SJ-03-0137 : mempunyai was-was tentang tahi anjing...

2 posts / 0 new
Last post
Anonymous (not verified)
SJ-03-0137 : mempunyai was-was tentang tahi anjing...

Assalamualiakum ustaz. Saya mempunyai penyakit was-was yang kadang-kadang sampai boleh membuatkan saya stress kerana terlalu memikirkannya. Di sini saya mempunyai satu masalah yang sangat menghantui saya. Harap ustaz dapat membantu saya.

Sebelum ini saya ada bermain badminton di hadapan rumah saya (di jalan). Saya hanya memakai selipar. Ketika sedang bermain, selipar saya tertanggal dari kaki saya. Apabila saya melihat kaki saya, terdapat satu kotoran. Untuk memastikannya saya menyentuhnya dan membaunya. Ternyata ianya najis. Saya mulalah berfikir ianya mungkin tahi anjing atau tahi kucing kerana terdapat kedua-dua haiwan tersebut di kawasan perumahan saya. Entah bagaimana saya tidak terfikir untuk menyamaknya tetapi hanya terus membasuh najis tersebut dengan air biasa dan masuk ke rumah. Kemudian barulah saya terfikir untuk menyamaknya. Persoalannya, semasa saya masuk ke dalam rumah(sebelum saya menyamak), kaki dan tangan saya dalam keadaan basah (kerana baru membersihkannya dengan air biasa). Perlukah saya menyamak sekali lantai di rumah saya? Dan bagaimana pula dengan peralatan-peralatan yang saya gunakan dalam persediaan untuk menyamak? Maksud saya, dalam menyediakan air tanah, saya perlu mengorek tanah yang memerlukan saya memegang sudip tanah, dan dalam menyediakan air saya perlu memegang hos yang sudah tentunya dalam keadaan basah. Ini semua terlintas dalam fikiran saya semasa pada keesokan harinya(tentang kesucian lantai, hos dan sudip yang saya pernah pegang sebeum menyamak). Bagaimana pula dengan adik-beradik saya. Ada sekali tu salah seorangnya mengemop lantai. Adakah kakinya juga terkena najis itu? Tolonglah ustaz, saya sangat stress dalam memikirkan masalah ini. Sampai saya sering tertanya, adakah saya berdosa jika ibadah adik-beradik saya tidak deterima Allah... Tolonglah ustaz...

Offline
Joined: 01/01/1970 - 7:30am
Re: mempunyai was-was tentang tahi anjing...

Wa’alaikumussalam

Alhamdulillah. Kami akan cuba menjawab soalan anda dengan kadar kemampuan yang ada, inSyaAllah.

Situasi anda ialah, anda tidak tahu najis jenis apa yang anda terpijak. Anda yakin ia adalah najis setelah mencium baunya. Anggaplah ianya seperti najis yang boleh dihilangkan kenajisannya dengan menggunakan air. Kepastian hilangnya najis ialah, ‘ainnya telah hilang (tahi secara fizikal) dan termasuklah 3 unsur ini iaitu hilang bau,warna dan rasa.

Bagi mereka yang sentiasa waswaas didalam ibadat, Syiekh Sa’ad al-Humaidi menasihatkan agar :

عليك الأخذ بالأسهل دائما ، ولا تفكر في الذنب أو العقوبة
“hendaklah keatas kamu mengambil pilihan yang mudah. Jangan ambil peduli tentang Dosa atau Azab”

Berdasarkan kata-kata Syiekh al-Humaidi, kita boleh memilih pendapat bahawa najis binatang yang haram dimakan adalah khilaf hukumnya dikalangan ulama’. Yang pasti najis adalah :-

1. Kencing dan najis manusia.
2. Rautsah (najis kuda, keldai dan baghal -kacukan dari kuda dan keldai)
3. Mazi
4. Darah haid dan nifas
5. Semua bangkai adalah najis kecuali empat bangkai: Manusia, haiwan yang hidup di air, belalang dan haiwan yang darahnya tidak mengalir.
6. Air Liur anjing

Selain dari najis yang dinyatakan diatas, ulama’ khilaf berkeadaan dengan samada najis atau tidak benda-benda yang lain. Moga-moga ia memberi keyakinan setelah membersihkan kaki anda. Mazhab Maliki menganggap bahawa anjing ini suci, kerana asal setiap perkara itu suci.

Setelah anda menghilangkan kenajisan tersebut menggunakan air, maka tidak perlu risau/waswaas lagi dengan kawasan lain yang anda pijak. Ia kembali kepada prinsip asal, iaitu setiap perkara itu asalnya suci.

Berkata Dr Yusuf al-Qaradhawi, menurut guru beliau,"itulah yang dinamakan fiqh, sesungguhnya hukum-hukum itu berlaku keatas seorang mukallaf setelah dia tahu sebab-sebabnya, perkara yang berlaku sebelumnya adalah dimaafkan. Allah telah memaafkannya. Dan tidak perlu kaji mengenainya." [Fiqh al-Thaharah, ms 332].

Mohon kepada Allah agar diberi kekuatan melawan penyakit waswaas ini. Yakini bahawa Allah swt memaafkan anda berkaitan dengan terkena najis-najis tersebut. Orang kafir yang makan khinzir pun Allah bersihkannya melalui ucapan syahadah mereka, inikan umat Islam yang sentiasa memohon pengampunan darinya. WA.

Sekian, wassalam

خيرالأمين