Al-Syama'il: Bab 41. Solat Dhuha Rasulullah (9 Hadis)

Primary tabs

 

No

Tajuk

الموضوع

BAB

41

Solat Dhuha Rasulullah (9 Hadis)

بَابُ صَلَاةِ الضُّحَى

289

1. Mu’adzah binti Abdullah al-Adawiyah berkata:

Aku bertanya kepada Aisyah, “Adakah Rasulullah mendirikan solat dhuha?”

Aisyah menjawab, “Ya. Baginda mendirikan solat dhuha sebanyak empat rakaat. Kadang kala, bilangan rakaat ditambah sesuai dengan yang dikehendaki oleh Allah.” (Diriwayatkan oleh Muslim, Tirmizi dan Ahmad)

مُعَاذَةَ، قَالَتْ: قُلْتُ لِعَائِشَةَ: أَكَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُصَلِّي الضُّحَى؟ قَالَتْ: «نَعَمْ، أَرْبَعَ رَكَعَاتٍ وَيَزِيدُ مَا شَاءَ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ»

290

2. Anas bin Malik berkata:

Rasulullah pernah mendirikan solat dhuha sebanyak enam rakaat. (Diriwayatkan oleh Tirmizi)

عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ: «أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يُصَلِّي الضُّحَى سِتَّ رَكَعَاتٍ»

291

3. Abdurrahman bin Abi Laila berkata:

Tidak ada seorang pun yang menyampaikan khabar kepadaku yang dia melihat Rasulullah mendirikan solat dhuha kecuali Ummu Hani. Ummu Hani menyampaikan hadis yang mengatakan Rasulullah datang ke rumahnya semasa hari Penaklukan Mekah lalu mandi dan kemudiannya mendirikan solat dhuha sebanyak lapan rakaat. “Tidak pernah aku lihat Rasulullah mendirikan solat yang lebih ringkas daripada itu. Namun begitu, Baginda tetap menyempurnakan rukuk dan sujud.” (Diriwayatkan oleh Bukhari, Muslim, Tirmizi, Ibnu Majah, Nasa’i dan Ahmad)

عَنْ عَبْدِ الرَّحْمَنِ بْنِ أَبِي لَيْلَى قَالَ: مَا أَخْبَرَنِي أَحَدٌ، أَنَّهُ رَأَى النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُصَلِّي الضُّحَى إِلَّا أُمُّ هَانِئٍ، فَإِنَّهَا حَدَّثَتْ «أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ دَخَلَ بَيْتَهَا يَوْمَ فَتْحِ مَكَّةَ فَاغْتَسَلَ فَسَبَّحَ ثَمَانِيَ رَكَعَاتٍ مَا رَأَيْتُهُ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ صَلَّى صَلَاةً قَطُّ أَخَفَّ مِنْهَا، غَيْرَ أَنَّهُ كَانَ يُتِمُّ الرُّكُوعَ وَالسُّجُودَ»

292

4. Abdullah bin Syaqiq berkata:

Aku bertanya kepada Aisyah, “Adakah Rasulullah mendirikan solat dhuha?”

Aisyah menjawab, “Tidak, kecuali apabila Baginda dari perjalanannya.” (Diriwayatkan oleh Muslim, Tirmizi, Abu Daud, Nasa’i dan Ahmad)

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ شَقِيقٍ قَالَ: قُلْتُ لِعَائِشَةَ: أَكَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُصَلِّي الضُّحَى؟ قَالَتْ: «لَا إِلَا أَنْ يَجِيءَ مِنْ مَغِيبِهِ»

293

5. Abu Khudri berkata:

Rasulullah selalu mendirikan solat dhuha, sehingga kami menyangka Baginda tidak akan meninggalkannya. Baginda kadang kala meninggalkan solat dhuha, sehingga kami menyangka Baginda tidak akan mendirikannya lagi. (Diriwayatkan oleh Tirmizi dan Ahmad)

عَنْ أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ قَالَ: " كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُصَلِّي الضُّحَى حَتَّى نَقُولَ: لَا يَدَعُهَا، وَيَدَعُهَا حَتَّى نَقُولَ: لَا يُصَلِّيهَا "

294

6. Abu Ayyub al-Anshari berkata:

Rasulullah selalu mendirikan solat empat rakaat ketika matahari tergelincir. Aku bertanya, “Wahai Rasulullah! Mengapakah kamu selalu mendirikan solat empat rakaat ketika matahari tergelincir?”

