Merenung, mengkaji dan mempelajari kisah para Nabi dan Rasul di dalam Al-Quran pasti akan membawa kepada pelbagai kesan positif. Kali ini mari kita bersama melihat dan merenung kisah Nabi Sulaiman a.s. sebagaimana dinyatakan di dalam Al-Quran. Kisah yang cukup menarik tentang seorang yang bukan sahaja dilantik sebagai Nabi malah juga seorang Raja yang memiliki kekayaan dan kerajaan.
SEJAUH MANA KEKAYAAN NABI SULAIMAN?
Bagaimana kekayaan dan kekuasaannya? Mari kita lihat apa kata Nabi Sulaiman a.s. sendiri:
Katanya: " Wahai Tuhanku! Ampunkanlah kesilapanku, dan kurniakanlah kepadaku sebuah kerajaan yang tidak akan ada pada sesiapapun kemudian daripadaku; sesungguhnya Engkaulah yang sentiasa Melimpah kurniaNya ".
Kekayaan yang tidak ada bandingnya..tiada tandingan daripada sesiapa pun! Itulah kekayaan Nabi Sulaiman a.s.
KEKAYAAN...DAN ILMU!
Bukan hanya kekayaan yang diperolehi oleh Nabi Sulaiman a.s. Malah beliau juga dikurniakan ilmu pengetahuan. Apalah kekayaan tanpa ilmu yang mampu memeliharanya. Lihatlah firman Allah SWT:
Maksudnya:
Dan sesungguhnya kami telah mengurniakan ilmu pengetahuan kepada Nabi Daud dan Nabi Sulaiman; dan mereka berdua bersyukur dengan berkata: "Segala puji tertentu bagi Allah yang dengan limpah kurniaNya memberi kami kelebihan mengatasi kebanyakan hamba-hambaNya yang beriman".
[Surah al-Naml, ayat 15]
APAKAH SIKAP NABI SULAIMAN?
Sebahagian manusia akan sombong apabila memiliki kekayaan dan ilmu pengetahuan. Begitulah sikap yang menjadi lumrah dalam alam ini. Namun sebahagian lagi sedar bahawa kekayaan milik Allah...ilmu juga kurniaan Allah...maka mengapa perlu aku angkuh dan sombong?
Sikap Nabi Sulaiman a.s. amat jelas dan terang - Bersyukur dan beramal soleh. Masih ingat lagi bagaimana kisah Nabi Sulaiman a.s. melalui satu lembah semut? Mari kita baca bersama dan fokus pada sikap SYUKUR dan BERAMAL dalam diri Baginda:
Maksudnya:
Dan dihimpunkan bagi Nabi Sulaiman bala tenteranya, dari jin dan manusia serta burung; lalu mereka dijaga serta diatur keadaan dan perjalanan masing-masing. (Maralah angkatan itu) hingga apabila mereka sampai ke "Waadin-Naml" (lembah semut), berkatalah seekor semut: "Wahai sekalian semut, masuklah ke sarang kamu masing-masing, jangan Sulaiman dan tenteranya memijak serta membinasakan kamu, sedang mereka tidak menyedari". Maka tersenyumlah Nabi Sulaiman mendengar kata-kata semut itu, dan berdoa dengan berkata:" Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatMu yang Engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan masukkanlah daku - dengan limpah rahmatMu - dalam kumpulan hamba-hambaMu yang soleh".
[Surah al-Naml, ayat 17 hingga 19]
MAKA NASIHAT DAN PESANAN UNTUK SI KAYA:
1-Ingat segala kekayaan adalah kurniaan Allah SWT. - Surah Saad, ayat 34 dan 35.
2-Mohonlah keampunan di atas kesilapan yang telah dilakukan. - Surah Saad, ayat 34 dan 35.
3 -Bersyukurlah kerana itu sahajalah sikap yang mampu menyelamatkan kita di dunia dan di akhirat nanti. - Surah al-Naml, ayat 19.
3-Pastikan ilmu juga bertambah sebagaimana harta kita bertambah. - Surah al-Naml, ayat 19.
4- Amalan soleh perlu dijaga kerana itulah bekalan kita di akhirat sana. Seorang yang kaya adalah lebih mudah untuk mengerjakan amalan soleh dengan pelbagai cara dan kemudahan. - Surah al-Naml, ayat 19.
Semua nasihat ini disimpulkan daripada kisah seorang Nabi dan Raja yang agung - Sulaiman alaihissalaam
sumber : http://pemudaiman.blogspot.com/2010/12/pesanan-untuk-si-kaya-pelajari-kisah.html