Muhammad Rashid Ridha dan al-Manar

Dr Ahmad Nabil Amir | Abduh Study Group, Islamic Renaissance Front

Muhammad Rashid Ridha (1865-1935) adalah sosok pembaharu yang telah melakarkan sumbangan bermakna dalam gerakan pembaharuan di dunia Islam. Pemikiran islah yang digagaskannya merumuskan fikrah tajdid yang ideal yang terkesan daripada gagasan pan-Islam yang dicetuskan oleh Jamal al-Din al-Afghani dan Imam Muhammad Abduh. Ide–ide brilian yang dikemukakan Al-Afghani dan Abduh dan tulisan-tulisan radikal yang dimuatkan dalam jurnal al-Urwat al-Wuthqa telah memberikan impak yang signifikan terhadap aspirasi dan cita-cita pembaharuan Ridha yang dilanjutkan lewat Majallah al-Manar.


Asal usul

Rashid Ridha dilahirkan di daerah Qalamun, berhampiran wilayah Tripoli, Lebanon pada 27 Jamadil Awal 1282/1865Muhammad Rashid Ridha dilahirkan di daerah Qalamun, berhampiran wilayah Tripoli, Lebanon pada 27 Jamadil Awal 1282/1865. Beliau mengikuti pengajian awalnya di madrasah tradisional (kuttab) di desa Qalamun, dan seterusnya melanjutkan pengajiannya ke Madrasah al-Wataniyyah al-Islamiyyah yang didirikan oleh pemerintah Uthmani di kota Tripoli.

Madrasah ini diselenggarakan oleh Syaikh Husayn al-Jisr (1845-1909), yang terpengaruh dengan agenda pembaharuan dan modernisme. Di sini, Ridha mempelajari ilmu alam, geografi, matematik, bahasa Arab, Perancis dan Turki dan berjaya menamatkan pengajiannya dengan memperoleh diploma “‘alim” pada 1897. Beliau menceburi bidang kewartawanan, sebagai kerjaya utamanya setelah dinobatkan sebagai “shaikh” dan “alim”, dan menghasilkan al-Manar yang menganalisis falsafah pemikiran dan perkembangan-perkembangan yang signifikan dalam dunia Islam.

Rida merupakan penulis yang prolifik, yang telah menghasilkan karya-karya besar dalam pemikiran tafsir, hadith, politik, dakwah, kalam, perbandingan agama, fiqh dan fatwa. Antara tulisannya termasuklah Tarikh Al-Ustadh Al-Imam Al-Syaikh Muhammad ‘Abduh (Biografi Imam Muhammad Abduh),  Nida’ li Jins al-Latif (Panggilan terhadap Kaum Wanita), Al-Wahyu Muhammadi (Wahyu Nabi Muhammad), Yusr Al-Islam wa Usul At-Tashri‘ Al-‘Am (Kemudahan Islam dan Prinsip-prinsip Umum dalam Syari’at), Al-Khilafah wa Al-Imamah Al-‘Uzma (Khalifah dan Imam-Imam yang Besar), Muhawarah Al-Muslih wa Al-Muqallid (Dialog Antara Kaum Pembaharu dan Konservatif), Zikra Al-Maulid An-Nabawiy (Memperingati  Hari Kelahiran Nabi Muhammad), dan Haquq Al-Mar’ah As-Salihah (Hak-hak Wanita Muslim).

Dalam kiprah politiknya, beliau memperlihatkan pengaruh yang luas dengan keanggotaan yang aktif dalam organisasi Islam, seperti menjadi Presiden Kongres Syria (1920), menganggotai delegasi Palestin-Syria di Geneva (1921), Jawatankuasa Politik di Kaherah (1925), dan menghadiri Konferens Islam di Mekah (1926) dan Jerusalem (1931).

Ridha turut menyumbangkan peranannya dalam bidang pemikiran, pendidikan dan agama. Dalam bidang pendidikan, beliau menekankan pembangunan institusi-institusi pendidikan bagi memajukan ide dan mengembangkan praktis dan kurikulum pendidikan yang menyatukan  pengetahuan agama dan sains.

Dengan matlamat ini, beliau mendirikan Jam‘iyyat Ihya’ al-Kutub al-‘Arabiyyah pada tahun 1318/1880 bersama Muhammad Abduh dan Madrasah al-Da‘wah wa’l-Irshad (Society for Propaganda and Guidance) pada tahun 1912 di Kaherah.

