama-samalah kita berdo’a kepada ALLAH ‘Azza wa Jalla agar kita dipanjangkan umur untuk hidup di dalam bulan Ramadhan, dan diberikan hidayah dan taufiq serta daya kekuatan agar dapat mengambil manfaat dari kebaikan-kebaikan yang telah ALLAH ‘Azza wa Jalla sediakan di dalamnya, amin.

Sungguh, golongan yang bersungguh-sungguh mengejar Taqwa untuk dijadikan bekal bertemu dengan ALLAH Jalla wa A’la pada hari akhirat nanti sangat rindu menanti-nantikan kehadiran bulan yang mulia ini, iaitu Ramadhan Mubarak.  Marilah kita contohi mereka dalam mengejar kebaikan.

Berikut disenaraikan kalam ALLAH yang Maha Mulia dan kalam Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam, agar dapat sama-sama kita meneliti dan menghayati dengan sungguh-sungguh akan kelebihan bulan Ramadhan yang bakal kita hadapi beberapa hari lagi, insyaALLAH.

1.    Puasa adalah ibadah fardhu yang diwajibkan ke atas orang-orang yang beriman, dengan tujuan agar memperolehi Taqwa.  ALLAH subhanahu wata’ala berfirman:

“Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu, agar kamu bertaqwa.” (Surah al-Baqarah 2:183)

2.    Ibadah puasa sangat tinggi nilainya di sisi ALLAH dan ALLAH sendiri yang akan mengganjarinya.  Puasa boleh menjadi perisai dari perbuatan tidak berfaedah dan kegembiraan yang besar bagi orang-orang yang beriman yang melakukan ibadah puasa ini.

Dari Abu Hurairah radhiAllahu ‘anhu bahawa Rasulullah sallAllahu ‘alahi wasallam bersabda:

“ALLAH ‘Azza wa Jalla berfirman:  “Semua amal perbuatan anak Adam (manusia) itu bagi dirinya sendiri kecuali puasa.  Sesungguhnya puasa itu untukKU dan AKU yang akan membalasnya.  Puasa itu adalah perisai, oleh kerana itu, apabila salah seorang di antara kamu sekalian berpuasa maka janganlah berkata kotor dan janganlah bertengkar/berteriak.  Apabila ada seseorang yang mencaci-maki atau mengajak berkelahi, maka hendaklah ia berkata:  “Sesungguhnya aku sedang berpuasa”.  Demi Dzat yang jiwa Muhammad berada dalam genggamanNYA, sungguh bau mulut orang yang berpuasa itu di sisi ALLAH lebih harum dari bau minyak kasturi.  Bagi orang yang berpuasa ada 2 kegembiraan iaitu gembira ketika ia berbuka dan gembira ketika ia menghadap Tuhannya kerana besar pahala puasa” (HR Bukhari & Muslim)

3.    Ibadah puasa pada bulan Ramadhan boleh menghapuskan semua dosa-dosa yang pernah kita lakukan pada masa lampau.

Dari Abu Hurairah radhiAllahu ‘anhu bahawa Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam bersabda:

“Barangsiapa yang berpuasa pada bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan hanya mengharapkan pahala daripada ALLAH, maka diampuni dosa-dosanya yang telah lalu.” (HR Bukhari & Muslim)

4.    Pada bulan Ramadhan, sekalian manusia mempunyai peluang yang besar untuk melakukan kebaikan dan menggandakan kebaikan-kebaikan itu.  Dari Abu Hurairah radhiAllahu ‘anhu bahawa Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam bersabda:

“Apabila bulan Ramadhan datang, maka dibukalah pintu-pintu syurga dan ditutuplah pintu-pintu neraka, serta diikat syaitan-syaitan.” (HR Bukhari & Muslim)

Banyak hikmah yang boleh kita perolehi daripada kalam-kalam yang mulia di atas.  Semoga ia dapat membuka minda dan roh kita untuk sama-sama mengejar kebaikan-kebaikan yang terdapat di dalam bulan Ramadhan, insyaALLAH.

Selamat Menyambut dan Menghayati Ramadhan.

Semoga kita Beroleh Taqwa, amin.


SUMBER:  http://muzir.wordpress.com/2010/08/03/keutamaan-ibadah-puasa-bulan-ramadhan/