Wahai Sahabat, Jangan Cepat Melatah

Primary tabs

Tulisan ini bukanlah bertujuan untuk menyebut keaiban sesiapa yang mempunyai penyakit ‘cepat melatah’. Saya menggunakan istilah melatah ini untuk menggambarkan sikap segelintir agamawan (ustaz/ustazah/protaz/protazah) yang cepat melatah apabila mendengar sesuatu pendapat yang ‘pelik’. Maksud melatah di sini ialah cepat menyalahkan sesuatu pendapat yang ‘pelik’. Pendapat yang ‘pelik’ di sini ialah pendapat yang tidak pernah mereka tahu atau tidak pernah mereka dengar. Maka mereka cepat menyalahkan pendapat tersebut dan menghukum orang yang berpendapat sedemikian (dengan pelbagai gelaran). Inilah ‘melatah’ yang saya maksudkan.

Kewujudan golongan ini bukanlah satu fantasi atau rekaan semata-mata. Saya sendiri pernah berinteraksi dengan mereka dan saya pasti anda yang membaca tulisan ini juga pernah bertemu mereka sekali-sekala atau selalu. Kadang-kadang terasa kasihan melihat gelagat mereka dan terkadang terasa marah. Namun mereka juga seperti kita yang tidak tahu segala-galanya tentang Islam. Tahun ini mungkin ilmu kita lebih bertambah berbanding tahun lalu. Tahun depan pula, mungkin kita akan mengubah pendapat kita yang kita pegang sejak bertahun yang lalu. Ilmu sentiasa bertambah dan pendapat kita sentiasa berubah. Itu tidak saya persoalkan di sini.

Saya juga tidak mempersoalkan kesilapan yang memang berlaku daripada sesiapa sahaja sama ada golongan ‘cepat melatah’ atau kita sendiri yang tidak melatah, tetapi melakukan kesilapan yang lain. Sekali lagi saya tegaskan bahawa saya tidak mengkritik sikap mereka yang tersilap atau sikap mereka yang tidak tahu atau kurang ilmu.

Apa yang ingin saya nyatakan di sini adalah panduan kepada golongan ini dan juga kepada kita semua tentang sikap yang sepatutnya kita ambil apabila bertemu pendapat yang ‘pelik’ atau ‘ganjil’. Berikut saya ringkaskan langkah-langkah yang perlu kita ambil:

1- Apabila kita terdengar pendapat yang agak pelik, fikirkan bahawa kemungkinan pendapat itu benar. Ini disebabkan kita bukanlah manusia yang tahu segala-galanya. Ilmu kita terhad dan hanya bertambah jika kita mencarinya. Bukankah kita yakin bahawa ada yang lebih tahu daripada kita? Maka jika kita menyedari hakikat kelemahan diri, kita perlulah bersabar ketika mula-mula mendengar pendapat yang ‘pelik’.

2- Pastikan bahawa pendapat itu benar-benar seperti yang kita dengar jika ada orang perantaraan yang membawa pendapat tersebut kepada kita. Sikap ketelitian yang diamalkan oleh ulama hadith perlu dipraktikkan di sini. Lihat terlebih dahulu akhlak dan daya ingatan orang yang menyampaikan berita itu kepada kita sebelum kita mempercayainya. Takut-takut nanti orang yang bercerita itu pulak yang menambah-nambah.

3- Seeloknya kita cari orang lain yang menjadi penguat kepada penyampai maklumat pertama tadi. Mungkin jika kita mendengar daripada saksi yang ramai, kita akan lebih jelas tentang isi kandungan pendapat tersebut.

4- Sekiranya kita telah pasti akan kebenaran kata-kata atau pendapat itu, atau memang kita sendiri yang mendengar pendapat tersebut dengan telinga kita sendiri, eloklah kita memulakan pengkajian tentang kebenaran atau kepalsuan pendapat tersebut.

5- Pastikan adakah pendapat tersebut berkaitan perkara usul atau furu’. Pastikan juga adakah ia berkaitan perkara yang disepakati atau masih khilaf. Pastikan juga adakah pendapat itu mempunyai dalil tersendiri.

6- Jika kita tidak mampu untuk menganalisis sendiri, berbincanglah dengan orang-orang yang kita yakin mempunyai ilmu dan pengalaman berkaitan ilmu-ilmu Islam. Lebih ramai lebih bagus. Perbanyakkan bacaan.

7- Sekiranya kita dapati bahawa pendapat itu menyalahi asas-asas yang telah ditetapkan syariat, maka kita berkewajipan bersangka baik bahawa orang itu tidak tahu. Seterusnya, menjadi satu kewajipan ke atas kita untuk menegurnya dengan berhikmah. Jangan terus hentam atau kutuk. Cuba hubungi orang itu dan berbicara dengannya.

8- Jika dia tidak mahu mengubah pendapatnya, maka kita berkewajipan memberitahu orang lain tentang pendapat yang salah itu. Cuba sedaya upaya untuk tidak menyebut nama orang itu, tetapi cukup sekadar menyebut kesalahan pada pendapatnya sahaja. Cuba juga untuk tidak menggunakan senjata ‘maki hamun’ atau ‘kritikan sinis’.

9- Namun begitu, sekiranya pendapat yang ‘pelik’ tadi benar megikut syariat, maka kita wajib bersetuju dengan pendapat itu walaupun pendapat itu ‘pelik’ dan tidak disokong oleh majoriti dalam kalangan agamawan atau masyarakat. Ukuran kebenaran bukan pada ‘pelik’ atau ‘ganjil’ atau ‘popular’. Kebenaran diukur dengan dalil. Tidakkah kebenaran adalah satu perkara yang ganjil ketika dakwah bermula di Makkah?

10- Sekiranya pendapat itu hanya berkaitan perkara khilaf dan perkara teknikal dan masing-masing mempunyai hujah, kita perlu menerimanya dengan sikap berlapang dada yang memang wujud di kalangan para ulama sejak dahulu. Jangan bergaduh atau bermasam muka hanya kerana perkara kecil.

 

Begitulah sikap dan langkah yang saya cadangkan untuk anda semua sekiranya bertemu dengan perkara pelik atau ganjil berkaitan Islam. Kita yakin bahawa ilmu tentang Islam sentiasa berkembang dan sentiasa dibincangkan. Perkara-perkara asas tidak perlu kita perselisihkan, tapi perkara yang masih belum diputuskan dan masih berada dalam perkara-perkara khilaf, perlulah kita berlapang dada menerima kemungkinan….mungkin kita betul dan mungkin sebenarnya kita yang salah. Mungkin juga kita betul dan pendapat itu juga betul kerana dilihat daripada sudut berbeza. Inilah keluasan rahmat Allah SWT dalam ilmu-ilmu Islam. Hanya orang jahil sahaja tidak mahu menerima hakikat perbezaan pendapat sebegini. Wallahu a’lam.

 

Rujuk buku:

-Dr. Yusof al Qaradhawi ‘Kaifa Nata’amal Ma’a al Turath’ (Bagaimana Berinteraksi Dengan Khazanah Ilmu) cetakan Maktabah Wahbah.