Ridha menggesa umat Islam untuk menumpukan usaha mereka kepada kerja kebajikan yang paling murni itu, yakni, mendirikan sekolah..Tentang aspirasi pendidikan yang digagaskan ini, Charles C. Adams menyebut dalam bukunya Islam and Modernism: A Study of the Modern Reform Movement Inaugurated by Muhammad Abduh: “Rashid Ridha, dalam setiap penulisan dan pidato umumnya, seperti juga Muhammad ‘Abduh sebelum beliau, menggesa umat Islam untuk menumpukan usaha mereka kepada kerja kebajikan yang paling murni itu, yakni, mendirikan sekolah. Mendirikan sekolah, katanya, adalah lebih baik daripada mendirikan masjid, kerana solat orang yang jahil dalam sebuah masjid adalah tidak bernilai, sementara, dengan pembinaan sekolah, kejahilan dapat dibanteras dan dengan itu kedua-dua kerja agama dan dunia (sekular) dapat dipenuhi dengan sempurna.”

Warisan dan legasi pemikiran Ridha banyak mempengaruhi corak dan kerangka pemikiran ulama’ dan idealog Islam yang terkemuka seperti pengasas Ikhwan, al-syahid Hasan al-Banna, dan pendiri Jama‘at Islami, Abu’l A‘la al-Mawdudi, pengasas Muhammadiyyah Ahmad Dahlan dan mantan Presiden Parti Islam se-Malaysia – PAS - Dr Burhanuddin al-Helmy,

Pengaruh yang besar ini diungkapkan oleh Shaykh Mustafa al-Maraghi (1881-1945) yang pernah menjawat jawatan Rektor al-Azhar tentang kesan perjuangan dan fikrah pembaharuannya mengatakan: “as-Sayyid Rashid berjaya dan para pendukung dan pengikutnya telah bercambah, ketika mana pernah beliau hanya meraih beberapa kalangan pengikut dan murid, dan dalam lingkungan akademik ditemui mereka yang mengusung prinsip dan mengikut jejaknya, dan di kalangan orang awam yang pandangannya telah terbuka kepada cahaya, dan awan kejahilan dan kebatilan terluput daripada hati mereka.”

Al-‘Urwa Al-Wuthqa

Pendedahan awal Ridha terhadap gerakan politik dan islah tercetus setelah terbaca jurnal al-‘Urwa al-WuthqaPendedahan awalnya terhadap gerakan politik dan islah tercetus setelah terbaca jurnal al-‘Urwa al-Wuthqa yang diterbitkan pada tahun 1884 (yang dikeluarkan secara berkala selama 8 bulan) di Paris, oleh Jamal al-Din al-Afghani yang mengungkapkan ide-ide pembaharuan dan mengapungkan faham anti kolonialisme, pemberdayaan reformasi dan pemacuan ijtihad.

Ridha menjelaskan tentang idealisme pemikiran yang dizahirkan dalam al-‘Urwa al-Wuthqa dengan katanya: “Aku menemui salinan al-‘Urwa al-Wuthqa daripada kertas-kertas dalam simpanan ayah. Setelah aku membaca artikel-artikelnya yang menyeru kepada gagasan Pan-Islamisme, meraih semula kegemilangan, kekuatan dan keunggulan Islam, penemuan semula ketinggian dan kedudukan yang pernah dimilikinya, dan pembebasan umatnya daripada dominasi luar, aku sangat teruja sehingga seperti memasuki fasa baru dalam hidupku. Dan aku sangat tertarik dengan metodologi yang diketengahkan dalam artikel-artikel ini dalam melakar dan membuktikan hujahnya dalam perbahasan dengan bersandarkan ayat-ayat al-Qur’an, dan tentang tafsirnya yang tiada seorang mufassir telah menulis sepertinya.”

Ridha turut menghuraikan kekuatan al-‘Urwa al-Wuthqa sebagai hasil pemikiran yang penting yang menggariskan manhaj perjuangan yang berkesan dalam menangani kepincangan budaya dan politik dan mengangkat harakat pemikiran dan menggarap permasalahan umat yang mendasar: “antara poin yang terpenting yang menzahirkan keunggulan al-‘Urwa al-Wuthqa dan kekuatannya yang tersendiri adalah: (1) (penekanannya terhadap) ketentuan Allah terhadap makhlukNya dan sistem aturan dalam masyarakat manusia, dan sebab kebangkitan dan kejatuhan sesuatu bangsa sepertimana juga kekuatan dan kelemahan mereka; (2) penjelasan bahawa Islam adalah agama yang mempunyai kedaulatan dan kuasa, yang merangkul kebahagiaan di dunia dan di akhirat, dan menegaskan bahawa ia adalah agama yang menggabungkan nilai spirituil dan sosial, sivil dan militer, dan bahawa kekuatan militernya adalah untuk melindungi keadilan undang-undang, petunjuk dan wibawa umat, dan bukan untuk mengerahkan kepercayaan dengan paksa; dan (3) bagi umat Islam tidak ada faham kebangsaan dan nasionalisme kecuali terhadap agama mereka, oleh itu mereka semuanya bersaudara di mana perbezaan ras dan darah keturunan  tidak harus memisahkan kesatuan mereka, tidak juga perbezaan bahasa dan kerajaan mereka.”

