SJ-11-0274 : Caj Perkhidmatan di Restoran makanan

2 posts / 0 new
Last post
Anonymous (not verified)
SJ-11-0274 : Caj Perkhidmatan di Restoran makanan

:salam

Saya telah cuba mencari dalam ruangan search di Portal ini dan hanya berjumpa dengan pautan berikut:

http://al-ahkam.net/home/modules.php?op=modload&name=MDForum&file=viewtopic&t=35036&highlight=Perkhidmatan

Saya ingin menambah soalan di pautan yang sama namun dek kerana terhad untuk moderator sahaja, maka saya terpaksa membuka topik baru.

Apakah hukumnya dengan caj-caj perkhidmatan yang berbentuk peratusan (kebanyakannya 10%) yang dikenakan di restoren-restoren besar seperti Chillies, Victoria Station, dan sebagainya? Bolehkah termasuk dalam kategori riba kerana caj perkhidmatan biasanya (yang halal) adalah berbentuk amoun tetap, yang tidak tertakluk kepada kadar pembelian ?

Wallahua'lam.

:wassalam

Offline
Joined: 01/01/1970 - 7:30am
Re: Caj Perkhidmatan di Restoran makanan

Wa’alaikumussalam

Kami akan cuba menjawab soalan anda dengan kadar kemampuan yang ada, InSyaAllah.

Tidak wujud sebarang riba ad-duyun baik al-qardh atau al-jahiliyah atau riba al-buyu’ didalam transaksi yang melibatkan caj servis jualan makanan yang halal. Didalam Islam, caj perkhidmatan adalah dibolehkan, kecuali jika ia melibatkan peminjaman yang perlu kepada beberapa perincian. Menurut ulama’ setiap pinjaman yang mendatangkan keuntungan adalah sejenis riba. Dalam konteks jual beli barang makanan misalnya, caj perkhidmatan adalah dibenarkan, walaupun ia berbentuk peratusan. Jumlah harga barangan dan caj perkhidmatan hendaklah dinyatakan sekali semasa pembayaran dibuat dan bukannya datang kemudian. Ia tidak boleh berbentuk gharar atau tersembunyi.

Pembeli hendaklah meredhai atas pembelian yang dilakukan dan penjual hendaklah meredhai harga jualannya, sebagaimana firman Allah swt :-

أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُمْ بَيْنَكُمْ بِالْبَاطِلِ إِلَّا أَنْ تَكُونَ تِجَارَةً عَنْ تَرَاضٍ مِنْكُمْ وَلَا تَقْتُلُوا أَنْفُسَكُمْ إِنَّ اللَّهَ كَانَ بِكُمْ رَحِيمًا
“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu saling memakan harta sesama kamu, dengan cara yang batil kecuali dengan jalan perniagaan, yang berlaku dengan saling meredhai di antara kamu” [Surah Al-Nisa, ayat 29].

Penentuan harga perkhidmatan adalah hak dipemilik sebagaimana kata Ibn Qudamah rh : Harga barang dan harga perkhidmatan adalah hak pemilik, dan tiada siapa yang mempunyai hak untuk menyuruh atau memaksa pandangannya berkenaan dengan nilai barangan” [al-Mughni, 6/312].

Dr Muhammad Bakr Ismail menjelaskan bahawa didalam Islam tidak ada batasan didalam menentukan keuntungan. Tidak ada had peratusan yang diambil, akan tetapi hendaklah tidak mempunyai unsur ghabnun fahish,iaitu penipuan keatas harga jualan yang berganda-ganda.

Sayugia diperingatkan, peratusan yang tinggi didalam caj servis akan membebankan pengguna, dan wujud unsur-unsur kezaliman disini. Pihak yang berkuasa hendaklah menilai semua peratusan caj servis yang dibenarkan kepada restaurant dengan mengambil kira semua aspek termasuklah ekonomi, sosial dan politik. WA.

Sekian, wassalam

خيرالأمين