Baginda menjawab, “Pintu-pintu langit dibuka ketika matahari tergelincir, ia tidak ditutup sehingga solat Zuhur didirikan. Oleh itu, aku mahu kebaikan yang aku lakukan ketika itu diangkat ke langit.”

Aku bertanya lagi, “Adakah surah lain yang dibaca selepas al-Fatihah dalam solat empat rakaat itu?” Rasulullah menjawab, “Ya!”

Aku bertanya, “Adakah salam pemisah pada setiap dua rakaat?” Rasulullah menjawab, “Tidak!” (Diriwayatkan oleh Tirmizi, Abu Daud, Ibnu Majah, Ahmad dan Ibnu Khuzaimah)

عَنْ أَبِي أَيُّوبَ الْأَنْصَارِيِّ، أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يُدْمِنُ أَرْبَعَ رَكَعَاتٍ عِنْدَ زَوَالِ الشَّمْسِ فَقُلْتُ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، إِنَّكَ تُدْمِنُ هَذِهِ الْأَرْبَعَ رَكَعَاتٍ عِنْدَ زَوَالِ الشَّمْسِ فَقَالَ: «إِنَّ أَبْوَابَ السَّمَاءِ تُفْتَحُ عِنْدَ زَوَالِ الشَّمْسِ فَلَا تُرْتَجُ حَتَّى تُصَلَّى الظُّهْرُ، فَأُحِبُّ أَنْ يَصْعَدَ لِي فِي تِلْكَ السَّاعَةِ خَيْرٌ» قُلْتُ: أَفِي كُلِّهِنَّ قِرَاءَةٌ؟ قَالَ: «نَعَمْ» . قُلْتُ: هَلْ فِيهِنَّ تَسْلِيمٌ فَاصِلٌ؟ قَالَ: «لَا»

295

7. Ahmad bin Mani' telah menceritakan kepada kami, Abu Muawiyah telah menceritakan kepada kami, Ubaidah telah menceritakan kepada kami, dari Ibrahim, dari Sahm bin Minjab, dari Qaza'ah dari Qatsa', dari Abi Ayub al-Ansari dari Nabi s.a.w. dengan hadis yang serupa.

أَخْبَرَنِي أَحْمَدُ بْنُ مَنِيعٍ قَالَ: حَدَّثَنَا أَبُو مُعَاوِيَةَ قَالَ: حَدَّثَنَا عُبَيْدَةُ، عَنِ إِبْرَاهِيمَ، عَنْ سَهْمِ بْنِ مِنْجَابٍ، عَنْ قَزَعَةَ، عَنْ قَرْثَعٍ، عَنْ أَبِي أَيُّوبَ الْأَنْصَارِيِّ، عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نَحْوَهُ

296

8. Abdullah bin Sa’ib berkata:

Rasulullah pernah mendirikan solat sunat empat rakaat sesudah matahari tergelincir, iaitu sebelum solat Zuhur. Baginda berkata, “Sesungguhnya pintu-pintu langit dibuka pada waktu itu. Aku mahu agar amal ibadahku diterima pada waktu itu.” (Diriwayatkan oleh Tirmizi)

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ السَّائِبِ، أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يُصَلِّي أَرْبَعًا بَعْدَ أَنْ تَزُولَ الشَّمْسُ قَبْلَ الظُّهْرِ وَقَالَ: «إِنَّهَا سَاعَةٌ تُفْتَحُ فِيهَا أَبْوَابُ السَّمَاءِ، فَأُحِبُّ أَنْ يَصْعَدَ لِي فِيهَا عَمَلٌ صَالِحٌ»

297

9. Ali bin Abi Thalib berkata:

Rasulullah mendirikan solat empat rakaat sebelum solat Zuhur.

 

Ali bin Abi Thalib menjelaskan, Rasulullah mendirikan solat itu selepas matahari tergelincir dan Baginda memanjangkan bacaan dalam solatnya. (Diriwayatkan oleh Tirmizi dan Ahmad)

عَنْ عَلِيٍّ، أَنَّهُ «كَانَ يُصَلِّي قَبْلَ الظُّهْرِ أَرْبَعًا، وَذَكَرَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يُصَلِّيهَا عِنْدَ الزَّوَالِ وَيَمُدُّ فِيهَا»

 

Disediakan oleh: al-ahkam.net 2014