Semangat yang dipugar daripada pembacaan al-‘Urwa al-Wuthqa ini terus menggilap karakter dan mengukuhkan daya perjuangan Ridha, yang mengilhamkannya untuk berhijrah ke Mesir dan bergabung dengan al-Afghani dan Abduh bagi melanjutkan perjuangan Pan-Islamisme: “Setelah beliau [al-Afghani] meninggal, harapanku semakin tinggi untuk menemu wakilnya Shaykh Muhammad Abduh untuk meraih ilmu dan pandangannya tentang reformasi Islam. Aku menunggu sehingga terbukanya peluang pada bulan Rajab tahun 1315 (1897) dan itu adalah sebaik saja aku menamatkan pengajian di Tripoli, memperoleh status ‘alim, dan tauliah untuk mengajar secara bebas, daripada mentor-ku, Shaikh Husayn al-Jisr. Kemudian itu aku lansung berhijrah ke Mesir dan melancarkan al-Manar untuk menyeru kepada pembaharuan.”

Majalah al-ManarAl-Manar

Al-Manar, adalah majalah bulanan yang membahaskan idealisme pembaharuan dan tajdid di Kaherah. Ia mengungkapkan tradisi pemikiran yang segar yang diasaskan daripada ide-ide pembaharuan yang dipelopori oleh Jamal al-din al-Afghani dan Muhammad Abduh dalam al-‘Urwa al-Wuthqa. Fokusnya adalah usaha pembaharuan dan dakwah.

Sementara akhbar lain membicarakan kebobrokan dan kegawatan di dunia Islam, Al-Manar mencadangkan penyelesaiannya yang umum, dan memberikan formula yang mendetil. Pengaruh al-Manar yang signifikan ini diungkapkan oleh Shaykh Husayn al-Jisr ketika mengulas tentang keluaran pertama al-Manar dan ketahanan gerakan islah yang dibawa oleh Ridha: “Al-Manar telah muncul, menyerlah dengan cahaya yang luar biasa dan menyenangkan, hanyasanya cahaya ini telah dipantul oleh sinar yang kuat yang hampir mencederakan pandangan.”

Al-Manar menggerakkan perbincangan tentang dakwah, idealisme dan islah, menerangkan dasar-dasar Pan-Islamisme, meneroka persoalan-persoalan yang berkait dengan ajaran aqidah dan hukum, membincangkan faham modernisme, sekularisme, nasionalisme dan mempelopori dialog dan pertukaran ide antara budaya, dan meneropong pemikiran baru berkait dengan falsafah agama dan budaya dan menangani isu-isu sosial dan peradaban.

Al-Manar pertama kali diterbitkan pada 21 Shawal 1315 H (17 Mac 1898) sebagai jurnal mingguan yang memuatkan lapan halaman, menyiarkan telegram-telegram mingguan dan berita-berita mutakhir, di samping artikel-artikel utama yang ditulis oleh ketua editor iaitu Ridha sendiri. Bermula pada tahun kedua, ia dikeluarkan setiap bulan, dan tersebar dengan meluas ke seluruh jajahan Islam dalam wilayah Turki, India, Mesir, Syria, Maghribi dan turut diseludup ke arkipelago Melayu dan Tanah Jawa. Pada tahun kedua belas keluarannya (1909), salinan-salinan yang berbaki daripada keluaran pertama telah dijual empat kali ganda daripada harganya yang asal.

Dalam mukaddimah ringkasnya memperkenalkan al-Manar, Ridha menulis: “Demikian ini adalah suara yang menyeru dengan lidah Arab yang jelas, dan seruan kepada kebenaran yang sampai ke telinga mereka yang bercakap dengan huruf dad [masyarakat Arab] dan ke telinga seluruh penduduk Timur, memanggil dari tempat yang dekat [Mesir] dari mana kedua-dua bangsa di Timur dan Barat dapat mendengar, dan ia menyebar luas supaya dengan itu penduduk Turki dan Parsi juga dapat menerimanya. Ia menyeru: “Wahai, bangsa timur yang sedang lena dibuai mimpi yang enak, bangun, bangun! Tidurmu telah melampaui batas rehat.”

Menurut C.C. Berg dalam kajiannya tentang sejarah Indonesia, gerakan pencerahan yang dicetuskan oleh al-Manar telah melahirkan kelompok pembaharu yang mempelopori perjuangan kaum muda di Indonesia: “Al-Manar tidak memberikan pencerahan kepada masyarakat Mesir sahaja. Ia mencerah pemikiran masyarakat Arab di dalam dan di luar; umat Islam dari rantau arkipelago Melayu yang menuntut di Universiti al-Azhar atau di Mekah, dan bekas pelajar dari Indonesia yang masih memelihara keakraban hubungannya dengan dunia Islam setelah pulang ke sempadan negaranya di Dar al-Islam…dan kesemua orang-orang ini kini melihat Islam dalam rangka cahaya yang baru…kalangan yang telah menyelami dan mempertahan cahaya al-Manar di Mesir, menjadi kelompok “Manar” kecil untuk lingkungannya, setelah pulang ke Indonesia.”

Al-Manar: Tafsir yang menekankan metode al-adabi al-ijtima‘i (sosial dan budaya)Tafsir al-Qur’an

Menerusi Majallah al-Manar, Ridha mengusung pemikiran Imam Muhammad Abduh dengan menyediakan ruangan khas, bermula daripada tahun ketiga keluarannya, untuk menerbitkan siri-siri Komentar al-Qur’an oleh Abduh yang disampaikannya di Jami‘ al-Azhar, Kaherah. Ruangan khas ini turut memuatkan fatwa-fatwa Abduh, atau keputusannya tentang persoalan menyangkut hukum atau agama yang dikemukakan oleh pembaca; selain seksyen yang memuatkan perkembangan dan ide-ide baru di dunia Islam, serta ulasan-ulasan buku dan publikasi yang lain.

Ayat-ayat yang dikupas oleh Imam Muhammad Abduh merangkumi surah-surah pendek yang meliputi tafsir surat al-‘Asr, tafsir Juz ‘Amma, tafsir surah al-Fatihah, tafsir ayat 78-79 dari surah al-Nisa’, tafsir ayat 52-55 dari surah al-Hajj, dan tafsir ayat 37 dari surah al-Ahzab yang kemudiannya digazetkan dalam Tafsir al-Manar.

Manhaj yang digariskan oleh Imam Muhammad Abduh dalam tafsirannya adalah berteraskan metode al-adabi al-ijtima‘i (sosial dan budaya) yang menekankan hubungan ayat dengan kondisi sosial dan upaya meraih hidayahnya dan kritikan yang keras terhadap budaya taqlid yang membengkak dalam masyarakat.

Tekanan yang penting diberikan terhadap tradisi aqliah dan ijtihad, seperti dinyatakan dalam huraiannya terhadap ayat 38-42 daripada surah ‘Abasa:

“Muka (orang-orang yang beriman) pada hari itu berseri-seri, tertawa, lagi bersuka ria, dan muka (orang-orang yang ingkar) pada hari itu penuh debu, diliputi oleh kesuraman dan kegelapan. Mereka itulah orang yang kafir, yang derhaka.”

Imam Muhammad Abduh mengulas: “Sesiapa yang ketika hidup di dunia berusaha mencari kebenaran dengan akal fikiran yang dianugerahkan kepadanya tanpa terikat dengan titik bengek adat, kebiasaan atau pandangan sesiapa kecuali Rasulullah, serta tidak angkuh dalam menerima kebenaran apabila dihadapkan padanya, akan bergembira di akhirat kelak, kerana hasil usaha mereka dapat dilihat di hadapan mata.”

Manakala sesiapa yang ketika hidup di dunia tidak menghargai aqalnya, reda dengan kejahilan, enggan terima kebenaran, sekalipun telah terbukti jelas kerana taksub dengan pendapat pimpinannya, malah sedaya upaya mempertahankannya dengan takwil dan penaka helah yang batil, kelak di akhirat akan mendapati segala amalan yang disangka akan menguntungkan sebenarnya menjadi punca kecelakaan dan sengsara, lalu wajah menjadi hitam dan gelap kerana kecewa dan dukacita yang amat.”

Cahaya Obor al-Manar

Perjuangan Shaykh Muhammad Rashid Ridha untuk memimpin perubahan telah memperlihatkan kesan yang dramatik di negara-negara umat Islam. Peranan jurnal al-Manar dalam mengangkat martabat dan harakah perjuangan cukup dirasai di seluruh rantau Islam, khasnya di Nusantara.

Kemantapan fikiran dan idealisme yang dicetuskan oleh Ridha telah berhasil memperkasa umat dan melahirkan golongan pembaharu yang meneruskan perjuangannya membanteras taqlid, membebaskan fikiran daripada kepercayaan jelek, tahyul dan khurafat, dan memperbaharui tekad ke arah memantapkan solidaritas dan merapatkan perselisihan mazhab. Peranan kita di bumi kita adalah untuk melanjutkan perjuangan dan meneruskan iltizam Ridha untuk mengembangkan pengaruh Madrasah Imam Muhammad Abduh dan menyalakan obor perjuangannya ke seluruh dunia.